Monday, April 27, 2009

PRK Penanti : UMNO/BN Ketandusan Calon Berwibawa? Calonkan Sahaja Mahathir

BN wajar calon Dr Mahathir tanding di Dun Penanti

Umno wajar mencalonkan Tun Mahathir Mohamad bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan (Dun) Penanti 31 Mei depan memandangkan mantan perdana menteri itu ghairah mahu Barisan Nasional menyertai pilihan raya terbabit.

Anggota Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemilihan Dr Mahathir sebagai calon BN sesuai kerana pengaruhnya sudah ada dalam kepemimpinan Dato' Seri Najib Razak sekarang.

"Oleh kerana Dr Mahathir bersungguh-sungguh meminta BN menyertai pilihan raya kecil tersebut walaupun Najib membayangkan BN mungkin tidak akan bertanding," katanya pada ceramah di Markaz PAS?Dun Hulu Besut, baru-baru ini.

Bekas Perdana Menteri keempat itu sebelum ini mahu BN meletak calon pada pilihan raya kecil berkenaan tersebut.

Sedangkan Perdana Menteri baru mahu BN mengkaji sama ada menyertai atau tidak pilihan raya kecil Dun Penanti yang dianggap membazirkan duit.

baca selanjutnya : http://www.harakahdaily.net/

Bertanding atau Tidak di Penanti, Adakah UMNO/BN Ketandusan Calon Berwibawa

PM tentu kedudukan BN di Penanti

Keputusan sama ada BN akan bertanding dalam pilihanraya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti akan ditentukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Najib akan mengadakan perbincangan dengan Biro Politik parti yang dipengerusikannya dalam tempoh terdekat ini sebelum mengambil keputusan tentang perkara itu.


"Sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno, Perdana Menteri akan berbincang dengan biro politik dalam tempoh terdekat ini dan akan membuat keputusan yang sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Minggu Saham Amanah Malaysia 2009 di Plaza Angsana di Johor Bahru hari ini, lapor Bernama.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN Penanti pada 23 Mei ini, dan hari mengundi pada 31 Mei.

Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno turut ditanya tentang pandangan daripada pelbagai pihak termasuk daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Umno Bahagian Permatang Pauh yang mahukan BN bertanding pada pilihanraya kecil DUN Penanti itu.

"Kita akan mengambil kira semua pandangan," jawabnya.

Selain pandangan mahukan BN bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti itu, terdapat juga pihak yang berpendapat parti tidak perlu bertanding untuk mengelak daripada terlibat dalam permainan politik pembangkang.

Mesyuarat biro politik

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita di Putrajaya hari ini, Najib berkata biro politik Umno akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan sama ada wakil parti itu akan bertanding di Penanti.


"Nantilah, kita akan bermesyuarat dalam sedikit masa lagi," kata Najib yang juga pengerusi biro tersebut ketika sidang akhbar mengenai langkah kerajaan meliberalisasi sektor kewangan, di sini.

Mengenai cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak membenarkan lagi "pondok panas" ditempatkan berhampiran pusat mengundi, Najib berkata ia merupakan langkah baik kerana ia boleh menimbulkan suasana tenteram dan mengelakkan kekacauan.

"Dengan bilangan penyokong yang ramai di pondok panas boleh menimbulkan kekacauan dan mengganggu para pengundi," katanya.

Kerusi DUN Penanti itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin, 33 daripada PKR pada 16 April lalu.

Fairus sebelum ini turut meletakkan jawatannya sebagai timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang berikutan dengan tuduhan terlibat dengan rasuah.

Khamis lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimanapun menjelaskan ia tidak ada asas untuk mendakwa beliau.

Dalam pilihanraya umum tahun lalu, Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi.

artikel asal : malaysiakini

Lagi NGO Islam desak kabinet tarik balik keputusan

PKPIM desak tarik balik keputusan kabinet

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mendesak kabinet menarik balik keputusannya yang menyatakan bahawa status anak-anak kekal menganut agama asal meskipun salah seorang ibu atau bapa mereka memeluk agama lain.

Dalam satu kenyataaan hari, Naib Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, PKPIM mengkritik sekeras-kerasnya keputusan kabinet itu.

Kabinet membuat keputusan itu pada 23 April lalu sebagai langkah untuk menyelesaikan pertikaian antara Mohd Ridzuan yang dilaporkan baru memeluk agama Islam dan isterinya Indra Ghandhi berhubung status agama tiga anak mereka yang berumur 18 tahun ke bawah.

Muhammad Faisal berkata, keputusan jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan oleh Menteri di JPM Tan Sri Dr Koh Tsu Koon juga dianggap tidak tepat kerana ia dibuat dengan cara tergesa-gesa tanpa merujuk kepada pihak yang berautoriti seperti mufti.

"Memandangkan isu ini amat berkait rapat dengan persoalan perundangan Islam, seharusnya pihak kabinet membuat penelitian dengan lebih mendalam dengan mengambil kira pandangan mereka yang pakar terlebih dahulu sebelum memutuskan apa-apa keputusan.

"Justeru, PKPIM berpandangan tindakan kabinet yang membuat ketetapan tersebut tanpa sebarang rujukan kepada tokoh ulamak adalah sesuatu yang amat mengecewakan," tegas Muhammad Faisal.

