Wednesday, May 13, 2009

KEMELUT TERENGGANU : ADUN BN DIARAH 'TUTUP MULUT'

Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) telah memanggil semua ADUN BN Terengganu untuk menasihatkan mereka supaya berhenti mengeluarkan kenyataan media yang boleh mengeruhkan lagi kemelut politik negeri itu.

Pertemuan tersebut diadakan di Motel Desa, Kuala Terengganu lebih seminggu lalu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang, yang menyaksikan 10 ADUN BN tidak menghadirinya.

Mereka bertindak demikian selepas tiga ADUN BN menerima SMS yang berunsur ugutan menjelang sidang DUN awal bulan lalu.

Bagaimanapun, mereka menghadiri hari terakhir sidang DUN tersebut atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seorang ADUN memberitahu Malaysiakini bahawa MPPR menjemput semua ADUN BN untuk menghadiri pertemuan tertutup berkenaan.

ADUN berkenaan yang tidak mahu namanya disebut berkata, Menteri Besar Datuk Ahmad Said tidak hadir kerana difahamkan tidak dijemput.

Manakala tiga daripada 10 exco kerajaan negeri menghadiri pertemuan tersebut berlangsung juga berlangsung selama kira-kira dua jam.

Beliau bagaimanapun tidak tahu mengapa tujuh lagi exco kerajaan negeri tidak menghadiri pertemuan tersebut.

'Hisham jumpa MPPR'

"Kami hanya mendengar nasihat dari dua wakil MPPR tanpa mengemukakan sebarang soalan kepada mereka.

"Kerana itu, kami tidak mahu membuat kenyataan lagi mengenai politik Terengganu kerana ia merupakan tempoh bertenang.," katanya ketika dihubungi semalam.

ADUN berkenaan juga memberitahu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut mengeluarkan arahan kepada mereka supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan akhbar.

Sebelum itu, difahamkan Pengerusi Umno Terengganu yang baru, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengadakan pertemuan dengan MPPR di tempat yang sama.

Menurut seorang pegawai yang rapat dengan Ahmad, pertemuan tersebut ada kaitan dengan prestasi Ahmad sebagai menteri besar.

Beliau berkata, Hishammuddin telah menyampaikan hasrat kumpulan ADUN BN yang tidak puas hati dengan Ahmad dan mereka mahu menteri besar itu digantikan.

Berikutan itu, difahamkan Ahmad telah menghadap yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga Sultan Terengganu sebaik sahaja baginda pulang dari luar negara.

Baginda dikatakan memberi jaminan Ahmad akan terus menjadi menteri besar Terengganu.


artikel asal : malaysiakini

No comments:

Post a Comment