Tuesday, June 30, 2009

Anwar : There's cheaper route for 2nd Penang bridge

Parliamentary opposition leader Anwar Ibrahim says the second alternative route for the second Penang bridge could save RM4 billion in public funds.




malaysiakini

PRU 13 : BN Masuk Jerat Sendiri

Tindakan Mahkamah Persekutuan membelakangkan peruntukan untuk memberi keputusan memihak kepada Barisan Nasional bersabit krisis Perak bakal menjerat parti itu sendiri pada pilihanraya umum akan datang.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan NH Chan berkata rakyat semakin arif mengenai sistem perundangan negara dan pasti menggunakan kelebihan itu untuk menolak BN dan sesiapa yang menolak Pelembagaan Negara.

Chan merujuk kepada cubaan Mahkamah Persekutuan mengelirukan rakyat dengan memutuskan Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai kuasa menentukan status sama ada sesuatu kerusi Dewan Undangan Negeri itu kosong atau sebaliknya.

Chan berkata Artikel 34(1), 31(5) dan 33(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas mengenalpasti pihak yang berkepentingan dalam isu perletakan jawatan seseorang ADUN.

"Dalam kes membabitkan tiga ADUN yang melompat tersebut, pihak yang berkepentingan seperti yang dijelaskan dalam Perlembagaan ialah Hee Yit Foong, Osman Jailu dan Jamaluddin Mat Radzi, Dewan Undangan Negeri dan Speaker V. Sivakumar.

"Tidak disebut pun SPR dan dengan itu badan itu harus diketepikan dalam isu ini," tegas Chan.


Pada Jun lalu Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nik Hashim Nik Ab Rahman, dalam penghakiman setebal 20 muka surat mendakwa Seksyen 12(3) Akta Pilihan Raya 1958, memberikan SPR dan bukan Speaker, kuasa mutlak menentukan sama ada wujud kekosongan kerusi.

Chan berkata peruntukan perlembagaan jelas menyatakan apabila timbul kesangsian mengenai status seseorang ADUN, keputusan muktamad hendaklah diperolehi daripada Dewan Undangan Negeri dan bukannya di mahkamah.

"Jadi apabila pertikaian wujud sama ada tiga orang ADUN pembelot ini telah meletak jawatan, mereka sepatutnya merujuk kepada Dewan untuk mendapatkan satu keputusan muktamad," kata Chan.

"Mereka gagal berbuat demikian tetapi sebaliknya terus membawa kes mereka kepada Mahkamah Persekutuan yang menunaikan permintaan mereka untuk diisytiharkan sebagai masih menjadi ADUN. Hakim turut mengisytiharkan SPR adalah badan yang menentukan kerusi mereka kosong atau tidak," tambah beliau.

"Itulah kerosakan yang mereka telah lakukan. Ada kemungkinan apa yang mereka bertiga lakukan beserta keputusan Mahkamah Persekutuan akan menyebabkan rakyat menolak kerajaan BN sehingga kalah pada pilihan raya akan datang," Chan memberi amaran.

TVA

Saiful Disaman RM2 Juta

Pahang Daily Online, sebuah portal berita yang popular, akan menfailkan saman malu balas berjumlah RM2 juta terhadap Mohd Saiful Azlan Bukhari kerana memfitnah dan menjejaskan kredibiliti laman itu.

Seorang pengendali Pahang Daily memberitahu Suara Keadilan, saman berkenaan besar kemungkinan akan difailkan sebelum 15 Julai ini.

Saiful sebelum ini memfailkan writ saman berjumlah RM2 juta ke atas penulis laman blog pahangdaily.blogspot.com kerana menyiarkan enam artikel bersabit aduan polisnya mendakwa kononnya beliau diliwat Anwar Ibrahim.

Bagamaimanapun laporan Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Pusrawi mendapati tidak ada bukti klinikal Saiful diliwat sebagaimana yang didakwanya.

Pahang Daily Online sebelum ini mendakwa Saiful menderita akibat kemaluannya bernanah dan sukar untuk membuang air kecil dan besar selepas melakukan sumpah laknat atau mubahalah pada 15 Ogos 2008.

“Saiful mengugut mahu menyaman kami tapi sehingga ini tidak ada apa-apa tindakan dari beliau untuk membuktikan Pahang daily Online telah memfitnah beliau,” kata pengendali laman itu yang tidak mahu namanya disiarkan buat masa ini.

“Jika dia senyap dan tidak ada tindakan susulan. Ini bermakna apa yang kami dakwa adalah betul. Kalau Saiful yakin dia dipihak yang benar, kami cabar beliau supaya meneruskan usaha saman itu kami,” tambah beliau.

“Sekarang kami pula mahu menyaman dia kerana dakwaan yang dia buat bahawa kami memfitnahnya adalah tidak benar. Kredibiliti kami sebagai sebuah portal berita yang berwibawa telah terjejas kerana tindakan beliau tersebut,” tegas pengendali Pahang Daily Online.



suarakeadilan

2 Pelajar UM Hadapi Penjara 20 Tahun

Dua pelajar Universiti Malaya ditahan reman sejak 24 Jun lalu berhubung insiden menconteng kata-kata anti Rosmah Mansor dan kini berhadapan dengan kemungkinan dipenjara 20 tahun jika sabit kesalahan.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supt. Azri Abdul Rahman kedua-dua pelajar itu kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan khianat dengan api.

Supt. Azri, ketika ditemui Suara Keadilan di Ibupejabat Polis Daerah Brickfields, berkata tempoh tahanan reman kedua-dua pelajar tersebut dijangka berakhir Selasa ini tetapi tidak menolak kemungkinan tempoh tersebut dilanjutkan sekiranya perlu.

“Pihak polis menjalankan siasatan berdasarkan apa yang berlaku ditempat kejadian dan kedua-dua suspek ditahan setelah pihak kami mendapat satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Pantai oleh pihak universiti,” kata beliau tanpa memberi butiran lanjut mengenai aspek siasatan kes.

Menurut sebuah laman blog, um-today.com, dua pelajar berusia 21 tahun yang dipercayai daripada Akademi Pengajian Islam ditahan polis Rabu lalu apabila mereka dikatakan menconteng pada dinding bangunan dengan kata-kata yang mencerminkan rasa tidak puas hati terhadap isteri Perdana Menteri.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut ketika Wanita Pertama Malaysia itu hadir pada Majlis Perasmian “Gaza DiBela” anjuran sebuah badan antarabangsa, Power of 10 Sen di Akademi Pengajian Islam pada hari yang sama.

