Sunday, June 7, 2009

Kerajaan Perpaduan Perkara Karut - Mushidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat

Mushidul Am PAS Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat sekali lagi menolak sebarang kerjasama dengan UMNO, khususnya yang menjurus kepada penubuhan kerajaan perpaduan BN-Pakatan Rakyat.

“Gesaan supaya diadakan kerajaan perpaduan ini adalah mengarut,” kata Menteri Besar Kelantan yang disambut dengan tepukan riuh oleh lebih 5,000 ahli PAS pada ceramah sempena muktamar PAS.

“PAS tidak patut mengadakan perbincangan dengan UMNO, begitu juga UMNO dengan PAS,” tambah Nik Aziz.

Tokoh veteran itu menyifatkan UMNO sebagai sebuah parti yang mengamalkan politik samseng dan seharusnya ditolak oleh PAS.

“Matlamat kini ialah menyebarkan syiar Islam dan bukan untuk diadakan pertandingan bagi menentukan siapa yang memimpin dan siapa jadi pengikut,” tambah beliau.

Nik Aziz berkata PAS menolak mengadakan perbincangan dengan UMNO mengenai penubuhan kerajaan perpaduan.

TVA

"Tuai padi antara masak, nanti jangan layu-layuan, Intailah aku sementara nampak, nanti jangan rindu-rinduan," - Mohamad Sabu

Rangkap ketiga pantun yang disampaikan mantan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu cukup memberi erti yang sangat mendalam kepada hadirin Muktamar PAS ke-55.

"Tuai padi antara masak, nanti jangan layu-layuan, Intailah aku sementara nampak, nanti jangan rindu-rinduan," kata Mohamad Sabu ketika mengakhiri rangkap pantunnya sebelum menamatkan ucapan penangguhan Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati, dekat sini hari ini.

Bacaan pantun Mat Sabu disambut dengan laungan takbir yang sangat gemuruh oleh perwakilan dan para pemerhati.

Terdahulu diawal ucapannya, Mohamad Sabu yang menggelarkan dirinya sebagai 'Abang Mat' mengutarakan beberapa isu membabitkan membedah demokrasi seperti isu rampasan kuasa di Perak, pelanggaran undang- undang oleh pihak polis, Umno/BN terhadap kuasa speaker di Perak selain isu memantapkan gerakan memansuhkan ISA.

Mohamad Sabu juga menegur secara sinis kisah-kisah beberapa pimpinan PAS yang di kalangan ulama yang akhirnya menyertai Umno.

Beliau memberi contoh, Dato' Nakhaie Ahmad yang digolongkan sebagai ulama yang akhirnya menyertai Umno hingga kini.

Mohamad Sabu mahu PAS kekal dengan ideologi perjuangan tatkala melihat Umno/BN yang dikuasai Dato' Seri Najib Tun Razak merosakkan kerajaan.

HarakahDaily

PAS Lulus Usul Lantik Badan Penyiasatan Bebas Kes Altantuya

Muktamar PAS ke-55 hari ini meluluskan usul mendesak Perdana Menteri, Najib Razak dan isteri, Datin Rosmah Mansur membersihkan nama mereka dengan mengambil tindakan saman malu terhadap mereka yang mengaitkan mereka dengan kes pembunuhan model Mongolia , Altantuya Saribbu.

Usul yang dibawa oleh Dewan Pemuda PAS itu juga memohon kepada Yang Dipertuan Agong supaya memperkenankan perlantikan badan penyiasatan bebas terhadap kes pembunuhan model berkenaan.

Dalam pada itu, Muktamar PAS yang bersidang hari ini di Stadium Malawati, Shah Alam meluluskan usul menggesa Pakatan Rakyat untuk mewujudkan system saringan bersama untuk memilih calon-calon pilihanraya yang berkelayakan.

Selain itu, Dewan Pemuda juga mencadangkan supaya satu formula baru dibuat bagi menentukan kuota calon pilihanraya yang sesuai dengan keperluan semasa.