PKPIM juga,katanya, melihat tindakan kabinet itu amat bercanggah dengan prinsip pengasingan kuasa antara pihak mahkamah dan eksekutif.

'Campuri bidang kehakiman'

"Ini kerana tindakan tersebut secara jelas telah menggambarkan usaha dari pihak eksekutif untuk campur tangan dalam perkara yang melibatkan bidang kuasa kehakiman, sedangkan pihak kehakiman sepatutnya bebas dalam mengadili sesuatu pertikaian tanpa diganggu oleh apa yang diputuskan kerajaan.

"Berdasarkan kes Subashini Rajasingam lwn Saravanan Thangathoray, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa si bapa mempunyai autoriti dan kuasa untuk mengislamkan anak berlandaskan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan walaupun tanpa persetujuan ibu.

"Sementara itu, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa agama bagi seseorang yang di bawah umur 18 tahun perlu ditentukan oleh ibu-bapa(salah seorang) atau penjaga.

"Manakala Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 telah memperuntukkan bahawa seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah boleh memeluk agama Islam sekiranya ibu-bapa (salah seorang) atau penjaga anak tersebut memberi keizinan," kata Muhammad Faisal.

Oleh itu, katanya, PKPIM mengkritik sekeras-kerasnya tindakan kabinet yang "membuat keputusan secara tidak berhemah dan tergopoh-gapah memandangkan kes itu masih dibicara melalui proses mahkamah di Mahkamah Tinggi Syariah Perak".

Sehubungan itu, katanya, PKPIM turut mendesak kabinet menarik balik keputuan yang telah ditetapkan demi menjaga kelestarian prinsip demokrasi dan keutuhan kuasa pihak mahkamah.

SPR : Tiada pondok panas selain dilarang memancing undi ketika hari pengundian, kuatkuasa PRK DUN Penanti

Pondok panas, pancing undi hari pengundian dilarang - SPR

Parti-parti politik tidak lagi dibenarkan mengadakan barung atau pondok panas selain dilarang memancing undi ketika hari pengundian.

Langkah ini akan dikuatkuasakan mulai pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri kerusi Penanti bulan depan.

Keputusan itu diputuskan susulan pertemuan dengan parti-parti politik di sini Khamis lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengumumkan langkah itu sebentar tadi.


artikel asal : mStarOnline

TERKINI PENANTI : SPR TETAP PENAMAAN CALON 23 MEI, HARI MENGUNDI 31 MEI

Pilihan raya kecil DUN Penanti 31 Mei

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang pada 23 Mei dan hari mengundi pada 31 Mei jika ada pertandingan.

artikel asal : Berita Harian

Krisis Politik Perak : Misi Terancang dan Didalangi UMNO/BN, Pengerusi BIRO Undang-undang DAP Perak, Nga Hock Cheh.

Krisis Politik Perak yang berlanjutan sejak 5 Februari lalu adalah satu misi terancang yang didalangi dan dicetuskan oleh UMNO dan BN menurut pengerusi BIRO undang-undang DAP Perak, Nga Hock Cheh.

klip video ehsan : greenboc

"Saya terkejut apabila mendapati seorang doktor sedang membaca surat khabar, seorang lagi buat hal sendiri dan melakukan kerja peribadi", M Saravanan

Saravanan 'tangkap' doktor HKL tak rawat pesakit


Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan, hari ini "menangkap" dua doktor di jabatan kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana membaca akhbar dan melakukan kerja peribadi, bukannya merawat lebih 20 pesakit yang menunggu dalam kesakitan untuk mendapat rawatan.

Penemuan yang memeranjatkan Saravanan itu berlaku kira-kira 10.30 pagi ini apabila beliau pergi ke hospital berkenaan untuk melawat seorang pelajar universiti yang cedera selepas dilanggar kereta yang dipandu oleh pemandu beliau.

"Saya juga menunggu seketika untuk pelajar perempuan itu mendapat rawatan dan setelah menyedari tidak seorang pun pesakit dipanggil masuk oleh doktor, saya terus membuka pintu bilik rawatan. Saya terkejut apabila mendapati seorang doktor sedang membaca surat khabar dan seorang lagi buat hal sendiri dan melakukan kerja peribadi.

"Ada lebih 20 pesakit yang menunggu di luar untuk mendapat rawatan. Ini bukanlah cara seseorang doktor bekerja. Pesakit sepatutnya diutamakan. Lagi pun, ini adalah unit kecemasan, yang sepatutnya pantas dalam memberikan rawatan," kata Saravanan yang jelas kelihatan kesal.

Saravanan berkata, beliau menegur doktor terbabit kerana kelakuan mereka dan mendesak untuk berjumpa pegawai atasan mereka yang muncul 30 minit kemudian.

artikel asal : BeritaHarian

Kemunculan Manohara dan suami, tolak dakwaan akhbar tempatan dan Indonesia serta ibunya

Manohara Odelia didakwa 'didera' muncul bersama Tengku Temenggong Kelantan

Pasangan diraja hadir majlis perkahwinan anak Naib Presiden PAS semalam
Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra (dua dari kiri) dan isterinya, Cik Puan Temenggong Manohara Odelia Pinot (dua dari kanan) beramah mesra dengan pasangan mempelai Ahmad Syafi Datuk Husam dan Indah Purnamasari Didin pada majlis perkahwinan mereka. foto Mingguan Malaysia

BERSAMA... Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan isterinya, Cik Puan Temenggong Manohara Odelia Pinot pada majlis perkahwinan anak Datuk Husam Musa di di Kampung Kota, Kota Bharu semalam. foto Mingguan Malaysia


Pasangan diraja Tengku Temenggong, Tengku Mohammad Fakhry dan Cik Puan Temenggong, Manohara Odelia Pinot, yang juga model terkenal Indonesia - yang sebelum ini didakwa mengalami masalah rumah tangga dengan Manohara didera, muncul di khalayak pada satu majlis di Kota Bharu semalam.