Antara yang ditulis pada dinding UM ialah “Altantuya”, “C4″, “pembunuh” - kesemuanya berkait kepada kes pembunuhan ngeri wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu tiga tahun lalu dan “puaka” yang merujuk kepada video yang disebarluaskan melalui Youtube sejak dua minggu lalu.

Video itu memaparkan temubual dengan beberapa individu yang didakwa ahli keluarga, saudara mara dan jiran Rosmah.

Rosmah adalah isteri kedua Najib Razak yang menceraikan isteri pertama beliau,Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar pada 1987.

Rosmah lahir di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan adalah graduan ijazah Universiti Malaya dalam bidang antropologi dan sosiologi.

Supt. Azri juga tidak menafikan dakwaan pihak polis juga sedang mencari tiga orang lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian di universiti itu.

“Siasatan sedang dijalankan, kami tidak pasti sama ada suspek yang masih dicari seramai itu atau kurang daripada itu,” jelas beliau.

Menurut blog um-today tulisan pada dinding itu dipadamkan oleh Jabatan Pembangunan & Penyelenggaraan Harta Benda (JPPHB) universiti tersebut menggunakan cat sejurus mendapat berita megenainya.

Laluan rasmi Rosmah ke lokasi majlis juga telah ditukar pada saat akhir kepada laluan lain bagi mengelakkan beliau ternampak contengan provokatif tersebut.

Supt. Azri menasihatkan pelajar universiti supaya tidak mengambil undang-undangn dalam tangan mereka sendiri dan mensyorkan supaya berbincang dengan pihgak universiti sekiranya terdapat sebarang rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu.

“Lebih baik mereka menggunakan saluran yang betul kerana sekiranya laporan seperti dibuat ia sudah menjadi kes jenayah dan pihak polis terpaksa menjalankan siasatan. Jangan ambil tindakan yang boleh menyebabkan mereka dalam kesusahan,” nasihat beliau.



HarakahDaily

1Malaysia : Najib Ciplak Konsep 1Kelantan

Konsep '1Kelantan' diperkenal sejak 1990

Lanjusoh

KOTA BHARU, 30 Jun (Hrkh) - Dasar Membangun Bersama Islam yang dilaksana kerajaan Kelantan sejak 1990 ternyata turut diterima rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

Di mana ia mencerminkan seakan-akan konsep 1Kelantan apabila semua kaum dapat hidup dalam keadaan aman dan sentosa di bawah dasar tersebut.

Sedangkan konsep 1Malaysia baru diperkenalkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak selepas mengambil alih teraju pentadbiran negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi April lalu.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Anuar Tan Abdullah berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) baru sedar konsep tersebut sedangkan ia sudah lama diamalkan di Kelantan kini hampir 20 tahun.

"Konsep 1Kelantan dibuktikan apabila masyarakat berbilang kaum di negeri ini dapat hidup aman damai. Mereka seperti satu keluarga.

"Keadaan itu berlaku kerana Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak awal lagi menekankan semua manusia adalah sama kerana berasal dari Nabi Adam dan Hawa," katanya ketika menjawab soalan Dato' Abdul Aziz Derashid (BN - Kuala Balah) pada persidangan Dun hari ini.

Beliau berkata, konsep 1Kelantan kini diterima pula rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak pada pilihan raya umum lalu setelah berjaya menolak kerajaan BN.

Menurutnya konsep perpaduan itu akan terus menular pada masa akan datang sehingga mampu menggugat kerajaan BN.


Perdana Menteri baru-baru ini melancarkan logo konsep 1Malaysia, dengan tema 'Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan'.

Bagaimanapun kata Anuar Tan majlis pelancaran tersebut sendat dengan hiburan seakan-akan program Citrawarna dengan menampilkan ramai artis.

"Konsep 1Malaysia Umno mengutamakan nyanyian dan tarian sedangkan 1Kelantan lebih menumpukan kepada keharmonian kehidupan masyarakat berbilang kaum," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, pelbagai undang-undang dan peraturan telah digubal bagi mencegah jenayah dan kemungkaran namun masih gagal mencapai matlamat.

Katanya, hanya dengan penguatkuasaan hukum Islam mampu mencegah segala kemungkaran dan gejala sosial yang berlaku sekarang.

Ketika menjawab soalan Haji Abdul Aziz Kadir (PAS - Jelawat) katanya, di setiap 12 pihak berkuasa tempatan di Kelantan ada skuad Amru yang berperanan mencegah perkara mungkar.

Beliau juga memberitahu Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam mempunyai pusat pemulihan yang terletak di Jalan Mustafa bagi memberi kesedaran agama kepada remaja yang ditahan di kawasan bandar.

HarakahDaily

Blogger yang embed video Puaka! bakal disiasat polis, ikut macam statement Che'Gu Bard!

Video Rosmah : Polis siasat pemimpin PKR

Seorang pemimpin PKR mendakwa dihubungi dua anggota polis Cawangan Khas berhubung video yang memburuk-burukkan isteri perdana menteri, Rosmah Mansor yang kini tersebar luas di internet.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Badrul Hisham Shaharin berkata, beliau dihubungi mereka – dipercayai dari Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan – berhubung penerbitan video klip itu.

"Saya kata, saya tidak tahu tentang penerbitan video itu. Saya dapat tahu pun selepas baca blog Selamatkan Umno dan Malaysia Today.

"Saya cuma muatkan balik dalam blog saya selepas itu. Terpulanglah kepada pembaca (untuk menilainya)," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Badrul Hisham berkata, beliau pertama kali dihubungi anggota polis Kuala Lumpur, yang dikenalinya, pada hari awal minggu lalu.

Sehari selepas itu, tambahnya, beliau dihubungi pula seorang lagi anggota polis cawangan itu dari Negeri Sembilan - juga dikenalinya - bagi mencari siapakah pihak di belakang penerbitan video itu.

Dalam perbualan telefon kira-kira sepuluh minit itu, Badrul Hisham berkata, beliau telah memberitahu pihak berkuasa bahawa beliau tidak terlibat dan tidak tahu-menahu pihak yang terlibat menerbitkan siri dokumentari pendek itu dalam bentuk video.