Mengenai usul kepimpinan, pihak majlis syura dan dewan ulama mengambil inisiatif melahirkan ulama-ulama pelapis serta memfokuskan pembinaan keupayaan dalam pelbagai disiplin ilmu, termasuk ilmu siasah dan pengurusan.

Muktamar juga membuat ketetapan supaya pimpinan PAS Pusat, negeri, kawasan dan ahli menumpukan usaha membina kekuatan parti, bukan merosakkan parti atau memecah belahkan parti dengan label-label seperti kumpulan pro-muzakarah, pro-pakatan dan kumpulan erdogan.

Muktamar juga meluluskan tanpa bahas PAS kawasan Shah Alam, Jerlun dan Hulu Selangor demgan membuat ketetapan untuk mengekal dan melebarkan kemenangan Pakatan Rakyat pada PRU-13 demi menegakkan syiar islam.

PAS juga akan berusaha mewujudkan struktur organisasi yang berdaftar atas nama Pakatan Rakyat sebagai alternatif atau pengganti kepada Barisan Nasional bagi menerajui kepimpinan Negara.

Dalam usaha menawan kawasan parlimen pada PRU-13, muktamar meluluskan usul mendesak PAS Pusat merangka strategi yang berkesan bagi merampas sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen di kawasan luar Bandar, meliputi kawasan Felda di Pahang, Johor, Perak dan Terengganu.

Mengenai pergerakan Sister In Islam (SIS), Muktamar mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa islam liberal dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya.

Muktamar PAS 2009 juga meluluskan usul Dewan Muslimat untuk mendesak Kementerian Kesihatan menghapuskan pembayaran rawatan penyakit kronik kepada golongan yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban mereka.

TVA

PAS komited kepada Pakatan - Nasaruddin Mat Isa

Timbalan Presiden PAS Nasaruddin Mat Isa menegaskan tidak timbul soal PAS mengabaikan Pakatan Rakyat untuk menjalin kerjasama dengan UMNO, sebagaimana yang cuba diwar-warkan oleh media arus perdana kawalan Barisan Nasional.

“Tidak timbul langsung soal kerjasama. Yang hendak dibincangkan adalah isu kepentingan negara. Kita berdepan dengan pelbagai isu hari ini. Tidak timbul langsung soal Pas masuk Umno atau Barisan,” kata Nasaruddin.

“Tumpuan kita adalah pilihanraya ke 13, memantapkan Pakatan Rakyat dan mempamerkan keupayaan kita mentadbir di lima negeri dan apa yang kita mahu buat sebagai sebuah kerajaan,” tambah beliau.

Nasaruddin turut menjelaskan bahawa cadangan penubuhan kerajaan perpaduan Pakatan-BN setakat ini hanya dibincangkan “secara perbualan” sesama pemimpin Pakatan Rakyat dan tidak sebagai rundingan rasmi gagasan itu.

Sehubungan itu, beliau berkata media massa telah salah petik Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai berkata pimpinan Parti Keadilan Rakyat dan DAP menerima cadangan penubuhan kerajaan perpaduan itu.

“Beliau (Hadi) telah disalah lapor, saya hadir sendiri pada sidang akhbar presiden. Yang ada sekarang ini diskusi (sahaja), bukan untuk menggubal satu dasar. Ia hanyalah perbincangan biasa, itu sahaja. Bukan konkrit,” kata Nasaruddin.

Menurut Nasaruddin, cadangan penubuhan kerajaan perpaduan bukan sahaja belum menjadi agenda rasmi untuk perbahasan Pakatan Rakyat, malah perlu di bawa untuk pertimbangan muktamar PAS.

“Dalam parti ia bukan "one man show." Jika ia membabitkan dasar, ia harus dikembalikan ke muktamar. selepas muktamar, kuasa tertinggi dalam parti akan menentukan,” kata Nasaruddin.

