Friday, June 12, 2009

Mutfi Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria Sokong Siasat SIS

Mutfi Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria bersetuju dengan gesaan PAS supaya pertubuhan wanita terkenal Sisters ini Islam (SIS) disiasat berhubung dakwaan menggugat akidah Islam.

"Saya setuju dibuat siasatan (terhadap SIS)," katanya, sambil menyifatkan usul yang diluluskan di muktamar PAS itu "bagus".

Harussani, seorang anggota Majlis Fatwa Kebangsaan, berkata terdapat beberapa tafsiran SIS, antaranya berkaitan isu poligami dan pembahagian harta pusaka berbeza dengan pandangan sedia ada.

"Saya baca-baca (kenyataan SIS), nampak lain sikit, buang (membelakangkan) ayat al-Quran (dalam dua isu ini)," katanya kepada Malaysiakini petang ini.

Ditanya sama ada beliau akan membawa cadangan menyiasat SIS untuk dibincangkan dalam muzakarah majlis fatwa yang akan datang, Harussani berkata:

"Ada bahagian kajian di Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia). Kertas (kajian) patut dikemukakan mereka terlebih dahulu.

"Hendak bermuzakarah mestilah ada kertas."

Tambahnya, dalam Islam, merumuskan sesuatu hukum "tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa."

Walaupun pihak lain seperti mufti boleh membentangkan kertas mereka sendiri untuk dibincangkan, tambahnya, lebih baik kemudahan dan kepakaran Jakim digunakan bagi tujuan itu.

malaysiakini

Tinjauan Dibuang, Pungutan Suara Setuju 'MCA keluar BN'

Tinjauan presiden MCA dibuang

Satu pungutan suara bertajuk "Adakah Perlu MCA Keluar BN?" dalam laman blog Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dikeluarkan hari ini bersama-sama dengan pungutan suara yang lain.

Respons pertama kepada pungutan suara "Adakah Perlu MCA Keluar BN" dikemukakan pada 27 Ogos tahun lepas sewaktu Ong masih belum menjadi presiden parti itu.

Setakat semalam, lapor Bernama, pungutan suara itu berjalan seperti biasa.

Memetik akhbar Nanyang Siang Pau hari ini, agensi berita itu melaporkan bahawa 76 peratus daripada responden dalam pungutan suara itu bersetuju bahawa MCA perlu keluar daripada BN.

Bagaimanapun, bahagian pungutan suara itu telah dipadam pagi ini dan tiada soal selidik yang ditinggalkan di dalamnya.

Jurucakap MCA dan juga anggota jawatankuasa pusat parti Lee Wei Kiat ketika dihubungi hari ini berkata beliau tidak dapat menjawab bagi pihak Ong berhubung tujuan pungutan suara itu diadakan kerana ia ditempatkan dalam blog peribadinya.

"Bagaimanapun, kami menghormati dan menghargai respons di dalam pungutan suara itu..

"Kami sentiasa mengkaji dan meneliti pendapat dan pandangan daripada orang awam demi kemajuan parti," Lee dipetik berkata.

Tambahnya, orang ramai mempunyai kebebasan bersuara dan MCA akan sentiasa menghormati pandangan umum, sambil menambah parti itu akan terus memainkan peranannya di dalam BN.

malaysiakini

PEMIMPIN UMNO LEMBAB, LAMBAT UMUM CALON, TIADA CALON BERWIBAWA

Manek Urai : BN diminta cepat umum calon

Barisan Nasional (BN) diminta mempercepatkan pengumuman calonnya bagi pilihanraya kecil DUN Manek Urai bagi memudahkan persiapan untuk menghadapinya.

Ketika membuat gesaan itu, Ketua Wanita Umno bahagian Manek Urai, Rohani Abdul Majid berkata, walaupun banyak mesyuarat diadakan, tetapi isu siapa calon BN belum disentuh.

"Lagi cepat lagi bagus, supaya orang Manek Urai tidak membuat teka teki mengenai calon BN," kata ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Paling lambat kena buat seminggu sebelum hari penamaan calon.

"Kerana belum ada calon, masing-masing sekadar mahu menunggu siapakah yang diumumkan menjadi calon BN," katanya lagi.

Rohani berkata, sehingga hari ini, Umno bahagian Kuala Krai belum membincangkan mengenai calon yang akan bertanding di Manek Urai.

Beberapa nama pemimpin tempatan telah disebut-sebut mungkin dipilih menjadi calon BN di Manek Urai.

Calon PAS Pensyarah?

Selain Rohani, yang lainnya ialah ketua bahagian, Datuk Ramzi Abdul Rahman; naib ketua, Jalal Che Muda; ketua Pemuda, Tuan Aziz Tuan Mat dan setiausaha Wanita bahagian, Wan Azma Wan Hassan.

Sementara itu, PAS pula dijangka mencalonkan seorang profesional dari sebuah universiti tempatan sebagai calonnya.

Pensyarah undang-undang itu berusia 40-an berkhidmat di sebuah universiti tempatan di Kuala Lumpur dan merupakan dari keluarga penyokong kuat PAS di Kuala Krai.

"Asasnya ialah beliau mempunyai keluarga besar yang terdiri daripada penyokong kuat PAS sejak sekian lama," kata seorang pemimpin PAS Kuala Krai.

Beliau yang tidak namanya disebut berkata, nama calon tersebut telah dicadangkan oleh beberapa pemimpin PAS Manek Urai.

"Bagaimanapun, dilaporkan pensyarah tersebut belum membuat keputusan sama ada sedia bertanding di situ.

Beliau berkata, mencalonkan profesional termasuk pensyarah bukan perkara asing bagi PAS Kelantan.

