Friday, June 5, 2009

Kemelesetan Ekonomi, BN Masih Dengan Sindrom Penafian - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang

Dunia hadapi krisis kapitalis liberal - Ustaz Hadi

Krisis kewangan yang dihadapi di seluruh dunia hari ini akibat kegagalan sistem kapitalis liberal menandakan satu bentuk kehancuran idealogi ciptaan manusia.

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar beliau sebentar tadi.

Beliau juga mengingatkan perwakilan dan hadirin muktamar bahawa perubahan adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia atas sifatnya sebagai makhluk ciptaan Allah.

"Dunia pada hari ini berdepan dengan krisis kewangan, sekali gus kegawatan ekonomi akibat keruntuhan sistem kapitalis liberal.

"Kegagalan itu juga menandakan sistem kewangan yang berteraskan riba, ihtikar dan gharar yang menjadi pegangan dan amalan Barisan Nasional.

"Bank Dunia mengakui bahawa krisis kali ini melibatkan kerugian bukan berbillion bahkan beberapa trillion dollar Amerika," tegas beliau.

Kerajaan BN pula tegas beliau, berpeluang meletakkan punca krisis ekonomi negara kepada faktor luar yang bersifat global dan kononnya tidak dapat dielakkan.

Hadi menyifatkan tindakan BN itu sebagai tidak bertanggungjawab, bahkan mengekalkan 'sindrom penafian' yang menjadi amalan mereka selama ini.

"Lebih parah lagi BN terus menerus mentadbir ekonomi negara dengan rakus dan boros, serta sarat dengan amalan penyelewengan kuasa, rasuah, kronisme dan nepotisme yang menyaksikan pengulangan tabiat buruk pengurusan orde lama," tegas Hadi.

Beliau menjelaskan akibat pentadbiran BN yang korup itu, rakyat terus menanggung kerugian besar sementara segelintir pihak kroni terus mengecapi keuntungan semasa ekonomi mewah sedikit masa dulu.

Justeru, beliau menegaskan PAS suka mengingatkan semua pihak bahawa urus tadbir yang baik terhadap segala khazanah kekayaan dan sumber alam yang dianugerahkan di muka bumi ini adalah satu juzuk tuntutan amanah Allah S.W.T. yang diletakkan ke atas manusia selaku khalifah Allah di atas muka bumi ini.

HarakahDaily

No comments:

Post a Comment