Malaysiakini minggu lalu melaporkan, sejak awal bulan ini, video itu memberikan label liar "perempuan puaka" terhadap isteri Datuk Seri Najib Razak.

Badrul Hisham juga berkata, dalam perbualan itu, beliau turut disoal sama ada mengenali ahli keluarga dan jiran Rosmah yang diwawancara dalam video itu.

"Sebagai orang negeri Sembilan, pernah terlibat dengan (aktivisme) belia di Sikamat, tentu saya kenal balu bekas speaker DUN (Datuk Ariffin Ali).

"Tetapi dia (Che Mah) tentulah tidak kenal saya.

"Macam saya kenal Najib, kalau tanya dia siapa Cikgu Bad, mesti beliau tidak tahu," katanya, sambil berkata dua polis tersebut sering menghubungi sebelum ini.

Diminta mengulas kontroversi video itu, Badrul Hisham berkata:

"Perkara itu tidak perlu penyiasatan polis. Ia cuma cerita sensasi yang tidak perlu (campur tangan) polis.

"Cukuplah orang yang terlibat menafikannya."

malaysiakini

Kenyataan Terdesak Najib Sambung Talian Hayat UMNO/BN

‘‘Saya tak nampak apa faedahnya debat. Saya nampak ramai orang tidak bersetuju diadakan debat yang tidak mempunyai apa-apa faedah,’’

‘‘Kalau kita menghina dan mengutuk pihak lain bererti bahawa kita tak nak cari kata sepakat. Kesepakatan itu penting untuk masa depan umat Islam dan negara,’’

‘‘Kita tengok macam mana, apa yang berlaku terpulang kepada Pas. UMNO telah menyatakan pendirian.

‘‘Dalam erti kata lain kita sentiasa bersikap terbuka kepada sebarang perbincangan dengan Pas,’’


sumber : UtusanMalaysia




Sivakumar Sah, Ganesan Haram

Sivakumar Tetap Speaker Yang Sah

V. Sivakumar akan terus menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Perak yang sah disisi undang-undang manakala R. Ganesan, calon lantikan Barisan Nasional adalah Speaker haram dan perampas kuasa.

Kekosongan kerusi Speaker hanya akan berlaku dalam tiga keadaan iaitu sekiranya Sivakumar meletak jawatan, beliau didapati tidak lagi layak memegang jawatan itu atau DUN membuat keputusan menggantikan beliau, demikian menurut bekas Hakim Mahkamah Rayuan, NH Chan.

Tiga syarat tersebut secara jelas terkandung dalam Artikel 36A(2) Perlembagaan Perak.

Chan berkata tafsiran Artikel 36A klausa 2(c),(d), 5 dan 6 dalam perlembagaan negeri itu jelas membuktikan bahawa kedudukan Sivakumar tidak boleh dirampas oleh mana-mana pihak.

"Kita membaca laporan media bagaimana Sivakumar dikasari oleh anggota polis untuk mengeluarkan beliau dari Dewan.

"Sivakumar boleh menyaman perampas kerusi Speaker, Ganesan yang mengaku bahawa beliaulah yang memanggil polis ke dalam DUN termasuk sesiapa sahaja yang bersubahat mengeluarkan beliau dari Dewan secara paksa," kata bekas hakim itu.

Beliau juga menjelaskan menurut Artikel 36A(1) DUN tidak boleh membuat sebarang keputusan dalam ketiadaan Speaker selain bersidang untuk melantik Speaker yang baru.

"Oleh kerana Sivakumar tidak meletak jawatan, kedudukannya terbatal atau jawatannya dikosongkan atas keputusan Dewan maka beliau masih Speaker yang sah.

"Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang membuat kesilapan penghakiman boleh kata apa sahaja tetapi rakyat sudah tahu dan faham bahawa mereka telah menghina diri mereka sendiri dengan membuat keputusan yang tidak berasaskan undang-undang," tegas Chan lagi.



TVA

Debat : Surat Tawaran Belum Dihantar, Namun PM Sudah Tolak

Belum pun surat rasmi tawaran debat dihantar kepada Dato' Seri Najib Razak, namun perdana menteri dari awal lagi menolak pelawaan tersebut.

Sedangkan surat pelawaan debat oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz akan dihantar Khamis ini.

Bagaimanapun semalam Najib menolak pelawaan debat terbuka dengan Mursyidul Am PAS, sebaliknya mencadangkan diadakan musyawarah bagi menyelesaikan kekalutan politik di antara PAS dan Umno.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, surat berkenaan tidak akan menyebut tempoh atau waktu yang sesuai untuk diadakan debat, sebaliknya ia terbuka dan boleh diadakan bila-bila masa sahaja.

Menurutnya debat yang dicadangkan bukan berniat untuk tujuan politik, sebaliknya ingin mengetahui sebab sebenar kenapa Umno menolak Islam.


"Nak mengangkat diri (Umno) sebagai pejuang Islam macam mana perjuangan parti itu tak ikut Islam. Dan pada masa yang sama menentang PAS yang bersungguh-sungguh mendaulatkan Islam," katanya di sini, petang semalam.

Menurutnya timbul idea debat kerana Pemuda Umno membuat laporan polis berhubung kenyataannya sebelum ini yang menganggap Umno membawa ajaran sesat kerana memisahkan agama dan politik.

"Umno sepatutnya tak perlu buat report polis. Ada masalah sikit terus report kepada emak dan bapak. Itu tak betul.

"Kalau kita bertengkar sikit-sikit nak panggil emak, ayah, nampak sangat kita lemah. Bila betul biarlah kita berlawan secara berdepan, tak payah buat report polis, kita berdebat," ujarnya.

Ketika ditanya masalah perpaduan di kalangan Melayu yang kini dikatakan semakin retak, beliau berkata, Islam mengajar perpaduan melalui agama.

"Kalau ingin perpaduan atas dasar bangsa itu bukan cara Rasulullah saw, bahkan Rasulullah saw melawan bapa mentua dan bapa saudara sendiri kerana memperjuangkan Islam.

"Kalau kira nak bersatu gengstar pun nak bersatu, ah long pun nak bersatu, semuanya nak bersatu, tetapi atas dasar apa," katanya.