Dalam pilihanraya umum lalu, katanya, beberapa ADUN PAS di Kelantan juga merupakan bekas pensyarah universiti.

malaysiakini

Kes Datuk Seri Anwar Ibrahim Didengar 22 Jun

Permohonan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak pendakwaan menyerahkan semua dokumen berkaitan kes liwatnya ditetapkan perbicaraan pada 22 Jun.

Peguamnya Sankara Nair berkata beliau diberikan notis oleh mahkamah itu mengenai perkara berkenaan yang akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, lapor Bernama.

Rabu lepas, Anwar memfailkan satu notis usul meminta mahkamah memaksa pendakwaan menyediakan kepadanya dokumen-dokumen itu sebelum perbicaraan mengenai kes liwatnya didengar bermula pada 1 hingga 24 Julai.

Dokumen yang dimohon, antaranya, rakaman asal kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian itu di sebuah kondominium di Bukit Damansara dari 25 hingga 27 Jun 2008, sampel DNA, dan kenyataan daripada saksi termasuk pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau memohon mahkamah melepas dan membebaskan beliau dengan
segera daripada pertuduhan liwat atau menggantung prosiding mengenai kesnya itu jika pendakwaan tidak mematuhi perintah mahkamah itu untuk membekalkannnya dengan dokumen berkenaan.

Mantan timbalan perdana menteri itu menghadapi pertuduhan meliwat Mohd Saiful, bekas pembantunya, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jala Setiakasih, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, tahun lepas.

malaysiakini

Media Indonesia Diminta Tidak Manipulasi Isu Ambalat

Malaysia berharap media Indonesia tidak memanipulasikan isu Ambalat sehingga menimbulkan ketegangan dan menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dakwaan bahawa Malaysia menceroboh perairan Indonesia dan melakukan provokasi terhadap tentera laut Indonesia adalah tidak tepat.

"Saya harap rakyat Indonesia di Malaysia mahupun di negara mereka tidak meletakkan tanggapan bahawa Malaysia berhajat menceroboh (perairan Indonesia) seperti dakwaan mereka," katanya kepada pemberita di Kepala Batas, lapor Bernama.

Ahmad Zahid meminta semua pihak tidak mensensasikan isu berkenaan dan beliau yakin ia akan dapat diselesaikan dengan baik dalam tempoh terdekat.

Isu Ambalat timbul berpunca daripada salah faham lantaran tiada kejelasan garis sempadan di kawasan tuntutan bertindih oleh Malaysia-Indonesia.

Ambalat adalah blok laut seluas 15,235 kilometer persegi yang terletak di laut Sulawesi atau Selat Makassar.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan antara Malaysia dan Indonesia yang dijangka diadakan bulan depan akan memperincikan cadangan rondaan terkoordinasi oleh tentera kedua-dua negara di sekitar Batu Unarang, Ambalat.

Katanya, Malaysia menyarankan kepada Indonesia mengenai rondaan terkoordinasi itu bertujuan mengelak salah faham antara kedua-dua negara dan pihak Indonesia memperlihatkan sambutan baik terhadap saranan itu.

"Panglima Angkatan Tentera Malaysia (Tan Sri Abdul Aziz Zainal) akan balik hari ini dari Jakarta dan kita akan dapatkan laporan terperinci hasil rundingan dengan pihak Indonesia," katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau akan mendapatkan laporan lengkap berhubung rundingan itu daripada Abdul Aziz yang mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Indonesia Juwono Sudarsono di Jakarta Rabu lalu.

TUHAN AKAN TOLONG KAMI - Daisy Fajarina

Daisy Fajarina tidak gentar berdepan dengan "orang-orang berpengaruh" di Malaysia bagi menegakkan dakwaannya bahawa anaknya Manohara Odelia Pinot didera oleh suaminya, Tengku Temenggong Kelantan.

"Saya bersedia menghadapi orang-orang berpengaruh. Saya bukan mahu takabur, tetapi (apa yang berlaku ini) sudah luar biasa sekali.

"Saya akan terus berjuang semaksima mungkin dan terus berserah kepada Allah yang Maha Esa," katanya kepada Malaysiakini melalui telefon hari ini.

"Semua yang berlaku kepada anak saya sehingga sekarang benar-benar di luar imaginasi. Saya percaya Tuhan akan menolong kami."

Daisy berkata, walaupun beliau mengkritik tindakan menantunya Tengku Muhammad Fakhry Petra tetapi beliau tidak menafikan "masih terhadap kerabat kesultanan Kelantan yang masih bergaul mesra dengan orang ramai."

Daisy memberitahu demikian ketika diminta mengulas laporan polis menantunya, yang dikenali juga Tengku TT, terhadap beliau dan anaknya atas dakwaan memfitnahnya.

Dalam aduannya semalam, putera Sultan Kelantan itu dilaporkan menyifatkan tuduhan isteri dan ibu mertuanya sebagai "pembohongan besar."

Semalam, peguamnya Mohd Haaziq Pillay berkata, Tengku Muhammad Fakhry juga merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-duanya berhubung tuduhan mereka, sejak April lalu.

Daisy berkata, setakat ini, beliau tidak perlu ke Malaysia untuk membantu siasatan polis berdasarkan laporan yang dibuat terhadapnya semalam.

"Saya tidak nampak keperluannya untuk ke sana. Soalnya sekarang, apakah mereka (Tengku Temenggong) berani datang ke Indonesia atau tidak?" katanya.

Ketika diminta mengulas kemampuannya mencabar Tengku Temenggong melalui proses undang-undang, Daisy hanya berkata:

"Saya akan terus berjuang seperti sebelum ini."

