Saturday, April 25, 2009

ZAID VS RAIS : SAHUT CABARAN


Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyahut cabaran berdebat dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Rais mendakwa Zaid sering dipetik oleh media asing untuk memburukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Oleh itu, Rais mencabar Zaid untuk berdebat di khalayak ramai jika beliau yakin dakwaan terhadap Najib itu benar.

"Saya tidak tahu apa yang dicakap atau dirujuk oleh Rais mengenai serangan terhadap Najib melalui media asing," kata Zaid.

"Tetapi jika beliau memberitahu secara khusus mengenai apa yang beliau mahu debat, saya bersedia pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja," katanya kepada Malaysiakini.

Bercakap kepada pemberita malam tadi, Rais juga berkata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memiliki peribadi yang mempunyai beberapa sifat "si lunchai" kerana Zaid tidak mengenal sifat kebijaksanaan atau faedah mengutuk pemimpin sendiri.

"Kita akan lihat setakat mana hebatnya beliau (Zaid) menggunakan istilah-istilah itu terhadap perdana menteri," kata Rais, lalu mencabar Zaid untuk berdebat di khalayak ramai bagi membuktikan dakwaannya itu.

read more : http://www.malaysiakini.com/news/103053

HASRAT NAK RAMPAS NEGERI PAKATAN RAKYAT, NAJIB PILIH PEMIMPIN YANG BERMASALAH

Umno siap gempur negeri Pakatan



klip video ehsan : thestaronline



klip video ehsan : greenboc

Umno sedang mempergiatkan usaha merampas empat negeri Pakatan Rakyat dalam rombakan terbesar barisan pengerusi perhubungan negeri hari ini sejak Datuk Seri Najib Razak mengetuai parti itu, akhir Mac lalu.

Najib sendiri kini memimpin Selangor dan melepaskan jawatan tersebut di Perak - tugas itu diserahkan kepada Datuk Zambry Abd Kadir, menteri besar selepas negeri itu dirampas kembali BN, Februari lalu.

Tan Sri Muhammad Muhd Taib digugurkan daripada pengerusi perhubungan Selangor dan juga ketua penerangan Umno Malaysia.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih pengerusi perhubungan Wilayah Persekutuan - sebuah lagi negeri yang dikuasai Pakatan dalam pilihanraya umum 2008.

Beliau menggantikan Datuk Seri Zulhasnan Rafique yang tidak dikekalkan dalam kabinet dalam rombakan awal bulan ini.

Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kini mengetuai badan perhubungan Umno Kedah, menggantikan bekas menteri besar Datuk Seri Mahadzir Khalid.

Seorang lagi naib presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini mengepalai Umno Pulau Pinang, melepaskan jawatannya sebagai timbalan pengerusi Perak.

Beliau menggalas tugas yang dahulunya dipegang oleh bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara di Terengganu yang menyaksikan pergeseran dua kumpulan - antara Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dengan tokoh yang digantinya Datuk Seri Idris Jusoh - diambil alih oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein, seorang naib presiden Umno.

Perlis yang turut mengalami pergeseran dalaman juga menyaksikan pertukaran ketua perhubungan negeri - kini diketuai menteri besarnya Datuk Seri Md Isa Sabu, menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim yang dilantik menganggotai Majlis Tertinggi (MT).

Kelantan - yang dikuasai PAS selama 19 tahun - turut mendapat ketua perhubungan baru Datuk Mustapa Mohamed, menggantikan Tan Sri Annuar Musa.

Mustapa, yang mendapat jumlah tertinggi undi untuk anggota MT, pernah memimpin negeri itu dalam usaha Umno merampas Serambi Mekah itu

Selain lapan perubahan ini, lima ketua perhubungan negeri dikekalkan di Sabah, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

Rombakan besar-besaran itu diumumkan Najib selepas mesyuarat pertama MT sejak pemilihan parti hujung bulan lalu di bangunan Umno petang ini.

Selain pengerusi perhubungan, Umno juga melantik Ahmad Maslan, seorang timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), sebagai ketua penerangan.

Manakala Datuk Ahmad Husni Hanadzlah dilantik menggantikan Datuk Azim Zabidi sebagai bendahari agung.

Ahmad Husni, yang dilantik menteri kewangan kedua awal bulan ini, juga memegang jawatan timbalan pengerusi perhubungan Perak.

Berikut ialah pelantikan jawatan Umno yang diumumkan oleh presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha agung: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

Bendahari agung: Datuk Ahmad Husni Hanadzlah

Ketua penerangan: Ahmad Maslan

Pengerusi perhubungan Umno negeri

PERLIS: Datuk Seri Md Isa Sabu
Timbalan: Datuk Zahidi Zainul Abidin

KEDAH: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
Timbalan: Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanapiah

PULAU PINANG: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan: Datuk Zainal Abidin Othman

PERAK: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir
Timbalan: Ahmad Husni Hanadzlah

SELANGOR: Datuk Seri Najib Tun Razak
Timbalan: Datuk Noh Omar

WILAYAH PERSEKUTUAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan: Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

NEGERI SEMBILAN: Datuk Seri Mohamad Hasan
Timbalan: Datuk Shaziman Abu Mansor

MELAKA: Datuk Seri Mohd Ali Rustam
Timbalan: Datuk Wira Abu Seman Yusop

JOHOR: Datuk Abdul Ghani Othman
Timbalan: Datuk Latiff Ahmad

PAHANG: Datuk Seri Adnan Yaakob
Timbalan: Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin

TERENGGANU: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Timbalan: Datuk Ahmad Said

