Friday, October 15, 2010

Ku Li tolak jadi calon Galas

Tengku Razaleigh Hamzah menolak cadangan Umno bahagian Gua Musang - yang mengadakan mesyuarat khas petang semalam - supaya bertanding sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas 4 November ini.

Cadangan tersebut dikemukakan oleh ADUN Nenggiri, Mat Yusoff Ghani dan disokong oleh ahli jawatankuasa bahagian yang menghadiri mesyuarat khas itu di pejabat Umno bahagian selama kira-kira dua jam mulai 5 petang.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mat Yusoff mengesahkan beliau membuat cadangan tersebut dan mendapat sokongan para AJK bahagian.

Bagaimanapun, katanya, Tengku Razaleigh yang juga ahli parlimen Gua Musang dan ketua bahagian berkenaan, meminta mereka memilih calon lain daripada beliau dan dua ADUN dalam Parlimen Gua Musang - Nenggiri dan Paloh.

Mat Yusoff berkata, mesyuarat khas itu turut meneliti senarai calon yang dicadangkan oleh kalangan AJK bahagian, yang turut mengandungi nama Tengku Razaleigh.

Katanya, turut dijemput menghadiri mesyuarat khas petang semalam termasuk di kalangan wakil kerajaan, pegawai lantikan politik, penggawa di bahagian berkenaan.

"Tengku Razaleigh telah memberi kebebasan kepada AJK bahagian untuk menentukan calon BN di Galas.

"Dan calon pilihan mereka itu akan diserahkan kepada pihak pusat untuk diputuskan.

"Beliau kata walaupun perdana menteri mahu beliau (Tengku Razaleigh) sendiri yang memilih calon, tetapi beliau mahu perdana menteri yang memutuskannya," katanya.

Menurut Mat Yusoff lagi, senarai calon tersebut turut diedarkan kepada mereka yang menghadiri mesyuarat khas semalam untuk mencadangkan calon yang sesuai.

"Dua tiga hari lagi kita tahulah keputusannya," tambah beliau.

Galas adalah antara tiga DUN dalam parlimen Gua Musang. Kerusi tersebut kosong selepas kematian ADUN dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September, kerana barah usus.

Che Hashim memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 2008 dengan mengalahkan Mohd Saufi Deraman dari BN, dengan majoriti 646 undi.

Mkini

Batu Sapi by-election set for Nov 4 as well

Pilihan raya kecil Batu Sapi serentak DUN Galas

PRK Serentak bukti SPR dibawah telunjuk BN,Pakatan Sedia Bertempur
TERKINI @ 01:31:27 PM 15-10-2010October 15, 2010

PUTRAJAYA, 15 Okt — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November sebagai hari pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah manakala 26 Oktober sebagai hari penamaan calon.

Dengan keputusan itu, pilihan raya kecil kerusi DUN Galas di Kelantan dan Parlimen Batu Sapi, Sabah akan diadakan serentak sebagaimana diamalkan awal tahun lalu membabitkan tiga kawasan.

Pada minggu lalu, SPR menetapkan pilihan raya kecil kerusi Galas akan diadakan 4 November.

Tarikh pilihan raya kecil yang ke-13 ini diumumkan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mesyuarat khas hari ini.

Mengenai pilihan raya serentak, Aziz berkata keputusan itu berdasarkan faktor undang-undang tidak melarang berbuat demikian dan pengalaman SPR sebelum ini yang mengadakan pilihan raya kecil secara serentak di tiga tempat iaitu di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai tahun lalu.

Beliau berkata jika dijalankan serentak, tempoh untuk mengadakan pilihan raya kecil itu menjadi pendek berbanding secara berasingan, sekali gus menjimatkan masa, perbelanjaan SPR dan mengurangkan ketegangan.

Katanya selain itu, SPR melihat tarikh berkenaan sebagai yang terbaik memandangkan faktor ruang yang terhad berikutan banyak peristiwa berlaku menjelang hujung tahun seperti sambutan perayaan Deepavali, Hari Raya Aidiladha, sidang DUN Sabah, awal Muharram, peperiksaan SPM.

“Dan yang paling penting, Sabah telah menyatakan kesediaannya untuk menghadapi pilihan raya kecil,” katanya selepas mengadakan mesyuarat khas berhubung pilihan raya kecil itu di sini.

Kerusi Batu Sapi kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah pada Sabtu lalu.

Chong yang juga Bendahari Agung PBS meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong diwakili Datuk Samsudin Yahya daripada BN dan DUN Karamunting oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Peter Pang En Yin yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar daripada Parti Liberal Demokratik bulan lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Chong memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon Bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708. Mendiang memperoleh 9,479 undi manakala Chung meraih 5,771 undi.