Ketika ditanya penolakan debat oleh dua bekas perdana menteri iaitu Tun Mahathir Mohamed dan Tun Abdullah Ahmad Badawi beliau berkata, perbincangan telah berlangsung sejak sekian lama antaranya perbahasan di parlimen.

Malah katanya perbincangan, nasihat, ceramah dan usrah sudah lama dilakukan, dan sekarang ada baiknya debat pula digunakan bagi menyelesaikan masalah umat Islam.

Sementara itu dalam perkembangan lain katanya, PAS tidak pernah mengubah manifesto pilihan rayanya iaitu mendaulatkan Islam sejak dahulu sehingga sekarang.

Beliau berkata walaupun pihak lawan memperkenalkan pelbagai manifesto, namun PAS tetap dengan dasarnya, iaitu mendaulatkan agama Islam dalam kehidupan.

HarakahDaily

Kepung Karpal : 4 Ketua Pemuda Umno didenda RM1,000

Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat mengenakan denda RM1,000 ke atas empat pemimpin Pemuda Umno Selangor yang telah mengepung Pengerusi DAP Karpal Singh di Parlimen Februari lalu.

Mereka ialah Ketua Pemuda Umno Petaling Jaya Selatan, Latt Sharizan Abdullah; Ketua Pemuda Gombak, Megat Zulkarnain Omar Din; Ketua Pemuda Umno Shah Alam, Azahari Datuk Shaari dan Ketua Pemuda Umno Serdang, Ungku Md. Salleh Ungku Abd. Jamal.

"Hukuman yang dikenakan ini adalah hukuman maksimum seperti yang diperuntukkan undang-undang mengikut Seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keisitmewaan dan Kuasa) 1952.

Mereka melakukan kesalahan di bawah peruntukan Seksyen 9(e) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Dalam pada itu lapan anggota Dewan Rakyat termasuk tiga daripadanya ahli Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat dikenakan 'hukuman' pencelaan yang enggan bekerjasama dan menyertai jawatankuasa itu.

Selain Karpal sendiri, mereka yang merupakan saksi ialah Fong Po Kuan (Batu Gajah), Lim Lip Eng (Segambut), N. Gobalakrishnan (Padang Serai), Fong Kui Lun (Bukit Bintang).

Ahli jawatankuasa yang tidak bekerjasama pula ialah Lim Kit Siang, Datuk Kamarudin Jaffar dan R. Sivarasa.



mStarOnline

Istilah 'Puaka' Hantui Dua Siswa UM

kemaskini 1.06pm Gara-gara didakwa menconteng perkataan- perkataan "C4", "puaka" dan "Altantuya" di dinding dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Rosmah Mansor, dua pelajar Universiti Malaya meringkuk di balai polis sejak minggu lalu.

Izuddin Hilmi Mohamad Zaini ditahan 7 pagi Rabu lalu, hari lawatan wanita pertama negara untuk menutup kempen derma 'Power of 10 Sen: Gaza Dibela' bagi anak-anak Palestin di dewan utama Akademi Pengajian Islam (foto: perkataan telah dipadamkan).

Sementara rakannya Mohd Sharuddin Ahmad Rosli pula ditahan Jumaat lalu di Petaling Jaya, kata seorang pemimpin pelajar kepada Malaysiakini hari ini.

Kedua-dua pelajar tahun dua Akademi Pengajian Islam - yang ditahan di ibu pejabat polis Brickfields - belum dibebaskan, setakat ini.

Susulan insiden, polis menggeledah empat rumah pelajar, termasuk sebuah yang disewa wanita, universiti tersebut.

Menurut laman web UM Today, polis sedang menjejak tiga lagi pelajar dalam siasatan mereka.

Exco kepemimpinan dan kerohanian Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM) Mohd Aizat Mohd Salleh bagaimanapun tidak dapat mengesahkan tujuan polis menggeledah.

Pada 26 Jun, sebuah rumah pelajar wanita di Seksyen 17 Petaling Jaya digeledah kira-kira sejam oleh empat anggota polis berpakaian biasa.

Polis merampas cat yang digunakan untuk membuat kain pemidang bagi menyambut kedatangan pelajar baru, Ahad lalu.

Keesokannya, polis menggeledah sebuah rumah pelajar lelaki di Seksyen 17 Petaling Jaya pada sebelah petang. Tiada rampasan dibuat.

Hujung minggu minggu, jam 3 pagi, sebuah lagi rumah pelajar di Seksyen 17 Petaling Jaya didatangi tiga anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor dengan membawa Izuddin Hilmi dan Mohd Sharuddin dalam keadaan bergari dengan baju tahanan lokap.

Kumpulan polis yang sama dengan dua suspek kemudian ke rumah pelajar lelaki di Seksyen 14 Petaling Jaya, kira-kira 3.30 pagi. Mereka berada lebih kurang setengah jam.

Mereka selepas itu ke rumah sewa lelaki Seksyen 17 Petaling Jaya, bagi kali kedua sejak 27 Jun lalu, lebih kurang jam 4 pagi.

Tiada rampasan di ketiga-tiga rumah tersebut.

Polis juga tidak menunjukkan sebarang waran geledah di semua rumah terbabit, kata Mohd Aizat lagi ketika diihubungi.

Beliau menjelaskan MPMUM sedang menyediakan khidmat guaman untuk kedua-dua pelajar tersebut.

Rosmah sering diburuk-burukkan dengan label nama wanita Mongolia yang mati dibunuh menggunakan bom plastik C4. Beliau bagaimanapun menafikannya.

Sementara label liar "puaka" dipercayai ada kaitan dengan tiga klip video di internet yang melemparkan pelbagai tuduhan, termasuk melupakan adik angkat dan anak sendiri, selain kampung halamannya.

Rosmah atau suaminya Datuk Seri Najib Razak setakat ini belum memberikan sebarang ulasan.

Bagaimanapun beberapa laman web pro-Umno menafikannya. Satu laman web Malaysia Instinct mendakwa bercakap dengan Rosmah dan beliau menafikan pernah mengabaikan anaknya Azrene Soraya Abdul Aziz - daripada perkahwinan awal sebelum Najib.

Sewaktu dihubungi Malaysiakini hari ini, seorang pegawai Universiti Malaya berkata pihaknya tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan setakat ini.

"Biarkan polis kendalikan kes ini," demikian arahan yang diterima beliau, yang enggan dinamakan.