KELANTAN: Datuk Mustapa Mohamed
Timbalan: Datuk Awang Adek Hussin

SABAH: Datuk Seri Musa Aman
Timbalan: Datuk Salleh Said Keruak

Najib turut mengumumkan semiblan ahli Majlis Tertinggi yang dilantik, iaitu: Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Nazri Aziz, Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Datuk Aziz Sheikh Fadzir, Datuk Seri Ali Rustam, Tan Sri Rafidah Aziz, Datuk Seri Ghani Othman dan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Presiden Umno itu juga mengumumkan pelantikan tambahan tiga lagi ahli MT dari kalangan sayap parti itu, iaitu Naib Ketua Wanita, Datuk Kamaliah Ibrahim; Naib Ketua Pemuda, Datuk Razali Ibrahim dan ketua Puteri Umno Perak, Dr Wan Norashikin Wan Nordin.

Najib berkata semua menteri besar dari Umno yang tidak dilantik ke jawatan MT akan dijemput hadir mesyuarat.

Najib juga berkata, beliau mempengerusikan biro politik manakala Muhyiddin dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Umno dan juga pengerusi biro pendidikan.

Manakala pelantikan pengerusi biro-biro yang lain, tambahnya, akan dibuat dalam mesyuarat yang akan datang.

Ditanya mengenai pelantikan Rafidah dan Shahidan menganggotai MT, Najib berkata, mereka masih boleh memberi sumbangan kepada parti.

"Jadi kita ada kesinambungan dan pembaharuan," tambahnya.

Mengenai pertukaran pengerusi badan perhubungan Terengganu, Najib berkata: "Soal MB (menteri besar) itu lain, ini soal politik parti."

artikel asal : malaysiakini

KES SMS UGUT BUNUH ADUN TERENGGANU : BEKAS SU IDRIS JUSOH DICARI POLIS

Polis sedang mengesan bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh, kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata Ahmad Ramzi juga adalah calon Barisan Nasional (BN) bagi parlimen Marang pada pilihan raya umum ke-12 lepas, dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

"Ahmad Ramzi dicari kerana beliau adalah antara individu yang mengeluarkan kenyataan kepada media pada malam ketiga-tiga ADUN itu menerima SMS ugutan berkenaan.
"Polis ingin mendapatkan kepastian sama ada Ahmad Ramzi turut menerima SMS berkenaan atau sebaliknya kerana beliau turut memberi kenyataan kepada media pada malam tersebut," katanya kepada Bernama semalam.

Wartawan Buletinonline yang hadir pada tengah malam 13 April lalu menyedari kehadiran Ahmad Ramzi bersama dua ADUN BN ketika membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu menjadi persoalan.

Zakaria Abdullah ADUN Paka dan Abdul Halim Jusoh ADUN Permaisuri menerima ‘SMS Ugutan Bunuh’ dan merasakan nyawa mereka terancam lalu membuat laporan polis.

Dalam kenyataannya kepada pihak media, Abdul Halim berkata beliau percaya ia ada kaitan berhubung ‘usul undi tidak percaya’ keatas Menteri Besar Dato Ahmad Said.

Halim turut membuat tuduhan, SMS tersebut adalah dari Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Terengganu, berdasarkan nombor penghantar SMS yang diterimanya.

Manakala Ahmad Ramzi menjadi tumpuan pihak media yang mahu mengambil gambar ‘ayat ugutan bunuh’ dari paparan telefon bimbitnya (lihat video klip)



Namun, bagaimana SMS tersebut turut terdapat dalam telefonnya tidak dapat dipastikan kerana beliau bukan ADUN dan tidak disenaraikan sebagai salah seorang penerimanya.

Ahmad Ramzi telah berkeliaran di lokasi tersebut dari awal laporan polis dibuat sehingga tamat sidang media kira-kira jam 1.00 pagi.

Menurut ACP Mohd Fauzi Mohd Fauzi, polis telah mencari Ahmad Ramzi dirumahnya tetapi beliau tidak ada.

Hasil siasatan yang dibuat, beliau berkata, pihak polis telah menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun di Bandar Baru Bangi, Selangor Isnin lepas, 20 April, kerana disyaki menghantar SMS ugutan itu.

Beliau berkata perintah tahanan reman ke atas kerani itu dilanjutkan selama tiga hari lagi bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan.

"Polis Terengganu juga telah menghantar anggota untuk mengambil komputer di pejabat kerani itu bagi membantu siasatan yang dijangka selesai dalam tempoh beberapa hari lagi," katanya.

artikel asal : BuletinOnline

Friday, April 24, 2009

Rais Kata Ada Komplot Jatuhkan Najib dan Cabar Zaid Ibrahim Berdebat


Rais: Ada komplot mahu jatuhkan Najib

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tohmahan yang dikeluarkan oleh media asing terhadap kepimpinan baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai tujuan tertentu untuk menjatuhkan beliau atau satu "grand design".

Katanya, perbuatan media itu bukan satu perkara baru kerana mereka pernah menggunakan taktik yang sama tetapi gagal sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui kepimpinan negara.

"Media asing itu akan menggunakan pelbagai istilah mengaitkan pelbagai kelakuan (perdana menteri) yang kononnya tidak boleh diterima (oleh pihak tertentu)," katanya selepas menghadiri majlis bacaan yasin dan tahlil untuk bekas timbalan perdana menteri Tun Abdul Ghafar Baba di Peringgit, Melaka malam tadi.