Nasaruddin berkata sebarang perbincangan antara PAS-UMNO harus dilihat dalam konteks hasrat PAS untuk berdialog dengan mana-mana pihak mengenai permasalahan negara.

"Saya menyokong keperluan untuk PAS berbincang dengan semua pihak, termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, malah media sekali,” kata Nasaruddin. “Ini kerana kita tidak boleh bersikap pasif apabila keadaan memerlukan oganisasi seperti badan-badan politik untuk duduk berbincang,” tambah beliau.

TVA

Sarawak merupakan 'hutan simpan' bagi Barisan Nasional.

Pemimpin diminta kerap turun ke Sarawak


Perwakilan PAS Sarawak, Abang Edee Abang Fauzi menggesa agar kepimpinan PAS meneruskan perjuangan dengan memperluaskan dakwah khususnya di kawasan pendalaman negeri bumi Kenyalang ini.

Beliau yang membahaskan Ucapan Dasar Presiden, mengalukan kedatangan kepimpinan PAS serta Setiausaha Agung PAS ke Sarawak yang sebelum ini jarang dapat dilihat di negeri tersebut.

"Sudah empat tahun kita dapati 'batang idung sik nampak. Kita menegur kepimpinan ini disebabkan kita sayang kepada pemimpin," katanya.

Beliau turut menekankan agar PAS mengambil berat tentang pembahagian kerusi dalam pilihan raya di Sarawak kerana sebagai sebuah negeri yang mempunyai bilangan Dun yang terbanyak serta lebih 60 peratus penduduknya beragama Islam, sudah sampai masanya PAS meletak lebih ramai calon.

Jelasnya, menang atau kalah bukan perkara utama tetapi penyertaan lebih banyak kerusi PAS dalam pilihan raya umum di Sarawak akan dianggap sebagai duta penyelamat rakyat Sarawak yang selama ini dizalimi BN.

"Tidak relevan jika di Sarawak PAS hanya bertanding tiga kerusi dalam Pilihan Raya Umum akan datang serta jangan abaikan harapan rakyat yang ingin sebuah parti penyelamat kepada mereka. Sarawak merupakan 'hutan simpan' bagi Barisan Nasional.

"Dakwah adalah mekanisme asas yang penting dalam harakah Islamiyah. PAS Sarawak menyeru kepada pimpinan Pusat untuk kali kedua selepas Muktamar PAS yang lalu untuk bersama-sama mengukuhkan program dakwah. Kewujudan isntitusi pendidikan sekular yang diasaskan Sisters in Islam serta pendakyah Kristian menjadi cabaran besar kepada PAS Sarawak. Justeru kami mendesak pimpinan hadir ke Sarawak bagi memberi tunjuk ajar khususnya dakwah serta menghidupkan institusi Islam di Sarawak," katanya.

Sementara itu, Abang Edee turut menyatakan kebanggaan PAS Sarawak kerana setelah 13 tahun PAS bertapak di negeri itu, kewujudan pejabat Perhubungan PAS di Sarawak benar-benar membantu dalam mengurus tadbir PAS di Sarawak.

HarakahDaily

Bubar DUN Perak : Wakil PAS Terengganu Gesa Seluruh Warga PAS Berbai’ah

Kempen Bubarkan Dewan Undangan Negeri Perak (Bubar DUN Perak) telah dilancarkan dengan rasminya oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dalam Muktamar PAS Ke 55 di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam.

Dalam sesi khas pelancaran Kempen tersebut, Ustaz Nasharuddin berkata, PAS mendesak agar Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan dan hak dikembalikan kepada rakyat.