Daisy bagaimanapun tidak dapat bercakap panjang kerana, menurutnya, beliau sedang diwawancara media Indonesia di Jakarta ketika itu.

3 Ketua Pemuda Pakatan Rakyat Di Majlis Sembang Kopitiam

Tiga Ketua Pemuda parti komponen Pakatan Rakyat akan berkongsi pentas 16 Jun ini untuk membincangkan halatuju PAS ekoran isu-isu yang timbul selepas muktamar parti itu minggu lalu.

Mereka ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi, Ketua Pemuda Sosialis DAP yang juga ahli parlimen Rasah, Anthony Loke dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin.

Seorang lagi panelis ialah bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Majlis tersebut - Sembang Kopitiam anjuran Angkatan Muda PKR (AMK) Selangor dan Shah Alam - membawa tajuk 'Pasca Muktamar PAS - kerajaan perpaduan?'

Dalam satu kenyataannya, ia berkata majlis tersebut diadakan mulai jam 8 malam bertempat di Dewan MBSA, Seksyen 11, Shah Alam.

Menurutnya, banyak isu yang kontroversi timbul selepas muktamar PAS minggu lalu, antaranya penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno, pemansuhan 30 peratus ekuiti bumiputera dan usul menggesa pengharaman Sistem in Islam (SIS) yang membawa aliran Islam liberal.

Pekembangan tersebut, kata kenyataan itu, telah menjadi topik perbincangan yang hangat di kalangan orang ramai, termasuk golongan muda yang ingin melihat perubahan tulen selepas tsunami politik yang berlaku tahun lalu.

Menurutnya lagi, empat persoalan utama yang bakal dibincangkan dalam majlis tersebut ialah:

>Dengan pimpinan baru yang dipilih, ke manakan PAS ingin menuju selepas muktamar?

>Mengapakah Presiden PAS ingin mengutarakan tentang konsep kerajaan perpaduan?

>Apakah persediaan untuk mengambil alih Kerajaan Persekutuan telah dijalankan dalam Pakatan Rakyat?

>Bagaimana hubungan di antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat?


"Kesemua persoalan akan dikupas oleh penceramah-penceramah yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin muda masakini," kata kenyataan tersebut.

malaysiakini

Manohara Sedia Disiasat Polis KL

Manohara Odelia Pinot dan ibunya bersedia ke Malaysia jika dipanggil untuk disiasat polis berhubung isu melemparkan dakwaan palsu didera oleh suaminya Tengku Temenggong Kelantan, kata peguamnya.

Seorang peguam bekas model muda itu, Farhat Abbas berkata beliau sendiri akan menemani anak guamnya ke Kuala Lumpur jika polis Malaysia memanggil mereka berdua susulan aduan polis Tengku Muhammad Fakhry Petra semalam, lapor Detik.com.

Namun harus ada jaminan terlebih dahulu bahawa Manohara dan Daisy Fajarina dapat kembali pulang ke Indonesia, lapor akhbar internet itu lagi.

"Kalau ada jaminan kedutaan besar Amerika Syarikat dan Indonesia tentang keselamatan mereka, boleh saja," Farhat dipetik berkata hari ini.

Tengku Temenggong membuat aduan polis terhadap isterinya - yang mendakwa putera Sultan Kelantan itu memperlakukannya "seperti binatang" - bersama seorang peguamnya petang semalam di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Menurut peguamnya Mohd Haaziq Pillay (foto atas, kiri), Tengku Muhammad Fakhry menafikan segala dakwaan yang dilemparkan oleh Manohara dan Daisy.

"Laporan (polis) yang telah dibuat adalah terhadap mereka yang menyebarkan fitnah tersebut. Laporan itu mengatakan Manohara dan ibunya (menfitnah)," kata Mohd Haaziq.

Sementara itu, satu blog yang sering membela Tengku Temenggong Kelantan sejak dakwaan negatif dihadapkan kepadanya April lalu, Truth Appeared, mempertikaikan tindakan Manohara mendedahkan foto-foto bahagian badannya kepada media kelmarin.

"Tidak malukan Manohara untuk mendedahkan supaya orang lain dapat melihat selain daripada suaminya.

"Ingat, Manohara adalah masih lagi isteri TT (Tengku Temenggong) yang sah dan haram untuk orang lain memegang dan melihat aurat isterinya," satu artikel terbaru blog itu dipetik.

"Sesiapa yang menjamah dan melihat isipadu tubuh Manohara tanpa mendapat izin suaminya adalah haram dan boleh diambil tindakan undang-undang dengan tuduhan sengaja menjamah dan melihat tubuh badan Manohara tanpa kebenaran suami."

Blog tersebut, dipercayai dibangunkan oleh orang Malaysia yang mempunyai maklumat tentang hubungan pasangan diraja itu, mengulas tindakan Manohara menjalankan pemeriksaan perubatan rapi untuk mengukuhkan dakwaannya didera.

Manakala beberapa foto yang mendedahkan kesan-kesan luka di badan Manohara - dilaporkan akibat penderaan suaminya - didedahkan kepada media.

Truth Appeared mempertikaikan foto-foto itu yang tidak menunjukkan payudara Manohara, yang digelar Cik Puan Temenggong Kelantan, walaupun mendakwa bahagian badan itu juga meninggalkan kesan didera.

"Dan tidak nampak pun buah dada di dalam gambar itu yang mana Manohara sendiri mengaku dan menunjukkan di depan televisyen bahawa bahagian buah dada adalah tempat yang disilet-silet oleh TT," kata penulis blog itu lagi, yang tidak pernah mendedahkan identitinya.