Mereka menghadiri majlis perkahwinan anak Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa yang juga Naib Presiden PAS.

Akhbar-akhbar tempatan melaporkan kemunculan pasangan berkenaan yang sejak kebelakangan menjadi tumpuan media khususnya media Indonesia bahawa pasangan tersebut mengalami masalah rumah tangga dengan Manohara didera secara fizikal dan mental.

Laporan Mingguan Malaysia hari ini menyebut, kehadiran mereka berdua yang tiba pada majlis perkahwinan Ahmad Syafi, 21, dan Indah Purnama Sari Didin, 18, di Kampung Kota, Kota Bahru pada 1.40 tengah hari semalam, menarik perhatian orang ramai yang memeriahkan majlis tersebut.

Laporan itu menambah, pada majlis tersebut Tengku Mohammad Fakhry dilihat berpegangan tangan engan isterinya, malah mereka juga kerap berbual sambil tersenyum kecil.

Selain itu, pasangan berkenaan tidak melepaskan peluang bermesra dengan rakyat jelata dan bersalam-salaman dengan tetamu.

Kisah Manohara mendapat liputan meluas di Indonesia selepas ibunya, Daisy Farajina mendakwa anaknya itu telah 'diculik' oleh Tengku Mohammad Fakhry dan dilarikan dengan sebuah jet dari Arab Saudi pada 26 Februari lalu.

Manohara turut pernah muncul pada majlis-majlis rasmi diraja sebelum ini.

Pada 31 Mac lalu, Manohara telah mengiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid merasmikan Pesta Flora di Taman Orkid Tengku Anis, Pengkalan Chepa, Kota Bahru sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan.

artikel asal : mStarOnline

Politik Baru ; Pakatan Rakyat Akan Menang 2/3 Majoriti Sekiranya DUN Perak Bubar

Berdasarkan keputusan pilihanraya kecil (PRK) Parlimen Bukit Gantang baru-baru ini, PAS dan Pakatan Rakyat dijangka menang dengan majoriti 2/3 sekiranya DUN Perak dibubarkan.

Naib Presiden PAS berkata sokongan kaum Cina dan India kepada PAS begitu ketara dalam pilihanraya tersebut sehingga kelihatan ‘pelik’.

“Saya yang sudah 30 tahun terlibat (dalam politik) berasa pelik apa yang berlaku didepan mata, orang India selimut (kan dirinya) dengan bendera PAS, bubuh (logo) kepimipinan ulama’ di baju, (letak) gambar Tok Guru Nik Aziz,

“bila orang datang nak mengundi, Cina (dan) India kejar keliling orang Melayu (dan berkata) ingat Islam ya, ingat syurga, jangan sokong parti rasuah (BN),”kata beliau dalam ceramahnya di Mengabang Telipot, dekat sini, malam kelmarin.



Beliau berkata keputusan PRK Bukit Gantang menunjukkan peningkatan undi dikalangan kaum Cina sebanyak 10 % , kaum India meningkat 5% dan sedikit penurunan dalam undi Melayu, khususnya pada saluran satu.

Katanya, isu Hudud tidak lagi menjadi senjata UMNO/BN di Bukit Gantang kerana walaupun mereka menggunakan isu tersebut secara habis-habisan, mereka kalah di PRK Kuala Terengganu.

“Di (PRK) Kuala Terengganu penceramah-penceramah Cina (dari Pakatan Rakyat) jawab, orang yang takut Hudud (hanya) orang-orang yang buat jahat, kita yang tidak buat jahat, kita tak takut, apa juga hukum sekalipun,”terangnya kepada hadirin.

Katanya UMNO/BN turut memainkan isu perkauman bagi mendapat sokongan, namun pengundi masakini mempunyai pemikiran ‘politik baru’, yang tidak lagi melihat politik dari segi perkauman.

“Mereka cuba timbulkan balik politik perkauman, (tetapi) tidak jalan (berkesan), politik pada masa akan datang tidak dilihat dari sudut perkauman,

“Melayu jahat, kita kena tentang Melayu jahat itu, kalau Cina itu baik kita kena sokong atas kebaikkannya,

“ini politik baru Malaysia pada masa akan datang,”tegasnya.

Katanya anutan ‘politik lama’ orang Melayu sebelum ini menyebabkan UMNO terus menang, kerana walaupun UMNO melakukan rasuah, orang Melayu akan berkata ‘lebih baik orang Melayu mencuri daripada orang Cina’.

Beliau mendedahkan penyelewengan yang dilakukan oleh bekas Menteri Besar Selangor, namun Dato’ Seri Khir Toyo tetap disokong oleh orang-orang UMNO sebagai pemimpin.