Seorang pegawai penyiasat kes tersebut di balai polis Brickfields gagal dihubungi - setakat ini - untuk pengesahan.


malaysiakini

ISTILAH BARU BN - 'BINI NAJIB'

BN bukan lagi Barisan Nasional atau barang naik tetapi mempunyai istilah terbaru iaitu 'Bini Najib' kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar.

Ujarnya ketika berceramah sempena Majlis Makan Malam di Dewan JKKK Sungai Chenaam, Nibong Tebal semalam, pemerintahan sekarang seolah diterajui sama oleh isteri Perdana Menteri yang dikaitkan dengan gadis Monggolia, Antantuya.

"Dulu kita dengar BN barang naik. Itulah dijaja oleh orang ramai terutamanya ketika hari penamaan calon tapi hari ini satu istilah baru telah dicipta oleh mereka yang mahir menamakan singkatan perkataan iaitu Bini Najib, " terangnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah.

Bagi beliau, istilah itu jika dikaji ada kebenarannya apabila Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yu ketika melawat Malaysia bukan sahaja mengadakan pertemuan dengan Najib yang juga Perdana Menteri tetapi mempunyai pertemuan khas dengan isterinya.


Perbuatan itu jelasnya, merupakan tindakan terbaru yang tidak pernah berlaku dalam sejarah pemerintahan negara dan tdak pernah dilakukan olah mana-mana pemimpin negara luar mengadakan pertemuan khas dengan isteri Perdana Menteri secara individu.

"Kalau di kaji ada kebenaranya. Bila Lee Kuan Yu melawat Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Najib, Lee juga mengadakan pertemuan dengan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Itu yang menghairankan masyarakat kenapa dan apa motif perjumpaan itu. Lazimnya, pertemuan isteri diadakan berasingan itupun dengan isteri pelawat sahaja, " tegas Mahfuz.

Bukan sahaja timbul kehairanan di kalangan rakyat bahkan di kalangan wartawan yang membuat liputan pertemuan tersebut.

Jika Datin Seri Rosmah mahu membersihkan isu ini beliau perlu menjawab hasil pertemuan itu.

Adakah tindakan Rosmah itu membuktikan bahawa Najib bukan mengemukakan wawasan sendiri malahan mempunyai kaitan dengan isterinya yang cuba campur tangan terhadap pentadbiran negara, katanya.

Dulu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dikaitkan dengan menantunya, Khairy Jamaludin yang sering dilihat masuk campur tentang pentadbiran negara kali ini Najib pula menerima nasib yang sama bukan daripada menantunya sebaliknya 'Bininya'.

Menyentuh mengenai kenyataan Najib kononya slogan '1 Malaysia' berjaya diserapkan ke hati keseluruhan rakyat negara ini beliau menyifatkan, ia hanya mimpi semata-mata mengantikan slogan Islam Hadhari tajaan Tun Abdullah bila mengambil alih pemerintahan pada penghujung tahun 2003 lalu.

Kenapa kerajaan tidak mengambil langkah menetapkan sahaja slogan untuk memajukan negara mengelak daripada diperkenalkan setiap kali pertukaran kepimpinan.

"Kita tengok mana dia Islam Hadhari yang dijaja oleh ulamak Umno dan kepimpinannya semasa era kepimpinan Tun Abdullah. Begitu juga Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir serta Bersih , Cekap dan Amanah yang pernah menjadi trend percakapan orang kuat BN di kedai-kedai kopi, " tambah Mahfuz dalam program anjuran PAS Kawasan Nibong Tebal itu lagi.

Turut berucap pada majlis itu ialah wakil Kelab Penyokong PAS Pulau Pinang, C. J Ong, Ketua Penerangan PAS Perak, Khalil Idham Lim dan Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Ustaz Haji Hasan Abdul Razak.

Hadir sama ialah Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Haji Abdul Rahman Ramjan dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Helmi Harun.

HarakahDaily

'Tradisi Umno gemar tabur 1,000 janji' - Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Pengundi-pengundi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai perlu memilih seorang wakil rakyat yang boleh bersama mereka semasa susah dan senang ujar, Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dengan itu katanya, calon yang dikemukakan PAS, Fauzi Abdullah amat serasi dengan jiwa penduduk Manek Urai sebagai seorang yang banyak membantu penduduk sebelum dipilih sebagai calon lagi.

"Berbanding dengan calon Barisan Nasional yang iaitu seorang pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) apa yang dia buat selama bertugas di Manek Urai?" katanya semasa dihubungi Harakah Isnin lalu.

Dakwanya, kawasan Manek Urai sebahagiannya terletak dalam kawasan pembangunan Kesedar tetapi masih ketinggalan dan tidak ada apa yang dibangunkan di kawasan tersebut.

Kerana itu katanya, pengundi boleh lihat bagaimana kemajuan Kesedar pada hari ini di kawasan manek Urai.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetap penamaan calon pada 6 Julai dan 14 Julai hari mengundi.

Pilihan Raya Kecil tersebut diadakan apabila adunnya Ismail Yaakob meninggal dunia pada bulan Mei lepas.

Menurut Tuan Ibrahim, tradisi Umno yang gemar menabur seribu janji dalam setiap kali kempen pilihan raya menjadikan pengundi semakin matang untuk membuat semua pilihan dalam pilihan raya yang diadakan akhir-akhir ini.

Ini ujarnya, rakyat sudah tahu tentang sejauh mana janji-janji yang mampu dibuat Barisan Nasional (BN).

Justeru itu, katanya pengundi-pengundi di Manek Urai tidak akan termakan dengan janji-janji yang dibuat oleh Barisan Nasional.

"Jika BN hendak berjanji kita harap mereka buktikan dulu tempat-tempat yang mereka menang dalam tempoh pilihan raya ke 12 lalu di mana belum ditunai lagi," katanya.

Malah katanya, beliau berharap pengundi di Manek Urai dapat menilai sejauh mana Umno mampu menunaikan janji dalam pilihan raya di tempat lain.

Dalam pada itu ujarnya, pengundi-pengundi di Manek Urai lebih tertarik dengan isu tempatan berbanding isu nasional.

"Saya ingat tidak ada isu-isu nasional ini tidak sangat pengaruhi pengundi di kawasan Menek Urai dan mereka lebih pentingkan isu tempatan.

