Monday, May 11, 2009

ZAMBRY KADIR PERAGUT POLITIK

KEJAMNYA PERAGUT! Begitulah bunyinya tajuk utama Utusan Melayu hari Khamis, 7 Mei 2009 yang menyiarkan kisah bagaimana tiga orang mangsa ragut yang terbunuh kerana perbuatan kejam tersebut.

Cerita ragut sudah begitu lama kedengaran, cuma ditakdirkan Allah ia berlaku kali ini ketika polis sedang berkubu di Ipoh dan Penanti. Nampaknya hari ini polis lebih banyak digunakan untuk mempertahankan kuasa politik BN daripada menjaga keselamatan awam. Jika keadaan ini berterusan, suatu hari nanti, Malaysia akan betul-betul menjadi 'negara polis'.

Keadaan politik di Perak sebenarnya tidak serumit di Terengganu kerana kedua-dua menteri besarnya mempunyai kumpulan penyokong yang ramai. Yang menjadi masalah besar di Perak ialah kedegilan Zambry Kadir untuk tidak mengikut undang-undang dan peraturan dalam setiap tindakannya.

Dulu dia bersekongkol dengan Najib Razak untuk menculik dan merasuah tiga Adun Pakatan Rakyat bagi menjatuhkan kerajaan, kemudian dia mengangkat sumpah sebelum sempat Menteri Besar Nizar meletak jawatan atau dikenakan undi tidak percaya. Mahkamah dijadikan alat untuk mereka mengesahkan tindakan haram itu. SPR dan SPRM pula menjadi kuda tunggangan untuk menjayakan rancangan jahat yang bertentangan dengan undang-undang.

Mungkin Zambry Kadir belum sedar apabila rakyat Bukit Gantang menyampaikan mesej untuk menolak perbuatan tidak bertamadun BN pada 7 April 2009 yang lalu. Dia mahu 'diajar' dengan cara yang lebih jelas lagi. Kita tunggu tindakan rakyat dalam pilihan raya akan datang.

KEJAMNYA PERAGUT! Begitulah yang terjadi pada Khamis, 7 Mei 2009 di Ipoh, Perak. Kali ini bukannya mat rempit yang meragut. Tetapi pemimpin politik BN yang tidak bertamadun dan tidak menghormati demokrasi meragut setiap hak dan keadilan demi kepentingan politik rakus mereka.

Dahulu mereka meragut kerajaan daripada rakyat cara menculik dan merasuah, kemudian mereka meragut jawatan menteri besar melalui cara tidak berperlembagaan. Hari ini mereka melakukan lagi apabila jawatan Speaker Dun Perak diragut dengan cara yang lebih hina daripada binatang. Mereka tidak mengiktiraf Sidang Dun Perak di bawah pokok atas bermacam-macam alasan walaupun ia berlaku mengikut lunas undang-undang. Tetapi mereka bertindak persis binatang buas di dalam dewan yang mulia itu apabila bersidang sendiri dengan membelakangkan Speaker Dun yang berada di kerusinya.

Walau apapun yang dilaporkan oleh media arus perdana, rakyat mengetahui keadaan yang sebenar. Dahulu mereka menipu rakyat kononnya Nizar telah menderhaka, tetapi rakyat memberikan mesej sebaliknya di pilihan raya Kuala Terangganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Saya percaya rakyat menyedari keadaan sebenar yang berlaku walaupun media memberikan gambaran sebaliknya. Sebagai Ahli Parlimen, saya memahami peraturan yang menghendaki setiap ahli YB menghormati speaker yang mengendalikan persidangan. Saya bersetuju dengan Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang berkata apa gunanya ada Speaker jika keputusannya tidak dihormati.

Sebagai Ketua Dun, Speaker berkuasa penuh di atas semua urusan di dewan itu. Beliau yang menentukan kedudukan Adun, usul-usul dan semua urusan perjalanan dewan tersebut. Bahkan, tidak ada Adun yang boleh bercakap tanpa kebenaran Speaker. Jika semua orang ingin bertindak sesuka hati, bercakap, membuat usul dan mengusung keluar Speaker... maka jadilah sidang itu seumpama satu sidang di Zoo Negara!

Sebenarnya isu ini cukup mudah diselesaikan. Semua pihak perlu memberi laluan kepada Speaker untuk mengendalikan mesyuarat mengikut peraturan mesyuarat. Tetapi malangnya, Zambry Kadir dan sembilan yang lain begitu degil dan keras kepala. Mereka bukan sahaja tidak mengikut arahan, bahkan cuba menjalankan sidang Dun secara haram.

Tidak pernah berlaku dalam mana-mana majlis perundangan di dunia, usul dikemukakan sebelum sidang bermula. Speaker telah memberitahu berkali-kali bahawa beliau tidak akan memulakan sidang selagi arahannya untuk 10 orang itu keluar dewan dipatuhi. Ini bermakna, ketika Zambry Kadir membuat usul, sidang belum bermula lagi. Yang paling saya kesalkan ialah Setiausaha DUN yang telah dipecat itu. Dia begitu biadap dan langsung tidak menghormati Speaker semata-mata kerana ?ke-Umno-annya?.

Pada saya mudah sahaja, bahawa seluruh sidang itu adalah tidak sah kerana sidang belum bermula ketika prosiding dijalankan. Saya sangat percaya kekecohan ini tidak akan berlaku jika semua pihak menghormati peraturan. Mengapa Zambry Kadir begitu biadap dengan membawa satu usul tanpa mendapat kebenaran Speaker. Lebih-lebih lagi, Zambry Kadir sebagai seorang Adun yang digantung oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dun tidak berhak menghadiri sidang, apatah lagi membuat usul.

R Ganesan, 'Speaker haram' pula telah menceroboh Dun Perak secara sewenang-wenangnya tanpa menghiraukan S Sivakumar yang berada di kerusi Speaker. Kemudian beratus-ratus polis yang sepatutnya menjadi keselamatan mangsa ragut, ditugaskan untuk ?meragut? kerusi Speaker daripada Sivakumar.

Apa yang boleh kita rumuskan ialah sebuah kerajaan yang haram akan melakukan apa sahaja tanpa mengikut lunas undang-undang untuk mempertahankan kegiatan haram mereka. SPR, SPRM, mahkamah, polis, SUK, Setiausaha Dun, bahkan istana telah diperalatkan oleh mereka secara sempit sehingga kemuliaan Dun Perak tercemar.

Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah dimalukan di hadapan khalayak dengan perbuatan yang biadab dan tidak bertamadun itu. Untuk menutup kekotoran itu, Zambry Kadir memberitahu bahawa Adun Pakatan Rakyat menyerang mereka dan bertindak menggunakan undang-undang rimba.

Saya tahu bahawa rakyat telah sedar siapakah Tarzan dalam krisis ini. Najib Razak dan Zambry Kadir patut berasa malu di atas perbuatan yang tidak demokratik ini, kerana Tun Mahathir sendiripun tidak dapat menerima apa yang berlaku di Perak.

artikel asal : HarakahDaily

No comments:

Post a Comment