Tuesday, May 26, 2009

DULU TANPA SEGAN SILU BUAT OPEN STATEMENT NAK LOMPAT, SEKARANG LABEL ORANG HIPOKRIT!

Layakkah Ibrahim Ali label Pakatan hipokrit?

Tiba-tiba saja bersipongang di serata negara seruan agar semua pihak akur dan menghormati keputusan mahkamah. Semua pihak diharapkan dapat menerima hakikat yang diputuskan institusi kehakiman itu, sama ada memihak kepada mereka atau sebaliknya.

Serentak itu juga pihak yang tidak menang diingatkan agar jangan terus berusaha memanjangkan isu yang mereka anggap telah selesai. Kata mereka, rakyat sudah bosan melihat pertikaian ini. Kini, akhirnya telah terbukti dan telah sah siapa betul dan siapa salah.

Itulah gambaran betapa hipokritnya mereka ini, bukan? Isu dimaksudkan ialah pertikaian mengenai siapa Menteri Besar Perak yang sah. Mereka itu pula ialah para pemimpin dan pendokong Barisan Nasional (BN).

Kenyataan mereka dalam nada itu hanya tingkah-meningkah setelah keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Jumaat (22 Mei) memihak kepada BN.

Sedangkan seruan dan sikap serupa tidak mereka pamerkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, 11 Mei lalu. Mengapa ketika itu tidak dikatakan kebenaran telah terbukti dan semua pihak jangan lagi memanjangkan itu tersebut?

Sebaliknya, BN selaku pihak yang kalah tidak bertangguh untuk membantah keputusan tersebut. Mereka tidak mengambil masa walau 24 jam untuk mendapatkan perintah mahkamah menghalang pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu. Hanya sempat beberapa jam menyambung tugas rasminya sebagai Menteri Besar, Nizar terus diperintahkan meninggalkan pejabatnya.

Dalam kenyataannya menyambut keputusan Mahkamah Tinggi, Nizar bertekad menghadap Sultan Perak bagi mempersembahkan permohonan perkenan Baginda agar Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dibubarkan. Perjuangan Pakatan Rakyat, jelasnya, tidak akan selesai hanya setakat keputusan mahkamah. Kemelut politik Perak hanya dapat diakhiri dengan memulangkan kembali hak memilih kerajaan kepada rakyatnya.

Malangnya, hasrat yang disuara dan didambakan pelbagai pihak itu gagal dihayati BN. Mereka tidak bersdia menerima penyelesaian itu. Sebaliknya terbukti mereka lah yang memanjangkan pertikaian tersebut ke Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya, Jumaat lalu memutuskan menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini memutuskan bahawa Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah. Ia sekali gus menidakkan segala hujah dan pandangan Hakim Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim yang memihak Nizar.

Kini, apabila Nizar dan pasukan peguamnya berura-ura memfailkan rayuan atas keputusan itu ke Mahkamah Persekutuan, ada pula pihak yang menuduh mereka sengaja memanjangkan isu tersebut. Mereka mendakwa isu telah selesai dengan keputusan Mahkamah Rayuan. Kata mereka, Nizar dan Pakatan Rakyat perlu akur bahawa BN memang berhak ke atas kerajaan Perak.

Di masa sama ada pula pihak yang melabelkan Nizar dan pemimpin Pakatan Rakyat sebagai hipokrit. Orang itu tidak lain daripada Dato' Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Pasir Mas yang menang atas tiket PAS, tetapi kini secara terbuka 'melompat' ke pangkuan BN.

"Apa lagi yang nak bising-bising apabila mahkamah telah membuat keputusan dan kalau mereka yakin sangat rakyat Perak mengundi mereka, tunggu sahaja pilihan raya umum akan datang," katanya, sepertimana dipetik akhbar mingguan, Ahad (24 Mei).

Tadi sudah dijelaskan bahawa sikap dan pendirian Pakatan Rakyat dalam mendesak Dun Perak dibubarkan bukan satu hipokrasi. Ia telah disuarakan sedari awal krisis politik negeri itu dicetuskan BN, awal Februari lalu. Sikap dan pendirian itu juga kekal dipegang Pakatan Rakyat hingga ke saat ini. Justeru, apa yang hipokritnya pada desakan itu?

Sedangkan yang lebih layak disifatkan hipokrit ialah BN dan Ibrahim sendiri. Selain sikap yang ketara berbeza dalam menerima keputusan dua mahkamah, mereka juga tidak konsisten dengan keyakinan terhadap sokongan rakyat.

Mereka mendakwa kononnya rakyat sudah bosan dengan karenah dan sikap gila kuasa Pakatan Rakyat, bagi menggambarkan kononnya rakyat sudah bulat dan sepakat di belakang BN. Malangnya, apabila didesak memberi peluang kepada rakyat menentukan hakikat itu, mereka bermati-matian pula mengelaknya. Bukankah itu juga hipokrit?

Ibrahim Ali sendiri memang diketahui sangat takut untuk berhadapan dengan perhitungan rakyat Pasir Mas. Beliau telah dicabar mengenai perkara itu dan telah menzahirkan sifat hipokritnya. Apakah layak orang seumpama itu melabelkan orang lain sebagai hipokrit?

SEORANG MUFTI SEPATUTNYA TIDAK LACUH MENGELUARKAN KENYATAAN YANG BERSIFAT MEMIHAK

Mufti Perak memihak, tidak 'menjernihkan'

Meski pun ada pihak yang beriya-iya mendakwa isu pertikaian politik di Perak sudah berakhir ekoran keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya, Jumaat lalu, satu pihak lain pula menganggap keputusan itu makin merumitkan kemelut tersebut.

Kenyataan dan ulasan dari kedua-dua kumpulan parti politik, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat, saling tingkah-meningkah.

Masing-masing cuba meyakinkan khalayak umum bahawa kebenaran berada di pihak mereka. Hujah dan alasan yang mereka kemukakan terdedah kepada nilaian dan pengadilan rakyat.

Namun suatu yang agak janggal dan menjengkelkan ialah apabila pihak yang sepatutnya menyisih diri dari terlibat dalam pertikaian ini seakan ikut masuk campur.

"Kenapa hendak datangkan masalah? Kalau menang belah dia tidak apa, tetapi apabila kalah hendak bangkang,? kata Mufti Perak, sepertimana dipetik Akhbar mingguan Ahad (24 Mei).

Beliau tumpang mengulas hasrat para pemimpin Pakatan Rakyat Perak mengadakan mogor lapar bagi menunjukkan tanda tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir dari BN sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan itu dibuat setelah mahkamah sama membenarkan rayuan Zambry bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) yang memutuskan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dari PAS sebagai Menetri Besar Perak yang sah.

Sukar difikirkan apa perlunya Mufti Perak turut mengeluarkan kenyataan dalam pertikaian antara dua pihak dalam politik. Apatah lagi komen dikeluarkannya itu sedikit tersasar dari konteks isu yang diperbahaskan, lalu ia bukan bertindak menjernihkan kekeruhan yang sudah pun terlalu lama berlarutan, malah makin merumitkan usaha menjernihkannya.

Selaku orang agama yang berada pada posisi yang bertanggungjawab terhadap semua pihak, seorang mufti sepatutnya tidak lacuh mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bersifat memihak. Jangan lah disebabkan terlalu ghairah mempertahankan sesuatu pihak, maka kedudukan yang sepatutnya bersifat neutral itu dijadikan posisi menghentam satu pihak dan memberikan imej serta moral positif kepada satu pihak lain.

Namun itulah nampaknya kecenderungan yang makin dizahirkannya. Mufti Perak nampaknya tidak mengambil pengajaran daripada isu yang hangat diperkatakan bulan lalu, ekoran kenyataannya yang dinilai banyak pihak sebagai sangat sembrono, tidak teliti dan gagal mengambilkira persepsi politik dan dakwah Islam.

Isu itu bermula dari ucapan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang membacakan sepotong ayat al-Quran dalam ceramahnya semasa kempen Pilihan Raya Kecil bagi Parlimen Bukit Gantang, awal April lalu.

Kegagalannya menyebut ayat itu dengan betul dijadikan alasan oleh para pendokong BN kononnya dia telah mempersendakan ayat al-Quran. Ada juga yang mempersoalkan niat sebenar pemimpin itu memetik ayat suci itu, kononnya bertujuan memperalatkannya bagi kepentingan politik.

Ekoran episod itu, beberapa pihak sealiran dengan BN mengemukakan bantahan. Ada yang membuat laporan polis terhadap pemimpin pembangkang itu.

Beberapa tokoh agama, termasuk Mufti Perak, juga disorot pandangan mereka. Secara mudah mereka menghukumkan (berdasarkan apa yang dilaporkan media) apa yang dibuat pemimpin berkenaan suatu persendaan terhadap ayat al-Quran.

Mufti Perak malah mempersoalkan, apa hak pemimpin politik bukan Islam itu membaca ayat al-Quran dalam ceramah politiknya sedangkan dia sendiri tidak beriman kepada Islam?

Di sinilah timbul persoalan demi persoalan. Sebagai anggota masyarakat yang bagaikan tersepit di tengah-tengah pandangan bertentangan antara dua golongan ulama dan pemimpin, kita berhak dijelaskan apakah pendirian sebenar dalam perkara ini yang bertepatan dengan hukum Islam dan prinsip dakwah Islam?

Cuba kenal Islam, dihalang

Dalam dunia serba maju dan terbuka kini, masyarakat tidak lagi gemar dipaksa untuk menerima bulat-bulat sesuatu penjelasan atau "hukuman sembrono", terutama yang dirasakan dibuat atas kepentingan politik mana-mana pihak. Masyarakat sudah mampu berfikir dan merasional sendiri sesuatu perkembangan yang berlaku.

Lagi pun, jika dipersoalkan tentang keimanan seseorang yang membaca al-Quran, apakah yang betul bacaan, faham makna dan betul niatnya itu benar-benar beriman dan beramal dengan ayat-ayat yang dibaca?

Bukti keimanan ialah melaksanakan apa yang dititahkan Tuhan dalam al-Quran. Apakah umat Islam sendiri mengamalkan segala suruhan itu? Ataukah mereka sekadar tahu membacanya sahaja.

Ertinya, jika di atas sandaran itu, bukan sahaja pemimpin politik bukan Islam tadi yang wajar dipersoalkan atas keimanan terhadap al-Quran, bahkan ramai pemimpin politik Islam sendiri layak dipertikaikan.

Kemudian dipersoalkan juga, jika bukan Islam dihalang dari membaca dan memahami al-Quran, sama ada disebabkan ketiadaan iman atau ketidaksucian jasad mereka, bagaimana mereka mahu faham dan mendalami Islam, serta mendekati Islam?

Kita pernah didedahkan dengan kisah sebegitu ramai tokoh terkemuka bukan Islam yang akhirnya memeluk Islam selepas mengkaji al-Quran. Bagaimana mereka berkesempatan mengkajinya sekiranya sedari awal mereka dihalang memegang atau membaca kitab suci itu?

"Saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, cuba dihalang," akhbar memetik ulasan Kor Ming, sekaligus menerangkan niatnya atas tindakan itu.