"Hanya isu perdebatan ini PAS dengan Umno yang mereka anggap sebagai tohmahan yang dibuat oleh Umno terhadap Menteri Besar Kelantan," katanya.

HarakahDaily

Dah faham dah, sengaja nak bagi rakyat lebih faham : Kit Siang debat Te Keat?

'Kurang faham atau buat-buat tak faham...'

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata beliau tidak akan melayani cabaran Lim Kit Siang untuk menyertai siri debat di lima negeri mengenai isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), kerana berpendapat penasihat DAP itu akan memutarbelitkan fakta berhubung isu berkenaan.

"Kalau hendak berdebat pun, saya harap beliau boleh berdebat dengan kewarasan dan sopan santun. Tindakan memutarbelitkan fakta tidak dapat menyelesaikan isu PKFZ," kata Ong kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, lapor Bernama.


"Kalau orang politik macam dia (Lim) yang nak buka gelanggang (debat), dia sendiri jadi tok dalang, mendalangi sendiri apa yang dia cakap, sendiri yang mendakwa, sendiri yang buat kesimpulan, saya rasa, akhirnya itu sesuatu yang hanya memalukan dirinya sendiri saja," kata Ong yang juga Presiden MCA.

Katanya, sejak tiga tahun lalu, Lim telah mengungkit soalan yang sama mengenai PKFZ.

"Jawapan telah dibuat, fakta yang dia nak pun dah didedahkan, dia masih lagi dalam keadaan celaru. Saya rasa sama ada dia kurang faham ke atau buat-buat tak faham.

Terdahulu, Lim yang juga ahli parlimen Ipoh Timur dalam sidang medianya mencabar Ong supaya turut membawa bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik dan Datuk Seri Chan Kong Choy yang turut dikaitkan dengan isu PKFZ bagi membantunya ketika berdebat.

malaysiakini

IGP ada hubungan dengan kumpulan kongsi gelap?

Anwar : Hubungan Polis Dan Samseng Dikecam

Kewujudan keselamatan kawasan perumahan, atau lebih dikenali sebagai neighbourhood watch, petanda rakyat tidak lagi yakin keselamatan nyawa mereka di tangan pihak berkuasa.

Fenomena neighbourhood watch ini berpunca dari imej polis yang tercemar dengan pelbagai kes rasuah, salahguna kuasa dan hubungan pihak berkuasa dengan penjenayah, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

“Rakyat tidak lagi menyakini polis mampu menjaga keselamatan mereka,” kata Anwar di Dewan Rakyat hari ini, ketika membahaskan Usul Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (SIAP).

“Kerajaan sendiri dilihat melindungi pegawai-pegawai atasan polis yang terbabit rasuah dan mempunyai kaitan dengan kumpulan-kumpulan kongsi gelap,” kata Anwar.

Anwar berkata demikian merujuk kepada akuan bersumpah pegawai-pegawai polis yang mendakwa wujudnya hubungan antara Ketua Polis Negara Musa Hassan dan kongsi gelap.

Anwar turut membacakan akuan bersumpah dari beberapa pegawai polis di Dewan Rakyat.

“Dari akuan- akuan bersumpah ini kita difahamkan bahawa anggota-anggota polis ini dikenakan tindakan kerana menyiasat aktiviti individu tertentu yang dipercayai terbabit dalam kongsi gelap,” kata Anwar.

“Saya berasa bimbang apabila Ketua Polis Negara sendiri dituduh memberi perlindungan kepada kongsi gelap,” tegas Anwar.


Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang turut mendedahkan satu kes pembunuhan seorang pemimpin kanan MIC yang cuba diselindung pihak polis.

Pada 12 Januari tahun lalu, Adun Tenggaruh S Krishnasamy dibunuh oleh seorang pembunuh upahan di dalam sebuah lif di Ibu Pejabat MIC Johor.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Krishnasamy ditembak satu kali di bawah kening mata kiri dan tembus ke belakang kepala.

Berdasarkan maklumat yang diterima pemimpin veteran DAP itu, suspek-suspek penting dalam kes ini dibebaskan sebaik sahaja ditahan.

“Walaupun setelah setahun berlalu namun masih tiada perkembangan terbaru dalam siasatan polis,” kata Kit Siang.

“Ini menunjukkan bahawa Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) amat diperlukan di masa sekarang,” tegas beliau.

TVA

Fitnah? Tiada Angin Takkan Pokok Getah Bergoyang?

Penceramah BN diarah jangan sebar fitnah

Semua penceramah BN telah diarahkan supaya jangan menabur fitnah sewaktu berkempen dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan berkata, Umno tidak mahu menggunakan pilihanraya sebagai tempat untuk memaki hamun dan menabur fitnah.

Beliau diminta mengulas dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa BN aktif menjalankan kempen memburukkan Pakatan Rakyat di Manek Urai.

Ketua umum PKR itu juga berkata, BN telah mencemarkan nama baik Menteri Besar yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk menarik sokongan pengundi

"Tepulang kepada Datuk Seri Anwar nak bercakap apa pun," katanya ketika dihubungi oleh Malaysiakini hari ini.

Ahmad yang juga timbalan menteri jabatan perdana menteri berkata, Umno akan menggunakan saluran media untuk menyampaikan penerangan kepada pengundi Manek Urai.


Dalam pilihanraya kecil 14 Julai depan, calon BN Tuan Aziz Tuan Mat akan ditentang oleh bendahari PAS kawasan Kuala Krai, Fauzi Abdullah.

Sasar pegundi atas pagar

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Annuar Saffian berkata, Pemuda Umno akan menjawab serangan PAS dan Pakatan Rakyat di Manek Urai supaya rakyat tidak terpengaruh dengan pembangkang.

Mengenai peluang Tuan Aziz, ketua Pemuda Umno Kelantan itu berkata, beliau berkeyakinan tinggi calon BN itu akan diterima pengundi.

Katanya, maklumat awal yang diperolehi pengundi atas pagar menyebelahi BN.

Annuar berkata, pihaknya menjangka PAS dan Pakatan akan terus menyebarkan fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Datuk Seri Najib Tun Razak, dengan mengaitkannya dengan pembunuhan wanita Mongolia.

"PAS juga akan mempermain-mainkan hukum hudud dan memutarbelitkan mengenai kerajaan perpaduan.