Majlis itu dianjurkan oleh Arkib Negara Malaysia sempena memperingati ulang tahun pemergian Allahyarham yang meninggal dunia pada 23 April 2006, lapor Bernama.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Rais diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa terdapat usaha media asing yang bersatu dan berterusan menggambarkan impak negatif terhadap Najib sebagai perdana menteri baru Malaysia.

Cabar Zahid berdebat

Menurut Rais, Najib telah dikaitkan dengan isu "undang-undang" kononnya boleh mencemarkan nama baik beliau oleh beberapa pihak termasuk pemimpin PKR.

"Sedangkan dakwaan itu hanya kosong semata-mata oleh media sama ada di Eropah atau di Amerika Syarikat," katanya yang percaya dakwaan terhadap Najib itu akan berakhir begitu sahaja.

"Bagaimanapun, kami akan meneliti (keadaan) dan sekiranya berpeluang saya sendiri ingin berdebat dengan pihak-pihak yang cuba 'mengenakan' pemimpin kita dengan perkataan tak senonoh atau tidak diterima akal pada masa ini," katanya.



Mengenai Datuk Zaid Ibrahim (foto) yang sering dipetik oleh media asing untuk memburukkan Najib, Rais berkata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memiliki peribadi yang mempunyai beberapa sifat "si lunchai" kerana Zaid tidak mengenal sifat kebijaksanaan atau faedah mengutuk pemimpin sendiri.

"Kita akan lihat setakat mana hebatnya beliau (Zaid) menggunakan istilah-istilah itu terhadap perdana menteri," katanya.

Rais mencabar Zaid untuk berdebat di khalayak ramai jika beliau yakin dakwaan terhadap Najib itu benar.

artikel asal : malaysiakini

Lagi Kisah Manohara Odelia Pinot, Ibunya Daisy Fajarina Pengsan Selepas Ditemubual

klip video ehsan : MalaysianConscience

Penjelasan Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Berhubung Pembelian Toyota Camry

"Kerajaan BN Perak Lelong Kenderaan Gimik Politik Yang Merugikan" Datuk Husam Musa



klip video ehsan : tvpas09

Mahkamah arahkan Gani Patail beri penjelasan situasi 2 MB di Perak

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Peguam Negara untuk memberi penjelasan terhadap situasi yang membawa kepada wujudnya 2 Menteri Besar di Perak.

klip video ehsan : greenboc

Dulu 'Sure Heboh' Haram, Sekarang 'Jom Heboh' Tak Haram?

Jom Heboh esok di Lumut, apa penjelasan Mufti Perak?

Sudah lama tidak kedengaran Konsert Jom Heboh TV3 di Perak namun esok pesta ria ini akan mengambil tempat di TLDM Lumut yang berlangsung sehingga Ahad ini (26 April).

Bezanya kali ini, belum lagi terdengar ungkapan sama daripada Mufti Perak Dato' Seri Harussani Zakaria yang pernah mengeluarkan fatwa pada 30 Julai 2004 berhubung konsert ini.

Dalam keputusan itu Majlis Mufti-Mufti Malaysia melalui Harussani Zakaria telah mengeluarkan kenyataan bahawa konsert Sure Heboh TV3 adalah haram kerana ia melalai dan menggalakkan maksiat di kalangan anak-anak muda.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur (DPPK IT) telah menghantar surat kepada Harussani merujuk kepada keputusan Majlis Mufti-Mufti Malaysia tersebut.

Ketua Pemudanya Salman Salleh meminta penjelasan adakah penguatkuasaan Undang-Undang terhadap mereka yang memberikan kebenaran, menganjur, menghadiri dan menonton konsert tersebut akan dikenakan tindakan atau sebaliknya.

"Selepas majlis penutup Muzakarah Ulama 2004 sempena Hari Keputeraan Sultan Perak Ke-76 di Ipoh, kami mahu penjelasan daripada Dato' Seri adakah Majlis Fatwa Kebangsaan telah membuat keputusan berhubung perkara tersebut?

"Kami memohon agar Dato' Seri dapat memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut agar rakyat Negeri Perak tidak keliru didalam perkara ini," katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily sebentar tadi.

artikel asal : HarakahDaily

Semua Kaum Harus Tonton Sedutan Ceramah Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Malam Tadi

klip video ehsan : tvpas09


klip video ehsan : malaysiakinitv

Status agama anak kekal walaupun ibu bapa tukar agama

Anak kekal agama: Keputusan Kabinet disambut baik

MCA menyatakan rasa puas hati dengan keputusan Kabinet berhubung penyelesaian pertikaian mengenai agama anak-anak yang kekal menganut agama asal ibu bapa masingmasing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka memeluk Islam.

"Langkah ini adalah selaras dengan konsep 1Malaysia gagasan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk meningkatkan harmoni.

"Keputusan Kabinet akan menyelesaikan isuisu yang telah memberi kesan keharmonian di negara ini," kata Gan Ping Sieu, jurucakap MCA Ketua Biro Pendidikan dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Kabinet yang menyatakan ibu atau bapa yang menukar agama Islam, anak-anak kekal menganut agama asal semasa berkahwin.

Gan berkata, MCA mengulangi pendiriannya bahawa jika agama anak-anak tidak boleh dipersetujui oleh kedua-dua ibu bapa jika ibu atau bapa memeluk Islam, status quo agama kanak-kanak itu hendaklah kekal sehinggalah mereka berumur 18 tahun.

Namun, kata beliau MCA melihat keputusan Kabinet itu hanya boleh digunakan di dalam kes di mana ibu bapa bercerai dan seorang daripada mereka menjadi "muallaf" kerana memeluk Islam.