Isu tersebut tidak memulihkan imej dan reputasi Mufti Perak yang sebelum itu telah pun dilanda pertikaian ekoran kemelut pelantikan Menteri Besar BN. Imej dan maruahnya tidak juga bertambah baik dengan komen beliau berkenaan isu mogok lapar tadi. Kesemua itu sebaliknya membuatkan orang dapat melihat pendirian politiknya lebih jelas dan ketara.

HarakahDaily

Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin Tidak Rebut Naib Presiden PAS


Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sah menarik diri daripada persaingan jawatan naib presiden PAS, sementara Nasrudin Hassan menang tanpa bertanding ketua Pemuda.

Daripada 16 yang dicalonkan untuk tiga jawatan kanan tersebut, hanya lima tokoh PAS bersaing.

Ketua Pemuda sekarang Salahuddin Ayub, ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar dan tiga ahli jawatankuasa pusat Mujahid Yusof Rawa, Datuk Tuan Man Tuan Ibrahim dan Nik Amar Nik Abdullah mengesahkan bertanding.

Seperti diduga, jawatan timbalan presiden menyaksikan perebutan tiga penjuru antara penyandangnya Nasharuddin Mat Isa, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Bagi Pemuda PAS, dua lagi jawatan kanan turut dimenangi tanpa bertanding - masing-masing Azman Shapawi Abd Rani sebagai timbalan ketua dan Ahmad Sabki Yusof (naib ketua).

Jawatan ketua Dewan Muslimat menyaksikan persaingan dua penjuru, antara penyandang Nuridah Salleh dengan pencabarnya Dr Asiah Ali.

Datuk Harun Taib menguasai kembali ketua Dewan Ulama tanpa bertanding seperti dua lagi jawatan kanan - timbalannya kini Datuk Ahmad Yaakob dan naib ketua Datuk Mahfodz Mohamed.

Senarai penuh calon-calon barisan pemimpin PAS diumumkan dalam satu sidang media khas di ibu pejabat parti, Kuala Lumpur pagi ini.

Mogok Lapar Untuk Bukan Islam, Pesuruhjaya PAS Perak Ahmad Awang

Pesuruhjaya PAS Perak menafikan pemimpinnya bermogok lapar - dianggap bertentangan dengan ajaran Islam - seperti didakwa sesetengah pihak.

"Banyak pihak tidak mengambil maklumat yang betul. Sebenarnya, mogok lapar ini untuk kawan-kawan yang bukan Islam. Yang , (mereka) berpuasa sunat," kata Ahmad Awang pagi ini.

"Hari ini 1 Jamadil Akhir. Menurut takwim hijrah, dari 1 hingga 3 hari bulan, (orang Islam) memang sunat berpuasa.

"Dalam Islam pun, memang digalakkan berpuasa sunat dahulu sebelum memohon sebarang hajat yang besar."

Beliau mengulas tuduhan yang dilemparkan kepada PAS - yang bergabung dalam Pakatan Rakyat - apabila menganjurkan mogok lapar selama 72 jam mulai hari ini untuk mendesak pembubaran DUN.

Tokoh agama terkenal Johor, Datuk Noh Gadut semalam dilaporkan berkata, amalan mogok lapar haram dan bercanggah dengan al-Quran dan sunnah kerana ia boleh memudaratkan.

Ahmad juga menjelaskan, Pakatan di Perak tidak mengabaikan aspek kesihatan dalam mogok tersebut apabila perkhidmatan doktor disediakan kepada mereka yang terlibat, termasuk beberapa ADUN.

Menteri besar mereka Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan speaker gabungan pembangkang itu V Sivakumar melancarkan dan menyertai mogok tersebut.

Mogok lapar yang bermula di ibu pejabat DAP Perak di Ipoh pagi ini akan berakhir di pejabat PAS negeri petang Khamis dengan solat hajat.

BALAS DENDAM, UMNO/BN GUNA TAKTIK BOIKOT PRK PENANTI

Umno buat rombongan 31 Mei, elak keluar mengundi?

Umno Bahagian Permatang Pauh dipercayai mengadakan rombongan ke Bukit Kayu Hitam, Kedah dengan tujuan melarikan sebahagian besar ahlinya pada 31 Mei ini.

Kegiatan tersebut dipercayai semata-mata menghalang ahlinya daripada menyertai pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti yang menyaksikan pertandingan empat penjuru tanpa penyertaan Barisan Nasional (BN) iaitu tiga bebas dan seorang calon Pakatan Rakyat.

Harakahdaily dimaklumkan oleh sumber, bas disediakan di semua cawangan dan terpulang kepada ahlinya untuk turut serta atau sebaliknya.

"Kepada mereka yang tidak kesempatan menyertai rombongan tersebut mereka dinasihatkan memboikot pilihan raya berkenaan bagi mengurangkan peratus jumlah keluar mengundi," kata sumber terbabit.

Pada pendapat mereka, kata sumber itu jika peratus jumlah keluar mengundi turun tidak mustahil calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman kalah dan menyukarkan pentadbiran Kerajaan Negeri untuk mengisi kekosongan kerusi Timbalan Ketua Menteri 1 yang tinggalkan penyandangnya sebelum ini Mohamad Fairus Khairudin.

Tindakan Umno dan Barisan Nasional (BN) itu bukan sahaja menjejaskan pentadbiran Kerajaan Negeri bahkan boleh mencetuskan salah faham dan perpecahan sesama parti gabungan Pakatan Rakyat.

Ini merupakan peluang untuk Umno dan BN membalas dendam kekalahan bertubi-tubi mereka ketika berhadapan dengan Pakatan Rakyat sejak kebelakangan ini.

Namun kata sumber itu, bagi mengatasi perkara ini daripada berlaku jentera Pakatan Rakyat harus melipat gandakan gerakan penerangan kepada rakyat betapa pentingnya pilihan raya kecil ini diadakan untuk melincinkan pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan Lim Guan Eng yang jelas berjaya memperkenalkan beberapa strategi pembangunan serta membantu golongan miskin tegar walaupun baru memerintah setahun berbanding Umno dan BN.

HarakahDaily

MOGOK LAPAR : LIMA DITAHAN DI WISMA DAP

Lima orang dari firma pengurusan majlis yang dilantik Pakatan Rakyat ditahan polis ketika cuba menguruskan mogok lapar di luar Wisma DAP di sini pagi ini.

Mereka ditahan kira-kira 7 pagi. Acara itu sepatutnya dijadual dirasmikan pukul 10 pagi ini.

Selain ditahan, pihak polis juga merampas sebiji belon besar yang sepatutnya dilepaskan ke udara ketika pelancaran mogok lapar nanti.

Menurut laporan sebuah laman web, petugas DAP mendakwa belon berharga RM2,000 itu ditempah khas untuk pelancaran tersebut dan ditulis dengan 'Daulat Tuanku' dan 'Bubarkan DUN' .

Setakat ini, tiada wakil rakyat Pakatan yang berada di Wisma tersebut ketika penahanan dan rampasan itu berlaku.

Namun sehingga 9.15 pagi tadi, sepasukan polis termasuk 20 FRU kelihatan berada di pejabat DAP terbabit.

Pelancaran mogok lapar ini adalah bertujuan untuk meminta Sultan Perak untuk membubarkan DUN negeri itu dan dijangka akan dirasmikan jam 10 pagi ini oleh Menteri Besar Pakatan Rakyat Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Speaker V Sivakumar.

Aminah Digesa Balik Tarik Balik Tuduhan, Saifudin Nasution Ismail

Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) akan menyerahkan semua tuduhan calon bebas, Aminah Abdullah kepada pihak peguam kononnya terdapat bukti mendapat sogokan dan tawaran oleh dua orang kepimpinan KeADILan .

Pengarah Pilihanraya KeADILan, Saifudin Nasution Ismail dalam kenyataan medianya di Yayasan Aman, Penanti pagi tadi menyebut, apa yang disuarakan oleh Puan Aminah belum terbukti kesahihan dan jika sekiranya tidak betul maka parti tidak teragak-agak meminta pihak peguam mengantar surat supaya beliau meminta maat atau tarik balik tuduhan tersebut.

"KeADILan tidak teragak-agak mengambil tindakan saman sekiranya apa dipertuduhkan tidak sahih dan kabur. KeADILan tidak mahu ia dijadikan isu kerana lebih mementingkan agenda memperkenalkan calon dan agenda perjuanganya bilamana memenangani pilihan raya nanti, " tegasnya.

Bukan masanya KeADILan melayan kerenah bekas ahlinya yang telah pun mengistiharkan keluar parti tetapi lebih menumpukan pada soal penerangan kepada pengundi.

Semasa sidang media pagi tadi, Aminah mendedahkan beliau didatangi dua orang wakil KeADILan iaitu Pegawai Khas kepada Exco dan salah seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan untuk membincangkan beberapa tawaran jawatan dan gantirugi serta menceritakan masalah dalaman parti.

Perkembangan lain Saifudin yang juga Ahli Parlimen Machang memberitahu, KeADILan telah mengatur 15 program sehari termasuk satu program perdana untuk calon N12 Penanti, Dr Mansor Othman turut padang berjumpa semua lapisan masyarakat.

Masa sekarang bukan memperbincangkan soal peribadi sebaliknya isu semasa yang boleh mempamerkan kejituan kerjasama di samping menerangkan kepentingan pilihanraya kecil ini.

"Jika menang di Penanti kita dapat meneruskan agenda yang telah di atur bersama Kerajaan Negeri. Dr Mansor yang akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 pasti memperkasakan apa yang menjadi agenda yang dekat di hatinya, " jelas beliau.

artikel asal : HarakahDaily

DEBAT NIZAR - ZAMBRY? YANG NI AKU SETUJU, NAK TENGOK MUGABE BERDEBAT! DEBATE OF THE CENTURY..

NIZAR vs ZAMBRY : NAK BERDEBAT PULAK

Siri Debat Agendadaily kembali...Nizar vs Zambry


Proses perundangan dalam mencari penyelesaian kemelut politik Perak, semakin hampir kepada kemuncaknya. Ini kerana proses mahkamah untuk menentukan tuntutan Datuk Seri Nizar Jamaluddin bahawa beliau masih Menteri Besar yang sah hanya tinggal di peringkat Mahkamah Persekutuan jika beliau ingin terus merayu.

Agendadaily menerima banyak panggilan meminta siri Debat Agendadaily diadakan di antara Nizar dengan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sehubungan itu, pihak kami telah menghubungi Dr Zambry mengajukan soalan sama ada beliau sedia atau tidak untuk berdebat dengan Nizar berhubung dengan kemelut politik negeri Perak itu.

Menurut Dr Zambry, beliau pada prinsipnya tidak ada halangan dan sedia untuk berhujah mengenai isu kemelut politik Perak melalui program debat yang hendak dianjurkan.

“Saya tiada ada halangan. Pada prinsipnya saya setuju,” kata beliau.

Hari Sabtu semasa dalam perjalanan ke Penanti bagi membuat liputan penamaan calon pilihan raya kecil DUN Penanti, Agendadaily kebetulan bertemu dengan Nizar di kawasan rehat Bukit Merah, Lebuhraya Utara Selatan.