“Khir Toyo beli jam tangan dengan wang GLC (anak syarikat kerajaan) berharga RM160,000, beli beg tangan untuk isteri RM23,000, beli coklat untuk hadiah RM96,000, pergi melancong ke Disneyland belanja RM3 juta, isterinya gunakan wang kebajikan isteri-isteri wakil rakyat untuk melawat anaknya belajar di Australia dekat RM1 juta,”katanya.

klip video ehsan dan artikel asal : BuletinOnline

Sunday, April 26, 2009

Saya tiada hasrat nak jatuhkan sesiapa termasuk Najib : Zaid

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, beliau tidak berhasrat menjatuhkan sesiapa, sekalipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi hanya memberi respons terhadap pertanyaan akhbar asing berhubung pandangannya mengenai dasar-dasar kerajaan.

Zaid menjelaskan pendiriannya itu dalam kenyataan akhbar yang difaks kepada Bernama dengan menyatakan, "saya tidak berbuat begitu (respons kepada interbiu akhbar asing) untuk menghina atau memburukkan Datuk Seri Najib secara peribadi... setakat menyatakan pandangan saya yang begitu diketahui umum untuk pemulihan kebebasan akhbar, kewibawaan kerajaan dan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang begitu digeruni."

"Datuk Seri Najib sendiri mahukan pemulihan ini dan saya mahu beliau berjaya dalam usaha itu", katanya.

Beliau juga mengulas sebagai "jahat dan satu pembohongan" anggapan bahawa beliau terlibat dengan media asing untuk menghina dan menjatuhkan Najib.

Dua hari lepas di Melaka, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mencabar Zaid ke debat umum kerana menganggap Zaid, yang sering disebut oleh media asing, adalah di belakang pandangan mereka.

"Jika beliau (Rais) ingin berdebat secara umum dengan saya mengenai tajuk yang sesuai mengenai pemulihan saya sedia memenuhi kehendaknya. Di mana saja, bila-bila masa saja," kata Zaid.

artikel asal : mStarOnline

PAS Bertolak Ansur Cadangan Calon Bukan Islam Gunakan Lambang Parti


PAS 'tolak ansur', mahu benarkan calon bukan Islam guna lambang Bulan
PAS mengambil satu lagi langkah 'bertolak ansur' dengan mahu membenarkan calon bukan Islam menggunakan lambang parti itu ketika pilihan raya dalam usaha menarik lebih ramai penyokong bukan Islam.

Ketika mengesahkan perkara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Salahuddin Ayub berkata, cadangan membolehkan calon-calon bukan Islam untuk menggunakan lambang parti itu akan diputuskan secara muktamad oleh Majlis Syura Ulamak yang akan bermesyuarat selepas Muktamar tahunan parti bulan Jun ini.

"Perkara itu (cadangan untuk membenarkan calon bukan Islam menggunakan lambang PAS) telah dibincangkan secara serius dalam mesyuarat bulan Jawatankuasa PAS pusat bulanan minggu lalu.

"Kami (Dewan Pemuda PAS pusat) menyokong penuh keputusan yang telah diputuskan oleh jawatankuasa pusat," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, Majlis Syura mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak cadangan yang dikemukakan itu.

Majlis Syura Ulamak PAS dianggotai oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Harun Din dan Abdul Ghani Shamsuddin.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, dalam mesyuarat jawatankuasa pusat itu hampir kesemua sayap parti itu bersepakat untuk bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan itu.

"Ahli-ahli parti juga tidak ada masalah berbangkit dalam hal ini. Mereka memberi sambutan yang hangat terhadap isu ini.

"Mungkin ini masa yang sesuai untuk pucuk pimpinan menimbangkan dengan lebih mendalam mengenainya," katanya.

Pada pilihan raya umum ke-12 Mac tahun lalu, buat pertama kalinya PAS membenarkan calon bukan Islam daripada Parti Keadilan Rakyat bertanding di kawasan kerusi 'milik' PAS iaitu bahagian Dewan Undangan Negeri Seri Medan, Johor.

Bagaimanapun calon tersebut, Saja @ Mearaj Patani tewas kepada Ahmad Zahri Jamil dari BN dan Umno.

Ditanya adakah perkara tersebut akan mengubah perlembagaan PAS sekali gus membuka keahlian parti itu kepada masyarakat bukan Islam, Salahuddin berkata:"Setakat ini belum ada lagi. Namun kita tidak menolaknya. Kita perlu lihat kepada pendekatan politik semasa."

"Jika pendekatan itu mampu menyatupadukan rakyat tanpa mengira kaum mungkin ia akan dipertimbangkan," katanya lagi.

artikel asal : mStarOnline

Krisis UMNO Terengganu : Adakah Jalan Penyelesaian atau terus Bergolak, Selepas Perlantikan Hishamudin?

Perlantikan Hishamudin Tidak Akan Padamkan ‘Dendam’

Perlantikan Menteri Pertahanan Dato’ Hishamudin sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu tidak akan memadamkan ‘api dendam’ dikalangan pemimpin UMNO yang bertelagah terutamanya dari kem Dato’ Seri Idris Jusoh.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said menyambut pelantikan Hishamudin dengan tangan terbuka, dan sedia bekerjasama dengan beliau dalam memajukan negeri Terengganu.

Sifat ‘pongoh’ Idris Jusoh dapat dilihat dengan terus menyerang Ahmad Said dalam kenyataan pertamanya mengalu-alukan perlantikan Hishamudin.

