Friday, March 20, 2009

3 Penjuru di Batang Ai?

LUBOK ANTU: Semakin menghampiri hari penamaan calon pada 29 Mac ini, spekulasi semakin banyak kedengaran terutamanya mengenai siapakah yang bakal menentang calon Barisan Nasional, Malcolm Mussen Lamoh.
Malah ramai pemerhati politik sehingga kini berpendapat pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara BN menentang calon parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) ataupun Bebas.
Kemungkinan wujudnya calon Bebas pada pertandingan kali ini semakin hangat apabila seorang anak jati dari kawasan Batang Lemanak, Lubok Antu turut diwar-warkan akan bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil itu kelak.
Johnny Chuat, 38, anak jati kelahiran Rumah Mujah, Nanga Menyebat, Ulu Lemanak dikatakan akan mencuba nasib sebagai anak jati pertama dari kawasan Batang Lemanak untuk bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil itu kelak.
Graduan dalam bidang komunikasi dan kewartawanan dari Universiti Carleton, Kanada ini dikatakan mempunyai potensi untuk meraih undi di kalangan pemilih pendaftar menjelang pilihan raya kecil ini berdasarkan kepada dua faktor.
Pertama, hampir 80 peratus daripada penduduk di kawasan Batang Lemanak termasuk dari kawasan Ulu Engkari mempunyai hubungan pertalian saudara kepada bakal calon bebas itu sendiri.
Kedua, Johnny Chuat juga dikatakan popular di kalangan penduduk setempat dengan melakukan kerja amal terhadap penduduk dari kawasan Batang Lemanak, Ulu Engkari dan di serata kawasan dalam seluruh negeri ini.
Beliau yang kini bekerja dengan sebuah syarikat dalam industri minyak dan gas yang beroperasi di perairan Malaysia-Vietnam, juga merupakan pengasas kepada sebuah laman web Dayak iaitu www.ruaikitai.com.
“Spekulasi ini menjadikan kerusi DUN Batang Ai semakin panas dan jika benar beliau (Johnny) akan menyertai pertandingan kali ini, maka hampir pasti BN bakal berdepan dengan sekurang-kurangnya dua (calon) lawan,” demikian menurut seorang pemerhati politik di sini yang enggan namanya didedahkan.
“Bagaimanapun ia akan terjawab pada 29 Mac ini nanti, sama ada akan berlaku pertandingan tiga ataupun empat penjuru. Namun yang pasti BN sudahpun meletakkan calon yang berpotensi dan menjadi pilihan rakyat, dengan PKR pula masih berahsia mengenai calon mereka,” tambah beliau lagi.
Hari penamaan calon DUN Batang Ai akan diadakan pada 29 Mac serentak dengan pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau, Parlimen Bukit Gantang.
Jika ada pertandingan maka, tarikh mengundi pilihan raya kecil di ketiga-tiga kawasan akan diadakan pada 7 April depan.

NGO demo lawan polis

Gabungan 50 NGO mengancam untuk mengadakan protes besar-besaran terhadap polis kerana didakwa gagal bertindak terhadap pegawai mereka yang bertindak ganas dan mengakibatkan kematian dalam tahanan.Tempat demonstrasi tersebut, tidak lain tidak bukan, ialah ibupejabat polis di Bukit Aman di Kuala Lumpur, manakala tarikhnya akan diumumkan selepas pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau.Jurucakap gabungan tersebut, S Manikavasagam berkata, gabungan NGO berkenaan telah mengadakan pertemuan Rabu lalu dan sebulat suara bersetuju bahawa demonstrasi itu perlu diadakan."Kita tidak mahu berlaku lebih banyak lagi kematian dalam tahanan," kata Manikavasagam, yang juga anggota jawatankuasa pemantau polis dan hak asasi manusia."Saya tahu terdapat pegawai cawangan khas di di sekitar kita. Saya mahu mereka jumpa (Ketua Polis Negara Tan Sri) Musa Hassan dan beritahu beliau mengenai perkara ini," katanya.Manikavasagam bercakap kepada pemberita selepas menghadiri siasatan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) terhadap seorang doktor yang didakwa menyembunyikan punca sebenar kematian tahanan polis, A Kugan.

Pak Lah serah kuasa 2 April

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka menyerahkan kuasa pada 2 April - lima hari selepas perhimpunan agung Umno.
Difahamkan, Abdullah akan memaklumkan mengenai perkara itu kepada kabinet dalam mesyuarat mingguannya hari ini, dan beliau akan menemui Yang di-Pertuan Agong pada 3 April depan.
Manakala, bakal Presiden Umno, Datuk Seri Najib pula dijangka mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia yang keenam pada 4 April.
Perhimpunan agung Umno yang turut menyaksi pemilihan pucuk pimpinan parti itu akan berlangsung mulai Selasa depan sehingga 28 Mac.
Najib merupakan calon tunggal bagi jawatan presiden dan secara rasmi akan memimpin Umno mulai minggu depan.
Penyerahan kuasa itu akan berlaku sebelum berlangsungnya tiga pilihanraya kecil yang dianggap sangat penting iaitu Parlimen Bukit Gantang di Perak, DUN Bukit Selambau di Kedah dan DUN Batang Air di Sarawak - kesemuanya pada 7 April.

Penyokong PKR dihalau ketika mahu berkempen di sebuah rumah panjang

LUBOK ANTU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima petanda tidak baik untuk menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai yang bakal berlangsung pada 7 April ini.
Ia terbukti apabila sekumpulan penyokong parti pembangkang itu telah dihalau keluar oleh penghuni Rumah Jubang Bin, Sebangki Panjai, Lubok Antu ketika mereka cuba berkempen di rumah panjang terbabit pagi semalam.
Kejadian berlaku apabila sejumlah tujuh penyokong PKR menaiki dua kereta dari Miri tiba pada jam 11.30 pagi semalam di rumah panjang terbabit dengan dengan niat untuk berkempen bagi menghadapi pilihan raya kecil kelak.
“Sebaik sahaja mereka tiba, seorang daripada mereka terus memperkenalkan diri sebagai doktor dan menyatakan bahawa mereka adalah penyokong PKR dari Miri.
“Kedatangan mereka ke rumah panjang itu adalah dengan niat untuk menyerahkan VCD kisah penduduk rumah panjang Nyawen, Bintulu yang telah dihalau oleh kerajaan berhubung tanah milik kerajaan yang mereka duduki sebelum ini.
“Kumpulan itu turut menawarkan pemberian ubat secara percuma kepada semua penghuni rumah panjang berkenaan,” kata sumber enggan namanya disiarkan.
Bagaimanapun ketika para penyokong PKR berkenaan mahu membuka kotak yang mengandungi kedua-dua bahan berkenaan, sekumpulan penghuni rumah panjang terbabit mula bertindak menghalau mereka keluar dari kawasan rumah panjang tersebut.
Sambil menyatakan bahawa mereka adalah penyokong kuat Barisan Nasional (BN), kumpulan penghuni rumah panjang terbabit menyuruh mereka menyimpan kembali kotak-kotak berkenaan dan seterusnya menghalau mereka keluar dengan nada suara yang keras.
“Penyokong PKR dari Miri itu hanya akur dan tidak membantah apabila dihalau oleh kumpulan penghuni rumah panjang berkenaan.
“Dengan kata lain, penghuni rumah panjang Sebangki Panjai, Lubok Antu tidak menerima kehadiran PKR di situ kerana mereka merupakan penyokong kuat kerajaan yang kini diteraju oleh komponen BN Negeri,” katanya.

Teruk James Masing Kena Belasah Si Fauziah Manis