Gan berkata, masih timbul persoalan tentang kes-kes perkahwinan sivil yang masih belum diputuskan mengikut undang-undang sivil, contohnya perpisahan walaupun seorang daripada pasangan telah memeluk Islam.

"MCA berpandangan keputusan Kabinet digunakan dalam kes-kes seumpamanya walaupun pertikaian perkahwinan sivil belum selesai," katanya.

Gan berkata, arahan Kabinet yang sama perlu dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama negeri-negeri bagi mengelakkan sebarang percanggahan terhadap kesepakatan yang dicapai oleh pemimpin-pemimpin dalam Kabinet.

Hakikatnya, arahan Kabinet sedemikian mesti terus disepadukan menerusi pembaharuan perundangan atau meluluskan Akta Parlimen atau meminda Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Ini, katanya akan mengelakkan kekeliruan apabila keretakkan rumah tangga berlaku tanpa penyelesaian yang memuaskan dan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan di mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan dan menentukan agama anak-anak.

Sementara itu, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) turut menyambut baik keputusan Kabinet mengenai agama anak-anak.

Presidennya Datuk A. Vaithilingam, yang juga presiden Hindu Sangam Malaysia, berkata keputusan mengenai pegangan agama anak-anak mestilah seiring dengan agama yang dianuti semasa perkahwinan kedua-dua ibu bapa, adalah satu langkah bijak dan permulaan yang baik bagi menyelesaikan pertikaian antara pasangan.

"Kami terbuka untuk lebih banyak perbincangan mengenai penukaran agama seseorang bukan Islam kepada Islam," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata persatuan itu mengharapkan lebih banyak perbincangan dan dialog dengan pemimpin-pemimpin Islam mengenai perkara itu.

"Bagi MCCBCHST, kami sedang di dalam proses memohon mengadakan mesyuarat dengan jawatankuasa yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan kami memuji mereka kerana segera menangani perkara ini," katanya.

artikel asal : mStarOnline

"Seolah-olah macam dia Perdana Menteri pula sekarang ini." - Nasha

Mahathir atau Najib PM?

"Seolah-olah macam dia Perdana Menteri pula sekarang ini."

Demikian pandangan yang dikemukakan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa kepada Harakahdaily dalam satu wawancara semalam.

Menurutnya, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini dilihat mempunyai pengaruh ke atas Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

"Saya melihat unsur mempengaruhi itu ada dalam kabinet Najib ini.Mutakhir ini saya tengok makin banyak kelibat Tun Mahathir di atas pentas.

"Dia juga buat kenyataan dalam akhbar, hadir dalam program-program besar kerajaan dan mendapat liputan yang agak menyerlah di dalam media.Seolah-olah macam dia (Mahathir) pula PM sekarang ini,"jelasnya.

Dalam pada itu, Nasharuddin dalam mengulas mengenai kabinet 'Mesra Rakyat' yang dibentuk Najib menjelaskan, memang wujud pertikaian terhadap anggota kabinet yang dilantik.

"Berkenaan kabinet mesra rakyat,bagi saya ada lagi yang boleh dipertikaikan terutamanya pelantikan mereka yang telah ditolak oleh rakyat, dalam kabinet hari ini mereka bukan sahaja ditolak oleh parti tetapi rakyat.

"Tanpa saya menyebut nama sesiapa pun menteri atau timbalan menteri, kita semua sudah mengenai hal tersebut.Ada di kalangan menteri atau timbalan menteri yang dilantik itu yang menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat,"jelasnya lagi.

Tambahnya, memang tidak dapat dinafikan bahawa ada perubahan yang mahu atau cuba dibuat oleh Najib dalam peringkat awal pemerintahannya.

"Tetapi saya rasa masih terlalu awal untuk dinilai sama ada positif atau sebaliknya perubahan yang cuba diusahakan Najib,"tegasnya.

artikel asal : HarakahDaily

'MANOHARA ODELIA PINOT' : NAJIB ELAK JAWAB SOALAN MEDIA INDONESIA

Media Indonesia dilarang tanya Najib tentang Manohara

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengelak menjawab soalan mengenai dakwaan 'kehilangan' bekas model, Manohara Odelia Pinot, sewaktu berada di Jakarta untuk bertemu dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono hari ini.


Wartawan yang membuat liputan sidang akhbar selepas pertemuan mereka, tidak dibenarkan bertanya mengenai kes tersebut.

Sewaktu sidang akhbar itu berlangsung, ibu Manohara - Daisy Fajarina - pula mengadakan sidang akhbarnya untuk merayu kepada Najib supaya membantu mencari anaknya itu, lapor AFP.

Manohara berkahwin dengan kerabat diraja Kelantan, tahun lalu.

Daisy mendakwa anaknya mengalami deraan fizikal dan emosi oleh suaminya, yang didakwa bersama Manohara di Malaysia tanpa kerelaan anaknya.

"Sebagai perdana menteri Malaysia yang baru, saya menggesa Najib menyiasat dan mempertahankan kebenaran dan hak kami," kata Fajarina di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Wanita Indonesia.

"Saya hanya mahu anak perempuan saya dibebaskan... sebagai seorang ibu saya mempunyai hak untuk bertemu anak saya," tambahnya.

Daisy pengsan apabila beliau diserbu oleh para wartawan Indonesia yang memberi liputan meluas mengenai kisah Manohara itu.

artikel asal : malaysiakini

RAJA PETRA KAMARUDIN, PERLARIAN DI TANAH AIR SENDIRI

RPK : Anak Raja, Blogger Yang Durhaka, Menjadi Perlarian Di Tanah Air Sendiri


Selepas menulis berita Raja Petra Kamarudin (RPK) ‘membuang dirinya dan tidak hadir ke mahkamah’ semalam, saya menjelajahi ruang maya, mencari seluruh bahan berkaitan ‘Ikon Media Baru’ itu sewaktu beliau berkempen dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Mungkin tidak semua diantara kita yang mengetahui bagaimana RPK membantu PAS dan Pakatan Rakyat semasa PRK Kuala Terengganu.