Idris memainkan irama yang sama, dengan 10 ADUN yang ponteng sidang ADUN, dengan berkata Hishamudin akan dapat menyelesaikan masalah pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) dan masalah pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Kedua-kedua perkara tersebut adalah ‘zikir’ antara 18 perkara yang di dedahkan oleh ‘10 ADUN pemberontak’ yang diketuai oleh Dato’ Rosol Wahid, kononnya sebagai “Laporan Tingkah Laku Dato’ Ahmad Said Setelah Dilantik Sebagai Menteri Besar Terengganu”,

Laporan tersebut buka sahaja ditujukan kepada Putrajaya, namun telah disebarkan ke merata ceruk dunia melalui internet, yang didakwa menjadi kelemahan Ahmad Said.

Apabila Idris mendendangkan lagu yang sama, rakyat kini boleh melihat sejelas-jelasnya, siapa sebenarnya Idris Jusoh, dan apa peranannya di sebalik ‘Kemelut Politik’ negeri Terengganu.

Walaupun sebelum ini Idris menafikan beliau yang menjadi ‘dalang’ kepada 10 ADUN yang memberontak, namun sikapnya yang sentiasa ‘terburu-buru’ telah memecahkan tembelangnya sendiri.

Idris mula menonjolkan diri apabila Hishamudin dilantik, mengambil alih suara 10 ADUN pemberontak dan memainkan peranannya sebagai orang yang terkehadapan dengan menghantar SMS kepada pihak media.

“Saya percaya pentadbiran parti akan jadi lebih baik dan tersusun,” kata Idris dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di sini hari ini.

SMS Popular Di zaman Idris

Arahan dan Komunikasi melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) amat popular di zaman pentadbiran Idris.

Para pegawai dan kakitangan pada masa itu agak ‘kecut’ apabila mendengar telefon bimbit mereka berbunyi dengan nada dering SMS.

Kepada pegawai yang diminati oleh Idris, semakin banyak pesanan SMS yang diterima oleh mereka.

Manakala pegawai yang suka ‘mengampu’ pula sering menunjuk-nunjuk dan me ‘war-war’kan berapa banyak SMS yang beliau terima dari Idris selaku Menteri Besar pada masa itu.

Sejak minggu lalu, SMS juga tiba-tiba menjadi popular pada zaman Ahmad Said menjadi Menteri Besar.

Populariti SMS sebagai kaedah komunikasi lebih hebat dari zaman Idris kerana pada minggu lalu, SMS digunakan sebagai ‘alat untuk ugutan bunuh’.

ADUN Permaisuri, Abdul halim Jusoh yang menerima SMS ugutan bunuh berkata penghantar SMS tersebut adalah Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar Terengganu masakini.

Namun selepas seminggu berlalu, dan penyiasatan di lakukan oleh pihak polis, akhirnya bukan Setiausaha Sulit Kanan Ahmad Said yang dicari polis, tetapi sebaliknya bekas Setiausaha Politik Idris yang sedang diburu.

"Beliau dicari kerana beliau adalah antara individu yang mengeluarkan kenyataan kepada media pada malam ketiga-tiga Adun itu menerima SMS ugutan berkenaan.

"Polis ingin mendapatkan kepastian sama ada beliau turut menerima SMS berkenaan atau sebaliknya kerana beliau turut memberi kenyataan kepada media pada malam tersebut," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri kepada pihak media semalam.

Mungkin Setiausaha Sulit Kanan Ahmad Said tidak berapa pandai bermain SMS kerana Ahmad tidak menjadikan SMS sebagai alat komunikasi dan arahan pentadbirannya.

Namun, memang bekas Setiausaha Politik Idris cekap bermain SMS kerana sudah biasa menerima arahan, berkomunikasi dan menghantar arahan dengan menggunakan kaedah tersebut.

PAS Akan Tetap Menjadi Pembangkang

Sesiapa pun yang menjadi pengerusi perhubungan UMNO negeri tidak memberikan banyak kesan kepada PAS Terengganu, berbanding ‘siapa’ yang menjadi Menteri Besar Terengganu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terenggau Dato’ Ustaz Harun Taib berkata demikian ketika dihubungi Buletinonline semalam.

Menurutnya PAS yang menang dalam lapan kawasan Dewan Undangan Negeri pada pilihanraya umum 2008 akan terus menjadi pembangkang kerana jumlah wakil rakyat yang sedikit.

Mengulas perlantikan Hishamudin beliau berkata sehigga kini hanya pertukaran pengerusi perhubungan UMNO sahaja yang berlaku, belum ada ura-ura untuk menukar Menteri Besar Terengganu.

Beliau berharap Ahmad Said dapat dikekalkan sehigga tamat penggal ini, memandangkan usaha-usaha yang diambil oleh beliau untuk merakyatkan pembangunan Terengganu dan melaksanakan agenda pembangunan berdasarkan ‘acuan’ negeri Terengganu.

Negeri Terengganu di Tadbir Oleh Kerajaan Pusat

Ustaz Harun berkata, sejak Barisan Nasional (BN) mengambilalih pentadbiran negeri Terengganu daripada kerajaan PAS pada tahun 2004, Terengganu tidak ditadbir sendiri oleh pimpinannya.

Sebaliknya, kata beliau, semua projek dan perbelanjaan ditentukan oleh kerajaan pusat, termasuk semasa pemerintahan PAS, wang royalti di uruskan oleh kerajaan persekutuan atas nama ‘Wang Ehsan’.

