Tuesday, July 6, 2010

Shafie biadab tuduh PAS sesat

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Hrkh) : PAS menganggap Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung ucapannya yang didakwa menuduh PAS sebagai parti ajaran sesat, satu kenyataan yang biadab.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno, dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kulaijaya, telah menuduh PAS sebagai parti ajaran sesat.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mencabar Shafie atas dakwaan mengapa membuat kenyataan begitu.

“Apakah beliau sudah kehilangan arah dan celaru dalam pemikiran politik sehingga mengeluarkan kenyataan demikian rupa?” soalnya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, di dalam Perlembagaan PAS Fasal 3 “Dasar PAS ialah Islam” sementara Fasal 7 (1) Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul serta ijmak ulamak dan qias yang terang dan nyata.

“Umno pula apa dasarnya dan apa pula rujukannya?” tanya beliau lagi.

Secara sinis, katanya PAS tidak mahulah mengajak Shafie menerangkan apa maksud Islam, al-Quran, sunnah, ijmak dan qias yang diperjuangkan oleh PAS.

“Kita tahu kemampuan beliau berhubung kait dengan hal ehwal agama ini. Jadi kalau beliau jahil berkenaan dengan dasar PAS, maka jangan membuat tuduhan yang liar terhadap satu juta ahli PAS,” kata Idris.

PAS, katanya beranggapan kenyataan yang biadab daripada seorang Naib Presiden Umno yang emosi dan mentah dalam hal ehwal agama sahaja yang sanggup mengeluarkan kenyataan begitu rupa.

Tambahnya, macam mana Shafie boleh menuduh PAS sesat sedangkan ianya didukung oleh Tuan Guru dan alim ulama.

Suatu ketika dahulu, katanya PAS pernah dituduh lebih merbahaya daripada komunis, walaupun dalam sejarah perjuangan parti itu tidak ada mereka yang menganut fahaman komunis yang memimpin PAS, sebaliknya pemimpin Umno yang ditangkap kerana menjadi ejen komunis dan ditahan di bawah ISA.

“PAS berpandangan bahawa kenyataan biadab itu untuk memburukkkan perjuangan PAS di kalangan orang Islam khususnya dan orang bukan Islam yang sudah semakin dekat dengan perjuangan PAS,” ujarnya lagi.

Baginya, Shafie cuba menakutkan orang ramai supaya jangan menyokong PAS ketika Umno mengalami masalah dalaman dan kekurangan minyak pelincir untuk menggerakkan parti mereka, terutama lubuk emas Umno di Selangor dan Pulau Pinang yang kini berada di bawah Pakatan Rakyat.

Justeru, beliau menasihatkan Shafie sebelum hendak menuduh PAS sebagai ajaran sesat supaya melihat dahulu beberapa kenyataan pemimpin Umno yang menghina hukum Allah dan janggut Nabi s.a.w.

“PAS memberi amaran, sekiranya beliau tidak menarik balik, kita akan mengarahkan supaya laporan polis dibuat di seluruh negara dan bacaan Yaasin dan solat hajat diilakukan oleh satu juta ahli PAS di seluruh negara,” tegasnya.

Putrajaya sambung khidmat APCO setahun lagi

KUALA LUMPUR, 6 Julai (TMI) — Pentadbiran Najib memperbaharui kontrak khidmat Worldwide untuk tempoh setahun lagi bulan lalu meskipun pembangkang membantah kehadiran firma tersebut atas alasan mempunyai hubungan dengan Israel, rejim yang dikutuk umat Islam.

Difahamkan APCO mengambil konsultan-konsultan tempatan dalam kontrak terbaru dengan sumber Jabatan Perdana Menteri mengatakan, pakej kali ini tidak selumayan berbanding RM76.8 juta dibayar bagi tempoh 15 Julai 2009 dan 4 Jun 2010 untuk khidmat memperbaiki imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Pentadbiran Najib sudah memperbaharui kontrak dengan APCO Worldwide sekurang-kurangnya untuk tempoh setahun lagi,” kata satu sumber kerajaan kepada The Malaysian Insider.

Difahamkan kelulusan pada dasarnya itu diberikan seminggu lalu.

Bagaimanapun keputusan itu dirahsiakan bagi mengelakkan bantahan berhubung kaitan Malaysia dengan firma itu yang didakwa ada kontak dengan ejen-ejen Israel.

Malah satu sumber memberitahu The Malaysian Insider, syarat-syarat kali berlainan berbanding dengan perjanjian sebelum ini.

“Kali ini, perjanjian antara APCO dan Malaysia kini lebih bersifat terbuka. Di bawah perjanjian baru ini, kedua-dua pihak mempunyai opsyen untuk menamatkan perjanjian pada bila-bila masa sebelum kontrak berakhir dalam tempoh setahun ini,” kata sumber itu. The Malaysian Insider juga diberitahu, pegawai-pegawai APCO yang baru telah dilantik untuk menyelia terma dan syarat perjanjian terbaru ini.

“Juga wujud rasa tidak senang di kedua-dua pihak berhubung soal bagaimana (pertikaian) pelantikan APCO boleh tercetus dan ia tidak dapat dikawal ekoran liputan media dan cara isu ini ditangani.

“Kali ini, saya boleh mengatakan lima pegawai APCO yang baru dilantik untuk menyelia (kandungan) perjanjian baru ini, dan untuk memastikan segala-galanya berjalan dengan lancar,” kata beliau.

Difahamkan, salah seorang pegawai utama merupakan bekas ketua komunikasi luaran pejabat ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat utiliti tempatan.

Pegawai-pegawai APCO yang berpejabat di Singapura enggan mengulas mengenai perjanjian baru antara pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan firma itu ketika dihubungi The Malaysian Insider menerusi emel dan panggilan telefon.