Beliau bersama kumpulan blogawan (bloggers) ‘I am with RPK’ telah berkampung di Kuala Terengganu sejak hari penamaan calon sehingga tamat pengundian.

Sebelum meletakkan sasaran kerjanya, beliau dan kumpulan blogawan hadir ke Markaz Induk PRK Kuala Terengganu dan berbincang dengan kepimpinan jentera pilihanraya.

Kuala Ibai bukanlah asing kepada RPK. Beliau pernah bertahun-tahun tinggal disitu dan menjadi jiran kepada Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali.

Faktor kehadiran RPK dalam PRK Kuala Terengganu telah menyemarakkan gelanggang kempen Pakatan Rakyat, mendapat liputan meluas oleh hampir semua media termasuk media perdana.

Semua usaha kempen dilakukan oleh RPK dan kumpulan blogawannya.

Mereka bukan sahaja berjalan kaki berkempen dari rumah kerumah, mengedarkan risalah dan poster, menghadiri majlis-majlis pertemuan, berceramah dan tidak ketinggalan membuat laporan polis terhadap rasuah yang dilakukan oleh UMNO/BN dalam PRK Kuala Terengganu.

Liputan kempen dan analisa beliau dilaporkan secara terus setiap hari, dipaparkan dalam laman Malaysia Today.

Selepas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut di isytiharkan sebagai pemenang, RPK turun ke jalanraya bersama puluhan ribu para penyokong meraikan kemenangan yang manis itu.

Dua minggu selepas PRK Kuala Terengganu, Dato’ Seri Najib Razak telah mengetuai UMNO/BN melakukan Kudeta, merampas kuasa kerajaan negeri Perak.

Apabila krisis perlembagaan Perak bermula dan ia bersangkutan dengan istana Perak, RPK telah menulis surat terbuka kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Nizar Jamaludin.

Kandungan surat tersebut kini dianggap sebagai sebagai satu tindakan menghina Raja-raja Melayu.

RPK telah menulis ; “I speak as a Royal but speak for the Rakyat. And rest assured there are many other Royals who share my view. Don’t allow a handful of those who sit on the throne intimidate you into thinking that you are alone, representing the Rakyat, against the Monarchy. No, we are with you, as are many other Royals”.
(Saya bercakap sebagai kerabat DiRaja, tetapi bercakap mewakili rakyat. Dan sebagai jaminan, ramai lagi kerabat DiRaja yang menyokong pandangan saya. Jangan biarkan mereka yang duduk diatas singgahsana mengugut awak (Nizar) dengan fikiran mereka bahawa awak berseorangan mewakili rakyat menentang Raja-raja. Tidak, kami semua bersama kamu, begitu juga dengan kerabat DiRaja yang lain)

Akibat tulisan diatas dan dua artikel lagi selepas surat terbuka kepada Nizar, RPK telah menghadapi kemurkaan Sultan Selangor dan kaum kerabatnya yang akhirnya mahu meminggirkan beliau sebagai kerabat DiRaja Selangor.

Beliau dianggap durhaka kerana perjuangan menegakkan hak dan keadilan sebagaimana Menteri Besar Perak, Nizar Jamaludin, yang digelar durhaka kerana mahu mengembalikan suara dan mandat rakyat.

Semalam, satu waran tangkap telah dikeluarkan keatas RPK kerana beliau tidak hadir ke mahkamah.

Beliau melalui tulisannya dalam Malaysia Today berkata, antara sebab beliau tidak hadir adalah kerana sudah tidak percaya kepada keadilan sistem kehakiman.

RPK berdepan dengan tuduhan menghasut berhubung satu artikel yang bertajuk 'Let's send the Altantuya murderers to hell' yang membabitkan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Razak.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 RPK menghadapi hukuman denda maksima RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Apabila Hakim Rozina Ayob bertanya peguambela RPK, J Chandra memaklumkan kepada mahkamah Sesyen Petaling Jaya, sebab-sebab RPK tidak hadir sebagaimana tulisannya dalam Malaysia Today.

J Chandra memaklumkan kepada Hakim, menurut tulisan tersebut, RPK berkata beliau kini "hidup dalam buangan" dari Selangor dan oleh itu tidak dapat hadir di Petaling Jaya, tempat mahkamah tersebut berada.

Para penyokong ‘Ikon Media Baru’ yang hadir di mahkamah hari ini berkata mereka juga tidak tahu di mana Raja Petra berada sekarang.

Selepas tiga bulan PRK Kuala Terengganu berlalu, RPK, anak raja keturunan kesultanan Selangor, yang mundar mandir berkempen menghantar risalah dan bertemu pengundi di Kampung Cina, kini menjadi pelarian di tanah air sendiri.

artikel asal : BuletinOnline

Thursday, April 23, 2009

NAZRI KATA PANDANGAN MAHATHIR TAK RELEVAN DAN SUDAH 'TUA'

Saya tak peduli komen Tun M: Nazri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata beliau tidak mempedulikan komen Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau tidak layak dilantik sebagai menteri dan menegaskan masih memegang jawatan itu sehingga kini.

Beliau berkata, pandangan bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden Umno itu tidak lagi relevan dan menganggap beliau sudah 'tua' dan tidak perlu diperbesarkan isu itu.