Selain membela Tengku Muhammad Fakhry, blog itu sejak awal menerbitkan pelbagai siri foto pasangan diraja tersebut yang menunjukkan mereka berdua mesra dan tiada sebarang masalah rumah tangga.

malaysiakini

PAS KUTUK SERANGAN DI SELATAN THAILAND

PAS mengutuk keras serangan yang dilakukan ke atas umat Islam di selatan Thailand.

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mendesak agar tindakan tegas diambil ke atas pihak-pihak yang melakukan keganasan tersebut.

"PAS mengutuk serangan yang berlaku di Selatan Thailand dan amat kecewa dengan apa yang berlaku.

"Kami juga mendesak agar siasatan segera dilakukan dan satu tindakan tegas perlu diambil ke atas pihak-pihak yang melakukan serangan ini," tegas Hadi.

Beliau juga menjelaskan, PAS bersedia untuk memainkan peranan penting untuk menyelesaikan konflik di Selatan Thailand jika mendapat jemputan.

PAS, kata Hadi, tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan mana-mana pihak di Selatan Thailand.

Selatan Thailand bergolak lagi pada 9 Jun lalu bila 11 jemaah ditembak ketika solat isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, Sungai Golok kira-kira pukul 8.50 malam (waktu Malaysia).

Setelah melepaskan tembakan dari dua pintu masuk masjid, enam penyerang itu dikatakan masih tidak berpuas hati dan masuk ke dalam masjid sebelum melepaskan beberapa das lagi tembakan bagi memastikan jemaah terbabit benar-benar mati.

Tragedi terbaru yang menjadikan masjid sebagai sasaran, berlaku pada hari yang sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat Malaysia dan memperbaharui komitmen untuk mengakhiri konflik yang berlarutan sejak 2004 di wilayah bergolak itu.

Kejadian itu menambahkan jumlah korban yang kini mencecah lebih 3,700 orang dan masyarakat Islam di wilayah itu bimbang kejadian lebih buruk akan menyusul semula dan ramai yang percaya kejadian terbaru didalangi pihak berkuasa.

Bagaimanapun sehingga kini masih belum dapat dipastikan motif sebenar pembunuhan kejam itu tetapi ada yang berpendapat berpunca daripada dendam dan pihak tentera Thai menafikan sebarang pembabitan anggota mereka.

HarakahDaily

Adnan Yaakub komen kemenangan Tuan Ibrahim

Kejayaan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi Naib Presiden PAS Pusat turut mendapat reaksi daripada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakub.

Adnan dilaporkan media sebagai berkata, kemenangan pemimpin PAS dari Pahang itu tidak memberi sebarang implikasi kepada rakyat negeri ini kerana pemimpin PAS terbabit kurang mendapat sokongan rakyat dan kalah dalam beberapa pilihan raya umum di negeri ini termasuk pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu, ia tidak memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) Pahang.

Ketika berucap pada majlis perasmian Bangunan PAS Pahang, 9 Jun lalu, Tuan Ibrahim turut mengulas kenyataan Adnan itu.

Menurutnya, beliau bukanlah pemimpin Umno-BN dan memang benarlah sebagaimana kenyataan Adnan kemananganya tidak memberi kesan apa-apa kepada parti Umno-BN.

Saya tiada kena mengena dengan Umno-BN, saya bukan pemimpin Umno, sememangnya tidak memberi apa-apa kesan kepada parti itu, jika saya pemimpin Umno sudah tentu ia akan memberi kesan pemimpin Umno terbabit," ujarnya.

Adnan pernah bertanding untuk merebut jawatan Naib Presiden Umno tetapi kalah kepada Isa Samad, Mohd Ali Rostam dan Mohd Muhamad Taib. Dalam Perhimpunan Agung Mac lalu Adnan gagal merebut tempat di dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tetapi tokoh lain dari Pahang seperti Dato' Saifuddin Abdullah dan Jamaluddin Jais menang bergaya.

Dalam Muktamar PAS ke-55, baru-baru ini, perwakilan telah memilih tiga pemimpin dari Pahang ke jawatan utama, iaitu Ketua Pemuda, Ustaz Nasruddin Hassan, Ketua Muslimat Ustazah Nuridah Saleh dan Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Naib Presiden PAS. Kesemua jawatan berkenaan bertaraf Naib Presiden.

