Saturday, May 9, 2009

Krisis Umno Terengganu : 3 Hari Untuk Bekas SU Politik Idris Jusoh Hubungi Polis, Kes SMS Ugut Bunuh Belum Selesai

Polis Terengganu memberi tempoh tiga hari mulai hari ini kepada Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh, untuk tampil membantu siasatan berhubung kes penghantaran SMS berbentuk ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional Terengganu bulan lepas.

Bernama melaporkan, Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC II Hamzah Mohd Jamil, berkata jika Ahmad Ramzi gagal berbuat demikian, polis akan mendapatkan waran tangkap terhadap beliau.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa polis telah cuba mengesan Ahmad Razmi, yang juga bekas calon BN bagi kerusi Parlimen Marang pada pilihan raya umum lepas, di kediaman beliau di sini dan Kuala Lumpur tetapi gagal.

Ahmad Ramzi diminta menemui atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Terengganu, ASP Mohd Hadzwan Zulkefle di talian 09-6246222.

Pada 25 April lalu, setelah siasatan polis ke atas kerani swasta yang ditahan untuk membantu siasatan tidak berhasil, polis mula mengesan Ramzi bagi membantu siasatan berhubung kes.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata, Ramzi dicari kerana beliau adalah antara individu yang mengeluarkan kenyataan kepada media pada malam ketiga-tiga ADUN itu menerima SMS ugutan berkenaan.

"Polis ingin mendapatkan kepastian sama ada Ahmad Ramzi turut menerima SMS berkenaan atau sebaliknya kerana beliau turut memberi kenyataan kepada media pada malam tersebut," kata ACP Mohd Fauzi.

Kehadiran Ramzi bersama dua ADUN BN ketika membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada malam itu memang menjadi persoalan.

Yang anihnya, pada malam tersebut Ramzi turut mempamirkan ‘ayat ugutan SMS’ kepada wartawan melalui telefon bimbit sedangkan beliau bukan ADUN dan bukan penerima SMS itu.



Mengulas perkara tersebut, Editor Akhbar Tabloid Mingguan Watan, Zabidi Hj Saidi telah mendedahkan satu berita yang amat mengejutkan.

Catatan pada blognya bertarikh 27 April, Zabidi menulis sebagaimana berikut;



“Khamis lepas saya berada di the Mall. saya bertemu dengan seorang G7 dari Hulu terengganu. Beliau memberitahu Dr. Ramzi Zubir bekas setiausaha politik Idris Jusoh jadi dalang mengirim sms ugut tiga orang ADUN. Sabtu lalu polis mengesahkan sedang mencari Dr. Ramzi. Maknanya hebat juga puak Idris mahu memalukan Ahmad Said terpaksa mencipta sms ugutan sendiri, sehingga tujuh orang yang tidak menerima ugutan pun tidak menhadiri sidang Dewan Undangan negeri.”

“Jika benar Dr. Ramzi terlibat, maka 10 ADUN ini perlu letak jawatan kerana mereka tidak ada niat lain selain memalukan kerajaan BN sendiri. Oleh itu Najib Razak selaku Presiden UMNO perlu melihat kes ini secara serius. Inilah ujian pertama bagi hishamuddin sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. Semoga beliau dapat mempertahankan Terengganu dari jatuh ke tangan PAS? Janganlah dalam sejarah nanti, nama anda disebut sebagai pengerusi perhubungan UMNO Terengganu ketika BN Terengganu tumbang pada pilihanraya umum 2012.”

Kes Ugut melalui SMS pada 13 April lepas, telah menyerlahkan pertelingkahan antara kumpulan yang menyokong bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh dengan Menteri Besar Ahmad Said.

Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid, Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh, dan Adun Paka, Zakaria Abdullah, telah membuat laporan polis mereka telah menerima SMS berbentuk ancaman terhadap keselamatan mereka.

Dengan menggunakan alasan nyawa mereka terancam, keesokkan harinya, 10 ADUN termasuk yang tidak menerima SMS bertindak tidak menghadirkan diri dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Meneruskan tekanan kepada Ahmad Said, Rosol telah mengadakan sidang media pada 14 April dan kemudian meminta Ahmad Said meletakkan jawatan kerana menurutnya mereka, 10 ADUN yang memulaukan Sidang DUN telah hilang kepercayaan terhadap Ahmad Said.

‘10 budak hitam’ tersebut turut menghantar satu memorandum kepada Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Isi memorandum tersebut yang telah ‘menelanjangkan’ Ahmad, membuat bermacam tuduhan yang mendakwa Ahmad Said tidak berlaku adil dalam pentadbirannya.

Akhirnya, ia telah membawa kepada perlantikan ‘orang luar’ menguasai politik negeri Terengganu apabila Majlis Tertinggi UMNO telah memutuskan untuk campurtangan dan Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishamudin dilantik menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.

artikel asal : BuletinOnline

No comments:

Post a Comment