Kesempatan bertemu itu tidak dilepaskan dengan terus memberitahunya bahawa Agendadaily bercadang untuk mengajurkan debat berhubung dengan isu politik negeri Perak dan Dr Zambry pada prinsipnya telah menyatakan persetujuan beliau.

“Baguslah macam tu. Kalau beliau setuju saya pun tidak ada halangan, baik sangat cadangan itu,” katanya sambil meminta agar debat itu diadakan selepas Muktamar PAS awal Jun ini kerana beliau sibuk dengan persiapan untuk muktamar parti berkenaan.

Sekiranya debat ini menjadi, ia adalah siri ketiga yang dianjurkan oleh Agendadaily setelah hampir setahun lalu, debat antara Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Chek ketika itu dengan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan.

Kemudiannya siri debat Agendadaily mempertemukan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Menteri sekrang, Lim Guan Eng dalam isu tanah di Pulau Pinang.

Kedua-dua siri debat yang dianjurkan tersebut telah disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen.

Bagi debat antara Dr Zambry dan Nizar, pihak Agendadaily sedang mengadakan rundingan dengan stesen televisyen. Sekiranya mendapat kelulusan, debat berkenaan direncana akan diadakan penghujung bulan Jun 2009.

Bagi Agendadaily, tujuan debat ini dianjurkan ialah bagi membolehkan kedua-dua pihak memberikan penjelasan berhubung kemelut politik Perak secara objektif dan tidak diselubungi dengan sentimen serta emosi politik.

Malah format debat yang akan diadakan sama dengan siri debat yang lalu di mana kedua-dua pihak mendapat peluang yang sama bagi mengemukakan hujah masing-masing. Pada akhirnya rakyat dapat membuat kesimpulan tentang isu sebenar yang berlaku.

artikel asal : BIAQPILA

Krisis UMNO Perlis : Penyokong 'rasa tertipu' Mainan Umno

Bekas ketua penerangan Umno Perlis mendakwa ramai ahli parti itu termasuk di kalangan Pemuda bersedia meninggalkan parti itu jika beliau berbuat demikian.

"Respons awal ialah mereka akan meneliti perkara itu dan sedia bersama saya.

"Mereka berkata kalau Datuk Hashim lompat, mereka akan lompat juga," kata Datuk Hashim Suboh hari ini.

Beliau mendakwa, kebanyakan mereka juga "berasa tertipu" dengan permainan politik Perlis sekarang bawah barisan kepemimpinan baru sejak Mac tahun lalu.

Beliau juga mendakwa, ketua penerangan Umno negeri yang baru Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad "tidak pandai menjalin hubungan dengan orang lain".

Katanya, keadaan ini boleh menjejaskan imej parti terutama ada kumpulan yang tidak senang dengan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

"Umno Perlis menjadi kacau bilau kerana tindakan-tindakan bekas setiausaha agung Umno itu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Radzi di sebuah akhbar hari ini yang menganggap laporan di internet bahawa ramai ahli Umno Perlis menyertai pembangkang adalah "gimik politik murahan demi meraih populariti peribadi sebagai membantah kepemimpinan Umno negeri".

Hashim berkata, perkara ini akan menjadi lebih besar jika ia tidak diselesaikan dengan segera.

Orang kanan bekas menteri besar Datuk Seri Shahidan Kassim itu juga kecewa dengan dakwaan Radzi bahawa laporan media bahawa ramai ahli Umno Perlis telah dan akan menyertai pembangkang "didalangi oleh individu tertentu yang mensabotaj parti ketika kempen pilihan raya umum tahun lalu".

Hashim menambah, untuk membuktikan dakwaan tersebut benar atau tidak, ahli parlimen Kangar perlu bertemu dengan mereka yang berpaling tadah.

"Tanya mereka sendiri mengapakah mereka keluar Umno. Jawabannya, kerana (mereka) meluat dengan Radzi," katanya.

artikel asal : TVAntara

SPR 'pak turut' UMNO/BN

SPR Mahu Ambil Tindakan Sesiapa Perleceh Maruah Umno-BN

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) benar-benar serius mahu menjalankan tugasnya di pilihan raya kecil N12 Penanti.

Banyak amaran telah dikeluarkan supaya parti-parti yang bertanding mematuhi setiap peraturan dan garis panduan semasa berkempen dalalm PRK ini.

Sebelum ini parti-parti politik dalam PRK Penanti tidak dibenarkan mendirikan pondok panas dan jumlah penyokong yang mengiringi calon pada hari penamaan juga dihadkan kepada 5,000 sahaja. Kedua-dua peraturan ini dipatuh dengan baik oleh semua pihak. Ini tentu sekali menyenangkan hati SPR dan juga menyenangkan tugasnya.

Hari ini pula SPR mengeluarkan satu lagi amaran akan mengambil tindakan terhadap parti dan calon yang memburukkan parti yang tidak bertanding dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Parti yang tidak bertanding dalam PRK ini ialah Barisan Nasional yakni Umno jadi amaran SPR itu sudah tentu ditujukan bagi sesiapa yang mengkritik atau menghamun BN kempen pilihan raya.

Timbalan Pengerusinya, Wan Ahmad Wan Omar,berkata perbuatan menjatuhkan maruah parti yang tidak bertanding dalam pilihan raya adalah tindakan yang tidak beretika dan boleh dikenakan hukuman kerana melanggar Akta Keselamatan Pilihan Raya.

Persoalan yang ingin diajukan kepada SPR bagaimana sekiranya parti yang tidak bertanding berlagak seperti ia parti yang bertanding.

Daripada maklumat yang diterima walaupun UMNO-BN tidak meletakkan calonnya di Penanti lagaknya bagai ia bertanding.

Parti itu dikatakan sejak sehari dua ini sudah mula menganjurkan ceramah politik berhampiran Penanti. Umno juga telah siapkan banyak khemah untuk memuatkan ribuan orang tetapi malangnya jumlah yang hadir tidak lebih daripada 50 orang sahaja.

Di beberapa Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) ada pihak tertentu diberitakan menganjurkan makan angin ke Padang Besar dengan tujuan membawa lari pengundi daripada menjalankan hak dan tanggungjawab mereka.

Sasaran pihak tertentu ini adalah pengundi-pengundi Pakatan Rakyat dan mereka ditawarkan makan angin percuma ke Padang Besar dan diberi duit belanja pula.

Sekiranya dakwaan ini benar adakah SPR sebagai badan yang "telus", "bebas" dan "profesional" akan mengambil tindakan ke atas Umno dan BN dan melarang mereka bertanding dalam mana-mana pilihan raya, kecil atau besar?

Beranikah SPR berbuat demikian atau SPR hanya menjadi pen-SURUH-anjaya kepada Umno dan BN dan me-PILIH-an-milih tindakan kepada pihak yang tidak sebulu dengan pen-SURUH-annya?

Bagaimana SPR hendak mepertahankan maruah Umno-BN bila mereka sudah tidak ada lagi maruah yang ingin dipertahankan?

Mungkin sebelum SPR senang-senang memberi amaran kepada mana-mana pihak elok-eloklah mencermin dirinya sendiri dahulu.

artikel asal : TVAntara

BERBALOIKAH AHMAD SAID TANGGUNG PROJEK IDRIS JUSOH?

Hampir RM 1 bilion projek-projek yang dicurahkan ke dalam daerah Besut semasa pemerintahan bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh, kini menjadi beban kewangan kepada kerajaan negeri Terengganu.

Perkara tersebut telah di dedahkan oleh Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad Said semasa sesi dialog selama sejam dengan pihak media, sempena genap setahun beliau menjadi Menteri Besar, April lalu.

“(Perbelanjaan) projek sambung (dalam) bajet tahun 2009, kalau saya tidak sambung projek itu, ia akan terhenti,

“Saya kena belanja bajet (kerajaan negeri sebanyak) RM500 hingga RM600 juta untuk meneruskan projek itu,”katanya ketika menafikan tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa Ahmad telah mengenepikan daerah Besut dalam rancangan pembangunan negeri Terengganu.

Katanya, projek pembinaan Universiti Darul Iman (UDM) sebanyak RM 250 juta, Taman Ilmu sebanyak RM410 juta, Sekolah Menengah Imtiaz RM145 juta, pasar Jerteh Souq RM75 juta.

Perbelanjaan tersebut katanya belum termasuk kos-kos tambahan yang timbul seperti projek Taman Ilmu yang akan ditambah lagi sebanyak RM160 juta.

“(Pembinaan) Taman Ilmu (kos) RM250 juta sedang berjalan dan tambah, ia tak cukup tambah lagi sebanyak RM160 juta, adalah nak suruh saya ‘stop’ (hentikan) projek itu,

“saya boleh ‘stop’, tapi kalau ‘stop’, cerita lain (pula jadinya), Masjid Hdhari berapa juta (pula) yang diperlukan untuk tambahan”jelasnya.

Beliau mencabar pihak media membuat perbandingan projek-projek yang dilaksanakan dalam daerah Kemaman, Bahagian yang diketuainya.

“Bandingkan dengan Kemaman, apa saya buat (di) Kemaman, berapa juta saya belanja, mana projek Kemaman?,”soal beliau.

Pertelingkahan antara Ahmad Said dan Idris Jusoh begitu nyata sehingga Ahmad dituduh takut untuk ‘turun’ ke daerah Besut.

“Tak takut apa, apa benda saya nak takut, saya tak perlu takut, takut apa, ‘you’ aja yang kata saya takut atau orang Besut,”tegas Ahmad yang berkata, bagaimana beliau boleh hadir ke daerah Besut sekiranya tidak ada program yang diaturkan untuk beliau.

Pada 1 April, 2009, Ahmad dan Exconya telah bermesyuarat dan mengadakan beberapa program di daerah Besut, bagi meredakan pertelingkahan diantara kumpulan yang menyokong Idris dan kumpulan yang menyokongnya.

Namun, program tersebut ternyata tidak menurunkan ‘amarah’ kedua-dua kumpulan tersebut.

Dua minggu selepas itu, pada 14 April, Dato’ Rosol mengetuai 10 ADUN lain dari kumpulan yang menyokong Idris telah memboikot yang sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Rosol terus-terang dalam sidang media yang diadakan pada hari itu mendesak supaya Ahmad meletakkan jawatan !

artikel asal : BuletinOnline

ZAMBRY MARAH DIGELAR "Menteri Besar Mahkamah"

Dr Zambry Abd Kadir marah apabila Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat memberi gelaran "Menteri Besar Mahkamah" kepada beliau.

Sebaliknya beliau mahu gelaran tersebut diberikan kepada Nizar Jamaluddin yang menurutnya orang yang memulakan proses mahkamah bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Perak yang sah.

"Jadi proses mahkamah itu dilakukan oleh Nizar, bukannya saya. Tok Guru (Nik Aziz) yang saya hormati pun manusia juga, dia pun buat silap dan bukannya manusia maksum.

"Jadi saya tolong perbetulkan sedikit pandangan Tok Guru itu," kata Zambry yang dipetik Bernama.

Sabtu lepas Nik Aziz berkata Dr Zambry adalah Menteri Besar Mahkamah kerana tidak mewakili seluruh rakyat Perak.

