Friday, June 5, 2009

PAS Perlukan Pimpinan Yang Diyakini Rakyat - Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar

Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar menegaskan perlunya PAS mempunyai barisan kepimpinan yang diyakini bagi memenuhi perubahan yang diinginkan rakyat.

PAS juga tegas beliau tidak seharusnya terikut-ikut permainan media pro Umno dan Barisan Nasional (BN) yang cuba untuk memecahkan parti.

Kamaruddin mengingatkan, memilih untuk berpecah bermakna pemimpin dan perwakilan menyanggah pemberian penuh bermakna yang dianugerahkan oleh Allah.

"Selepas Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, jelas rakyat mahukan perubahan dalam pentadbiran negara kerana mereka telah muak dengan pentadbiran kerajaan perkauman BN.

"Untuk memenuhi tuntutan perubahan yang diinginkan rakyat itu, PAS perlu tampil dengan barisan kepimpinan yang diyakini dan tidak terikut dengan mainan media pro Umno/BN yang mahukan perpecahan berlaku dalam parti.

"Memilih untuk pecah bermakna kita menyanggah anugerah penuh bermakna yang dikurniakan oleh Allah," tegas beliau dalam ucapan aluan muktamar ke-55 sebentar tadi.

Beliau juga menegaskan kedayusan Umno/BN untuk menghadapi perubahan yang diinginkan rakyat terbukti bila mereka enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak bagi membolehkan rakyat negeri itu menentukan sendiri kerajaan yang mereka mahukan.

Muktamar PAS ke-55 diadakan di Stadium Malawati dekat sini bermula hari ini. Sehari sebelumnya muktamar Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat telah diadakan.

'Islam Memimpin Perubahan' dipilih sebagai tema muktamar kali ini bersesuaian dengan prinsip perjuangan PAS yang mahu menegakkan Islam di bumi tercinta ini.

HarakahDaily

No comments:

Post a Comment