HarakahDaily

Senarai Penuh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat 2009/11

AHLI JAWATANKUASA KERJA PAS PUSAT
& PESURUHJAYA PAS NEGERI-NEGERI/WILAYAH PERSEKUTUAN
SESI 2009 - 2011

Presiden
DATO' SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG

Timbalan Presiden
USTAZ NASHARUDIN MAT ISA

Naib Presiden
DATO' USTAZ TUAN IBRAHIM TUAN MAN
SALAHUDDIN AYUB
DATO' MAHFUZ OMAR

Ketua Dewan Ulama
DATO' USTAZ HARUN TAIB

Ketua Dewan Pemuda
USTAZ NASRUDIN HASSAN TANTAWI

Ketua Dewan Muslimat
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH

Setiausaha Agung
DATO' MUSTAFA ALI

Ketua Penerangan
USTAZ IDRIS AHMAD

Bendahari
DR MOHD HATTA RAMLI

Ketua Pengarah Pilihan Raya
DATO' USTAZ ABDUL HALIM ABDUL RAHMAN Iklan



Ahli Jawatankuasa
DATO' SERI IR. MOHAMAD NIZAR JAMALUDDIN

DATO' KAMARUDDIN JAFFAR

DATO' SERI USTAZ AZIZAN ABD RAZAK

DATO' DR HAJI HASAN MOHD ALI

USTAZ ABDUL GHANI SAMSUDDIN

DATO' USTAZ ABU BAKAR CHIK

MOHAMED HANIPA MAIDIN

DATO' IR AMIRUDDIN HAMZAH

DR LO' LO' MOHAMAD GHAZALI

USTAZ ABDUL GHANI ABDUL RAHMAN

DR DZULKEFLY AHMAD

DR SYED AZMAN SYED AHMAD NAWAWI

USTAZ HASHIM JASIN

MAZLAN ALIMAN

USTAZ TAIB AZAMUDDIN MD. TAIB

DR MUJAHID YUSOF RAWA

DATO' HAJI HUSAM MUSA

MOHAMAD SABU

MOHD ANUAR TAHIR

ASMUNI AWI

MOHAMAD TAUFEK ABDUL GHANI

DR SITI MARIAH MAHMUD

WAN UBAIDAH WAN OMAR

MUHAMAD ABDULLAH

Pesuruhjaya PAS Negeri
PERLIS : USTAZ HASHIM JASIN

KEDAH : DATO' SERI USTAZ AZIZAN ABDUL RAZAK

PULAU PINANG : USTAZ MOHD SALLEH MAN

PERAK : USTAZ ABU BAKAR HUSIN

KELANTAN : TUAN GURU DATO? NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

TERENGGANU : USTAZ HARUN TAIB

PAHANG : DATO' USTAZ TUAN IBRAHIM TUAN MAN

SELANGOR : DATO' DR HASAN MOHD ALI

W. PERSEKUTUAN : MOHAMAD NOOR MOHAMAD

NEGERI SEMBILAN : ZULKEFLY MOHAMAD OMAR

MELAKA : USTAZ ABDUL GHANI ABDUL RAHMAN

JOHOR : DATO' DR MAHFODZ MOHAMED

SABAH : MUHAMAD ABDULLAH

SARAWAK : USTAZ OSMAN MUSTAPHA

Pesuruhjaya PAS Perak Baru : Pemuda PAS Perak Sokong

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) menyokong penuh perlantikan Ustaz Haji Abu Bakar Hussien sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Perak yang baru oleh Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS di dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sesi 2009 / 2011 semalam selepas berakhirnya Muktamar Tahunan PAS kali ke-55 baru-baru ini.

DPPN Pk akan memberikan kerjasama penuh kepada Ustaz Haji Abu Bakar di dalam menjalankan tugasnya kelak terutama memastikan rampasan kuasa oleh Umno / Barisan Nasional (BN) di akhiri dengan kembalinya kuasa pemerintahan kepada Pakatan Rakyat (PR).

DPPN Pk juga akan menyusun beberapa pertemuan dan penerangan keseluruh negeri supaya usaha untuk meyakinkan rakyat kejahatan Umno / BN di dalam krisis politik yang berlaku di Perak ini.

DPPN Pk juga mengambil kesempatan merakamkan jutaan terima kasih setinggi-tingginya kepada bekas Pesuruhjaya PAS Perak yang lalu iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Awang yang telah menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai ketua parti diperingkat negeri yang lalu dengan baik. DPPN Pk berharap pendekatan dan juga tunjuk ajar yang telah diberikan selama ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan. DPPN Pk berharap sentuhan dan buah fikiran daripada Tuan Guru Haji Ahmad masih diperlukan oleh parti yang boleh disumbangkan lagi.

Akhir sekali, DPPN Pk amat yakin dengan kemampuan Ustaz Haji Abu Bakar di dalam tanggungjawab yang telah diberikan oleh parti untuk meneruskan kerja-kerja buat di antara parti-parti Pakatan Rakyat dan juga PAS Perak yang lalu. DPPN Pk yakin seluruh ahli dan pimpinan parti akan memberikan sokongan penuh untuk mengambalikan pentadbiran Kerajaan Negeri kepada Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Ustaz Haji Abu Bakar.

ZAWAWI HASSAN
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak


TranungkiteOnline

Kelantan Prince Tengku Muhammad Fakhry Petra Lodged A Police Report Against His Wife Manohara Odelia Pinot

Tengku Temenggong Kelantan hari ini membuat laporan polis terhadap isterinya Manohara Odelia Pinot yang mendakwa putera Sultan Kelantan itu menderanya.

Tengku Muhammad Fakhry Petra hadir bersama peguamnya Mohd Haaziq Pillay petang ini di ibu pejabat polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Dalam sidang media sejurus selepas jam 8 malam ini, peguam itu berkata Tengku Temenggong menafikan segala dakwaan yang dilemparkan oleh isterinya dan ibu mertuanya Daisy Fajarina.

"Laporan (polis) yang telah dibuat adalah terhadap mereka yang menyebarkan fitnah tersebut. Laporan itu mengatakan Manohara dan ibunya," kata Mohd Haaziq.

Beliau enggan mendedahkan bila aduan dibuat dan tempoh masa polis mengambil keterangan Tengku Muhammad Fakhry.

Sekumpulan 40 wartawan menunggu sidang akhbar tersebut sejak jam 3 petang di sebuah hotel dekat Menara Berkembar Kuala Lumpur.
Sebahagiannya daripada media Indonesia, termasuk stesen, akhbar dan agensi berita nasionalnya, Antara.

Peguam tersebut enggan menyatakan secara khusus dakwaan-dakwaan tertentu yang dinafikan anak guamnya.

"Apa yang telah ditulis (di media). Kamu mungkin lebih tahu," katanya.

Tambahnya, Tengku Muhammad Fakhry merancang mengambil tindakan saman fitnah terhadap Manohara, Daisy dan mungkin melibatkan "sesiapa sahaja yang menyebarkan tuduhan dan maklumat palsu."

Tindakan undang-undang itu akan diputuskan kemudian, kata Mohd Haaziq dalam sidang media kira-kira 10 minit yang turut disertai kenalan dekat kerabat tersebut, Mohd Soberi Shafii.