Beliau menduduki kerusi Mneteri Besar selepas Mahkamah Rayuan pada 22 Mei lalu mengisytiharkannya sebagai Menteri Besar Perak yang sah dalam satu keputusan sebulat suara selepas mendapati keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lepas bahawa Mohammad Nizar adalah Menteri Besar yang sah adalah salah.

Dr Zambry juga menolak kemungkinan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pimpinannya akan mendapatkan perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sebagai jalan penyelesaian kemelut politik di negeri itu.

"Sekarang ini kita berpandukan kepada apa yang telahpun diputuskan oleh mahkamah.Meskipun kita mempunyai peruntukan-peruntukan yang diberikan tetapi proses yang berlaku sekarang ini ialah proses perundangan.

"Jadi biarlah proses perundangan itu mengambil tempatnya dan kita mengharapkan semuanya akan berjalan seperti biasa," katanya mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa langkah itu merupakan pilihan terbuka kepada BN tetapi tidak semestinya ia satusatunya jalan menentukan kerajaan mana ada suara majoriti.

Gelaran yang diberikan kepada beliau mungkin bersesuaian melihat kepada ketidaksanggupan beliau mengadakan undi tidak percaya terhadap Ni zar dalam sidang Dewan Undangan Negeri dan enggan membubarkan DUN bagi membuka laluan kepada pilihan raya baru negeri.

Sikap Dr Zambry yang mahu terus memegang jawatan tersebut hasil pekutusan mahkamah menyakinkan lagi rakyat bahawa gelaran yang diberikan oleh Nik Aziz kepada beliau tepat dan benar.

artikel asal : TVAntara

Monday, May 25, 2009

Selangor Selar Tindakan Melampau Polis Menahan ADUN Teratai

Kerajaan Negeri Selangor hari ini berasa kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan melampau polis menahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee bersama 15 orang lain ketika perhimpunan aman di pejabatnya baru-baru ini.

Perhimpunan Aman pada Khamis lalu tersebut sama sekali tidak mengancam keselamatan dan kekacauan kepada masyarakat setempat berikutan mereka berhimpun secara aman.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (kanan) pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Selangor di Dataran Dewan Undangan Negeri, Shah Alam.

Demikian satu kenyataan akhbar Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sejurus selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan, Jabatan-jabatan Kerajaan Selangor di Dataran Dewan Undangan Negeri, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dekat sini pagi tadi.

Katanya, kerajaan negeri begitu kesal dengan siri tangkapan tersebut yang melibatkan orang awam, aktivis kebebasan asasi manusia dan ahli politik.

“Mengikut data yang dikumpul oleh SUARAM pada Mei sahaja sebanyak 146 tangkapan sudah dibuat yang kebanyakkannya melibatkan perhimpunan aman.

Keadaan bertambah buruk lagi apabila pihak polis membuat serbuan ke pejabat DAP baru-baru ini dan ini jelas menunjukkan perkembangan yang tidak sihat kepada negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Sehubungan itu, Abdul Khalid mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan kebebasan bersuara dan hak berkumpul secara aman, hak asasi yang termaktub dalam Deklarasi Hak-hak Asasi Sedunia dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Kami menyeru pihak polis supaya menghormati dan mempertahankan hak-hak tersebut.

“Satu pendekatan baharu yang fleksibel sudah dipersetujui bersama Ketua Polis Negeri Selangor iaitu semua perbincangan boleh dibuat di tempat tertutup seperti di dewan dan perarakan kecil (aman) tempoh singkat sebelum ke dewan dibenarkan tanpa perlu permit”, jelas Abdul Khalid pada sidang media di Dewan Annex dekat sini.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (tengah) ketika sidang akhbar isu penahanan ADUN Teratai di Dewan Annex, Shah Alam.



artikel asal : SelangorKini

Puasa Sunat Dan Mogok Lapar Di Perak Bertepatan, Ustaz Ahmad Awang

Esok tanggal 1 Jamadil Akhir adalah hari yang sangat sesuai dan digalakkan untuk umat Islam berpuasa sunat selama tiga hari berturut-turut dan bermunajat pada malam hari.

Pesuruhjaya Pas Perak, Ustaz Ahmad Awang menegaskan keputusan Badan Perhubungan Pas Perak untuk menganjurkan puasa sunat dan munajat sewaktu berhadapan dengan kemelut politik di negeri Perak juga adalah selaras dengan Islam.

Katanya, keputusan Pas selaras dengan hasrat parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang mahu menganjurkan mogok lapar tiga hari mulai esok sebagai membantah kezaliman Barisan Nasional terhadap rakyat di negeri itu.

“Saya sudah bertanya kepada rakan-rakan bukan Islam daripada Dap dan KeADILan, mereka mengatakan mogok lapar yang dianjurkan tidak dibuat sehingga menyeksa diri.

“Lagi pun mereka menyediakan khidmat doktor yang akan sentiasa memantau keadaan,” katanya.

Sekaligus Ustaz Ahmad menolak kenyataan Mufti Perak, Harussani Zakaria yang mengatakan umat Islam haram melakukan mogok lapar.

“Jangan kita terperangkap dengan mainan media, kita orang Islam, sudah tentu kita faham beza antara mogok lapar dengan berpuasa sunat.

Ustaz Ahmad memberitahu, beliau sudah mengarahkan Pas Kawasan-kawasan seluruh Perak untuk menganjurkan puasa sunat dan pada Khamis (hari ketiga berpuasa) malamnya diadakan solat hajat dan munajat.

Tegasnya, matlamat utama berpuasa sunat dan munajat diadakan ialah untuk memohon kepada Allah agar digerakkan hati pihak yang berkuasa bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri.

“Kita tidak mahu terlalu hampa dengan kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan, kita masih ada peluang di Mahkamah Persekutuan, apa yang kita mahu, sebagai orang Islam, kita mesti sentiasa dekat kepada Allah dan memohon pertolongan dari-Nya,” tegas beliau.

Sehubungan itu beliau mempelawa umat Islam yang berpuasa di Perak untuk menyerai majlis berbuka puasa yang akan diadakan di Pejabat Badan Perhubungan Pas Perak selama tiga hari berturut-turut mulai esok.


Gandingan Mantap Bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang Bantu Memajukan Parti, Dato' Husam Musa

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa secara rasmi sah mencabar Nasharuddin Mat Isa bagi jawatan timbalan presiden parti, kemungkinan besar dalam persaingan sengit tiga penjuru.

Dalam pengumumannya di ibu pejabat parti itu tadi, beliau berkata gandingannya dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh menolong memajukan lagi parti.

"Saya yakin bahawa gandingan yang mantap boleh membantu Datuk Seri Tuan Guru memimpin PAS terus-menerus menerokai kemajuan dan pembukaan sehingga berjaya dari segi politik menggantikan tempat Umno sebagai teraju utama negara pada masa akan datang," katanya.

"Penolakan ke atas Umno adalah kerana sifat perjuangannya yang memisahkan aktiviti pemerintahan daripada hitungan akhirat dan bimbingan wahyu, yang membawa kepada berleluasanya korupsi, penyelewengan dan salah guna kuasa serta hilang puncanya
Umno dalam isu hubungan kaum dan agama di Malaysia."

Seorang lagi naib presiden Mohamad Sabu juga berminat jawatan nombor dua PAS.

Beliau dijangka mengesahkan bertanding hari ini, hari terakhir semua calon berbuat demikian menjelang pemilihan parti di muktamar tahunannya di Shah Alam bermula 5 Jun ini.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar juga mengesahkan bertanding jawatan naib presiden.

Seramai 16 pemimpin dicalonkan untuk merebut tiga jawatan kanan tersebut. Bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan jumlah sebenar mereka yang berminat.

Parti itu akan mengumumkan pemimpin-pemimpin yang ingin bertanding dalam satu sidang akhbar khas, esok.

Sementara itu, Husam juga berkata pandangan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din "bersifat peribadi" dan "tidak mewakili keseluruhan pandangan PAS."

Sabtu lalu, tokoh ulama itu memberi amaran kepada parti agar berwaspada terhadap pemimpin-pemimpin PAS yang ditaja oleh musuh - termasuk oleh Umno atau negara asing - yang mengambil kesempatan dalam pemilihan kali ini.

Beliau kemudian mencadangkan kepada PAS agar mengetatkan mekanisme pemilihan parti bagi menyekat kemaraan pemimpin seumpama itu.

Pertandingan PAS kali ini disifatkan persaingan dua aliran besar - satu pro-rundingan dengan Umno dan satu lagi pro-kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Nasharuddin - yang terlibat sendiri dalam satu rundingan sulit dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, waktu itu presiden Umno, sejurus selepas pilihanraya umum tahun lalu - dikategorikan dalam kumpulan yang bertentang dengan Husam.

Exco kerajaan Kelantan itu dikatakan lebih menyenangi idea mengukuhkan kedudukan PAS dalam gabungan pembangkang.

artikel asal : TVAntara



klip video ehsan : greenboc

Dato' Paduka Husam Musa dan Dato' Mahfuz Omar Sahkan Bertanding

Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa sahkan beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS pada pemilihan Muktamar Jun depan.

"Saya buat keputusan muktamad pagi tadi...saya dah serahkan borang terima pencalonan sebentar tadi," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Nasharuddin, Timbalan Presiden PAS sejak dua penggal, pagi tadi juga mengesahkan akan mempertahankan jawatannya buat penggal ketiga.

Husam telah memaklumkan perkara itu kepada Mursyidul Am PAS,Tuan Guru Dato' Abdul Nik Aziz Nik Mat pagi tadi dan akan berbuat demikian juga apabila menemui Presiden, Dato' Seri Abdul Hadi Awang tengah hari ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar turut mengesahkan bahawa beliau bertanding jawatan Naib Presiden PAS pada pemilihan akan datang.

artikel asal : HarakahDaily




klip video ehsan : jiwokelate2009

PR mahu bawa rakyat keluar dari kemelut angkara BN, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang

Pakatan Rakyat tidak mencari kemenangan pada pilihanraya hanya untuk mendabik dada, sebaliknya untuk membawa pembaharuan dalam urus tadbir yang mampu membela segenap lapisan rakyat.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS dan Pakatan Rakyat sedang berjuang untuk menumpaskan politik perkauman sempit UMNO-Barisan Nasional yang diselubungi rasuah dan penyelewengan kuasa.

Justeru, bagi Pakatan Rakyat, tidak timbul soal enggan bertanding pada sesuatu pilihanraya atas kepentingan politik, Hadi memberitahu kira-kira 4,000 orang di Guar Perahu, Permatang Pauh malam tadi.

“Kepada kita, lawan tetap lawan. Menang pun kita lawan, kalah pun kita lawan. Kita sanggup rebah bangun dalam membela rakyat. Kita tidak mahu menjadi satu parti yang hanya bertanding jika ia menang sahaja, jika kalah, melarikan diri – parti oportunis yang hanya mencari kesempatan,” tegas beliau.
Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri Najib Tun Razak mengambil keputusan bersejarah tidak bertanding pada pilihanraya kecil Penanti, setelah parti itu kalah pada keempat-empat pilihanraya kecil di Semenanjung semenjak pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Hadi berkata walaupun UMNO tidak bertanding, namun kesan angkara BN keatas masyarakat, ekonomi dan sistem kerajaan amat kuat dirasakan.

