MCA mengadakan mesyuarat tergempar barisan pemimpin kanannya pagi ini - dipercayai tidak berpuas hati dengan keputusan Datuk Seri Najib Razak - susulan rombakan kabinet perdana menteri yang dijangka lebih kecil. Pertemuan itu diadakan di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya selepas presidennya Datuk Seri Ong Tee Keat, yang juga menteri pengangkutan, bertemu Najib kelmarin. Dalam sidang media selepas mesyuarat selama 90 minit itu, Ong berkata MCA menggesa Najib mengekalkan kuota parti itu - rakan komponen kedua terbesar dalam BN - seperti sejak pembentukan gabungan itu pada 1974. MCA mendapat empat jawatan menteri dan enam timbalan menteri dalam setiap kabinet yang dibentuk oleh perdana menteri lalu, kata Ong.Najib kini dalam proses rundingan dengan barisan pemimpin atasan 13 parti komponen BN, termasuk Umno, sejak dilantik secara rasmi sebagai perdana menteri keenam di Istana Negara, Jumaat lalu. Beliau menangguhkan pengumuman barisan kabinetnya - yang dijangka membawa kejutan - tengah hari ini bagi meneruskan rundingan tersebut.Keputusan tiga pilihanraya kecil semalam difahamkan turut menjadi pertimbangan Najib dalam memuktamadkan kabinet pertamanya itu.Difahamkan, hampir separuh muka baru diramalkan menganggotai kabinet tersebut - lebih kecil daripada yang dibentuk Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan 29 orang menteri dan 27 kementerian.Najib juga dipercayai mempertimbangkan dengan serius keanggotaan pemimpin Sabah dan Sarawak - yang menjadi asas sokongan utama BN seperti keputusan pilihanraya umum Mac tahun lalu.Presiden PBS Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan bertemu Najib semalam, sementara Presiden UPKO Tan Sri Bernard Dompok dilaporkan berunding sehari sebelum Najib mengangkat sumpah.
No comments:
Post a Comment