"Kamu rasa saya bimbang tentang itu atau terganggu? Tak berbaloi...Apa yang dia (Tun Mahathir) rasa tidak lagi relevan.

"Hari ini sehingga 12.35 tengah hari saya masih menteri di Jabatan Perdana Menteri," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, tengah hari ini.

Semalam, Dr Mahathir secara terbuka menamakan Nazri dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Johari Baharum sebagai dua individu yang pernah dikaitkan dengan tuduhan rasuah dan tidak sepatutnya dilantik semula dalam Kabinet.

artikel asal : Berita Harian Online

Ghairah 'Membela Istana' Mendatangkan Musibah Kepada Gagasan Melayu Perak (GMP)

Tuduhan palsu terhadap Malaysiakini


Badan yang menamakan dirinya Gagasan Melayu Perak (GMP) telah membuat laporan polis terhadap Malaysiakini berhubung satu artikel yang tidak pernah disiarkan oleh lamanweb tersebut.

Dalam laporan polis itu, Presiden GMP, Datuk Seri Mohd Hilmi Ismail mendakwa Malaysiakini telah menyiarkan satu artikel yang menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Artikel tersebut, yang bertajuk ‘Raja Nazrin defends monarchy against ridicule', yang didakwa disiarkan oleh Malaysiakini pada hari Selasa.

Apabila diperiksa, tidak ada artikel seumpama itu yang disiarkan oleh lamanweb berkenaan.

Bahagian bahasa Melayu bagaimanapun menyiarkan berita tersebut dari Bernama, tetapi ianya disiarkan pada 19 April.

Mohd Hilmi (kanan) dan badan pimpinannya itu membuat laporan tersebut di balai polis Sungai Senam dekat Ipoh pada jam 5 petang semalam.

Menurut laporan Bernama, Mohd Hilmi memberitahu pemberita bahawa laporan polis dibuat kerana GMP menganggap berita yang disiarkan oleh lamanweb itu bersifat kurang ajar dan biadap terhadap institusi beraja di negeri itu.

Beliau juga dilaporkan berharap Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan mengambil tindakan terhadap lamanweb itu kerana menyalahgunakan teknologi maklumat sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kesannya terhadap keselamatan negara.

'Diberitahu oleh kakitangan'

Malaysiakini menghubungi GMP pagi ini untuk mendapatkan penjelasan berhubung laporan polis tersebut dan Mohd Hilmi memberitahu yang beliau tidak tahu yang Malaysiakini tidak menyiarkan artikel dalam bahasa Inggeris itu.

Menurutnya, beliau tidak tahu tentang artikel itu dan dimaklumkan mengenainya oleh kakitangannya, sebelum membuat laporan polis tersebut.

Bila tanya sama ada beliau sedar bahawa laporan polis yang dibuatnya itu boleh mencemarkan reputasi Malaysiakini, Mohd Hilmi "Bukankah Malaysiakini sama dengan Malaysia Today dan blog-blog lain?".

Malaysiakini telah meminta Mohd Hilmi memohon maaf secara terbuka kerana membuat tuduhan palsu itu.

Malaysiakini juga sedang menimbang kemungkinan mengambil tindakan terhadap Mohd Hilmi dan GMP.

GMP mohon maaf pada Malaysiakini

Kira-kira empat jam selepas menghubungi Mohd Hilmi, penasihat undang-undang GMP, Nor Ali Nordin menghubungi Malaysiakini untuk memohon di atas kesilapan tersebut.

Katanya, Mohd Hilmi telah bercakap dengannya dan mereka ingin memohon maaf kepada Malaysiakini di atas kesilapan menamakan lamanweb tersebut dalam laporan polis semalam.

Nor Ali juga berkata, beliau dan anggota GMP yang lain akan ke balai polis Sungai Senam jam 3 petang ini untuk memperbetulkan laporan polis semalam.

Katanya, mereka akan mengeluarkan nama Malaysiakini dari laporan tersebut dan menggantikannya dengan lamanweb yang menyiarkan laporan berkenaan.

Beliau berkata berkata, GMP telah memaklumkan kepada akhbar-akhbar harian tempatan mengenai kesilapan tersebut.

Nor Ali berkata, akhbar-akhbar berkenaan telah memberi jaminan akan menyiarkan pembetulannya.

Bernama dan Utusan Malaysia (atas), adalah antara media yang menyiarkan berita mengenai laporan polis yang dibuat terhadap Malaysiakini itu.



artikel asal : Malaysiakini

Mahkamah keluar waran tangkap RPK

klip video ehsan : malaysiakini

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin kerana gagal hadir di mahkamah untuk perbicaraan kes hasutan.

Raja Petra, 57, berdepan dengan tuduhan menghasut berhubung satu artikel yang bertajuk 'Let's send the Altantuya murderers to hell' yang disiarkan dalam lamanweb Malaysia Today.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksima RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum perbicaraannya ditangguhkan Februari lalu, peguambela Gobind Singh Deo telah membangkitkan isu gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak duduk semeja dengan Altantuya Shaariibuu sewaktu majlis hari jadi wanita Mongolia itu di Hotel Mandarin di Singapura.

Raja Petra menghadapi satu lagi tuduhan jenayah memfitnah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana didakwa mengaitkan isteri Najib - Datin Seri Rosmah Mansor, dan dua pegawai tentera - dalam pembunuhan Altantuya.

Manakala tahun lalu, Mahkamah Tinggi Alor Star memerintahkan Raja Petra dan editor sebuah akhbar pembangkang - Suara Keadilan - membayar gantirugi berhubung saman fitnah oleh naib canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Nordin Kardi.