“Walaupun tidak ada calon BN dalam pilihanraya kecil ini, namun roh BN masih ada. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan para pengundi dan Pakatan Rakyat untuk menghidupkan demokrasi,” kata Hadi.

“Manusia ada hati dan nurani. Manusia tidak dapat disatukan dengan aspek ekonomi dan identiti kaum atau negara sahaja. Manusia hanya dapat disatukan jika pemimpin mereka adil dan mentadbir dengan cara yang sewajarnya,” tambah Hadi.

Hadi berkata kemenangan politik yang dicari oleh Pakatan Rakyat bertujuan untuk membawa negara keluar daripada kancah salah laku UMNO-BN.

“Parti yang lemah ini (UMNO-BN), tidak mampu menangani masalah yang sedia ada. Pentadbiran yang penuh dengan penyakit rasuah, pilih kasih, dan yang paling malang tidak mampu menangani krisis ekonomi yang melanda dunia hari ini,” kata Hadi.

“Hari ini mereka menonjolkan slogan 1Malaysia. Sebelum ini slogan mereka adalah bersih, cekap dan amanah. Bersih tak jadi bersih. Cekap jadi cekup, amanah jadi punah-ranah. Selepas itu Islam Hadhari…dimana Islam Hadhari?” tambah beliau.

artikel asal : TVAntara

"Ini Kecelakaan Yang Menimpa Kemanusiaan Di atas Kepuasan Nafsu Kepimpinan UMNO Sekarang", Tuan Guru Dato' Seri Nik Aziz Nik Mat



klip video ehsan : tvpas09

MOGOK LAPAR ESOK

Pakatan Rakyat akan mengadakan kempen damai mogok lapar pagi selasa ini di Wisma DAP Perak di Ipoh sebagai manifestasi bersama rakyat supaya DUN dibubarkan.


Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sg Lembu, Penanti




klip video ehsan : MediaRakyat

Dr Mansor Othman di Sg Lembu, Penanti



klip video ehsan : MediaRakyat

Aminah Dedah Bukti PKR Sogok

Calon bebas Aminah Abdullah mendakwa mempunyai bukti PKR cuba menyogoknya dengan jawatan penting jika beliau tidak bertanding dalam pilihanraya kecil Penanti, 31 Mei ini.

Dalam sidang medianya pagi ini, bekas ketua Wanita PKR Pulau Pinang mendakwa, dua wakil parti itu menemuinya pada 13 Mei lalu untuk menawarkan jawatan yang dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Tambahnya, seorang ahli badan perhubungan PKR negeri dan pembantu seorang exco kerajaan negeri, daripada parti itu, menemuinya dengan mendapat restu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Aminah juga mendakwa, jika berjaya menewaskan calon PKR Mansor Othman dalam pilihanraya DUN itu, beliau akan dibenarkan menyertai parti itu dan diberikan jawatan timbalan satu ketua menteri.

Calon berlambangkan kunci itu mendedahkan buktinya - dalam bentuk rakaman audio - kepada wartawan dalam sidang media di Penanti.

Rakaman tiga jam itu kini sedang disalin oleh kumpulan wartawan yang membuat liputan tersebut.

Aminah juga berkata beliau akan membuat aduan polis hari ini berhubung perkara tersebut dan untuk mendapatkan perlindungan pihak berkuasa tersebut susulan pendedahannya itu.

Beliau akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok mengenai isu tersebut, dengan mendedahkan nama dua wakil PKR dan foto rakaman pertemuan tersebut.

atikel asal : malaysiakini

BN = BADUT NASIONAL

Siri Lawak Badut Nasional Sudah Bermula

Siri teater lawak nasional sudah bermula untuk musim baru. Watak utama teater komedi ini tidak lain tidak bukan dipegang dan dilakonkan oleh Badut Nasional. Badut Nasional atau nama pendeknya BN memang pelakon yang handal sejak mula menceburi bidang teater lawak ini lebih lima dekad yang lalu. Selama tempoh yang panjang itu lebih tepat lagi sejak zaman merdeka watak BN ini telah dipegang oleh beberapa tokoh lawak yang berbeza-beza kemampuannya sebagai pelawak. Ada pelawak yang agak banyak jasanya kepada seni teater lawak, ada juga pelawak yang gila kuasa sebab tidak mahu orang lain mengambil tempatnya. Baru-baru ini setelah seorang pelawak yang agak singkat jangka waktu ia memegang watak BN, seorang lagi dinobatkan sebagai BN.

Badut Nasional yang baru ini lagi gila kuasa walaupun dia mengaku kepada rakyat yang menonton teater lawaknya bahawa dia bukan seorang yang gila kuasa. Kata BN ini lagi kuasa hanya beliau perlukan untuk berkhidmat kepada rakyat. Maknanya BN ini mahukan kuasa hanya untuk membolehkan ia melakonkan lawaknya dengan lebih efektif, tidak lebih daripada itu.

Hampir empat bulan yang lalu BN ini telah membuat satu teater lawak di negeri yang bernama Perak. Pada kala itu negeri bernama Perak ditadbir oleh lawan kepada BN yang bergelar PR. PR ini telah dipilih oleh rakyat negeri bernama Perak itu dalam satu proses yang demokratik, telus serta benar-benar mencerminkan aspirasi dan cita-cita rakyat yang mahukan perubahan. Ini kerana sebelum itu lebih tepat lagi sejak zaman merdeka negeri berama Perak ini diperintah oleh kaum kerabat dan kuncu-kuncu BN tetapi rakyat sudah menyampah dan mual dengan sikap kaum kerabat dan kuncu-kuncu BN ini yang tamak dan rakus kuasa ditambah pula dengan amalan rasuah yang bermaharajalela di negeri mereka. Maka pada pilihan raya umum anjuran agensi di bawah BN bernama Suruhanjaya Pilihan Raya rakyat telah bangun menggunakan kuasa ditangan mereka untuk menumbangkan kekuasaan kaum kerabat dan kuncu-kuncu BN. Bukan kepalang marahnya BN apabila negeri bernama Perak jatuh kepada lawannya bernama PR. BN tidak dapat menerima kekalahan yang begitu pahit baginya, lebih pahit daripada hempedu. Hempedu pun tidak sepahit kekalahan BN di negeri bernama Perak. Yang lebih memahit dan memilukan lagi kepada BN empat buah negeri lain juga turut jatuh ke tangan PR. Bertambah peritlah lagi penyeksaan zahir dan batin BN apabila lima negeri mennyahkan kaum kerabat dan kuncu-kuncu BN daripada tampuk pemerintahan.

Semenjak daripada itu BN tidak berputus asa dan sentiasa memikir dan berusaha bagaimana BN mendapatkan semula negeri-negeri yang jatuh ke tangan PR ke tangannya semula. Maka BN telah memilih negeri bernama Perak untuk memulakan projek teater lawaknya. Sebagai permulaan lakonan lawaknya BN mencuri tiga daripada menteri PR. Mereka bertiga ini hilang beberapa hari tanpa berita dan khabar tetapi dalam setiap lakonan mesti ada elemen kekejutannya. Maka rakyat negeri bernama Perak dikejutkan dengan kemunculan tiga orang menteri PR tersebut di istana BN. Berdiri di sisi BN mereka bertiga tersenyum lebar daru telinga ke telinga kerana sesungguhnya BN tela menawan hati mereka dengan lakonan lawaknya yang maha hebat. BN tidak berpuas hati sekadar mencuri tiga orang menteri PR. Dia bergegas ke istana mengadap As Sultan dengan membawa bukti hidup kepada baginda bahawa ketiga-tiga menteri PR itu telah menyeberang daripada PR untuk menyokong BN. Dipendekkan ceritera hikayat lawak BN maka As Sultan pun memperkenankan calon BN untuk menjadi MB menggantikan MB PR. Lakonan BN yang amat menyakinkan As Sultan itu bagaimanapun dihidu rakyat jelata dan lantas mereka tidak mahu lagi menonton teater lawak BN. Malah mereka saban hari terus mendesak supaya BN mengembalikan hak mereka yang telah dirampas BN. BN tetap tidak mahu mengaku kalah lalu digunakanlah segala apparatus negara yang ada untuk mendokong lakonan lawaknya yang sudah menjadi basi dan tidak laku.

Negeri bernama Perak tidak tenteram, rakyatnya sugul dan bersedih atas apa yang menimpa negeri mereka. seperti todak melanggar Pulau Singapura, ibarat dilanda burung garuda. Demi mempertahankan hak rakyat yang dicabul, MB PR pun berjuang untuk mendapatkan haknya kembali melalui mahkamah yang hakim-hakimnya semua adalah lantikan BN. Baru-baru ini BN berjaya mendapatkan keputusan yang memihak kepadanya dan mahkamah pun terus memberi nyawa kepada MB BN untuk terus bernafas. Rakyat terus dirundung malang dan derita kerana hak mereka agar PR terus memerintah negeri bernama Perak dihampakan dengan kelicikan lakonan lawak BN. Maka sehingga kini rakyat negeri bernama Perak berduka nestapa, berpuasa dan bermogok lapar agar hasrat dan doa mereka dimakbulkan. Mereka terpaksa menerima hakikat di negeri bernama Perka kini ada dua MB dan dua Speaker.

Dalam pada BN sibuk melakonkan lawaknya di negeri bernama Perak, kaum kerabat dan kuncu-kuncu BN mendapat ilham untuk meniru lakonan hebat BN itu kerana bagi mereka BN adalah idola mereka. Maka kaum kerabat BN bernama PPP mahu menjadi pelawak yang hebat juga. Semalam mereka telah mementaskan teater lawak yang seakan-akan sama dengan lakonan lawak di negeri bernama Perak hanya pada skala yang lebih kecil. Kaum kerabat BN bernama PPP telah memecat penyadang ketua lama dan melantik ketua baru. Maka melentinglah ketua lama mengatakan apa yang dilakukan oleh ketua baru menyalahi peraturan parti dan undang-undang manakala ketua baru pula ketua lama sudah dipecat kerana di telah dilantik secara sah oleh penyokong-penyokongnya. Minggu lalu ketua lama pecat ketua baru minggu ini pula si baru pecat si lama. Ketua baru bukan sahaja pecat ketua lama sahaja, seluruh ahli majlis tertinggi ketua lama juga turut ditendang keluar. Tapi kaum kerabat BN bernama PPP ini baik sedikit daripada BN. Sekurang-kurang ketua baru buang ketua lama menerusi proses yang lebih demokratik iaitu melalui undi tidak percaya. Di negeri bernama Perak nyawa MB BN ditentukan oleh mahkamah dan hidupnya pun hasil rampasan daripada PR. Jadi PPP lebih bermaruah daripada BN. Ketua lama kata ketua baru tidak sah bermakna PPP sekarang ada Ketua Sah dan Ketua Haram macam juga negeri bernama Perak, satu MB PR Sah dan satu MB BN Haram, juga satu Speaker PR Sah dan satu Speaker BN Haram. Nampaknya cepat betul penyakit yang di bawa BN dari negeri bernama Perak berjangkit kepada kaum kerabat dan kuncu-kuncu BN. Selepas ini tidak tahu kaum kerabat dan kuncu-kuncu mana pula yang akan dapat penyakit BN. Harap-harap tidak epidemik dan cepat merebak seperti selsema babi.

