Saturday, May 16, 2009

PAS Dapatkan Sokongan Pemimpin Politik, Bubar DUN Perak

PAS akan mewujudkan satu platform bersama untuk mendapatkan sokongan daripada semua pemimpin parti politik Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional bagi mendesak Umno membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak.

Naib Presiden PAS Husam Musa berkata, langkah itu telah dipersetujui dalam mesyuarat Dewan Harian PAS semalam.

Dalam satu sidang media di pejabat akhbar Harakah hari ini, beliau berkata Umno dan Barisan Nasional jelas telah melakukan rampasan kuasa dengan membelakangkan undang-undang dan membabitkan Sultan Perak untuk mengikut agenda politik mereka.

Justeru PAS akan berusaha mengembalikan semula hak rakyat Perak melalui pembubaran DUN dan mengadakan pilihan raya negeri.

“PAS pada dasarnya telah bersetuju supaya kita mendekati semua lapisan pemimpin untuk membentuk satu front (barisan) bersama bagi mendesak Umno Barisan Nasional membubarkan DUN Perak.

“Petang nanti saya akan berjumpa Tengku Razaleigh di rumahnya, dan kita juga akan menghubungi Setiausaha Agung Gerakan yang telah menyatakan mereka juga bersetuju DUN ini dibubarkan dan kita akan menghubungi Datuk Chua Soi Lek, Suhakam dan pihak-pihak yang boleh bersetuju duduk dalam satu platform untuk menasihatkan Datuk Seri Najib membubarkan DUN Perak,” katanya.

Mengulas kenyataan Datuk Seri Najib di akhbar hari ini, beliau berkata bukan Sultan Perak yang dipersalahkan oleh orang ramai, tetapi Umno secara khususnya harus dipersalahkan kerana mengesyorkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah sebagai menteri besar, sedangkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin masih lagi menteri besar yang sah.

Menurutnya, adalah amat malang bagi negara ini mempunyai Perdana Menteri yang tidak memahami prinsip undang-undang dalam isu ini dan juga prinsip-prinsip demokrasi.

Beliau berkata, negara akan berhadapan dengan lebih banyak krisis jika sikap ini berterusan.

artikel asal : TVAntara




klip video ehsan : tvpas09

DUN PERAK BUBAR ISNIN?

Satu pengumuman besar dijangka dibuat pihak istana Perak Isnin depan yang mungkin mampu memecahkan kebuntuan politik yang melanda negeri itu dan seterusnya mengakhiri kemelut politik yang berpanjangan sejak tiga bulan lalu.

Menurut sumber pengumuman itu ada kena mengena dengan desakan rakyat Perak yang mahukan mandat mereka dikembalikan untuk memilih kerajaan pilihan mereka semula setelah Barisan Nasional mendalangi rampasan kuasa terhadap kerajaan sah Pakatan Rakyat 5 Februari lalu.

"Kemungkinan pihak istana mengumumkan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak adalah besar memandangkan situasi kemelut politik di anatara Pakatan Rakyat dan BN nampaknya tidak ada jalan keluar.

"Desakan rakyat supaya DUN dibubarkan dan pilihan raya negeri diadakan mungkin sudah dipertimbangkan semasak-masaknya oleh pihak istana dan demi kebaikan, kemakmuran dan kestabilan negeri Perak langkah ini sajalah yang terbaik bagi mengatasi krisis tersebut," sumber memberitahu TV Antara.

Sekiranya ini berlaku Perak akan menyaksikan pilihan raya negeri pertama setelah pilihan raya umum tahun lalu.

Pada PRU ke 12, Pakatan Rakyat memenangi 31 kerusi sementara BN pula mendapat 28 kerusi.

Perbuatan BN memujuk 3 Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat keluar daripada gagasan itu dan mengisytiharkan diri mereka sebagai ADUN bebas telah mencetuskan krisis politik yang paling buruk dalam sejarah moden Perak yang turut mengheret institusi raja, badan-badan kehakiman dan legislatif.

Beberapa perkembangan yang berlaku kebelakangan ini juga mungkin mempengaruhi pihak istana untuk memperkenankan pembubaran DUN.

Antara yang paling penting ialah senario persefahaman yang telah wujud di antara Pakatan Rakyat dan BN berkaitan jalan penyelesaian krisis politik Perak.

Beliau juga berkata isu sama ada DUN Perak akan dibubarkan atau tidak kini terletak ditangan Sultan.

Walaupun Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini berkeras tidak mahu mengadakan pilihan raya baru negeri melalui pembubaran DUN namun kini beliau dilihat sudah berlembut dan mahu berdialog dengan Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat pula atas dasar mahu melihat penyelesaian kemelut politik tersebut diatasi secara aman bersetuju untuk mengadakan perbincangan dengan BN tetapi prinsip pembubaran DUN tetap dipertahankan.