Nordin menyaman Raja Petra berhubung dakwaan beliau telah meniru sebuah artikel.

Keputusan itu dibuat selepas Raja Petra dan Suara Keadilan - yang menyiarkan berita tersebut - gagal mengemukakan pembelaan diri.

Mahkamah memerintah Raja Petra membayar RM4 juta kepada Nordin dan UUM, manakala dua editor Suara Keadilan diperintah membayar RM3 juta.

Raja Petra berkata ia hanya merupakan sepucuk surat yang ditulis kepadanya oleh seorang bekas perwakilan pelajar dan beliau tidak akan membayar gantirugi itu.


artikel asal : malaysiakini

Krisis Terengganu : Bukan Kemelut Politik, Masalah Tak Puas Hati

Tidak ada ‘kemelut politik’ yang berlaku di negeri Terengganu tetapi ia adalah masalah tidak puas hati yang diheret sejak perlantikan Menteri Besar Terengganu Mac tahun lalu.

“Kemelut apa? Tidak ada kemelut, cuma pertukaran Menteri Besar, apabila berlaku pertukaran dengan keadaan kontroversi,

“dengan calon-calon (ADUN) dipilih oleh Dato’ Idris maka (Dato’) Ahmad Said menghadapi masalah dalam pelantikan Exco dan sebagainya,
“tetapi dalam jangka pendek Ahmad Said boleh menyelesaikannya,”kata Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Dr. Haji Rosli Mat Hassan.

Menurutnya boikot yang dilakukan oleh 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO/Barisan Nasional adalah kesan dari rasa ketidakpuasan hati mereka.

Beliau berkata masalah tersebut berpanjangan apabila berlaku pemilihan Ketua-ketua Bahagian beberapa bulan yang lalu.

“Samada ada kita rasa betul atau tidak itu hakikatnya, apabila berlaku pertandingan di Bahagian (UMNO), kumpulan Ahmad Said berlawan dengan kumpulan Idris, masalah tidak puas hati berterusan,”ujarnya ketika ditemui disini, semalam.

Katanya, kebiasaan yang berlaku dalam pemilihan bahagian akan menimbulkan perpecahan dalam UMNO kerana tidak semua orang boleh menerima kekalahan.

Apabila ditanya tentang tuduhan-tuduhan 10 ADUN berkenaan yang mendakwa Ahmad Said tidak berlaku adil, beliau berkata, hanya 5 isu yang benar-benar relevan dari keseluruhan 18 tuduhan yang dikemukakan.

“Isu tidak memberi peruntukan kepada ADUN, sebenarnya tahun lepas, Ahmad bukan tidak beri, malah menaikkan peruntukan dari RM 200,000 kepada RM 400,000,

“pemecatan pegawai dan kakitangan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan, biasalah tu, siapa dia Menteri Besar pun akan mencari kakitangan yang sesuai dengannya, Menteri pun begitu,”jelasnya.

Mengulas isu pelantikan Senator katanya, Nordiana Shafie tidak disambung kerana di zaman Dato’ Idris, beliau telah melantik Ketua Puteri itu yang bertentangan dengan tradisi sebelum ini.

Katanya jawatan Senator adalah diperuntukkan kepada Ketua Wanita kerana mereka tidak diberi peluang untuk menjadi calon dalam pilihanraya.

Beliau dengan keras menafikan tuduhan ‘10 ADUN pemberontak’ yang mendakwa beliau adalah perancang dan ‘master-mind’ kepada konspirasi politik kumpulan Ahmad Said.

“Saya tahu Dato’ Idris sendiri dalam SMS yang dihantar kepada kawan-kawan saya berkata Menteri Besar restu ketua-ketua Bahagian melantik ‘kroni’nya sebagai pengerusi penyelaras DUN,

“UMNO negeri tidak campur tangan (pelantikan pegerusi penyelaras) Ahmad Said menyerah kuasa itu kepada ketua-ketua bahagian,”katanya.

Beliau menasihatkan mereka yang menentang kepimpinan Ahmad Said supaya berubah dan menjadi seorang yang berjiwa besar.

Mengambil contoh pelantikan penyelaras DUN Ajil, beliau berkata tidak salah dan munasabah apabila Dato’ Tengku Putera melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi penyelaras dan melantik Dato’ Rosol sebagi Timbalan Pengerusi.

“Apa salahnya, apa isunya, Status Speaker DUN kan besar lagi dari ADUN, berpakatlah, apakah (jawatan) ketua sentiasa menjadi hak kita,

“pokoknya berubahlah menjadi jiwa besar,”katanya yang ditujukan kepada Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Dato’ Rosol Wahid.

artikel asal : BuletinOnline

Pengendali Blog ‘GanuLening’ Suspek SMS Ugut Bunuh 3 ADUN Terengganu?

Kerani syarikat swasta yang ditahan untuk membantu siasatan ‘SMS ugutan bunuh’ kepada tiga ADUN BN dipercayai adalah blogger yang mengendalikan laman ‘GanuLening’.

Suspek tersebut telah dibawa ke balai polis Kuala Terengganu, semalam, untuk ditahan selama empat hari bagi membantu polis Terengganu menjalankan siasatan.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Terengganu, ACP Fauzi Abduri berkata, lelaki berusia 31 tahun itu diberkas di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi, Selangor pada 9.30 pagi tiga hari lepas. berasal dari Seri Kembangan, Selangor.

"Kami yakin dapat menyelesaikan kes ini dalam beberapa hari lagi," kata beliau di sini semalam.