Mohd Haaziq juga enggan menjelaskan tarikh tindakan undang-undang akan dibuat, sebaliknya hanya berkata: "Sehingga saya siapkan kertas saya."

Beliau menambah, anak guamnya juga tidak bercadang membuat laporan di Indonesia kerana "kejadian dikatakan berlaku di Malaysia, bukan di Indonesia."

Diminta mengulas dua laporan polis berasingan yang dibuat Manohara dan suaminya di dua negara yang dianggap tidak akan menyelesaikan isu tersebut, peguam itu berkata: "Tidak apa, kita tengok nanti."

Dihubungi selepas sidang media tersebut, seorang pegawai polis Dang Wangi mengesahkan laporan itu dibuat kira-kira jam 7 petang tadi.

Selasa minggu lalu, dua hari selepas Manohara melarikan diri ke Jakarta, Tengku Temenggong Kelantan memberikan tempoh tujuh hari kepada isterinya bagi mengemukakan bukti penderaan seperti didakwanya atau bakal menghadapi tindakan undang-undang.

Manohara dan Daisy juga dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap kesemua dakwaannya yang dibuatnya sejak hujung April lalu.

Bagaimanapun, setelah tempoh seminggu itu tamat semalam, amaran putera ketiga Sultan Kelantan itu tidak dilayan – malah, foto-foto yang didakwa menunjukkan kesan penderaan terhadap Manohara mula didedahkan kepada media (foto kanan).

Bekas model muda itu, yang digelar Cik Puan Temenggong Kelantan, juga membuat aduan polis terhadap Sultan Kelantan, Raja Perempuan Kelantan dan kenalan suaminya Mohd Soberi Shafii, selain Tengku Muhammad Fakhry sendiri.

Di Oxford, Doktorat dipanggil DPhil, Di Monggol? dipanggil apa?

Razak Baginda terima PhD dari Oxford

Penganalisis politik Abdul Razak Baginda yang menjadi perhatian utama dalam perbicaraan berprofil tinggi kerana dituduh bersubahat dalam pembunuhan seorang wanita Mongolia, hingga dibebaskan lewat tahun lalu, telah dianugerah ijazah Doktor Falsafah oleh Oxford University, salah sebuah universiti terkemuka dunia.

Dr Abdul Razak, 49, memberitahu Bernama di Kuala Lumpur, beliau mengemukakan disertasi doktoratnya pada September 2006 tetapi universiti menangguhkannya kerana penangkapannya dua bulan kemudian berhubung pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Bila dilepas dan dibebaskan dari penjara pada 31 Oktober tahun lepas, saya menulis semula kepada universiti, mereka memulihkan proses seluruhnya dan awal tahun ini mereka memberitahu saya bahawa saya telah lulus dan dianugerah ijazah Doktor Falsafah (DPhil).

"Di Oxford, Doktorat ini dipanggil DPhil dan menyamai PhD di universiti lain," kata Dr Abdul Razak.

Beliau berkata pada Oktober, beliau akan memegang jawatan sebagai anggota bersekutu kanan St. Antony's College di universiti itu.

Dengan jawatan ini, beliau akan menjalankan penyelidikan mengenai isu-isu antarabangsa.

Dr Abdul Razak, yang belajar di Trinity College Oxford semasa membuat persediaan untuk doktoratnya berkata beliau berharap lebih ramai rakyat Malaysia mengikuti pengajian di universiti-universiti utama.

"Terlalu kecil bilangan rakyat Malaysia yang memasuki Oxford, lebih kecil ialah bilangan yang mendapat DPhil dan lebih kecil lagi bilangan Melayu," katanya.

Beliau berkata beliau sedang menulis sebuah buku mengenai sejarah hidupnya dengan fokus terhadap penahanannya selama 22 bulan di penjara Sungai Buloh semasa perbicaraan itu.

Dua anggota polis, Ketua Inspektor Azilah Hadri, 33, dan Korporal Sirul Azhar Umar, 37, yang dituduh melakukan pembunuhan itu didapati bersalah dan dihukum mati. Kedua-dua merayu terhadap sabitan dan hukuman.

Tiada Muqabalah Hingga Umno Patuh Perlembagaan, Bebas Media, Pulih Kehakiman - Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan PAS tidak akan mengadakan sebarang muqabalah, atau dialog, dengan Umno sehingga parti tonggak Barisan Nasional itu patuh kepada Perlembagaan, membebaskan media dari kongkongan dan memulihkan kewibawaan institusi mahkamah.

Selagi Umno terus mencabul prinsip pemisahan kuasa dan undang-undang, sebarang perbincangan adalah sia-sia, kata Hadi .

Beliau menegaskan idea kemungkinan PAS-UMNO mengadakan muqabala hanya dilontarkan sebagai perbincangan dan tidak ada sebarang ketetapan yang diambil oleh parti itu.

“Ia hanya satu perbincangan ilmiah. Sehingga hari ini kita tidak membuat sebarang keputusan,” kata beliau.

Beliau berkata sebarang rundingan dengan UMNO akan bergantung kepada kesediaan parti itu untuk “memulihkan demokrasi negara kita,” di samping memulihkan kewibawaan Suruhanjaya Pilihanraya.

“Pemisahan kuasa juga harus jelas dan media harus dibebaskan. Ini merupakan pendahuluan yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan” Barisan Nasional, kata Hadi.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat Agung Pas Kuala Lumpur hari ini, selepas mempengerusikan mesyuarat 6 jam bersama saf pimpinan
Diapit Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Penerangan baru, Idris Ahmad, Abdul Hadi bertegas Umno harus akur pada tuntutan Pakatan Rakyat untuk melaksanakan reformasi keatas sistem negara, sekiranya parti itu ikhlas mahu memupuk perpaduan.

