Friday, September 3, 2010

Bukan waktu sesuai Taib berundur, kata Wan Junaidi

Memandangkan suasana politik di Sarawak sedang melalui fasa yang agak tidak menentu, termasuk masalah dalaman yang melanda beberapa parti komponen BN negeri, maka adalah tidak wajar bagi sesiapa jua menuntut agar Tan Sri Abdul Taib Mahmud melepaskan jawatannya, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata Taib, yang bakal menggenapkan tahun ke-30 perkhidmatannya sebagai ketua menteri pada Mac tahun depan, perlu terus memimpin Sarawak untuk menyelesaikan pelbagai isu penting yang mendepani parti gabungan itu.

"Bukan waktu yang sesuai...ibarat anda sedang belayar di laut dalam dan dilanda badai dan taufan, sudah tentulah nakhoda anda tidak boleh meninggalkan kapal kerana adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mengemudi kapal berkenaan dengan selamat," katanya kepada Bernama hari ini.

Wan Junaidi, yang juga anggota majlis tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti tulang belakang BN Sarawak pimpinan Taib, berkata perbalahan dalam kalangan pelbagai puak, termasuk dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), terus berlarutan, sedangkan pilihan raya negeri semakin hampir.

Walaupun penggal semasa Dewan Undangan Negeri Sarawak akan berakhir pada Jun tahun depan, pembubarannya boleh dibuat pada bila-bila masa untuk merintis jalan kepada pilihan raya negeri.

Wan Junaidi berkata walaupun pemimpin PBB itu pernah berkata secara terbuka bahawa beliau akan berundur pada 2006, sebelum mengambil keputusan sebaliknya selepas banyak pihak dalam parti itu memujuk beliau supaya terus berkhidmat, tetapi khabar angin bertiup kencang kononnya Taib berura-ura untuk mengumumkan persaraannya dalam tempoh terdekat.

"Tidak dapat dinafikan memang ada banyak khabar angin, pereka cerita (kiri dan kanan) pun berkata tentang banyak hal, di samping blog, akhbar serta pemberita (yang berkata itu dan ini)...macam-macam hal orang kata," katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, terpulanglah kepada angota PBB untuk membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan oleh presiden mereka dalam suasana demikian.

Mengenai khabar angin itu, beliau berkata sebagai pengerusi BN kebangsaan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhak mengadakan perbincangan hati ke hati serta mendengar pandangan Taib tentang perkara tersebut.

Baru-baru ini, Taib dilaporkan berkata beliau sedia berundur sekiranya beliau sudah tidak lagi diperlukan oleh rakyat, parti dan Perdana Menteri.

Wan Junaidi juga berkata dalam membuat keputusan berhubung perkara itu, pandangan seluruh anggota parti, yang merupakan majoriti senyap, perlu diambil kira, bukan berdasarkan pendapat seorang dua anggota sahaja.

Sebab itulah, kata beliau, dalam mesyuaratnya di Miri pada Isnin, anggota majlis tertinggi PBB yang diketuai Timbalan Presiden Tan Sri Alfred Jabu, mengambil pendirian menyokong penuh Taib untuk kekal sebagai ketua menteri.

Sebagai wakil majoriti senyap dalam PBB, pendirian itu mencerminkan kesediaan mereka untuk berkorban dan menentang semua ancaman yang bertujuan menjadikan kedudukan kerajaan BN Sarawak tidak stabil.

Sumpah taat setia dan sokongan terhadap Taib, yang sekali lagi menunjukkan dengan jelas bahawa khidmat beliau masih diperlukan untuk menjamin semua rancangan pembangunan dan transformasi berjalan lancar, diserahkan kepada ketua menteri Sarawak itu sejurus beliau tiba di Lapangan terbang Miri untuk menghadiri sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-53 peringkat negeri.

Wan Junaidi berkata keputusan sama ada untuk berundur atau sebaliknya bukan terletak di tangan pengerusi BN Sarawak berusia 74 tahun itu semata-mata kerana ia juga perlu mengambil kira pendirian kesemua empat parti komponen BN negeri.

PBB sendiri telah menyatakan pendiriannya dengan begitu jelas pada Isnin, kata beliau.

- Bernama


Mkini

"Taib sekadar mahu uji" - Editor digantung tugas

Editor, akhbar Sarawak Tribune - akhbar paling tua di negeri itu yang kembali di pasaran pada Mei lalu setelah empat tahun menyepi - digantung tugas kerana menyiarkan laporan yang tidak disenangi oleh Ketua Menteri, Tan Sri Taib Mahmud.

Semuanya gara-gara tindakan editor eksekutifnya, Paul Si yang memilih laporan berjudul 'Adakah Taib Mahmud sekadar mahu menguji?' yang dibekalkan oleh Bernama sebagai tajuk halaman utama akhbar itu yang disiarkan pada Isnin lalu.

Laporan itu memetik pendapat penganalisis politik yang mempersoalkan motif Abdul Taib mengumumkan kesediaannya melepaskan jawatan ketua menteri menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Menurut mereka yang diwawancara Bernama, Abdul Taib tidak mempunyai niat untuk mengundurkan diri setelah memegang kuasa selama 29 tahun dan tawarannya itu dilihat cuba memancing sokongan daripada pemimpin tempatan.

"Beliau tidak akan meletak jawatan. Beliau hanya ingin tahu siapa yang bersungut. Kenyataan beliau merupakan satu muslihat untuk mengetahui siapa yang menentangnya," kata seorang penganalisis politik di University of Monash, James Chin yang dipetik Bernama.

Mesyuarat panjang lebar

Maklumat yang diterima Malaysiakini adalah Si yang mengetuai Sarawak Tribune sejak tiga bulan lalu telah digantung tugas selama dua minggu. Ada juga laporan yang mendakwa beliau telah dipecat.

Menurut sumber, anak perempuan bongsu Abdul Taib - Hanifah, menyerbu pejabat akhbar itu pada malam Isnin lalu dan mencaci kakitangan berhubung penerbitan laporan berkenaan.

Hanifah, bekas editor urusan akhbar the Tribune kemudiannya mengadakan mesyauarat panjang lebar dengan editor kanan sehingga jam 2.30 pagi, keesokan hari.

Si yang mempunyai pengalaman 25 tahun dalam dunia kewartawanan pernah berkhidmat dengan Malaysian Insider, The Star dan juga Borneo Post. Beliau hanya berada di pejabatnya seketika pada pagi Selasa lalu.

Beliau kemudiannya diarahkan ke pejabat menteri besar dan sejak itu tidak datang kembali ke pejabat akhbar berkenaan.

Si juga tidak menjawap panggilan telefon daripada Malaysiakini.

Sejak selasa lalu, Sarawak Tribune cuba 'mententeramkan keadaan' dengan menyiarkan laporan beberapa pemimpin tempatan yang kononya merayu Abdul Taib supaya kekal sebagai ketua menteri.

Akhbar berkenaan pernah digantung pada 9 Februari 2006 kerana menerbitkan semula karikatur kontroversial yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Pihak pengurusan akhbar berbahasa Inggeris berusia 61 tahun itu kemudiannya mengambil keputusan untuk menutup akhbar berkenaan meskipun arahan penggantungan itu kemudiannya ditarik balik. Mereka sebaliknya menerbitkan Eastern Times.

Edisi terakhir Eastern Times diterbitkan pada 19 Mei, iaitu sehari selepas Sarawak Tribune berada di pasaran dan secara kebetulan pula dirasmikan oleh Abdul Taib.

Mkini