Selepas ditahan di Bandar Baru Bangi, kata beliau, suspek berkenaan telah membawa polis ke rumahnya di Seri Kembangan di mana komputer riba, perkakasan komputer dan komputer peribadi turut dirampas.

"Kita telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan dan insya-Allah ia akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat," katanya.

Laman GanuLening.net, yang menggunakan IP 202.71.107.4, sebuah laman yang mengulas isu-isu semasa Terengganu, kini tidak boleh diakses

IP tersebut dikesan berpusat di Cyberjaya, berhampiran dengan Seri Kembangan, dimana lelaki yang disyakki tinggal disana.

Laman tersebut yang menggunakan motto 'membongkar dosa-dosa parti ajaran sesat' mempunyai kaitan dengan UMNO dengan carian internet menunjukkan ia mempunyai rujukan kepada laman-laman kendalian UMNO seperti UMNO TV, ahliumno.com, ganukita dan lain-lain.

artikel asal : BuletinOnline

Raja Petra Membuang Diri….. Tidak Hadir Ke Mahkamah


Ikon Media Baru, Raja Petra Kamarudin atau yang lebih dikenali sebagai RPK telah membuang dirinya sendiri (self emopose exile) dan tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini.

Beliau sepatutnya hadir menghadapi tuduhan menghasut di Petaling Jaya, tidak dapat berbuat demikian kerana telah mengambil tindakan ‘membuang diri’ ekoran pertelingkahannya dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam catatannya yang di paparkan Malaysia Today hari ini, beliau berkata, tindakan tersebut adalah kerana surat terbuka yang dihantarnya kepada Menteri Besar Negeri Perak, Dato’ Seri Nizar Jamaludin, sebagai respon kepada krisis Perlembagaan Negeri Perak yang berterusan.

Surat tersebut, katanya, telah menimbulkan ‘kemurkaan’ Sultan Selangor dan meminta beliau untuk memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Perak.

Namun begitu, katanya, disebalik membuat permohonan maaf, beliau telah menulis dua artikel yang mengkritik istana negeri Perak kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, kerana itu beliau telah dianggap melakukan penderhakaan dan memalukan kerabat Selangor serta ‘dititahkan menghadap’ bagi membincangkan isu tersebut.

Katanya beliau tidak hadir menghadap dan menyebabkan diberi kata dua samada memohon maaf secara terbuka ataupun diistyharkan sebagai ‘bukan kerabat DiRaja Selangor’.

Oleh yang demikian, beliau telah memilih untuk membuang dirinya sendiri keluar dari negeri Selangor sebagaimana hukuman keatas ‘penderhaka’ yang dikenakan oleh Kesultanan Selangor terhadap kaum kerabat sejak lebih 250 tahun lalu.

Sejak itu, katanya, beliau tidak dapat hadir ke majlis-majlis yang melibatkan kerabat DiRaja Selangor termasuk menziarahi dua ahli keluarganya yang ‘mangkat’ baru-baru ini.

Kini, beliau tidak boleh menjejakkan kakinya ke dalam negeri Selangor dan tidak dapat hadir ke mahkamah yang bersidang di Petaling Jaya Selangor.

artikel asal : BuletinOnline

Raja Petra: Kenapa saya tak hadir di mahkamah

klip video ehsan : greenboc

Lagi Krisis UMNO Terengganu : Jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu akan digantikan dengan pemimpin lain?


Kedudukan Ahmad diputus Jumaat ini

Kemelut politik di negeri ini terus hangat, apabila desas-desus dan khabar angin terbaru yang bertiup kencang mengatakan bahawa jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu akan digantikan dengan pemimpin lain, kini semakin menarik perhatian ramai.

Perkembangan ini secara tidak langsung menyebabkan kedudukan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said untuk terus menerajui kepimpinan UMNO Terengganu dikatakan berada dalam keadaan tidak menentu.

Malah, sekiranya perkara ini berlaku, Ahmad juga bakal menghadapi tugas sukar untuk menguruskan pentadbiran negeri memandangkan ia seperti sebuah kapal yang diuruskan dua nakhoda.

Bagaimanapun, tanda tanya dan spekulasi mengenai kedudukan sebenar Ahmad sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, hanya terjawab pada Jumaat ini, apabila ia akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

Ahmad ketika ditanya pemberita berhubung perkara itu selepas melawat mangsa ribut di Kampung Penarik, Setiu, semalam, mengatakan beliau akur dengan setiap keputusan dibuat pucuk pimpinan parti mengenai kedudukannya ketika ini.

Menurut Ahmad, ini memandangkan pucuk pimpinan lebih berhak menentukan kedudukannya ketika ini dan menyerahkan segala keputusan kepada pihak terlibat untuk menentukan kepimpinan parti di Terengganu.

Ahmad yang enggan mengulas lanjut berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah berhubung perkara tersebut dan menerimanya dengan positif.

“Saya tidak mahu mengulas kedudukan saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang akan diputuskan pucuk pimpinan parti Jumaat ini. Biarlah pucuk pimpinan parti menentukan kerana mereka berhak berbuat demikian.

“Saya tidak perlu buat komen apa-apa dan saya terima setiap keputusan dibuat pucuk pimpinan dengan hati terbuka. Saya tidak ada masalah berhubung perkara ini,” katanya.

Sementara itu, apabila ditanya hasil perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak baru-baru ini, Ahmad tidak mahu memberi sebarang ulasan dan menyerahkan kepada Najib untuk menjawab perkara berkenaan.

artikel asal : SinarHarian