"Memang ini yang berlaku setiap kali pilihanraya di Kelantan di mana pemimpin PAS " katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

malaysiakini

'Kiasan’ Tok Guru Nik Aziz Tidak Salah, Pemimpin UMNO Boleh Berdebat Untuk Kebenaran

KUALA TERENGGANU – Sebagai seorang ulama’ dan pemimpin politik Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih arif memberikan kiasan tersendiri dalam usaha menyedarkan pemimpin Islam supaya melaksanakan perjuangan ke arah kebenaran Islam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Uztaz Satiful Bahri Mamat berkata ‘kiasan’ yang diberikan oleh Mursyidul Am PAS itu kepada UMNO tidak salah.

“Tok Guru sudah menyatakan, apa yang dikatakannya terhadap UMNO adalah kiasan. Tok Guru orang yang belajar dan mengajar akidah, cuma dari segi pandangan masyarakat, ia kelihatan kasar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

(Gambar - Ustaz Satiful (mengadap kamera dua dari kanan)bersama pimpinan PAS Terengganu makan nasi bungkus selepas mesyuarat di pejabat PAS baru-baru ini)

Beliau berkata kiasan Tok Guru itu adalah satu peringatan dan amaran kepada pemimpin Islam Melayu supaya sensitif terhadap tuntutan agama.

Oleh itu katanya, sekiranya mana-mana ungkapan Tok Guru Nik Aziz yang dirasakan tidak benar, UMNO sepatutnya menerima pelawaan beliau untuk berdebat.

“Mereka yang tidak menerima Islam atau tidak mahu mengikut Islam boleh dianggap sesat dan sama dengan perumpamaan itu. Dari segi politik, kadang-kadang kata-kata sebegini perlu dalam usaha memberi kesedaran,

”sekiranya pemimpin UMNO tidak puas hati, atau merasakan apa yang dikatakan oleh Tok Guru tidak betul, boleh berdebat untuk mencari titik kebenaran” katanya.

Tok Guru Nik Aziz mengulas sifat dan sikap pemimpin dan perjuangan UMNO seperti ajaran sesat Ayah Pin dan Komunis ketika berceramah di Padang Majlis Daerah Laloh, Kelantan pada 21 Jun lalu.

Kenyataan beliau telah menimbulkan kegusaran dikalangan pemimpin UMNO yang menganggap ia boleh menimbulkan ketegangan serta berbaur hasutan .

Tok Guru mengatakan kenyataannya hanya kiasan atau perumpamaan, namun mengajak pemimpin UMNO terutamannya Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Razak untuk berdebat bagi mencari penyelesaian, mengapa UMNO tidak mahu kepada Islam

BuletinOnline

Calon UMNO/BN Tiada Yang Bersih Dari Rasuah, Salah Guna Kuasa

Calon BN nafi dakwaan salahguna kuasa dan rasuah

Calon BN bagi pilihanraya kecil DUN Manek Urai, Tuan Aziz Tuan Mat hari ini menafikan dakwaan yang disebarkan melalui internet bahawa "beliau pernah menyalahguna kuasanya dan terbabit dalam rasuah".

Dakwaan itu tersebar tidak sampai 24 jam selepas beliau diumumkan semalam sebagai calon BN bagi pilihanraya kecil DUN Manek Urai.

Dakwaan di internet itu menyebut Tuan Aziz hidup melebihi kemampuannya ketika menjadi CEO Kesedar Perkilangan Sdn Bhd (KPSB) - jawatan yang disandangnya sebleum dilantik menjadi pengurus di Kesedar.


Lamanweb itu mendakwa ekoran Tuan Aziz gagal menjelaskan mengenai gayahidup mewah itu, maka beliau diturunkan pangkat menjadi pengurusan bahagian bersama potongan gaji dan elaun.

Beliau juga didakwa melakukan lawatan yang 'meragukan' ke luar negara serta membawa bersama pegawai-pegawai yang tidak berkaitan ke negara Asean seperti Vietnam dan Thailand untuk tujuan pemasaran.

Juga terdapat dakwaan bahawa beliau menyalahguna kuasanya dalam pemberian kontrak-kontrak KPSB dan melobi untuk pembekal baja sewaktu bertanding untuk jawatan ketua Pemuda Umno Kuala Krai.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Tuan Aziz menafikan semua tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan berkata ketika menjadi ketua Pemuda Umno, beliau tidak pernah terbabit dalam operasi kilang Kesedar.

Nafi pernah lobi

Menurutnya, beliau juga tidak pernah ke Thailand atau Vietnam ketika bersama Kesedar.

Sebaliknya, kata Tuan Aziz, beliau hanya pernah ke Kampuchea berhubung penjualan minyak masak pada 2007.

Mengenai dakwaan beliau membawa bersama pegawai yang tidak berkaitan menyertai lawatannya, Tuan Aziz berkata ia bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada mereka dan dilakukan secara bergilir-gilir.

Tuan Aziz juga menafikan yang beliau pernah melobi bagi pihak pembekal baja ketika bertanding jawatan ketua Pemuda bahagian.

Sebaliknya, kata Tuan Aziz lagi, keputusan untuk memberi sebarang kontrak bukan terletak di tangannya.

Tuan Aziz berkata, seingatnya, para pembekal sudahpun mendapat kontrak tersebut sebelum beliau menjadi CEO Kesedar.

Oleh itu, katanya, tidak timbul soal beliau melobi untuk mereka.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan untuk memberi kontrak tersebut terserah kepada jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam bidang pertanian.

malaysiakini

Nizar Kesal Hanya 5 Hakim Dengar Rayuan

Datuk Seri Nizar Jamaluddin kesal dengan keputusan Ketua Hakim Negara hanya memperuntukan lima hakim Mahkamah Persekutuan untuk mendengar rayuannya bersabit krisis Perak.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan Nizar pada 9 julai ini terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah walaupun BN kalah pada pilihanraya umum dan Nizar tidak meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar atau menghadapi usul tidak percaya di DUN Perak.

Nizar berkata rayuan beliau kepada mahkamah tertinggi negara membabitkan isu perlembagaan dan insitutusi demokrasi berparlimen negara. Oleh itu lebih sesuai kes ini di dengar oleh panel 11 hakim.