"Kerakusan UMNO yang dengan sewenang-wenangnya merampas kuasa kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak telah membangkitkan kemarahan rakyat. Sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat telah terbukti pada pilihanraya Parlimen Bukit Gantang yang lalu,

“oleh itu kita menyeru supaya DUN Perak dibubarkan dengan segera", tegasnya. (Gambar-Bekas Ketua Pemuda Terenganu Ustaz Azman Shapawi memakai 'headband' Bubar DUN Perak semasa pelancaran Kempen tersebut di Muktamar PAS Ke 55)

Sebelum itu, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad telah mengajak seluruh pimpinan dan ahli PAS berdiri teguh di belakang ahli dan pejuang PAS dan Pejuang Rakyat Perak agar berusaha untuk merampas kembali di negeri Perak dari tangan BN perampas kerajaan negeri Perak.

Beliau yang juga Yang DiPertua PAS Besut yang baru dipilih, mewakili PAS Terengganu berucap dalam perbahasan Ucapan Dasar Presiden PAS.

Beliau turut mengajak seluruh ahli PAS supaya sama-sama bertakbir sebagai tanda menyatakan bai'ah kepada pemimpin PAS yang baru dipilih dalam Muktamar kali ini.

Ekoran saranan beliau, semua perwakilan telah bertakbir demi menyatakan pendirian, berdiri teguh dan berjuang; ‘hidup serta mati’ bersama kepimpinan PAS.

Justeru itu, bersempena pelancaran Kempen Bubarkan DUN Perak, kan ikat kepada (headband) berwarna hitam yang bertulis 'Bubar DUN!!' telah diedarkan kepada setiap perwakilan.

Sebaik Ustaz Nasharuddin selesai berucap, para pimpinan bergerak ke hadapan pentas untuk bersama-sama para perwakilan memakai headband tersebut sebagai tanda pelancaran kempen tersebut.

BuletinOnline


klip video ehsan : tvpas09

USUL TERGEMPAR : Tubuhkan Suruhanjaya Bebas DiRaja siasat pengambilan secara haram kerajaan Perak

Satu usul tergempar mendesak penubuhan Suruhanjaya Bebas Diraja siasat pengambilan secara haram kerajaan Pakatan Rakyat Perak diterima sebulat suara.

Usul yang dibawa oleh PAS Kawasan Tambun, Perak itu diterima untuk dibahaskan setelah menyedari tindakan Umno/BN merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak merupakan perbuatan yang biadap dan tidak menghormati suara rakyat.

Perwakilan Perak, Dr Khairuddin Abdul Malik yang juga bendahari PAS Perak ketika membawakan usul tersebut menegaskan perlunya penubuhan suruhajaya tersebut bagi menyiasat perbuatan Umno/BN yang merasuah wakil rakyat bagi membolehkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

"Kami mencadangkan usul tergempar ini kerana tidak mahu lagi peristiwa yang berlaku di Perak berulang dinegeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain.

"Kerana itu kami mendesak supaya Suruhanjaya Bebas DiRaja perlu segera ditubuhkan bagi menyiasat perbuatan rampasan kuasa itu," tegas Dr Khairuddin.

Kerajaan tegas beliau perlu segera menubuhkan suruhanjya ini bagi membolehkan segala perbuatan tidak bermoral yang dilakukan untuk merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak dapat didedahkan kepada umum.

Usul yang dibawakan itu disokong sepenuhnya oleh PAS Kawasan Shah Alam dan juga Dewan Pemuda PAS Pusat melalui perwakilan mereka yang membahaskan usul tersebut.

Perwakilan Shah Alam, Khalid Samad yang membahaskan usul tersebut menegaskan, penubuhan suruhanjaya tersebut perlu disokong tanda penolakan terhadap Umno/BN.

Beliau juga menyeru semua perwakilan supaya tidak mudah terpedaya dengan agenda yang dimainkan Umno/BN yang cuba memerangkap dengan tawaran-tawaran yang amat menarik.

Selain Khalid, perwakilan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Dzulkifli Ahmad juga menyokong penuh usul tergempar yang dibawa oleh PAS Kawasan Tambun dan menolak sebarang kerjasama dengan Umno.

HarakahDaily