Thursday, December 17, 2009

Anti-GST sanggah kenyataan Menteri Kewangan Kedua

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 17 Dis : Pasukan Khas Pakatan Rakyat Anti-GST (Anti-GST Task Force) hari ini sekali lagi menyanggah kenyataan Menteri Kewangan kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah bahawa pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan membebankan rakyat.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak masuk akal, Ahli Jawatankuasa Anti-GST Tony Pua berkata, pengenalan GST akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung lebih RM 6.4 bilion cukai yang sepatutnya diperolehi daripada pihak industri.

"Jika perolehan cukai daripada para peniaga akan dikurangkan sehingga RM 5.4 bilion dan dalam masa yang sama pendapatan negara bertambah kepada RM 13 bilion, bermaksud jumlah cukai RM 6.4 bilion akan diperolehi daripada rakyat.

"Persoalannya bagaimana menteri boleh keluarkan kenyataan rakyat berpendapatan rendah mampu menyimpan seperti mereka yang berpendapatan tinggi? Pengecualian cukai RM 6.4 bilion yang dinikmati oleh para peniaga akan dibayar oleh pengguna yang terdiri daripada pekerja berpendapatan rendah, pesara, pelajar ataupun golongan pertengahan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pelating Jaya Utara pada sidang media di lobi Parlimen pagi tadi.




Seorang lagi Ahlijawatankuasanya, Dr. Dzulkifli Ahmad pula berkata, perlaksanaan GST merupakan satu beban kerana ia mengakibatkan semua rakyat tidak mengira sempadan pendapatan terpaksa membayar cukai dengan kadar yang sama sekaligus membuatkan golongan berpendapatan rendah lebih menderita.

"kalaulah golongan berpendapatan rendah buat simpanan, golongan pendapatan tinggi pun buat simpanan, kelompok pengeksport pun buat simpanan akhirnya macammana datangnya pendapatan lebihan daripada cukai ini. Rakyat yang manjadi mangsa kerana terpaksa membayar cukai," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor juga berkata, rancangan Kerajaan melaksanakanGST disebabkan mereka sudah kehabisan sumber kewangan dan terpaksa mencari sumber ain untuk menampung hutang Kerajaan.

"Menteri cuba yakinkan rakyat cukai ini baik untuk rakyat tapi sebearnya Kerajaan sudah banyak berhutang sehingga terpaksa mencari sumber lain,"tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution berkata, pasukan Anti-GST akan meningkatkan usaha memberikan penerangan kepada rakyat mengenai kesan buruk yang akan ditangggung rakyat jika GST dilaksanakan.

Ini termasuk perbincangan meja bulat parlimen melibatkan ahli parlimen dan pakar industri bagi mendapatkan pandangan dan maklumbalas daripada golongan ini.

"Untuk tempoh Januari hingga MAC, Pasukan Anti GST akan meningkatkan tindakan membantah pelaksanaan cukai ini.

Kami akan mengadakan perbincangan meja bulat parlimen dengan 'industry ekspert' untuk dapatkan pandangan dan maklumbalas daripada kelompok ini.

"Kami juga akan adakan kaukus parlimen melibatkan Ahli Parlimen tentang GST," katanya lagi.

Selain itu, pasukan ini akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara melibatkan program berbentuk forum, pengedaran risalah penerangan mengenai GST.

Rakyat juga boleh memberi maklum balas mengenai GST melalui emai NOtoGST@gmail.com

Semalam, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pelaksanaan GST yang bermula pertengahan 2011 nanti dijangka hanya sekitar empat peratus berbanding kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di antara lima hingga 10 peratus selama ini.

Menurutnya, GST juga dikecualikan ke atas barangan keperluan seperti produk pertanian dan makanan asas bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat khususnya golongan miskin serta berpendapatan rendah.

Beliau berkata, pelaksanaan GST berupaya mengurangkan kos operasi para peniaga di negara ini dengan penjimatan tahunan sebanyak RM4 bilion bagi semua sektor perniagaan dan RM1.4 bilion untuk sektor eksport.

Ahmad Husni berkata, ini kerana syarikat yang mencatatkan perolehan tahunan kurang daripada RM500,000 dikecualikan daripada membayar GST.

Harakahdaily

Tian : RM600,000 dikirim buat Rosmah di Dubai

Lee Weng Keat
Dis 17, 09 1:27pm


Ahli parlimen PKR Tian Chua mendakwa individu yang tidak dikenal pasti telah menghantar RM600,000 melalui pengurup wang kepada Datin Seri Rosmah Mansor ketika isteri perdana menteri berada di Dubai, Ogos tahun lalu.

Tian Chua berkata, beliau mempunyai dokumen yang membuktikan berlakunya transaksi yang melanggar undang-undang tersebut.

Beliau bagaimanapun, tidak tahu tujuan wang itu digunakan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini, Tian juga mendakwa bahawa dua tokoh korporat melakukan kesalahan yang sama.

Beliau mendakwa Datuk Abu Sahid Mohamad telah menghantar RM22.2 juta ke United Kingdom antara Jun dan Ogos 2008, melalui pengurup wang Salamath Ali. Ia didakwa untuk membeli hartanah.