“Tahun 2000 hingga 2004, waktu kita perintah, wang royalti dirampas oleh Pusat, diberi nama ‘Wang Ehsan’ dan disalurkan melalui kerajaan persekutuan.

“tahun 2004 hingga 2008, semua projek mega seperti Monsoon Cup, Pembangunan Pulau Duyong, Taman Tamdun Islam adalah datang terus dari kerajaan Pusat, bukan perancangan Dato’ Idris,”jelasnya.

Katanya, sejak Ahmad Said mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, Ahmad cuba mendisiplinkan pembangunan Terengganu mengikut kehendak dan keprluan negeri Terengganu

Mengulas isu yang sama, Pengerusi DAP Terengganu, Encik Ng Chai Hing berkata pelantikan Hishamudin memberi tamparan yang hebat kepada pimpinan UMNO Terengganu, samada dari kem Idris Jusoh ataupun Kem Ahmad Said.

Katanya pelantikan seseorang daripada ‘pusat’ menerajui UMNO Terengganu menunjukkan bahawa UMNO Terengganu menghadapi krisis politik yang meruncing.

“Ia sedikit sebanyak akan menjejaskan kewibawaan pimpinan UMNO Terengganu,”ujarnya ketika ditemui semalam.

Beliau melahirkan sedikit kebimbangan, dengan perubahan tersebut katanya, ada kemungkinan peruntukan-peruntukan persekutuan akan disalurkan melalui UMNO dan tidak melalui jabatan-jabatan terutamanya yang melibatkan sektor pembangunan luar bandar.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Tindakan DUN Chukai, Hj Hanafiah Ramly berkata ahli-ahli UMNO di daerah Kemaman melihat pelantikan Hishamudin sebagai petanda awal akan berlakunya rampasan kuasa keatas Menteri Besar Terengganu.

Beliau yang dihubungi semalam berkata, sebaik sahaja menerima berita pertukaran tersebut beliau menghubungi beberapa rakan-rakan pemimpin pertengahan UMNO sekitar Kemaman.

Beliau dimaklumkan memang wujud satu ‘usaha yang kuat’ untuk menggantikan Ahmad Said dengan seorang tokoh yang juga dari daerah Kemaman.

“Sekiranya ia berlaku, UMNO akan terus bergolak, para penyokong Ahmad said sedang merancang untuk mengambil tindakan balas, sekiranya Ahmad digugurkan,”katanya.

artikel asal : BuletinOnline

Media Arus Perdana Cuba Melagakan Anwar dan Guan Eng Isu Fairus

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan wujudnya pergeseran antara beliau dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim.


klip video ehsan : greenboc

Saturday, April 25, 2009

ZAID VS RAIS : SAHUT CABARAN


Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyahut cabaran berdebat dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Rais mendakwa Zaid sering dipetik oleh media asing untuk memburukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Oleh itu, Rais mencabar Zaid untuk berdebat di khalayak ramai jika beliau yakin dakwaan terhadap Najib itu benar.

"Saya tidak tahu apa yang dicakap atau dirujuk oleh Rais mengenai serangan terhadap Najib melalui media asing," kata Zaid.

"Tetapi jika beliau memberitahu secara khusus mengenai apa yang beliau mahu debat, saya bersedia pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja," katanya kepada Malaysiakini.

Bercakap kepada pemberita malam tadi, Rais juga berkata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memiliki peribadi yang mempunyai beberapa sifat "si lunchai" kerana Zaid tidak mengenal sifat kebijaksanaan atau faedah mengutuk pemimpin sendiri.

"Kita akan lihat setakat mana hebatnya beliau (Zaid) menggunakan istilah-istilah itu terhadap perdana menteri," kata Rais, lalu mencabar Zaid untuk berdebat di khalayak ramai bagi membuktikan dakwaannya itu.

read more : http://www.malaysiakini.com/news/103053

HASRAT NAK RAMPAS NEGERI PAKATAN RAKYAT, NAJIB PILIH PEMIMPIN YANG BERMASALAH

Umno siap gempur negeri Pakatan



klip video ehsan : thestaronline



klip video ehsan : greenboc

Umno sedang mempergiatkan usaha merampas empat negeri Pakatan Rakyat dalam rombakan terbesar barisan pengerusi perhubungan negeri hari ini sejak Datuk Seri Najib Razak mengetuai parti itu, akhir Mac lalu.

Najib sendiri kini memimpin Selangor dan melepaskan jawatan tersebut di Perak - tugas itu diserahkan kepada Datuk Zambry Abd Kadir, menteri besar selepas negeri itu dirampas kembali BN, Februari lalu.

Tan Sri Muhammad Muhd Taib digugurkan daripada pengerusi perhubungan Selangor dan juga ketua penerangan Umno Malaysia.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih pengerusi perhubungan Wilayah Persekutuan - sebuah lagi negeri yang dikuasai Pakatan dalam pilihanraya umum 2008.

Beliau menggantikan Datuk Seri Zulhasnan Rafique yang tidak dikekalkan dalam kabinet dalam rombakan awal bulan ini.

Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kini mengetuai badan perhubungan Umno Kedah, menggantikan bekas menteri besar Datuk Seri Mahadzir Khalid.

Seorang lagi naib presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini mengepalai Umno Pulau Pinang, melepaskan jawatannya sebagai timbalan pengerusi Perak.