“Saya mahu melihat kerajaan membuat perubahan terlebih dahulu. kita bincang pasal pemulihan demokrasi, itu agenda yang pertama.” tambah beliau

Menyentuh permintaan pemimpin-pemimpin Pakatan supaya beliau memperjelaskan isu kerajaan perpaduan, Abdul Hadi berkata beliau akan berbuat demikian dalam perbincangan dari hati ke hati dan bebas daripada cubaan media arus tempatan untuk memutar belitkan kenyataan-kenyataannya.

Tambah Hadi, isu kerajaan perpaduan BN-Pakatan ini tidak perlu diperbesarkan kerana ia tidak dibahaskan secara menyeluruh oleh PAS, mahupun pada peringkat mesyuarat dasar Pakatan Rakyat.

Hadi berkata kepimpinan PAS yang memperolehi mandat perwakilan pada muktamar minggu lalu akan memberi tumpuan penuh memperkukuhkan saf parti disamping memperkasakan pakatan rakyat.

SPRM TAHAN PEMIMPIN UMNO TERENGGANU?

Dua ahli politik dikalangan pemimpin UMNO dilaporkan berasal dari Pantai Timur ditahan SPRM Selangor dipercayai kerana meminta wang suapan sebanyak RM3 juta.

Adalah dipercayai ia berkait rapat dengan kes yang pernah dipaparkan oleh Buletin Online, 7 Ogos tahun lalu. Di bawah dipaparkan semula artikel tersebut.

BPR buka semula fail MRR2 - Selamatkan Pak Rosli, bagaimana Roslan?


Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan membuka semula siasatan berhubung rasuah dan penyelewengan dalam projek Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang dimulakan pada 2004.


BPR akan melihat semula kertas siasatan yang sudah dibuka sebelum ini dan akan mengambil tindakan susulan berhubung kejadian keretakan terbaru pada tiang jejambat MRR2.

Antara tindakan yang akan diambil BPR adalah memanggil kontraktor yang terbabit dalam pembinaan Pakej II MRR2 berharga RM238 juta itu. Jejambat enam lorong berhampiran Stesen Komuter Kepong sejauh 1.7 kilometer yang mula dibuka pada 1999.

Ahad lalu (3 Ogos) MRR2 ditutup kepada semua kenderaan apabila satu daripada tiang yang pernah dibaiki sebelum ini dikesan retak semula. Penutupan itu adalah kali ketiga dalam tempoh empat tahun, kali pertama pada Ogos 2004 dan kali kedua pada Februari 2006.

Tiang yang mengalami keretakan itu adalah termasuk dalam laluan yang dibina oleh Konsortium Bumi Hiway, SUKMIM Sdn Bhd dan Konsortium Kontraktor Melayu Sdn Bhd melalui kontrek Pakej II MRR2 berharga RM238 juta.

Berikutan keretakan kali pertama pada 2004, Unit Kejuruteraan BPR menjalankan siasatan untuk mengesan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pembinaan projek berkenaan.

Manakala siasatan pakar perunding British, Halcrow Consultants Ltd (Halcrow), yang dilantik kerajaan bagi mengkaji punca kerosakan tiang tersebut mendapati ia berlaku akibat kecuaian pemasangan cerucuk dan tetulang besi yang tidak mengikut spesifikasi dan reka bentuk.

Sehubungan dengan itu Buletin Online telah menerima satu salinan surat seorang individu yang bernama Kamaruzzaman Ishak, bertarikh 15 Jun lalu yang ditujukan kepada Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Dalam surat tersebut Kamaruzzaman yang beralamat di Sura Gate, Dungun, telah membuat permohonan kepada Ahmad Said Hamdan supaya membuat pendedahan umum, status siasatan BPR terhadap tuduhan-tuduhan rasuah yang didakwa dilakukan oleh Dato’ Rosli Mat Hassan (Pak Rosli).

Pak Rosli adalah Ketua UMNO Bahagian Dungun yang juga bekas Ahli Parlimen Dungun dan kini baru dilantik oleh Pengerusi UMNO Terengganu, Dato’ Ahmad Said (Mad Said) sebagai Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu.

Surat tersebut juga menyenaraikan beberapa kes dimana Pak Rosli dikatakan telah disiasat oleh pihak BPR.

Kes-kes tersebut sebagaimana dalam surat itu adalah Projek Pembinaan Lebuhraya MRR 2 di Kuala Lumpur, Projek Pembinaan Sekolah Menengah Serating di Marang (RM 15 juta) (yang terbengkalai) dan Projek Tangki Air Simpanan (Terbengkalai) di Cherul, Kemaman (RM 10 juta).

Sebelum ini, pada 22 November 2007, Pengarah BPR negeri Terengganu, Sharuddin Sapian pernah mengesahkan bahawa seorang ahli politik terkenal Terengganu adalah antara 70 orang yang telah disiasat oleh BPR sejak awal 2007.

Namun Shaharudin enggan mengulas lanjut dan hanya mengatakan, identiti serta maklumat berhubung ahli politik itu hanya boleh didedah apabila kertas siasatan mengenainya siap.

Tidak berapa lama kemudian kedengaran khabar angin yang tersebar mengatakan Pak Rosli telah disiasat BPR berhubung dengan penyelewengan dalam projek MRR2.

Berita tersebut tidak diambil peduli dan berlalu begitu sahaja kerana tidak ada siapa yang menduga Pak Rosli terlibat dengan pembinaan MRR2.

Malah ada yang terkejut apabila ditanya berkenaan Pak Rosli disiasat BPR kerana Pak Rosli tidak dikenali sebagai seorang kontraktor.

