PM, Rosmah ke Mesir, sertai NAM
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berlepas ke Mesir bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) ke-15 di bandar peranginan Sharm El-Sheikh.
Najib, yang diiringi isterinya Rosmah Mansor, berlepas dengan menaiki pesawat rasmi kerajaan kira-kira 10.20 pagi di Kompleks Bunga Raya di Sepang, lapor Bernama.
Sebelum berlepas, bacaan doa dibacakan bagi memberkati perjalanan perdana menteri dan wanita pertama negara.
Turut hadir untuk mengucapkan selamat jalan, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zain.
Sidang kemuncak berkenaan akan berlangsung di Pusat Kongres Maritim dari 15 hingga 16 Julai dan perasmiannya disempurnakan oleh Presiden Hosni Mubarak pada Rabu dengan negara tuan rumah dijangka mengumumkan cadangan untuk melindungi legasi NAM terutamanya bagi menangani cabaran dalam abad ke-21.
Kehadiran Najib ke sidang kemuncak itu menandakan penglibatan rasmi beliau dalam NAM sejak menjadi perdana menteri pada 3 April, dan beliau dijangka memperkukuh semula komitmen Malaysia ke arah semangat kesetiakawanan bagi keamanan dan pembangunan pergerakan berkenaan.
Menurut agensi berita itu, perdana menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan itu yang turut dianggotai Menteri Luar Datuk Anifah Aman dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Sidang kemuncak bertemakan "Perpaduan Antarabangsa bagi Keamanan dan Pembangunan" itu akan memberi tumpuan ke arah mengaktifkan semula NAM dalam keadaan semasa dunia di samping melindungi kepentingan negara membangun.
NAM dianggotai oleh 118 negara dari Afrika, Asia, Amerika dan negara-negara Carribean.
malaysiakini
No comments:
Post a Comment