Ini kerana menurut Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim hak rakyat perlu dikembalikan semula jika amalan demokrasi sihat mahu diwujudkan di negera ini serta menolak budaya kedurjanaan politik.

Walaupun menurut perlembagaan pembubaran DUN adalah di atas nasihat Menteri Besar namum pensyarah undang-undang Universiti Islam Antaranbangsa Malaysia, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata Sultan mempunyai kuasa khas yang jarang digunakan yang membolehkan baginda membubarkan DUN selaku kedudukan sebagai Sultan.

"Dalam keadaan di mana sesuatu keadaan itu tidak lagi boleh diselesaikan melalui kompromi politik dan juga proses perundangan baginda Sultan boleh menggunakan "reserve power" baginda untuk membubarkan Dewan tanpa merujuk kepada Menteri Besar apatah lagi dalam keadaan di Perak sekarang yang mempunyai dua penyandang jawatan," Prof Aziz berkata.

artikel asal : TVAntara

KEMPEN SUARA HATI RAKYAT SASAR 1 JUTA TANDATANGAN UNTUK DIPERSEMBAH KEPADA SULTAN PERAK

Wanita Pakatan Rakyat Kumpul Sejuta Tandatangan Desak Bubar DUN Perak

Wanita Pakatan Rakyat melancarkan kempen suara hati rakyat Perak bagi mendesak pembubaran Dewan Undangan Negeri dengan segera bagi membolehkan pilihan raya baru diadakan.

Ini bertujuan memulangkan kembali mandat kepada rakyat bagi menentukan kerajaan negeri pilihan mereka.

Sehubungan itu Wanita Pakatan Rakyat akan turun padang untuk bertemu rakyat bagi mengumpul tandatangan sebagai gambaran suara hati sebenar mereka berhubung desakan pembubaran DUN Perak.

Kempen tersebut dilancarkan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta, petang semalam.

Turut hadir pada pelancaran kempen mengumpul tandatangan ini ialah Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat, Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita DAP, Chong Eng dan Ketua Muslimat PAS Ustazah Nuridah Mohd Salleh serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat Perak.

Dalam ucapannya Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, kempen untuk mendesak pembubaran Dewan akan menjadi kenyataan jika semua pihak terutama golongan wanita di negeri ini memainkan peranan masing-masing.

Tambah beliau golongan wanita merupakan 52% daripada jumlah pengundi berdaftar di negeri Perak dan mampu menjadi satu kuasa pendesak yang berkesan untuk mencapai objektif pembubaran DUN dalam masa terdekat.

"Kempen untuk mendesak agar DUN Perak dibubar memerlukan peranan wanita kerana mereka memainkan peranan penting dalam kempen ini," kata Zuraida

Zuraida juga berkata kesangsian rakyat Perak terhadap kerajaan Umno-BN sudah semakin menebal disebabkan tindakan rakus mereka merampas kuasa daripada kerajaan Pakatan Rakyat Februari lalu.

Jelas beliau bertolak dari situlah tercetusnya krisis politik yang melanda negeri ini yang menyaksikan amalan demokrasi diperkotak-katikkan.

Jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut ini ialah dengan membubarkan DUN secepat mungkin bagi memgembalikan kuasa kepada rakyat.

Sementara itu Chong Eng yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata sudah sampai masanya golongan wanita tampil ke depan untuk meniupkan semangat juang agar kempen mendesak pembubaran DUN menjadi kenyataan.

Kata beliau lagi kempen mengumpul tandatangan yang dianjurkan adalah salah satu penggerak utama untuk mencapai matlamat ini.

Chong Eng juga berkata kempen mensasarkan sejuta tandatangan dalam tempoh seminggu sebagai lambang suara hati rakyat Perak yang mahukan pembubaran DUN dilakukan segera.

"Saya berasa kempen ini sangat bermakna kerana ianya pertama kali diadakan yang diterajui oleh wanita. Sudah sampai masa untuk wanita bangkit dan mengambil bahagian dalam perkara yang penting seperti ini," tegas beliau.

Sehubungan itu satu memorandum akan dipersembahkan kepada Sultan Perak secepat mungkin bersama sejuta tandatangan rakyat Perak yang melambangkan kesungguhan Pakatan Rakyat untuk melihat pilihan raya diadakan bagi mengatasi kemelut politik.

Kempen ini juga akan mendapatkan kerjasama ketua kampung di seluruh negeri Perak bagi mendapatkan tandatangan penduduk kampung yang kemudiannya akan diserahkan kepada wakil rakyat masing-masing.

artikel asal : TVAntara




klip video ehsan : greenboc

Pemimpin PAS Berpegang Kuat Ajaran Agama Dan Tolak Rasuah, Dato' Mustafa Ali

Jawatankuasa Pemilihan Muktamar PAS tidak pernah menerima laporan berkaitan kes rasuah wujud sempena Pemilihan Parti itu



klip video ehsan : tvpas09

ANIFAH BERKOKOK DI WASHINGTON TAPI KELU DI PARLIMEN

Anifah Aman adalah antara pemimpin UMNO Sabah yang lantang mengecam kerajaan Barisan Nasional Pusat di bawah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana kononnya mengabaikan negerinya.