Tidak mengejutkan selepas ini kaum kerabat BN bernama PPP juga akan mengikut jejak langkah BN menggunakan apparatus mahkamah untuk saling berhujah bahawa dialah ketua yang asli dan absah. Tidak boleh disalahkan kaum kerabat BN bernama PPP kerana bertindak demikian sebab sudah diajar sedemikian rupa oleh BN. Kalau PPP masih tidak tahu caranya belajarlah daripada mahaguru BN. Maka bermulalah episod baru dalam siri teater lawak Badut Nasional. Tidak mengejutkan selepas ini rakyat akan terus dihiburkan dengan kemunculan badut-badut baru yang semuanya mahu pengiktirafan nasional.

artikel asal : TVAntara

Penanti: PKR Ambil Tindakan Wajar Terhadap Fitnah Jahat

Parti Keadilan Rakyat tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mendakwa parti itu menawarkan imbuhan untuk calon bebas menarik diri bertanding dari pilihanraya kecil Penanti.

Ketua Biro Strategi Tian Chua mencabar pihak-pihak berkenaan mengemukakan bukti kukuh untuk tuduhan mereka, dan bersiap-sedia menghadapi tindakan termasuk tindakan undang-undang jika mereka gagal berbuat demikian.

“Ada pihak yang membuat tuduhan kononnya kita cuba memberi rangsangan supaya mereka menarik diri dari pilihanraya,” kata Tian. “Tidak ada manfaat sekiranya kita berbuat demikian, bahkan kita mengalu-alukan pertandingan supaya kita dapat mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan kepada pengundi dasar dan program parti kita” tambah beliau.

Menurut beliau, PKR mencabar pihak yang mempunyai bukti sebarang salah laku supaya menyerahkannya kepada Suruhanajaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Kita yakin SPRM akan pantas menyiasat. Kita tidak ada masalah dalam perkara ini,” tambah beliau.

Tian berkata PKR akan mengambil apa sahaja tindakan yang perlu untuk mempetahankan kredibiliti parti dan calonnya Dr Mansor Othman yang akan mempertahankan kerusi DUN Penanti pada 31 Mei ini.

Selain Dr Mansor, turut bertanding ialah tiga calon bebas iaitu Kamarul Ramizu Idris, bekas pemimpin Gerakan, Nai Khan Ari dan bekas pemimpin Wanita PKR Negeri Aminah Abdullah.

Empat calon berkenaan akan bertarung tanpa saingan Barisan Nasional yang mengambil keputusan tidak bertanding di Penanti setelah kalah pada kesemua empat pilihanraya kecil di Semenanjung sejak Mac tahun lalu.

artikel asal : TVAntara

Penanti: PKR Kemuka Program Perkasa Rakyat

Parti Keadilan Rakyat hari ini melancarkan program bersepadu untuk memperkasakan penduduk Penanti, khususnya mereka yang terpinggir.

Agenda lima perkara itu menjurus kepada pendidikan, pembangunan usahawan kecil, pengurusan jawatankuasa kampung dan agihan zakat secara optimum.

Calon Parti Keadilan Rakyat, Dr Mansor Othman untuk pilihanraya kecil Penanti berkata program berkenaan mensasarkan pemberdayaan semua lapisan penduduk Penanti.

Menyedari peri pentingnya pendidikan dan hubung kaitnya kearah meningkatkan taraf hidup rakyat, agenda 5 Perkasa Rakyat memberikan keutamaan kepada pendidikan pelajar-pelajar miskin.

“Program ini membela semua pelajar miskin, tak kira Melayu, Cina atau India. Program ini dirumuskan untuk memberdaya dan membina keyakinan diri pelajar, “ kata Dr Mansor, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia.

Antara lain program bantuan pelajar ini merangkumi kursus-kursus bimbingan dalam pelbagai matapelajaran di samping seminar motivasi dan kem bina jati diri.

Merujuk kepada pembangunan usahawan kecil, Dr Mansor berkata Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga ditubuhkan supaya usahawan kecil tidak dibelit masalah kurang modal dalam mengendalikan urusniaga mereka.

“Golongan ini sering dipinggirkan, sukar untuk mereka mendapat bantuan, sehinggakan 70 peratus dari mereka terpaksa meminjam dari Ah Long.

“Kita merangka program ini untuk membuka ruang kepada peniaga kecil dan pengiat SMI mendapat modal tambahan segera dan syarat-syarat pinjaman yang mudah,” kata beliau.

Dr Mansor berkata program ini dibuka kepada semua pihak yang layak, tanpa mengira kefahaman politik mereka.

Beliau berkata pengurusan masjid dan JKKK akan diperkasakan di Penanti, Ini termasuk penerapan urustadbir jawatankuasa kampung yang ikhtisas dan pengurusan Qariah masjid yang lebih baik.

“Kita akan memperkasa akar umbi dengan memantapkan sistem pengurusan Qariah masjid di semua surau dan masjid seluruh Penanti.

“Usaha akan juga dibuat untuk mewujudkan JKKK yang benar-benar profesional kerana kita tahu institusi ini adalah institusi yang paling dekat dengan rakyat,” tambah Dr Mansor.

PKR juga bertekad mewujudkan Yayasan Islam Negeri Pulau Pinang, sebagai platform membangunkan tanah wakaf, memaksimumkan manfaat zakat dan bantuan Baitul Mal kepada warga miskin, rumah kebajikan muslim untuk semua warga Penanti serta menganjurkan kursus dan latihan profesional kepada golongan sasaran.

artikel asal : : TVAntara

Amina Dola : Jangan tunggu lama-lama, dedah segera!!!

Jangan tunggu lama-lama… nanti lama-lama… tapi reportlah dengan segera!!!
Jangan tunggu lama-lama… nanti lama-lama… SPRM menunggu anda.!!!

Woiy… hangpa ingat tak lagu tu lagi??? Aku lupa… sapa ke penyanyi dia…. tapi tak kisah ler tu. Yang lebih penting itu…… mesej nyer jelas dan difahami oleh semua calon-calon bebas yang bakal berentap dalam PRK N12 Penanti.

Begitu jugalah saranan Ketua Penerangan PKR Tian Chua. Dia berpesan dan mengesyorkan agar mana-mana calon bebas yang didatangi oleh mana-mana pihak dari PKR untuk tujuan merasuah mereka agar menarik diri daripada bertanding…. sila bertindak dengan melaporkan mereka kepada SPRM. Ya, tuan-tuan dan puan…… report kepada SPRM atau SPR, bior demer ambik tindakan!!!

Bravo…. Tian Chua!!! Aku setuju sesangat dengan saranan hang tu. Aku… kalau pasai rasuah ni, memang aku tak setuju sesangat…. Aku tak berkenan betoi!!!! Aku tak suka garuk belakang orang dan aku juga tak suka orang garuk belakang aku…. Main-main belakang dan gejala undertable ini bukan style aku. Itu stail setan!!! Itu cara setan.!!! Aku tak suka!!! Sebab tu, aku all out….. sokong apa yang Tian Chua kata. Bravo brother…. bravo…..!!!

Kenyataan Tian Chua ini….. adalah ekoran dakwaan yang dibuat oleh Aminah Abdullah, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, yang konon nyer, telah cuba dirasuah oleh pihak daripada PKR agar dia tarik diri from the race in Penanti. Saifuddin Nasution, Pengurus pilihanraya kecil Penanti dari PKR pulak berkata, makcik kita ni…. mungkin tak puas hati pihak-pihak tertentu dalam parti. Eleh…. biasa ler tu. But don’t make a fuss out of it!!! Coooool and relax ler makcik…..

Tak puas hati itu, mungkin satu hal, tapi itu dia punya pasal ler. Tapi, makcik Minah oi…. jangan dok capoi sangat mulut tu , buat tuduhan suka-suka….. tuduhan ikut sedap mulut dan tuduhan tak berasas!!! Hang dah ada bukti atau hang masih dok tunggu dan tercari-cari bukti….??? Hang dok tunggu sapa nak bagi bukti???? Jangan setakat heboh buat tuduhan semata-mata nak tarnish imej dan reputasi PKR jer. Hang ada niat lagu tu ka???? Well…. kalau ada ler, baik hang mengucap,… pikiaq banyak kali dan perbetoikan niat tak baik hang tu. Tapi , kalau tak dak… alhamdulillah, hang…. pi cari SPRM atau SPR cepat. Report… jangan tak report.!!!

Kalau hang dah ada bukti tentang apa yang hang dakwa….. jangan delay-delay lagi. Tu…. SPRM dan SPR akan sentiasa dan dah bersiap-sedia dengan rela untuk bertindak ke atas PKR. Depa ni kalau nak pekena pihak pembangkang….. super energy datang entah dari mana. Deras depa bertindak…. Kadang-kadang orang tak report tapi depa dengaq cerita jer….. teruih depa masuk…. tak tunggu lama-lama dah!!! Teruih dan, dan-dan tu jugak.!!! Eficient sungguh depa….. Seronok…. seronok…. seronok depa….. sebab apa??? Sebab…. dapat mensyiukkan hati boss depa!!! Aku tumpang sekaki nak syiuk sama…. kalau perasuah tu di’ngap’ oleh SPRM atau SPR. Biaq padan muka dia.!!!

Kita tak boleh berkrompomi dengan perasuah….. Demi maruah parti….. out they must go!!! Apa-apa pun, maruah parti must come first. Itu ler cara nyer kita earn respect from the public. Baru orang tabik kat kita!!!

Orang rasuah lagu tu…. kalau tak dak dalam PKR/Pakatan Rakyat lagi baguih….. Depa ni la yang menjadi liabilti atau beban kepada parti. Duri dalam daging dalam parti. Hancoq parti depa buat.!!! Cer…. hangpa tengok apa berlaku di Perak….. Kerana dua tiga ekoq katak durjana yang gila dot…dot..dot… hancoq satu kerajaan sah depa pelingkup…… hura -hara satu negeri Perak. Bahaya sungguh…. malaun-malaun dan samdol-samdol ni…..

Last but not least…. ceq nak nasihat kat makcik Minah…. muhasabah diri, pikiaq banyak kali, don’t be too emosional….. bersabar…. think wisely….. istiqarah banyak-banyak…. sucikan hati and …….

DO THE RIGHT THING….. THE REAL RIGHT THING!!!!
artikel asal : PerakExpress

Mufti Perak, Harussani Zakaria Patut Bertanding Sebagai Calon Umno

Mufti Perak, Harussani Zakaria yang berada di Mekah mengerjakan umrah menggunakan kesempatan beribadah untuk mengkritik satu keputusan politik yang diambil Pakatan Rakyat berhubung mengadakan puasa sunat/mogok lapar selama tiga hari mulai Selasa depan.

Pendirian beliau sebagai seorang ulama terkemuka dan dihormati rakyat Perak selama ini akan terus tercalar dan menghakis saki baki kehormatan yang ada pada beliau apabila kenyataan beliau kebelakangan ini banyak mirip kepada mempertahankan kepentingan Umno dan Barisan Nasional.

