Sunday, January 10, 2010

Pembangkang Sarawak bersatu di bawah Pakatan Rakyat

Harakahdaily

MIRI, 10 Jan : Malam 9 Januari lalu menjadi detik bersejarah politik Malaysia khususnya di Sarawak apabila pemimpin PAS, PKR, DAP dan SNAP telah bersatu di bawah payung Pakatan Rakyat.

Perkara itu dibuktikan dengan berlangsungnya Majlis Makan Malam Pakatan Rakyat di sini yang dihadiri kira-kira 500 orang.

Ini merupakan kali pertama para pemimpin keempat-empat parti di Sarawak itu bersama di dalam majlis seumpama itu.

Pengarah Strategi PKR yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar turut sama hadir bagi menyemarakkan gelombang perubahan yang bakal berlaku di negeri ini.

Di dalam ucapannya, Tian Chua menegaskan kini merupakan masa terbaik untuk rakyat melakukan perubahan untuk menyelamatkan negara daripada masalah-masalah yang telah melanda akibat daripada kezaliman kerajaan BN.

Semua wakil daripada parti-parti yang menyertai majlis itu turut menyampaikan ucapan.

PAS Sarawak diwakili oleh Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Abang Addy Ayanni dan Yang Dipertua PAS Kawasan Miri, Haji Jofri Jaraiee.

Mereka senada untuk bersatu di bawah Pakatan Rakyat bagi menjadi juara rakyat dan menyelamatkan mereka daripada kezaliman BN.

Ini juga menjadi petanda baik bagi Pakatan Rakyat menghadapi BN di dalam pilihan raya negeri yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Untuk rekod, Sarawak mempunyai 31 kerusi parlimen dan 71 kerusi dewan Undangan Negeri (Dun).

Sekiranya Pakatan Rakyat dapat menggugat BN di dalam pilihan raya negeri, ia menjadi petanda bahawa gelombang rakyat berterusan untuk menumbangkan BN di dalam Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

PAS Kesal dengan Pencerobohan dan Pembakaran Gereja

Sidang media Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Wisma MBSA, Shah Alam semalam.




BuletinOnline

Bakar gereja : Masyarakat hilang sensitiviti dosa pahala - Nik Aziz

Nazri Abdullah

SHAH ALAM, 9 Jan : Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa kejadian serangan membakar gereja kelmarin berlaku kerana Umno telah menghilangkan sensitiviti dosa dan pahala dalam masyarakat di negara ini khususnya orang Melayu itu sendiri.

Kesan hilangnya sensitiviti itu, katanya telah menyebabkan masyarakat melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak menghormati agama lain sehingga membakar gereja dan mengarak kepala lembu seperti berlaku di Shah Alam baru-baru ini.

"Tiap-tiap orang nak bakar gereja kena reti (tahu) gereja ini harta kawan kita orang Kristian, bila kita bakar kita lukakan hati dia, berdosa kita di akhirat kelak.

"Sama juga arak kepala lembu, melukakan hati orang India (Hindu), ini berdosa. Tapi perasaan dosa pahala tidak ada dalam orang Melayu sekarang kerana telah dibuang oleh Umno, ini kita dukacita," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penutup program Taklimat Penerangan Isu-isu Semasa di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) petang tadi.



Selain itu, hilangnya sensitiviti tersebut juga, jelasnya telah mengakibatkan banyak perkara-perkara yang tidak sepatutnya, berlaku dalam negara kita.

Umno, jelasnya telah menghilangkan sensitiviti tersebut dari hati orang Melayu apabila membezakan ajaran agama Islam dengan politik dengan berpendirian agama lain, politik lain.

"Sebab itu lah menteri rasuah, orang kampung rasuah, parti-parti rasuah hatta enjin kapal pun boleh dijual senang-senang sahaja, mana boleh jual kalau tidak ada rasuah," jelasnya lagi.

Di dalam ucapan penutupnya sebelum itu, beliau mengingatkan seluruh pimpinan dan jentera PAS meneruskan usaha memberi penerangan kepada masyarakat selaras dengan tugas yang dipikul oleh Nabi-nabi.

Beliau mengakui ianya bukan sesuatu yang mudah kerana perlu berdepan bermacam halangan.

Apatah lagi, ianya sesuatu yang boleh dianggap baru dan bertentangan dengan apa yang dibawa zaman penjajahan Inggeris.

"Kerja PAS hari ni memang buat kerja baru, yang (zaman) Inggeris dulu tidak buat, Umno dia (hanya) sambung kerja buat Inggeris," katanya.

Harakahdaily