Friday, July 16, 2010

Nik Aziz Tak Mahu Bincang Politik Dengan Muhyiddin

KOTA BAHARU, 15 Julai - Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sedia menemui Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di mana-mana sahaja untuk berunding atas prinsip hubungan kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat dan bukannya untuk tujuan politik.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini pada Jumaat ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin sedia menemui beliau demi perpaduan orang Melayu dan umat Islam, Nik Aziz berkata beliau tidak mahu berunding dalam erti kata hubungan politik dan perpaduan Islam kerana "soal politik, PAS sudah menutup pintu untuk berunding."

"Tapi kalau soal royalti, saya mahu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa ada bersama," katanya.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO pada Khamis berkata, UMNO sedia menjalin kerjasama dengan PAS kerana UMNO menyokong perjuangan agama Islam dan orang Melayu.

Nik Aziz berkata sudah tidak ada peluang untuk berunding mengenai perpaduan antara PAS dan UMNO kerana PAS sudah membuat keputusan sejak dua tahun lepas selagi UMNO tidak menukar dasarnya.

"Masalah perpaduan Islam dan bangsa Melayu akan selesai jika UMNO sedia menukar dasarnya daripada dasar kebangsaan kepada dasar Islam," katanya.




Harakah harap SK, Roket diberi permit

KUALA LUMPUR, 16 Julai : Pengerusi Jemaah Pengarah Harakah, Datuk Mustafa Ali berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut mempertimbangkan untuk memperbaharui permit dua lagi akhbar Pakatan Rakyat, Suara Keadilan dan Roket.

Bercakap pada sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut hari ini, Mustafa berkata, KDN wajar memperbaharuinya bagi membuktikan wujud kebebasan media di negara ini seperti yang didakwa kerajaan.

"Saya mengharapkan juga pertimbangan yang sama diberikan kepada akhbar Suara Keadilan, Roket dan akhbar lain yang boleh menggambarkan wujudnya kebebasan media dalam negara kita.

"Di samping saya sambut baik, saya mengharapkan juga supaya pertimbangan itu dapat dibuat," katanya sambil mengesahkan menerima surat pembaharuan permit darip-ada pihak KDN semalam.


Setiausaha agung PAS itu juga berkata, tidak timbul soal Harakah tidak mematuhi arahan menjual akhbar itu kepada bukan ahli parti kerana sejak dahulu lagi, memang ianya dijual kepada ahli malah di muka hadapan akhbar juga dicetak 'untuk ahli sahaja' pada setiap keluaran.

"Memang pun kita jual kepada ahli. Sepanjang masa kita jawab surat KDN, perkara itu memang dinyatakan. Harakah memang letak di muka hadapan untuk ahli sahaja. Kita pun ada berbincang dengan pengedar, dan pengedar pun beranggapan ia dijual kepada ahli Pas. tapi untuk nak kenal pembeli itu ahli PAS atau tidak, payahlah," jelasnya.

Mustafa juga memberi jaminan bahawa mereka akan memberi kerjasama penuh kepada KDN.

"Kalau KDN lihat ada perkara yang perlu kita beri penjelasan, kita bersedia.Memang kita beri kerjasama sepenuhnya," katanya.

Sehubungan itu beliau memberitahu, Harakah akan diterbitkan seperti biasa bermula edisi Isnin ini.

"Kita tertinggal satu keluaran minggu ini, tapi bermula edisi isnin akan diteruskan dua kali seminggu seperti biasa," katanya.

Minggu lepas, sehari selepas lidah rasmi PKR, Suara Keadilan gagal memperbaharui permit, Harakah turut menerima nasib yang sama diikuti dengan lidah rasmi DAP, Roket.

Bagaimanapun, setelah pengarah urusan Harakah, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Mustafa bertemu dengan pihak KDN dan menyatakan surat tunjuk sebab, permitnya disambung kembali semalam.
Suara Keadilan dan Roket pula masih menunggu jawapan daripada pihak KDN.