Sebelum ini beliau diminta untuk memberi pandangan mengenai penggunaan bomoh untuk menjampi Dewan Undangan Negeri Perak sebelum sidang 7 Mei yang lepas namun beliau memilih untuk membisu seribu bahasa.

Begitu juga sikap beliau yang tidak mahu memberi komen mengenai budaya kuning yang berleluasa semasa penganjuran Jom Heboh di Lumut bulan lalu. Beliau jugalah yang mengeluarkan bahawa acara Jom Heboh tersebut adalah haram di sisi Islam beberapa tahun lalu tetapi menutup mulut apabila Umno dan Barisan Nasional mendalangi rampasan kuasa sejak Februari lalu.

Bagaimana pun Harussani begitu cepat memberi "fatwa" mengkritik tindakan-tindakan pro-rakyat yang diambil oleh Pakatan Rakyat Perak di bawah pimpinan Nizar Jamaluddin.

Seperti keputusan Mahkamah Rayuan yang mmembenarkan permohonan Dr Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamamah Tinggi dalam tempoh kurang daripada empat jam setelah permohonan dikemukakan, Harussani juga mengikut jejak langkah yang sama apabila membidas keputusan Pakatan Rakyat itu tidak sampai beberapa jam setelah pengumuman dibuat.

Apabila dihubungi melalui talipon beliau begitu pantas sekali beliau memperlecehkan semangat rakyat Perak untuk menegakkan amalan demokrasi di negeri mereka yang telah dinodai oleh Umno dan BN.

Beliau berkata Pakatan Rakyat sepatutnya menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan tidak menimbulkan masalah apabila keputusan itu tidak memihak kepada bekas Menteri Besar.

"Kenapa hendak datangkan masalah, kalau menang belah dia tidak apa tetapi apabila kalah hendak bangkang," katanya ketika dihubungi media semasa berada di Mekah Jumaat lalu.

"Dia punya pasal lah, tidak ada kena mengena dengan hukum Islam tetapi kalau keputusan mahkamah begitu, haramlah hukumnya,".

Harussani lebih senang mengeluarkan fatwa mengharamkan apa sahaja tindakan Pakatan Rakyat yang berjuang untuk rakyat dan memihak kepada keputusan badan kehakiman walaupun keputusannya dipersoalkan banyak pihak.

Mungkin Mufti Perak itu patut dipertimbangkan sebagai calon Umno untuk bertanding di pilihan raya akan datang memandangkan beliau lebih sayang kepada Umno dan BN daripada mempertahankan hak rakyat.

PAS Kuala Krai Mula Menggerak Jentera Pilihan Raya

PAS kawasan ini telah menggerakkan jentera pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya kecil Dun Manek Urai berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Haji Ismail Yaakub pagi Jumaat lalu.

Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, persiapan awal telah digerakkan bermula semalam dengan mengadakan beberapa pertemuan.

"Dan malam ini akan diadakan mesyuarat jawatankuasa PAS kawasan di Dun Manek Urai.

"Kita membuat persiapan awal sebelum jentera peringkat negeri turun," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kemalangan jalan raya di Ladang Pasir Gajah, petang tadi.

Malam semalam seorang pemuda India, Kumara Dewan, 32 mati akibat kemalangan jalan raya di Kampung Keroh. Sumbangan disampaikan kepada ayah mangsa, B Balakrishnan.

Mangsa dijangka melangsungkan perkahwinan pada Ogos depan. Dia juga mengusahakan kedai runcit di ladang tersebut. Kumara merupakan anak kedua daripada empat adik beradik.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, PAS Kuala Krai akur sepenuhnya mana-mana calon yang diketengahkan pimpinan bagi mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Beliau juga berharap mendapat kerjasama jentera pilihan raya Pakatan Rakyat dari seluruh negara seperti mana yang berlaku di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

"Saya yakin sepenuhnya seluruh jentera Pakatan Rakyat akan turut memberi sumbangan dalam pelbagai cara untuk mempertahankan Dun Manek Urai," katanya.

Beliau juga berharap Umno tidak meletakkan calon di Manek Urai memandangkan sebelum ini mereka tidak mahu membazirkan wang kerajaan.

"Sekarang kita akan lihat mereka akan bertanding atau tidak. Kalau di Penanti mereka menarik diri atas alasan tidak mahu membazir," katanya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Krai, Ustaz Mahadi Mat Zin berkata, pemuda PAS kawasan itu akan bekerja keras mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil tersebut.

artikel asal : HarakahDaily

Kenaikan Tambang Pengangkutan Awam Tidak Wajar!

Dewan Pemuda PAS Terengganu membantah apa jua kenaikan dalam tambang pengangkutan awam sebagaimana yang dicadangkan kerajaan.

Setiausahanya, Wan Mohd Faizul Abas ketika dihubungi memberitahu, apa pun alasan kerajaan, tambang pengangkutan awam tidak perlu dinaikkan dalam suasana ekonomi yang menguncup sekarang.

“Apa rasionalnya kerajaan menyokong para pengusaha untuk menaikkan tambang pengangkutan awam ?

“dalam ekonomi yang menguncup, kerajaan perlu mengutamakan kepentingan rakyat sebagaimana slogan, ‘Rakyat didahulukan’.”katanya
Menurut Menteri yang berkaitan, Dato’ Seri Mohamad Nazri Aziz berakat kadar tambang baru pengangkutan awam dijangka akan dibentangkan kepada kabinet untuk kelulusan pada awal bulan depan (minggu depan).

Kerajaan dilaporkan bersetuju pada dasarnya memberi kenaikan tambang sebanyak 30 peratus, sekalipun pihak pengusaha bas ekspress, bas henti-henti, bas sekolah dan teksi meminta kenaikan antara 60 hingga 100 peratus.

Mengulas kenyataan Nazri, Wan Faizul berkata kerajaan mesti menyerap apa jua kos yang timbul dalam pengangkutan awam dengan memberikan pengecualian dan insentif yang sesuai.

“Disamping itu, kerajaan mesti membersihkan semua penguatkuasa yang berkaitan dengan jalan dan pengangkutan jalan, dari segala gejala rasuah dan sogokan kerana ia adalah salah satu sebab mengapa kos operator pengangkutan meningkat,”jelasnya.

artikel asal : BuletinOnline

Datuk Seri Anwar Ibrahim : Kerajaan Najib Condong Pemerintahan Kuku Besi

Tindakan polis menahan 126 orang, termasuk aktivis dan pemimpin parti pembangkang sejak awal bulan ini menunjukkan kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak semakin condong ke pemerintahan kuku besi.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penggunaan kekerasan oleh polis bagi menyuraikan beberapa siri perhimpunan aman, majlis menyala lilin malah program tayangan video, hanya menyerlahkan Najib sebagai pemimpin yang bingkas menutup ruang demokrasi.

Bercakap kepada 5,000 pengundi Penanti di Berapit, Pulau Pinang, Anwar membidas tindakan polis menyerbu ibu pejabat DAP di Petaling Jaya malam tadi.

Beliau berkata serbuan itu jelas mencerminkan rasa khuatir Barisan Nasional terhadap penampilan Pakatan Rakyat sebagai gagasan yang mampu mengambil alih pentadbiran negara.

Anwar berkata polis menyerbu ibu pejabat DAP semata-mata kerana parti itu ahli komponen Pakatan Rakyat.

“Itu sahaja jenayah DAP… kerana parti itu ahli Pakatan Rakyat,” kata Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.

Ini kali pertama ibu pejabat DAP diserbu polis dalam sejarah 42 tahun parti pembangkang itu.

Serbuan berkenaan dikaitkan dengan siasatan polis terhadap 16 aktivis yang di tahan di Ampang, Kuala Lumpur. Khamis lalu kerana mengadakan perhimpunan aman bagi membantah rampasan kuasa oleh Barisan Nasional di Perak.

Anwar berkata penahanan orang awam, peguam, aktivis dan ahli politik sejak beberapa minggu lalu menguatkan hakikat bahawa Najib menggunakan kekerasan untuk menekan mana-mana pihak yang mengkritik beliau.

"Najib menggunakan cara-cara yang begitu kasar….kenapa dia harus berbuat demikian, Adakah kerana dia sembunyikan sesuatu maka dia bertindak sebegini,” kata Anwar.

Anwar berkata Malaysia harus ditadbir mengikut “peraturan undang-undang. dan bukan undang-undang rimba UMNO."

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut membidas serbuan oleh polis Selangor itu atas ibu pejabat parti dan berkata pihak keselamatan sepatutnya memberi tumpuan kepada membanteras jenayah yang semakin meningkat di negeri itu.

“Kami tidak mencuri atau membunuh sesiapa dengan bahan letupan C4. Kami hanya menggunakan hak kami untuk menyuarakan keperluan memulihkan demokrasi di Perak,” kata Guan Eng.

Guan Eng, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang memberi amaran kepada kerajaan persekutuan BN bahawa DAP, Pakatan rakyat dan orang ramai tidak gusar dengan tekanan polis.

“Kami tidak akan berkompromi dengan perjuangan untuk memulihkan demokrasi di Perak menerusi pilihanraya negeri, ” kata Guan Eng.

Anwar menggesa pengundi Penanti untuk memberikan Parti Keadilan Rakyat kemenangan besar pada 31 Mei untuk menghantar mesej jelas bahawa rakyat menolak politik kuku besi Najib.

Pilihanraya kecil itu menyaksikan calon PKR candidate Mansor Othman dicabar oleh calon bebas Nai Khan Ari Nai Keow, Aminah Abdullah and Kamarul Ramizu Idris.

Barisan Nasional pimpinan Najib mengambil keputusan bersejarah tidak bertanding di Penanti, setelah parti itu kalah pada keempat-empat pilihanraya kecil semenjak pilihanraya umum Mac tahun lalu.

artikel asal : TVAntara

ISU PENUBUHAN TERENGGANU INVESTMENT AUTHORITY - PM dan MB Kena Jelaskan

Angkatan Muda Keadilan ( AMK ) Negeri Terengganu mendesak agar Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Razak dan Menteri Besar Negeri Terengganu , Dato’ Ahmad Said memberikan penjelasan dengan segera berkaitan isu penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA).

Ketuanya Fariz Musa berkata penubuhan TIA sewajarnya dibentangkan kepada rakyat negeri Terengganu dan Dewan Undangan Negeri adalah tempat yang paling sesuai.

“TIA seharusnya ditubuh di bawah kerajaan negeri Terengganu bukannya oleh Kerajaan Persekutuan, kerana TIA memegang amanah rakyat Terengganu,

“ia seharusnya dibincangkan di dalam Dewan Undangan Negeri kerana urusniaga TIA bersangkut paut dengan Royalti Minyak yang melibatkan hak rakyat Terengganu,”katanya ketika dihubungi Buletinonline.

Beliau berkata tindakan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional Terengganu membelakangkan Dewan yang mulia itu merupakan satu tindakan yang tidak beretika dan ‘biadap’.

Mengulas perkembangan terbaru TIA yang mengumumkan projek membangunkan hartanah, villa dan hotel bernilai RM6.3 bilion, beliau menegaskan bahawa bukan hotel dan villa yang diperlukan oleh rakyat negeri Terengganu.

