Sunday, July 25, 2010

Nik Aziz tidak mahu Umno-BN gigit tangan PAS kali kedua


Nik Aziz berkata PAS sudah mengenali benar Umno-BN. — gambar fail

KUALA TERENGGANU, 25 Julai (TMI) — PAS tidak memerlukan peranan orang tengah jikapun parti Islam itu mahu mengadakan perbincangan dengan Umno mengenai soal penyatuan Melayu, kata Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat malam tadi.

Bagaimanapun Menteri Besar Kelantan ini terus dengan pendirian yang telah dicapai parti itu pada muktamar-muktamar tahunan mereka sejak 2008 bahawa PAS tidak akan menjalin kerjasama politik dengan Umno agar “tangan PAS tidak digigit kali kedua.”

PAS mahu kekal dengan kerjasama dalam Pakatan Rakyat yang turut dianggotai DAP dan PKR, kata beliau.

“Ada orang hendak menjadi orang tengah, mimpi... kalau saya (PAS) mahu, saya boleh jumpa Perdana Menteri, tak perlu (orang tengah),” kata beliau pada majlis ceramah isu-isu semasa anjuran PAS Kuala Terengganu di sini.

“(Ini macam) hidung tak mancung, pipi terserong-serong,” tambah Nik Aziz dengan merujuk kepada tindakan beberapa pihak termasuk Umno yang menimbulkan semula syor kerjasama perpaduan dan penyatuan Umno dan PAS sejak kebelakangan ini.

Pakatan Rakyat yang menurunkan calon PAS memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu daripada penguasaan BN pada pilihan raya kecil Januari 2009.

Malah Nik Aziz berkata, beliau tetap dengan pendiriannya menolak sebarang perbincangan atau kerjasama dengan Umno kerana menganggap parti itu telah menyimpang daripada perjuangan Islam.

Malah Nik Aziz mengulangi bahawa Umno terus menunjukkan minat mahu membincangkan kerjasama dengan PAS selepas menyedari kedudukannya menjadi lemah pada pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

“Bila dah kalah baru cari kawan... selepas 13 Mei, (Allahyarham) Tun Abdul Razak datang jumpa PAS, kami ingat ikhlas, sebab saya orang yang paling kuat menerima jemputan (daripada Tun Abdul Razak).

“Tetapi bila sudah gemuk (selesa kedudukan), gigit (tangan PAS)... dia orang (akhbar menulis) PAS keluar (BN), tetapi bukan keluar, tetapi ditendang, macam mana punya wartawan tulis macam itu,” katanya.

Oleh itu dengan merujuk kepada Umno-BN, tambah Nik Aziz, “kami kenal siapa anda.”

“Orang kata kita bodoh, tak mengapa (kali pertama)... tetapi gigit lagi (tangan PAS), kamu memang bodohlah,” katanya Nik Aziz seolah-olah tidak mahu pengalaman lalu berulang dan mahu mengelakkan kerjasama dengan Umno-BN.

PAS menyertai BN pada 1974 dan kerjasama itu berakhir empat tahun kemudian.

Nik Aziz mengatakan demikian ketika timbul semula idea kerjasama politik antara kedua-dua parti berkenaan.

Antara lain pada 17 Julai lalu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak tidak menyenangi usaha murni beliau itu.

Namun Harussani berkata, beliau tidak pernah berputus asa demi mengekalkan kebaikan dan perpaduan umat Islam di negara ini, khususnya antara Umno dan PAS.

Harussani berkata terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Bagaimanapun beberapa jam sebelum ucapan Nik Aziz di sini malam tadi, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali mengakui ada menemui Harussani tetapi menafikan pertemuan mereka ada menyentuh soal kerjasama politik antara PAS dan Umno.

Dua hari sebelum kenyataan Harussani itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, beliau akan menentukan masa yang sesuai untuk pertemuan dengan Nik Aziz bagi membincangkan syor kerjasama Umno-PAS yang muncul sekali lagi awal bulan ini.

“Saya menghargai sikap Datuk Nik Abdul Aziz yang terbuka dalam hal ini,” kata Timbalan Presiden Umno ini selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Jeli, Kelantan.

Muhyiddin berkata kerjasama itu perlu dibincangkan atas permintaan beberapa pihak yang mahukan orang Melayu bersatu kembali.

Nik Aziz juga berkata beliau sedia bertemu dan berbincang dengan Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri mengenai “apa juga perkara” tetapi perjumpaan itu biarlah tanpa diatur mana-mana pihak ketiga sebagai orang tengah.