Tian juga mendakwa ahli perniagaan Syed Mohammad Syed Nursin pula menghantar RM1.19 juta ke UK melalui Salamath Ali, juga untuk tujuan membeli hartanah.

Syed Mohammed adalah adik kepada jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Tian berkata, beliau mempunyai salinan surat tunjuk sebab yang dihantar oleh Bank Negara kepada pengurup tersebut, memintanya menjelaskan mengenai pengiriman wang secara haram itu.

Ahli parlimen Batu menggesa Bank Negara supaya menyiasat orang yang menghantar wang tersebut dan bukan hanya memfokuskan siasatan kepada pengurup terbabit sahaja.


[Berita lanjut menyusul]

Belum sampai setahun, Najib mulai tergugat

“Salam 1Malaysia adalah salam nasionalisme yang berpokok kepada nasionalisme, sedangkan Rasulullah saw sendiri tidak pernah mengajar ‘Salam Satu Madinah’

'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ nampak elok, tetapi dalam Islam, Allah swt mestilah didahulukan

“Allah swt mesti didahulukan. Jangan bertindak seolah-olah hak Allah swt tidak ada dalam senarai urusan negara kita sekarang,”



M Yarisman

KOTA BHARU 16 Dis : Belum pun sampai setahun Datuk Seri Najib Razak berada di puncak kuasa, kini kepemimpinannya mulai kelihatan tergugat.

Detik cemas pengundian untuk meluluskan Bajet 2010 pada 14 Disember lalu dengan hanya kelebihan tiga undi, nyaris membawa kerajaan BN yang diketuai Najib terbubar.

Pada undian tersebut BN hanya mendapat 66 undi berbanding Pakatan Rakyat 63 undi.

Saat cemas itu turut diakui Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di mana katanya, berdasar kepada konvensyen negara berparlimen, sekiranya bajet tidak diluluskan kerajaan BN terpaksa dibubar dan pilihan raya perlu diadakan.

Selain itu, konsep 1Malaysia dan Salam 1Malaysia yang dicipta perdana menteri juga dipertikaikan banyak pihak.

Difahamkan inisiatif-inisiatif membabitkan konsep 1 Malaysia khususnya berhubung soal perpaduan dan integrasi nasional terpaksa ditangguh berikutan kesukaran mencapai kata sepakat di kalangan menteri Umno.

Keputusan penangguhan itu diputuskan ketika retreat khas yang diadakan di ibu negara Ahad lalu.

Selain itu ramai ulama mempertikai Salam 1Malaysia yang dianggap boleh menjejas aqidah seseorang Muslim kerana cuba merendah-rendahkan salam sedia ada dalam Islam.

Ulama terkenal, Datuk Dr Harun Din menyebut dalam tulisan seperti disiarkan Harakah minggu lalu - Salam 1Malaysia merupakan kerja-kerja sia-sia kerana tidak diberi pahala.

Bekas penyarah Akademik Islam, Universiti Malaya, Mohamad Mustafa (gambar bawah) juga menganggap Salam 1Malaysia seperti syirik nasional yang cuba menyembunyikan keindahan Islam dengan slogan ciptaan manusia.

“Ucapan Salam 1Malaysia adalah perbuatan bidaah kerana tidak ada dalam amalan Islam, yang ada ialah ucapan salam yang sempurna iaitu “assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh”.

“Salam 1Malaysia adalah salam nasionalisme yang berpokok kepada nasionalisme, sedangkan Rasulullah saw sendiri tidak pernah mengajar ‘Salam Satu Madinah’.

“Sekiranya mahu melaksanakan Islam dan bukan menjadi penghancur (kepada amalan Islam), berilah salam yang sempurna,” katanya.

Beliau yang juga bekas Yang Dipertua Abim Kelantan turut mempersoalkan konsep 1Malaysia kerana teras penyatuan yang cuba dibawa perdana menteri tidak mempunyai elemen Islam.

“Amerika juga mengajak rakyatnya bersatu di atas dasar United State - satu Amerika, sementara Russia dengan satu Russia, demikian juga dengan ‘United Malay’.

“Persoalan sekarang, aspek penyatuan itu disuruh Islam, tetapi hendaklah dipastikan sama ada penyatuan tersebut atas dasar tauhid atau syirik.

“Bagi orang Islam, sama ada 1Malaysia atau pun tidak, itu tidak kisah, namun konsep ‘1Malaysia’ yang dicetuskan dipastikan sama ada berlandaskan dasar tauhid atau tidak,” katanya yang juga Adun Demit.

Oleh itu katanya, pendekatan 1Malaysia menggambarkan kemuncak kepada ajaran nasionalisme yang meninggalkan agama dalam gerak kerjanya.

Begitu juga katanya, slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ nampak elok, tetapi dalam Islam, Allah swt mestilah didahulukan.

“Allah swt mesti didahulukan. Jangan bertindak seolah-olah hak Allah swt tidak ada dalam senarai urusan negara kita sekarang,” katanya.

Harakahdaily