Pemuda Umno ungkit k'jaan perpaduan di Manek Urai
Pemuda Umno ingin menjadikan isu kerajaan perpaduan – yang pernah menimbulkan pergeseran dalam PAS dan di kalangan Pakatan Rakyat – dalam kempen pilihanraya kecil Manek Urai.
Ketua Penerangannya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, rakyat perlu diberikan penjelasan kerana isu tersebut "masih lagi menjadi bualan" dan "telah menimbulkan kekeliruan kononnya Umno dalang" isu ini.
"Hakikatnya keterbukaan Umno untuk menerima huluran tangan PAS. Umno tidak mula dahulu, (sebaliknya) ia syor daripada kepimpinan PAS," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
"Dalam muktamar PAS antara yang terpilih (sebagai pemimpin atasan) adalah dari pro-kerajaan perpaduan".
Walaupun isu kontroversi tersebut telah ditutup oleh PAS, kata Reezal lagi, tetapi Pemuda Umno melihat perkara tersebut sebagai "positif" dan "tidak ditutup sepenuhnya".
"Walaupun kerjasama Umno-PAS tidak begitu berjaya, tetapi ia tidak berakhir begitu sahaja. Ada orang melihat kerjasama Umno-PAS lebih kepada berpusatkan Melayu.
"Pada saya, berpusatkan Melayu perlu untuk mengukuhkan Melayu kerana Melayu adalah kaum majoriti di Malaysia," katanya.
Tambahnya, Pemuda akan menggerakkan jenteranya yang "berkualiti" dan "berfokus" bagi merebut kemenangan kepada calon BN.
Selain ceramah, Pemuda akan menggunakan pendekatan "ramah mesra" untuk menemui pengundi secara langsung bagi memperolehi sokongan mereka, kata Reezal lagi.
Sementara itu, setiausaha kerja Pemuda Umno, Saiful Hazizy Zainol Abidin berkata ketuanya Khairy Jamaluddin akan turun berkempen di Manek Urai selama dua hari bermula esok.
Pada sebelah pagi, ahli parlimen Rembau akan mengadakan program gotong-royong sebelum melancarkan jentera pilihanraya BN pada sebelah petang.
Manakala di sebelah malam, Khairy akan mengadakan majlis dialog bersama pengundi di situ.
Sementara pada pagi Sabtu, kata Saiful Hazizy lagi, ketuanya sekali lagi akan turun menemui akar umbi dengan program gotong-royong sebelum jadualnya tamat pada sebelah tengahari.
malaysiakini
No comments:
Post a Comment