“Menjadi dasar APCO untuk tidak membincangkan kontrak secara terbuka,” kata jurucakap syarikat itu menerusi emel kepada The Malaysian Insider.

Firma itu yang berpejabat di Singapura, kini diketuai oleh bekas pengarah urusan Garry Walsh yang juga ketua akaun global bagi Microsoft, salah satu pelanggan utama APCO.

Isu APCO telah mendominasi sidang Parlimen yang lepas dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas alasan telah mengelirukan Dewan Rakyat.

Sesi itu telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Anwar mendakwa beberapa pegawai tentera Israel utama berkhidmat dengan APCO.

Selain itu Anwar juga mengaitkan konsep 1Malaysia yang digerakkan oleh Najib sebagai idea mirip One Israel yang dibangunkan untuk kepimpinan bekas perdana menteri Israel Ehud Barak.

APCO telah menafikan adanya hubungan dengan One Israel dan menegaskan, inisiatif 1 Malaysia sudah pun diilhamkan sebelum pelantikan firma berkenaan.

Pakatan cabar BN hadapi isu ‘bagaikan anak jantan’

Salahuddin mencabar pemimpin BN semalam. - Gambar oleh Choo Choy May (TMI)

KUALA LUMPUR, 6 Julai — Pemimpin Pakatan Rakyat malam tadi mencabar kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya berdepan dengan isu-isu semasa bagaikan “anak jantan”, bukannya menggunakan kuasa dan undang-undang termasuk Akta Hasutan bagi menghalang mereka daripada terus menyalurkan maklumat kepada rakyat.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, tindakan kerajaan BN menggunakan Akta Hasutan adalah semata-mata untuk mengekang dan menghalang pergerakan pemimpin PR.

“Saya dan 15 ahli Parlimen PR lain didakwa di bawah Akta Hasutan dan semua dokumen serta fakta berkaitan akan disiasat di bawah akta tersebut.

“Kenapa kerajaan BN menggunakan Akta Hasutan? Ini kerana ia mudah untuk memenjarakan kami. Ingin saya tegaskan bahawa kami tidak akan lari ataupun menyerah kalah walaupun berdepan dengan risiko ditangkap,” katanya.

Yang terbaru akhbar salah satu komponen PR, Suara Keadilan berhadapan dengan risiko kehilangan permit penerbitan.

Permit yang tamat tempoh pada 30 Jun lalu tidak diperbaharui lagi.

Beliau juga memberikan amaran kepada kerajaan BN supaya tidak memberi tekanan kepada PR.

“Lagi kuat BN tekan, lagi kuat PR akan menentang mereka. Tindakan BN secara terus menekan PR membuktikan bahawa BN sudah berada di ambang kemusnahan.

“Kenapa BN halang PR? Ini kerana mereka sudah tidak mampu menghalang hujah-hujah kami kepada rakyat.

“Kami tidak bawa hujah-hujah di kedai kopi ataupun tepi jalan tapi hujah yang kami bawa adalah bersama fakta sebab itu pemimpin PR dihalang,” katanya ketika berucap pada Forum Keamanan Gaza anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wangsa Maju di Gombak dekat sini, malam tadi.

Turut hadir Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PKR Azmin Ali, Pengarah Strategik PKR Tian Chua, Ahli Majlis Pimpinan PKR Datuk Dr Tan Kee Keong, Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin, Timbalan Ketua AMK Fariz Musa dan sukarelawan Gaza Mustafa Mansur.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mempersoalkan tindakan kerajaan menyerahkan dua blok minyak kepada Brunei dan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjung Pagar kepada Singapura.

“Kerajaan cakap status dua blok minyak iaitu blok L dan M adalah kawasan bertindih tapi senyap-senyap serahkan kepada Brunei.

“Kalau kawasan bertindih kenapa kerajaan tidak lawan, Pulau Batu Putih dan Pulau Sipadan kita terima tetapi kenapa dua blok minyak ini diserahkan bulat-bulat kepada Brunei? Tidak sangka begitu mudah kerajaan menyerahkan kedua-dua blok minyak tersebut.

“Selain itu dalam isu penyerahan Stesen KTMB di Tanjung Pagar, bagaimana kerajaan boleh menggadaikan stesen tersebut kepada Singapura? Tindakan kerajaan ini merupakan satu pengkhianat kepada Kedaulatan Negara,” katanya dihadapan kira-kira 500 orang yang menyertai forum tersebut.

Dalam pada itu, Tian Chua mahu rakyat negara ini agar menolak segala bentuk penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh mana-mana pihak sama ada di dalam ataupun luar negara.

Katanya, penindasan dan kezaliman harus ditentang oleh semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.

“Kita harus tegas dan jangan sesekali berkompromi dalam menentang penindasan dan kezaliman yang berlaku.

“Segala bentuk kezaliman termasuk kekejaman yang dilakukan rejim Zionis di Palestin atapun dimana-mana harus ditentang oleh semua rakyat.

“Asalkan ada pelanggaran hak asasi manusia kita sebagai rakyat harus bangkit dan bertegas dalam perkara ini,” katanya dengan merujuk kepada serangan komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara milik Turki yang sedang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza Mei lalu.

Tian Chua berkata PKR akan terus mendidik masyarakat tentang hak asasi manusai tersebut kerana ia adalah tanggungjawab bersama dalam menentang kezaliman yang berlaku.

“Tidak kisah orang Islam ataupun bukan Islam kita semua harus prihatin terhadap isu ini.

“Selain itu, jika berlaku kezaliman dihadapan kita jangan hanya mendiamkan diri sebaliknya menentang kezaliman tersebut.

“Ini kerana penindasan dan kezaliman yang dilakukan adalah fahaman rasis rejim zionis yang menzalimi rakyat,” katanya.