“Terutamanya untuk anak-anak muda, kerajaan perlu membangunkan industri dan perkilangan dalam sektor yang dapat menjana peluang pekerjaan kepada mereka,

“pembinaan hotel dan seumpama, tidak memberikan peluang pekerjaan yang banyak dan manfaat kepada rakyat teramai, misalnya pembinaan Heritage Bay Club (sekarang Riyaz) di Pulau Duyong,

“kos yang digunakan membangunkan pusat pelancongan itu tidak sepadan dengan manfaat yang diperolehi rakyat,”jelasnya.

Bekas Adun Tabur Semula Janji Lama Di Manek Urai

Umno Kelantan kini amat mengharapkan semangat Pengkalan Pasir pada 2005 berulang di Manek Urai, biar pun empat pilihan raya kecil pasca Mac 2008 nasib tidak menyebelahi mereka.

Lebih-lebih lagi Umno Kelantan di bawah Dato' Mustapa Mohamed, yang dianggap berjaya memulih kedudukan Umno pada pilihan raya umum 2004.

Maka tidak hairanlah sejak berita Adun Manek Urai, Haji Ismail Yaakub (Paksu Mail) jatuh sakit tersebar, Umno sudah melakukan gerak kerja keluar masuk kampung.

Difahamkan antara pemimpin Umno yang melobi untuk dicalonkan bekas Adun Manek Urai, Zulkifli Omar apabila dikatakan sudah menjelajah ke beberapa kampung di kawasan Dun terbabit.

Dan semalam beliau difahamkan mengadakan pertemuan dengan penduduk di Kampung Budi.

"Pertemuan tersebut diadakan di sebuah kedai kopi. Zuki berucap di depan beberapa penduduk yang ada di kedai kopi tersebut dengan menjanjikan mahu memberi pelbagai bantuan kepada penduduk.

"Kalau hendak zink dia sanggup beri. Seorang rakan yang hadir pada pertemuan itu memberitahu sudah acap kali dia mendengar bekas wakil rakyat menabur janji serupa," kata seorang penduduk Sidi Mamat, 42 di sini.

Bagaimanapun laluan Zulkifli untuk dicalonkan pada pilihan raya kecil yang bakal diadakan sukar memandangkan beliau tewas merebut jawatan Naib Ketua Bahagian Kuala Krai pada pemilihan yang diadakan tahun lepas.

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Kuala Krai tewas kepada Jalal Che Muda.

Sementara itu di Kampung Manek Urai Lama, orang ramai masih lagi menziarahi keluarga Paksu Mail untuk merakamkan ucapan takziah.

Manakala pada sebelah malam diadakan tahlil arwah di masjid yang terletak tidak jauh daripada rumah Adun terbabit.

Sementara itu, seorang ahli Umno di Kubang Kerian turut merasai kehilangan Paksu Mail kerana Allahyarham dikenali sebagai seorang pemimpin yang bersikap peramah dan mesra rakyat.

"Sebenarnya saya tidak rapat dengan arwah Paksu, tetapi sesekali bertemu kita dapat merasai bagaimana kemesraan beliau dengan orang ramai.

"Peribadinya luhur. Beliau berkawan dengan sesiapa sahaja termasuk pemimpin Umno. Sebab itulah saya juga merasai pemergian Paksu," katanya.

Paksu Mail kembali ke Rahmatullah pada pagi kelmarin di Hospital Raja Perempuan Zainab Kota Bharu selepas hampir sebulan menjalani rawatan. Beliau menderita penyakit gaot, jantung dan darah tinggi.

Allahyarham berkhidmat sebagai wakil rakyat di Dun Manek Urai selama lima penggal dan tidak pernah kalah dalam pilihan raya.

Seorang bekas pemimpin Parti Semangat 46 berkata, arwah Paksu Mail merupakan seorang wakil rakyat patut diteladani semua ahli politik.

artikel asal : HarakahDaily

Dato' Seri Muhammad Nizar Jamaluddin Pulangkan Toyota Camry

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin telah memulangkan kereta Toyota Camry yang menjadi kereta rasmi beliau sejak memegang jawatan tersebut.

Walau bagaimanapun setelah Mahkamah Rayuan membuat keputusan mengesahkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar 22 Mei lalu, Pegawai Khas beliau, Amran Harun telah menerima panggilan daripada seorang penghantar surat pada pukul 7.12 petang hari yang sama mengenai arahan memulangkan kereta berplat AGS 10 tersebut.

Datuk Seri Nizar sebelum ini telah berjanji mengembalikan kereta tersebut selepas sahaja keputusan mahkamah diketahui. Beliau dijangka mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan mahkamah Isnin depan. Hakim Mahkamah Rayuan mengumumkan Dr Zambry sebagai MB Perak pada jam 3.50 petang pada 22 Mei yang lepas.

Adakah soal isu Camry akan timbul kembali sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan berpihak kepada Nizar pula?

Sebelum ini 15 kereta Camry yang menjadi kereta rasmi exco Pakatan Rakyat telah diserahkan kembali dan dilelong oleh Dr Zambry April lalu.

Malang sekali …………..Muhyidin Hanya Menjadi Pak Turut !

Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan terus menjadi isu yang relevan sehingga rakyat menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum ke 13 yang akan datang.


Pengerusi Lujnah Pendidikan PAS, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik berkata tokoh-tokoh pejuang bahasa akan turun berkempen menggerakkan usaha memansuhkan PPSMI dalam pilihanraya kecil DUN Penanti dan berterusan sehingga pilihanraya umum akan datang.

“Malang sekali kepada Menteri Pelajaran….. sepatutnya dia peka kepada tuntutan rakyat, ia membayang ketidakprihatinan beliau terhadap aduan rakyat jelata,”ujarnya ketika ditemui Buletinonline.

Menurutnya, Tan Sri Muhyidin bukan sahaja tidak ‘mengutamakan rakyat’ bahkan menolak keputusan yang dibuat dikalangan kepimpinan UMNO sendiri.

Beliau berkata PAS dan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) akan mengotakan janji kepada rakyat untuk terus berjuang menentang PPSMI kerana ia merupakan dasar yang menghancurkan kedaulatan Bahasa Melayu.

“Kita (PAS) dan GMP akan terus berjuang, kita tidak boleh berkompromi, dan kita anggap dasar ini adalah ‘tali gantung’ kepada kedaulatan Bahasa Melayu,”tegasnya.

Katanya tidak ada asas untuk terus berunding kerana kerajaan UMNO/BN gagal memberikan sebarang keputusan dalam pertemuan sebelum ini.

Katanya, alasan kerajaan mengatakan pihak kementerian sedang mengkaji dasar PPSMI hanyalah satu helah dan tektik untuk melambat-lambatkan pemansuhan dasar tersebut

“Atas dasar apa untuk berunding ? Buat apa ? Siapa yang akan berunding ? Sebab yang terakhir sebelum kabinet baru, Dato’ Hishamudin mengatakan kerajaan sedang kaji,

“jadi saya fikir ini cuma ‘delay tactic’ (alsan melambat-lambatkan) sahaja,”katanya ketika ditanya adakah perundingan terus akan dibuat dengan kerajaan UMNO/BN.

Beliau mendakwa, tindakan mengemukakan helah dan alasan adalah kerana kerajaan sedang melaksanakan ‘agenda pembaratan’ terhadap rakyat.

Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran hanyalah ‘Pak Turut’ kepada dasar-dasar mantan Perdana Menteri Tun Mahathir yang dilaksanakan oleh kabinet Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.

Beliau menyeru supaya pengundi DUN Penanti bangkit menolak kerajaan dan tidak ada pilihan lain kepada seluruh rakyat kecuali menolak kerajaan UMNO/BN, bagi memastikan kedaulatan Bahasa Melayu akan terpelihara.

“Harapan saya kepada rakyat, tak harap kepada UMNO, saya harap (pilihanraya DUN) Penanti ini rakyat sekali lagi bangkit, pejuang-pejuang bahasa akan turun,

“rakyat mesti ubah kerajaan ini dalam pilihanraya akan datang, mesti ubah, kalau sekiranya rakyat (mahu mendaulatkan Bahasa Melayu),”katanya.

artikel asal : BuletinOnline

ADUN Teratai dan 15 lagi dibebas

ADUN Teratai, Jenice Lee dan 15 orang lagi, dibebaskan pagi ini selepas ditahan selama tiga malam dalam lokap polis.

Mereka dibawa ke Majistret Ampang sebelum dibebaskan.

Mereka ditahan malam Khamis lalu kerana dituduh mengadakan perhimpunan haram. Polis kemudiannya mendapat perintah tahanan reman untuk menahan mereka selama dua hari Jumaat lalu, bagi menyiapkan siasatan.

Mereka berdepan dengan hukuman penjara sehingga setahun atau didenda antara RM2,000 dan RM10,000 kerana berkumpul secara aman.

Kumpulan 12 lelaki dan empat wanita itu ditahan pada kira-kira jam 8.45 malam Khamis lalu selepas mengadakan nyalaan lilin di luar pusat khidmat Jenice kerana berkabung atas 'kematian demokrasi'di Perak.

artikel asal : TVAntara

BN Dan Politik, Perkara Biasa Di Malaysia

Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) patut menganggap kejadian politik yang terjadi di Malaysia 'perkara biasa' yang tidak perlu dikelam-kabutkan.

Tetapi, apa boleh buat Barisan Nasional (BN) masih tidak boleh terima 'perkara biasa' yang ditentukan oleh rakyat apabila kalah pada lima buah negeri dalam pilihanraya umum ke 12 lalu.

Sebelum itu ujarnya, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Umno dan BN tidak pernah hirau apa yang berlaku terutamanya senario politik tetapi selepas mendapat tamparan hebat kalah banyak kerusi mereka bertukar kepada tidak dapat menerima hakikat.

"BN patut anggap perkara biasa apa yang terjadi di Malaysia, mereka kena anggap perkara biasa kalah di lima buah negeri, tidak bertanding di Penanti, hilang majoriti pun perkara biasa, setiap kali BN sertai pilihan raya kecil kalah pun perkara biasa dan BN patut adakah pilihan raya seluruh Perak pun satu perkara biasa yang patut diterima, " jelasnya ketika ditemui di pekarangan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBM) Penanti semalam.

Menyentuh mengenai keputusan kahakiman Mahkamah Rayuan Putrajaya beliau menambah, jika mahkamah memihak kepada Pakatan Rakyat pun jalan paling baik ialah bubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) serah pada rakyat menentukan kerajaan mana yang mereka inginkan.

Kuasa siapa yang berhak menerajui kepimpinan Perak sambungnya, bukan terletak pada dua atau tiga orang hakim sebaliknya terpulang pada rakyat yang telah memberi mandat pada pilihan raya umum lepas.

Jika Menteri Besar 'haram' Perak, Dr Zambry Abdul Kader menang beliau juga harus mengembalikan hak rakyat menentukan kerajaan BN atan Pakatan Rakyat yang akan jadi pilihan rakyat.

"Peliknya BN tidak boleh anggap semua kejadian politik perkara biasa sebaliknya mahukan mereka menang sahaja. Jika kalah mereka akan buat seriba macam usaha merampas kembali walaupun rakyat telah menolak mereka dalam semua aspek, " tegasnya.

artikel asal : HarakahDaily