Sekiranya dikaitkan perkara tersebut dengan Bendahari UMNO yang baru, Dato’ Roslan Awang Chik, barulah munasabah, kerana beliau ada cukup dikenali sebagai Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM).

Sebelum ini Pak Rosli hanya terkenal sebagai jaguh dangdut kerana isu berkaitan beliau suka berdangdut pernah menjadi popular suatu masa dulu.

Apabila isu MRR2 kembali ‘menggegar’ awal minggu ini, ingatan kepada dakwaan Pak Rosli disiasat BPR tersebut kembali semula.

Setelah Buletin Online mendapat salinan surat Kamaruzzaman, carian dibuat bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Sebuah keratan akhbar tahun 2000 dari rekod JKR dan Berita Harian 26 Oktober 1998 yang telah merakamkan beberapa kenyataan Pak Rosli, menjadi kunci yang mengaitkan Pak Rosli dengan siasatan BPR.

Pak Rosli ketika itu adalah Setiausaha Agung PKMM.


Jadi apa kaitannya ?


Konsortium Kontraktor Melayu Sdn Bhd dan SUKMIM adalah dua daripada tiga kontraktor yang dilantik kerajaan bagi melaksanakan Pakej II MRR2.

Konsortium Kontraktor Melayu Sdn Bhd (KKM) adalah syarikat yang ditubuhkan dibawah PKMM, manakala SUKMIM Sdn Bhd (SUKMIM) pula sebuah syarikat gabungan diantara PKMM dan Persatuan Kontraktor India Malaysia (PKIM).

Maknanya sewaktu pembinaan Pakej II MRR2 sedang dilaksanakan oleh kedua-dua KKM dan SUKMIM, Pak Rosli adalah Setiausaha Agung PKMM yang berkuasa keatas kedua-dua syarikat tersebut.

Bukan sedikit dakwaan penyelewengan yang dikatakan telah dilakukan oleh Pak Rosli, nilainya sebanyak RM 500,000.

Sebagaimana hasil siasatan unit kejuruteraan BPR pada tahun 2004 yang tidak menolak kemungkinan berlaku penyelewengan dalam pembinaan projek berkenaan, khususnya menyebabkan keretakan pada tiang MRR2.

Begitu juga hasil siasatan pakar perunding British, Halcrow Consultants Ltd (Halcrow), mendapati ia berlaku akibat kecuaian pemasangan cerucuk dan tetulang besi yang tidak mengikut spesifikasi dan reka bentuk.


Bolehkah Pak Rosli terlepas dari pendakwaan?

Bagaimana pula kedudukan Bendahari UMNO Terengganu, Dato’ Roslan Awang Chik, yang baru dilantik oleh Mad Said?

Roslan adalah Pengerusi PKMM pada waktu pembinaan Pakej II MRR2 dulu, dan masih menjadi Pengerusi PKMM sehingga hari ini !

ADUN Jawi Rela Lepaskan Jawatan Jika Tuduhan Rasuah Dibukti

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Tan Beng Huat telah mengemukakan surat peletakan jawatan tidak bertarikh kepada Setiausaha Agung Parti Lim Guan Eng atas arahan DAP Negeri.

Pengerusi DAP Negeri Chow Kon Yeow berkata Guan Eng meminta surat berkenaan daripada Tan bagi menunjukkan kerajaan negeri mengamalkan konsep Keupayaan, Ketelusan dan Akauntabiliti (CAT).

"Kami memohon surat peletakan jawatan tidak bertarikh itu bagi membuktikan bahawa kami adalah telus dan Tan juga telah mengemukakan surat itu kepada parti," Katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP Negeri di sini hari ini.

Semalam, Ketua Bahagaian DAP Nibong Tebal, Teh Hock Yong, menuduh Tan melakukan penyelewengan berhubung penajaan RM2,000 untuk sebuah pertubuhan amal tempatan.

Bagaimanapun, Tan menafikan dakwaan berkenaan meminta parti menyiasat perkara itu secara saksama bagi membersihkan namanya.

"Saya berbesar hati untuk mengemukakan surat peletakan jawatan tidak bertarikh kepada kepimpinan parti kerana parti mempunyai hak untuk bertindak terhadap rasuah," katanya.

Guan Eng berkata beliau telah mengarahkan Pegawai Kewangan Negeri, Farizan Darus, untuk menyiasat perkara itu dan tindakan tegas akan diambil jika ada sebarang salah laku.

Tan didakwa telah menuntut RM2,000 daripada Pejabat Daerah untuk set televisyen dan pemain cakera padat yang hanya bernilai RM450. Beliau menafikan segala tuduan itu sebagai tidak berasas.

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang Umum Saf Kepimpinan Baru

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang sebentar tadi mengumumkan perlantikan Dato' Mustafa Ali sebagai Setiausaha Agung yang baru menggantikan Dato' Kamaruddin Jaffar. Pengumuman dibuat pada sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS sejurus selesai Mesyuarat Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat yang bermula jam 10 pagi tadi.

Pada sidang itu, Ustaz Hadi mengumumkan Ustaz Idris Ahmad sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat dan mengekalkan Dr. Mohd Hatta Ramli sebagai Bendahari.

Timbalan Pengarah 1 Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman pula dilantik menggantikan tempat Mustafa sebagai Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

Bekas-bekas Naib Presiden, Dato Husam Musa dan Mohamad Sabu yang tewas dalam pertandingan kerusi Timbalan Presiden dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa tambahan.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani dan Wan Ubaidah Wan Omar ialah dua muka baru yang dilantik.

Dr Mariah Mahmod dan Anuar Tahir turut dilantik semula.