Monday, June 21, 2010

Jangan kaitkan Islam dengan keganasan – Abdul Hadi

KUALA LUMPUR, 21 Jun : Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan pemimpin Umno BN supaya tidak sewenang-wenangnya mengaitkan Islam dengan keganasan.

Beliau ketika ditemui di Parlimen hari ini berkata, melabelkan Islam sebagai ganas berdasarkan tindakan beberapa individu, adalah sikap yang tidak bertanggungjawab dan menghina agama sendri.

"Jika ada beberapa individu buat silap dilabelkan dengan Islam, itu satu tindakan tidak bertanggungjawab terhadap agama sendiri," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung isu ancaman keselamatan yang didakwa dilakukan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang didedahkan baru-baru ini.

Tegasnya, pemimpin negara sewajarnya menjaga nama baik Islam apatah lagi Malaysia meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, mereka perlu cermat dalam memberi kenyataan dan tindakan agar Islam tidak disalah faham oleh orang bukan Islam sebagai penaja keganasan.

"Menganggap Islam dikaitkan dengan pengganas adalah termasuk agenda musuh, dan fenomena keganasan tidak boleh dikaitkan dengan Islam.

"Islam adalah agama bersifat sederhana," tegasnya.


'Pakatan boleh tawan Sarawak'

Ahli parlimen Sibu Wong Ho Leng begitu yakin bahawa Pakatan Rakyat mempunyai apa yang diperlukan untuk menawan Sarawak dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi DAP Sarawak - yang berjaya menumpaskan calon BN untuk merampas kerusi parlimen Sibu dalam pilihan raya kecil 16 Mei lalu, percaya 'keajaiban Sibu' akan terserlah ke seluruh negeri itu.

"Kami amat yakin untuk menghadapi pilihan raya negeri," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.



Wong yang juga ADUN Bukit Assek berkata, Matlamatnya ialah untuk memenangi 36 kerusi - lebih separuh daripada 70 kerusi DUN di Sarawak.

"Kita mensasarkan untuk menguasai negeri ini, tetapi saya harus mengakui ada kesulitan tertentu," katanya.

"Sekiranya kita tidak berjaya menawan negeri ini, kita mensasarkan 24 kerusi untuk menafikan kerajaan BN majoriti dua pertiga.

"Ini bukanlah mudah, tetapi ia boleh dicapai..." tambahnya.


PAS : ‘Asri jangan korek lubang sendiri masuk Umno’

KUALA LUMPUR, 21 Jun — “Jangan korek lubang sendiri.” Demikian rumusan nasihat Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad mengulas mengenai kemungkinan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyertai Umno, Jumaat ini.

Idris berkata, pihaknya berharap Asri tidak akan menyertai Umno dengan mengambil kira perkembangan dan pengalaman masa lalu dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

“Kita tidak ada benda (tidak kisah), cuma kita berharap beliau tidak sertai Umno... kami kesian dengan dia, tak mahu apa yang berlaku ke atas Datuk Seri Anwar (Ibrahim) berulang dan kena pada beliau,” kata Idris ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Betul atau tidak (akan masuk Umno) belum pasti, tetapi saya berharap beliau tidak akan masuk Umno,” kata beliau.

Asri yang mempunyai ramai kawan dalam PAS juga pernah disebut-sebut cuba dirujuk oleh parti Islam ini.

Idris berkata Asri juga menghadiri majlis pengebumian pemimpin veteran PAS Hassan Shukri minggu lalu.

Idris berkata, kedudukan PAS tidak akan terjejas meskipun Asri menyertai Umno, yang disebut-sebut akan menjadi kenyataan Jumaat ini.

Turut akan sertai bersama Asri iala kira-kira 100 ulama muda berkelulusan tinggi.

Asri enggan mengulas lanjut ketika dihubungi lewat malam tadi.

Bagaimanapun dalam kenyataan diposkan di blognya, Asri berkata “sehingga saat ini saya belum membuat apa-apa keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik.”

“Saya mengharapkan semua pihak tidak membuat andaian yang terlalu cepat terhadap kenyataan mana-mana pihak mengenai isu ini.

“Perbincangan dengan pihak yang membuat kenyataan akan diadakan. Sebarang kenyataan kepada media tidak akan dibuat setakat ini,” kata beliau.

Dalam ulasannya Idris menambah tiada tempat bagi golongan ulama untuk berpolitik dalam Umno.

“Harap jangan masuk, tengok orang macam Datuk Seri Anwar,.. gagal, kena fitnah. Golongan ulama tiada tempat dalam Umno, tengok pada (bekas naib presiden PAS) Datuk Nakhaie Ahmad, (Tan Sri Dr) Hamid Othman, (Datuk Dr) Mashitah (Ibrahim),” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai usaha PAS meminta Asri menyertai partinya, Idris berkata, sebenarnya tiada usaha secara rasmi.

“Yang jumpa dan berbincang dengan Asri adalah atas nama kawan, tiada usaha rasmi di pihak PAS... macam biasalah, kita terbuka, kami terima sesiapa sahaja yang hendak masuk PAS,” katanya.