" Kalau kita pohon 11 para-para hakim untuk mengadili kes ini pada 9 dan 10 Julai hanya dibenarkan lima oleh Ketua hakim semalam, itu pun dengan menghantar faks kepada pejabat peguam saya. Saya menyatakan antara kelima-lima hakim itu mangkor (keras) barangkali ada yang sekupang dua (lembut) ada ciri-ciri keadilan dalam perut dia. Saya kata kalau ada antaranya yang tidak keras sangat, itulah yang kami harapkan"

Datuk Seri Nizar sudah pun dibeban dengan masalah dalam membuat rayuan kepada mahkamah persekutuan. Ketiga-tiga hakim mahkamah rayuan yang memberi keputusan berpihak kepada Zambry mengambil hampir sebulan untuk memberi alasan mereka secara bertulis.

" 19/6 saya telah membuat satu permohonan/failing di Putrajaya. Masa kami failkan kes ini, ulasan oleh hakim tidak ada walaupun pada 22hb, mereka mengeluakan penghakiman Zambry adalah Menteri Besar yang sah. mereka berjanji tujuh hari selepas hari ini (22 Mei) akan diberikan ulasan dan sampai semalam (27 jun) baru kami mendapatkan ulasan dari Hakim Md Raus. Itupun selepas kami pergi ke pejabatnya"

Datuk Seri Dr Nizar juga menambah kemelut politik di Perak tidak sedikit pun menjejaskan kepercayaan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat (PR). Malah katanya walau apa jua keputusan penghakiman yang mungkin berpihak kepada Zambry, PAS dan pakatan rakyat tetap kukuh bertapak di Perak.

" Itulah kekuatan kita hari ini. Undang-undang menyebelahi kita, rakyat bersama kita. Apa yang paling penting, hari ini di negeri Perak, sokongan Cina dan India, DAP ini kepada PAS cukup memuncak. Ini yang kami ingin pertahankan kerana mereka ini menerima PAS tanpa banyak soal"

Sementara itu, peguam Nizar, Leong Cheok Keng berkata pihaknya akan merayu keputusan Ketua Hakim Negara menghadkan rayuan Nizar kepada hanya lima hakim Mahkamah Persekutuan.

Semalam kami mendapat faks yang menyatakan lima orang hakim tetapi akan membuat rayuan sekurang-kurang 9 hakim untuk kes ini. Kami akan memohon kepada CJ untuk menimbang semula bilangan hakim supaya dapat melihat isu ini dari pelbagai perspektif dan menemui jawapan yang sebenar"





TVA
klip video ehsan : greenboc

Anwar sokong syor Nik Aziz mahu debat dengan PM

Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini menyambut baik cadangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu berdebat secara terbuka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Pada pendapat saya adalah lebih baik beliau berdebat secara terbuka kerana ini dapat mengurangkan media Umno-Barisan Nasional (BN) salah tafsir dan membuat fitnah terhadap kenyataan-kenyataan beliau (Nik Aziz)," katanya.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, mengulas kenyataan Nik Aziz semalam yang mencabar Najib mengadakan debat terbuka bagi mencari kebenaran dan menyelesaikan kekalutan politik yang berlaku sejak sekian lama.

Tok Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, draf surat jemputan rasmi kepada Presiden Umno untuk mengadakan perdebatan itu telah siap dirangka dan akan dihantar dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, jalan terbaik adalah mengadakan dialog secara terbuka supaya tidak ada pihak yang boleh memutarbelitkan fakta dalam perkara berkenaan.

Dalam perkembangan lain, mengenai pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang akan berlangsung pada 14 Julai ini, Anwar berkata, PKR akan memberi sokongan penuh kepada PAS dalam membantu parti itu memenangi pilihan raya kecil tersebut.

"Kita akan beri sokongan penuh kepada PAS. Insya-Allah kita yakin PAS akan dapat pertahankan kerusi kawasan tersebut.

"Kita akan beri sokongan dalam apa jua bentuk kerjasama kepada calon PAS di Manek Urai," katanya kepada mStar.



BuletinOnline

Puad Zakarshi nak debat dengan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat?

Debat jalan terakhir selesai masalah ummah - Nik Aziz

Umno kini benar-benar gelabah dengan pelawaan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berdebat mengenai isu mengapa Umno tolak Islam.

Rata-rata pemimpin Umno menolak pelawaan tersebut kecuali Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Puad Zakarshi yang kononnya sedia berdebat dengan Mursyidul Am PAS.

Sedangkan pada awal tahun ini beliau gagal hadir pada wacana di Kota Bharu dengan alasan yang diadakan-adakan, biar pun pada peringkat awal menyatakan persetujuan datang.

Menteri Besar berkata, kenapa pemimpin Umno menolak pelawaan untuk berdebat sedangkan debat merupakan cara yang paling baik untuk menyelesaikan sesuatu masalah sebagaimana tuntutan Islam dan demokrasi.

"Seperti mana di mahkamah, dua orang peguam berhujah mengemukakan bukti atau berdebat untuk menentukan samada salah atau tidak seseorang tertuduh," katanya pada persidangan media di pejabatnya hari ini.


Sabtu lalu beliau mempelawa Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak berdebat mengenai sebab apa pemimpin parti itu menolak Islam.

Bagaimanapun pemimpin Umno termasuk bekas presiden, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menolak cadangan tersebut.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, calon-calon presiden di Amerika Syarikat termasuk Barrack Obama sebelum ini berkempen secara debat.

"Begitu juga di Indonesia debat melibatkan calon-calon presiden dan calon-calon wakil presiden bagi menghadapi pilihan raya Presiden tidak lama lagi. Jadi mengapa pemimpin Umno menolak," kata beliau.

Sedangkan katanya, debat ialah jalan terakhir setelah nasihat dan pelbagai cara yang digunakan sebelum ini tidak diendahkan.

"Semasa Allah swt menjadikan Nabi Adam as, Tuhan berdialog dengan Malaikat seperti diceritakan dalam al-Quran.

"Islam menyuruh kita berdebat mengenai dasar kerana dunia ini kepunyaan Allah swt, maka kita perlu mengikut arahan atau pun kehendak-Nya, tidak boleh pandai-pandai malakukan apa sahaja.

"Allah swt mengutuskan Nabi Muhammad saw membawa Islam merangkumi iman dan ihsan supaya menjadikan perkara ini sebagai dasar dan bukannya berpandukan nasionalis semata-mata," ujarnya.

HarakahDaily