Beliau menggalas tugas yang dahulunya dipegang oleh bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara di Terengganu yang menyaksikan pergeseran dua kumpulan - antara Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dengan tokoh yang digantinya Datuk Seri Idris Jusoh - diambil alih oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein, seorang naib presiden Umno.

Perlis yang turut mengalami pergeseran dalaman juga menyaksikan pertukaran ketua perhubungan negeri - kini diketuai menteri besarnya Datuk Seri Md Isa Sabu, menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim yang dilantik menganggotai Majlis Tertinggi (MT).

Kelantan - yang dikuasai PAS selama 19 tahun - turut mendapat ketua perhubungan baru Datuk Mustapa Mohamed, menggantikan Tan Sri Annuar Musa.

Mustapa, yang mendapat jumlah tertinggi undi untuk anggota MT, pernah memimpin negeri itu dalam usaha Umno merampas Serambi Mekah itu

Selain lapan perubahan ini, lima ketua perhubungan negeri dikekalkan di Sabah, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

Rombakan besar-besaran itu diumumkan Najib selepas mesyuarat pertama MT sejak pemilihan parti hujung bulan lalu di bangunan Umno petang ini.

Selain pengerusi perhubungan, Umno juga melantik Ahmad Maslan, seorang timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), sebagai ketua penerangan.

Manakala Datuk Ahmad Husni Hanadzlah dilantik menggantikan Datuk Azim Zabidi sebagai bendahari agung.

Ahmad Husni, yang dilantik menteri kewangan kedua awal bulan ini, juga memegang jawatan timbalan pengerusi perhubungan Perak.

Berikut ialah pelantikan jawatan Umno yang diumumkan oleh presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha agung: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

Bendahari agung: Datuk Ahmad Husni Hanadzlah

Ketua penerangan: Ahmad Maslan

Pengerusi perhubungan Umno negeri

PERLIS: Datuk Seri Md Isa Sabu
Timbalan: Datuk Zahidi Zainul Abidin

KEDAH: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
Timbalan: Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanapiah

PULAU PINANG: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan: Datuk Zainal Abidin Othman

PERAK: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir
Timbalan: Ahmad Husni Hanadzlah

SELANGOR: Datuk Seri Najib Tun Razak
Timbalan: Datuk Noh Omar

WILAYAH PERSEKUTUAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan: Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

NEGERI SEMBILAN: Datuk Seri Mohamad Hasan
Timbalan: Datuk Shaziman Abu Mansor

MELAKA: Datuk Seri Mohd Ali Rustam
Timbalan: Datuk Wira Abu Seman Yusop

JOHOR: Datuk Abdul Ghani Othman
Timbalan: Datuk Latiff Ahmad

PAHANG: Datuk Seri Adnan Yaakob
Timbalan: Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin

TERENGGANU: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Timbalan: Datuk Ahmad Said

KELANTAN: Datuk Mustapa Mohamed
Timbalan: Datuk Awang Adek Hussin

SABAH: Datuk Seri Musa Aman
Timbalan: Datuk Salleh Said Keruak

Najib turut mengumumkan semiblan ahli Majlis Tertinggi yang dilantik, iaitu: Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Nazri Aziz, Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Datuk Aziz Sheikh Fadzir, Datuk Seri Ali Rustam, Tan Sri Rafidah Aziz, Datuk Seri Ghani Othman dan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Presiden Umno itu juga mengumumkan pelantikan tambahan tiga lagi ahli MT dari kalangan sayap parti itu, iaitu Naib Ketua Wanita, Datuk Kamaliah Ibrahim; Naib Ketua Pemuda, Datuk Razali Ibrahim dan ketua Puteri Umno Perak, Dr Wan Norashikin Wan Nordin.

Najib berkata semua menteri besar dari Umno yang tidak dilantik ke jawatan MT akan dijemput hadir mesyuarat.

Najib juga berkata, beliau mempengerusikan biro politik manakala Muhyiddin dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Umno dan juga pengerusi biro pendidikan.

Manakala pelantikan pengerusi biro-biro yang lain, tambahnya, akan dibuat dalam mesyuarat yang akan datang.

Ditanya mengenai pelantikan Rafidah dan Shahidan menganggotai MT, Najib berkata, mereka masih boleh memberi sumbangan kepada parti.

"Jadi kita ada kesinambungan dan pembaharuan," tambahnya.

Mengenai pertukaran pengerusi badan perhubungan Terengganu, Najib berkata: "Soal MB (menteri besar) itu lain, ini soal politik parti."

artikel asal : malaysiakini

KES SMS UGUT BUNUH ADUN TERENGGANU : BEKAS SU IDRIS JUSOH DICARI POLIS

Polis sedang mengesan bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh, kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata Ahmad Ramzi juga adalah calon Barisan Nasional (BN) bagi parlimen Marang pada pilihan raya umum ke-12 lepas, dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

"Ahmad Ramzi dicari kerana beliau adalah antara individu yang mengeluarkan kenyataan kepada media pada malam ketiga-tiga ADUN itu menerima SMS ugutan berkenaan.
"Polis ingin mendapatkan kepastian sama ada Ahmad Ramzi turut menerima SMS berkenaan atau sebaliknya kerana beliau turut memberi kenyataan kepada media pada malam tersebut," katanya kepada Bernama semalam.

