Friday, June 5, 2009

Dewan Pemuda PAS Perlu Merangka Pelan Kekalkan Sokongan Golongan Muda - Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Menyedari golongan pengundi muda memberi sokongan besar kepada PAS, pemuda perlu menjadi generasi yang akan mendominasi geo-politik masa depan negara, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu Pemuda PAS merangka pelan untuk mengekalkan sokongan golongan itu.

Kesan sokongan besar pengundi muda dapat dilihat dalam pilihan raya umum lalu yang menumbangkan Umno/BN di semenanjung Malaysia, katanya.

Justeru kata Ustaz Hadi, program-program bersesuaian, termasuk 'mengakhlakkan' aktiviti-aktiviti hiburan, sosial dan sukan yang selama ini dilihat di luar ruang lingkup aktiviti PAS perlulah dirancang.

"Usaha ini perlu bukan sekadar untuk tujuan politik, tetapi lebih utama untuk melaksanakan tugas 'penyelamat' bagi mengeluarkan mereka daripada keruntuhan akhlak serta hanyut dalam hiburan di luar batasan agama," ujarnya menyampaikan Ucapan Dasar pada Perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali ke-55 di Stadium malawati, di sini sebentar tadi.

Beliau turut mahu Dewan Pemuda menggiatkan program tarbiah kepada anak muda untuk melahirkan generasi pemimpin dan penggerak yang menghayati perjuangan menegakkan Islam.

Ustaz Hadi mengakui, pemuda telah memberi sumbangan besar dalam pilihan raya dan kegiatan PAS termasuk menggerakkan massa selain berharap Unit Amal terus meningkatkan prestasi.

"Pemuda juga perlu terus pro aktif menghadapi isu-isu dalam negara dengan memimpin ummah di medan dan secara bijaksana berhadapan dengan entiti yang berkenaan.

"Dalam konteks parti dan kerajaan serta percaturan politik yang serba mungkin dewasa ini, PAS terus menggalakkan Pemuda PAS memainkan peranan sebagai semak dan imbang agar landasan perjuangan PAS dan kerajaan-kerajaan Pakatan rakyat terus berjalan sebagaimana tuntutan Islam dan harapan rakyat," ujar Ustaz Hadi menegaskan peranan Pemuda PAS masa kini.

HarakahDaily

No comments:

Post a Comment