Monday, December 6, 2010

Khir Toyo didakwa atas tuduhan rasuah


Khir Toyo dijangka didakwa berhubung pemilikan dua tanah lot banglo mewah

Perutusan Ma'al Hijrah YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui, (yaitu) orang-orang yang sabar dan Hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal.." – Surah an-Nahl, ayat 41-42

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus hidup di bumiNya ini dan berada di ambang tahun baru 1432 H pada hari ini. Sesungguhnya nikmat kehidupan yang terus menerus dikurniakan Allah SWT kepada kita ini wajarlah digunakan untuk meningkatkan amalan dan ketaqwaan kita sebagai bekalan untuk mengadap Allah SWT suatu masa kelak.

Memperingati peristiwa hijrah bukanlah satu kegiatan yang diada-adakan tanpa asas. Sambutan ini yang dibuat untuk memperingati peristiwa hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW sebenarnya telah diperintahkan oleh al-Quran sendiri. Allah SWT berulang kali di dalam al-Quran memerintahkan supaya manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh umat-umat yang terdahulu sebagai iktibar dan peringatan untuk semua. Justeru, memperingati peristiwa hijrah ertinya membelek semula lembaran sejarah untuk melihat dan mempelajari bagaimanakah pengorbanan yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW dan para sahabat demi menegakkan ketuanan Allah SWT di muka bumi ini.

Hari ini, setelah 1432 tahun ia berlalu, kisah hijrah Rasulullah SAW masih kekal segar dan terpahat kukuh dalam ingatan kita. Persoalannya, adakah cukup sekadar ia diingati dan disebut tanpa dihayati semangatnya? Tentulah tidak. Justeru, saya mengajak diri saya dan semua pihak agar sama-sama melakukan gerak kerja berhijrah untuk menjadi manusia yang lebih baik pegangan dan perilakunya selepas ini.

Lakukanlah hijrah ke arah kebaikan dalam semua aspek. Di bidang ekonomi, berhijrahlah dari ekonomi riba kepada ekonomi yang diredhai oleh Allah SWT. Di dalam bidang pendidikan, berhijrahlah dari sistem pendidikan yang hanya mengutamakan merit dan sijil semata-mata kepada sistem pendidikan yang benar-benar berteraskan wahyu dan berorientasikan pembentukan minda dan akhlak yang baik. Di dalam bidang politik, tinggalkanlah politik sekular dan berhijrah kepada politik Islam yang sebenar, politik yang turut mengambil kira soal dosa dan pahala di dalam gerak kerja. Seterusnya di dalam semua bidang di dalam kehidupan, selaraskanlah semuanya agar selari dengan tuntutan mencari keredhaan Allah SWT.

Insya-allah, kita yakin jika semangat ini dapat dihayati dengan sebaik mungkin, kita tidak akan berdepan dengan pelbagai masalah untuk mengurus tadbir kehidupan masyarakat.

Sekian.

MEMBANGUN BERSAMA ISLAM – KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat Pejabat Menteri Besar Kelantan. Bertarikh : 28 Zulhijjah 1431H / 5 Disember 2010M

Istana Kelantan sahkan lucut dua pingat Ku Li

Tengku Razaleigh Hamzah

KOTA BARU, 6 Dis — Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V perkenan menarik balik dua pingat darjah kebesaran dengan salah satunya Darjah Kerabat (D.K) yang dikurniakan kepada tokoh politik veteran negara Tengku Razaleigh Hamzah.

Dua pingat kebesaran tersebut ialah Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K) (Al Yunusi) dan tauliah Pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K) Al-Muhammadi I).

Ketika mengumumkan perkara itu di Istana Balai Besar di sini malam tadi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, mengumumkan penarikan balik anugerah itu berkuat kuasa 2 Disember lalu.

Darjah Kerabat dikategorikan sebagai pingat tertinggi istana dan dikhaskan kepada keluarga diraja.

Mohd Aiseri juga mengumunkan penarikan balik tauliah pelantikan Ahli Yang Kedua (Dato’’ Paduka) bagi darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Yang Amat Mulia (D.J.M.K.) (Al-Ismaili I) daripada Dr Yaacob Hussain Merican, 72, serta pelantikan Jaksa Pendamai (J.P.), juga berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Tengku Razaleigh, 73, Ahli Parlimen Gua Musang dan ketua Umno bahagian itu, adalah datuk saudara kepada Sultan Muhammad V sebelah bondanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

“Menjunjung titah perintah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V Al-Sultan Kelantan, saya memaklumkan bahawa baginda telah mengampuni perkenan menarik balik darjah kebesaran dan anugerah kedua-dua individu itu,” kata beliau dipetik Bernama.

Menurut Mohd Aiseri, mereka yang terbabit dalam penarikan balik darjah kebesaran itu telah dimaklumkan melalui surat serahan tangan sehari selepas itu.

Beliau berkata, penarikan balik darjah kebesaran itu adalah hak baginda Sultan yang dijalankan menurut hemah dan budi bicara baginda.

Difahamkan Tengku Razaleigh dikatakan mengeluarkan kenyataan menyingung perasaan Tuanku melalui siaran akhbar berbahasa Cina pada 14 September lepas kerana meragui pelantikan Tuanku sebagai Pemangku Raja.

Yaacob pula mewakili anak guamnya dalam mengemukakan saman terhadap pelantikan baginda sebagai Sultan Kelantan di Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur pada 25 Oktober lepas.

The Malaysian Insider pagi semalam melaporkan Sultan Kelantan telah melucutkan dua pingat yang dikurniakan kepada Tengku Razaleigh baru-baru ini, tetapi alasan keputusan itu masih belum diketahui.

Sumber-sumber rapat dengan putera Kelantan itu, yang mesra dikenali sebagai “Ku Li” kelmarin mengesahkan Istana Kelantan telah memutuskan untuk menarik balik dua pingat dengan salah satunya D.K., yang dikategorikan sebagai pingat tertinggi istana dan dikhaskan kepada keluarga diraja.

Tengku Razaleigh telah digugurkan daripada keanggotaan Majlis Perajaan Negeri (MPN) September lalu.

Laman web mengenai darjah kebesaran menyebut D.K. dizahirkan pada 1916 dan dianugerahkan kepada Kerabat Diraja serta kepada orang-orang yang bertaraf tinggi dan ternama yang telah membuat jasa kebaktian yang cemerlang kepada Kelantan.

Keanggotaan darjah kebesaran ini adalah juga dianugerahkan kepada Raja-raja dan Kerabat Diraja dari luar negara.

Darjah kebesaran ini mempunyai satu peringkat sahaja.

Awal Oktober lalu, Sultan Muhammad V menarik balik anugerah dan darjah kebesaran daripada empat individu termasuk gelaran “Datuk” kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Wan Hashim Wan Daud.

Dua lagi individu adalah kerabat Istana Kelantan iaitu Tengku Mohamed Shafie Tengku Ibrahim dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor.

Tuanku Muhammad Faris Petra Tuanku Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.

Tengku Razaleigh, bekas Menteri Kewangan dan pengasas Petronas, kini merupakan antara Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di negara ini.

Beliau merupakan bekas timbalan pengerusi MPN, dan dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat yang diadakan untuk mengesahkan pemasyhuran pemerintah baru negeri itu September lalu. Difahamkan turut tidak hadir adinda baginda Tengku Amalin A’ishah Putri.


TMI