Wartawan Buletinonline yang hadir pada tengah malam 13 April lalu menyedari kehadiran Ahmad Ramzi bersama dua ADUN BN ketika membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu menjadi persoalan.

Zakaria Abdullah ADUN Paka dan Abdul Halim Jusoh ADUN Permaisuri menerima ‘SMS Ugutan Bunuh’ dan merasakan nyawa mereka terancam lalu membuat laporan polis.

Dalam kenyataannya kepada pihak media, Abdul Halim berkata beliau percaya ia ada kaitan berhubung ‘usul undi tidak percaya’ keatas Menteri Besar Dato Ahmad Said.

Halim turut membuat tuduhan, SMS tersebut adalah dari Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Terengganu, berdasarkan nombor penghantar SMS yang diterimanya.

Manakala Ahmad Ramzi menjadi tumpuan pihak media yang mahu mengambil gambar ‘ayat ugutan bunuh’ dari paparan telefon bimbitnya (lihat video klip)



Namun, bagaimana SMS tersebut turut terdapat dalam telefonnya tidak dapat dipastikan kerana beliau bukan ADUN dan tidak disenaraikan sebagai salah seorang penerimanya.

Ahmad Ramzi telah berkeliaran di lokasi tersebut dari awal laporan polis dibuat sehingga tamat sidang media kira-kira jam 1.00 pagi.

Menurut ACP Mohd Fauzi Mohd Fauzi, polis telah mencari Ahmad Ramzi dirumahnya tetapi beliau tidak ada.

Hasil siasatan yang dibuat, beliau berkata, pihak polis telah menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun di Bandar Baru Bangi, Selangor Isnin lepas, 20 April, kerana disyaki menghantar SMS ugutan itu.

Beliau berkata perintah tahanan reman ke atas kerani itu dilanjutkan selama tiga hari lagi bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan.

"Polis Terengganu juga telah menghantar anggota untuk mengambil komputer di pejabat kerani itu bagi membantu siasatan yang dijangka selesai dalam tempoh beberapa hari lagi," katanya.

artikel asal : BuletinOnline

Friday, April 24, 2009

Rais Kata Ada Komplot Jatuhkan Najib dan Cabar Zaid Ibrahim Berdebat


Rais: Ada komplot mahu jatuhkan Najib

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tohmahan yang dikeluarkan oleh media asing terhadap kepimpinan baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai tujuan tertentu untuk menjatuhkan beliau atau satu "grand design".

Katanya, perbuatan media itu bukan satu perkara baru kerana mereka pernah menggunakan taktik yang sama tetapi gagal sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui kepimpinan negara.

"Media asing itu akan menggunakan pelbagai istilah mengaitkan pelbagai kelakuan (perdana menteri) yang kononnya tidak boleh diterima (oleh pihak tertentu)," katanya selepas menghadiri majlis bacaan yasin dan tahlil untuk bekas timbalan perdana menteri Tun Abdul Ghafar Baba di Peringgit, Melaka malam tadi.

Majlis itu dianjurkan oleh Arkib Negara Malaysia sempena memperingati ulang tahun pemergian Allahyarham yang meninggal dunia pada 23 April 2006, lapor Bernama.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Rais diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa terdapat usaha media asing yang bersatu dan berterusan menggambarkan impak negatif terhadap Najib sebagai perdana menteri baru Malaysia.

Cabar Zahid berdebat

Menurut Rais, Najib telah dikaitkan dengan isu "undang-undang" kononnya boleh mencemarkan nama baik beliau oleh beberapa pihak termasuk pemimpin PKR.

"Sedangkan dakwaan itu hanya kosong semata-mata oleh media sama ada di Eropah atau di Amerika Syarikat," katanya yang percaya dakwaan terhadap Najib itu akan berakhir begitu sahaja.

"Bagaimanapun, kami akan meneliti (keadaan) dan sekiranya berpeluang saya sendiri ingin berdebat dengan pihak-pihak yang cuba 'mengenakan' pemimpin kita dengan perkataan tak senonoh atau tidak diterima akal pada masa ini," katanya.



Mengenai Datuk Zaid Ibrahim (foto) yang sering dipetik oleh media asing untuk memburukkan Najib, Rais berkata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memiliki peribadi yang mempunyai beberapa sifat "si lunchai" kerana Zaid tidak mengenal sifat kebijaksanaan atau faedah mengutuk pemimpin sendiri.

"Kita akan lihat setakat mana hebatnya beliau (Zaid) menggunakan istilah-istilah itu terhadap perdana menteri," katanya.

Rais mencabar Zaid untuk berdebat di khalayak ramai jika beliau yakin dakwaan terhadap Najib itu benar.

artikel asal : malaysiakini

Lagi Kisah Manohara Odelia Pinot, Ibunya Daisy Fajarina Pengsan Selepas Ditemubual

klip video ehsan : MalaysianConscience

Penjelasan Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Berhubung Pembelian Toyota Camry

"Kerajaan BN Perak Lelong Kenderaan Gimik Politik Yang Merugikan" Datuk Husam Musa



klip video ehsan : tvpas09

Mahkamah arahkan Gani Patail beri penjelasan situasi 2 MB di Perak

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Peguam Negara untuk memberi penjelasan terhadap situasi yang membawa kepada wujudnya 2 Menteri Besar di Perak.

klip video ehsan : greenboc