Tetapi apabila Pak Lah berundur dan Najib menjadi Perdana Menteri serta mengangkat Anifah menjadi Menteri Luar, segala ketidakpuasan hati Anifah itu lenyap begitu sahaja.

Betapa mudah untuk mengubati rasa tidak puas hati seorang ahli politik. Dalam kes Anifah, jawatan menteri kabinet adalah penawar paling mujarab untuk melupakan keperitan rakyat di bumi kelahirannya.

Justeru, amat sukar untuk menerima kredibiliti Anifah berhubung dakwaan kononnya beliau dipancing oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ditawar menjadi Timbalan Perdana Menteri, jika Pakatan Rakyat membentuk kerajaan pusat.

Anifah memilih untuk membuat “pendedahan” itu di Washington Amerika Syarikat, pada sidang media bersama dengan Setiausaha Negara Hillary Clinton.

Kunjungan antara dua pihak yang baru memegang jawatan masing-masing adalah lumrah dalam dunia diplomasi, tetapi Anifah menggunakan pentas itu bagi membuat tuduhan melulu terhadap Anwar.

Mungkin ia strategi bijak kerana Anifah tidak mungkin mendapat pentas sebegitu lagi untuk menyelar Anwar.

Persoalan yang perlu diaju kepada Anifah ialah mengapa beliau tidak membuat pendedahan itu di sidang Parlimen yang lalu.

Pada sidang itu, Anifah dan semua Ahli Parlimen Barisan Nasional dicabar oleh Anwar untuk mengaku jika mereka disogok wang ringgit dan jawatan untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Tidak ada seorang pun yang bangun menyahut cabaran itu, termasuk Anifah Aman.

Anwar mengajukan cabaran itu ketika membahaskan krisis perlembagaan Perak yang baru tercetus ketika itu akibat rampasan kuasa oleh Barisan Nasional.

Apa yang tidak diberitahu oleh Anifah pada sidang media bersama Clinton ialah Najib dan bukan Anwar, yang menawarkan gula-gula politik kepada tiga ADUN Pakatan Rakyat Perak untuk lompat keluar dan menyokong BN.

Sebagaimana yang Anifah maklum, dua daripada ADUN itu menghadapi tuduhan rasuah dan menjadi sasaran mudah untuk diajak lompat parti.

Mungkin Anifah membuat tuduhan melulu terhadap Anwar kerana tersentak dengan pertanyaan media asing kepada Clinton mengenai layanan Malaysia terhadap Anwar.

Apapun tuduhan liarnya itu bukan sahaja tidak kena tempat tetapi menyerlahkan sifat Anifah sebagai seorang opportunis politik.

artikel asal : TVAntara

'COFFIN' RAMMED INTO FRU AT SRI LANKAN HIGH COMMISSION

Some 200 angry protesters today gathered at the Sri Lankan High Commission in Kuala Lumpur to show their disgust over the ongoing civil strife in the island which was killing thousands of innocent civilians.

The protesters called for the world leaders, including the Malaysian government, to end the Sri Lankan war between the Sinhala government and the Tamil Tigers.

And to add symbolism to their protest, the protesters brought a coffin to signify the loss of nearly 1,700 civilian lives in the conflict zone.




klip video ehsan : malaysiakini

MALAYSIA BAR DEMANDED THE RESIGNATION OF BOTH THE INSPECTOR GENERAL OF POLICE AND THE HOME MINISTER

Peguam tuntut Musa, Hisham letak jawatan...

Majlis Peguam menuntut peletakan jawatan ketua polis negara dan menteri dalam negeri, ekoran penahanan lima rakan peguam mereka pada 7 Mei lalu.


Kelima mereka ditahan kerana didakwa menyertai perhimpunan haram sewaktu mahu memberi khidmat guaman kepada sekumpulan individu yang ditahan kerana menyertai acara nyalaan lilin bagi menyokong aktivis Bersih, Woang Chin Huat, yang ditahan di bawah Akta Hasutan.

Kesemua mereka dibebaskan selepas ditahan semalaman dalam lokap polis - satu tindakan yang telah mencetus kemarahan masyarakat peguam.





Kira-kira 200 peguam mengadakan bantahan di kompleks mahkamah Kuala Lumpur pada hari berikutnya terhadap "penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis".

Dan untuk menyatakan kemarahan mereka, para peguam mengadakan mesyuarat agung luar biasa (AGM) hari ini berhubung perkara tersebut.

Ia dihadiri lebih 1,400 peguam. Selain mendesak Tan Sri Musa Hassan dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein meletak jawatan, para peguam tersebut juga bersetuju untuk memfailkan saman berhubung penahanan lima peguam berkenaan.

Saman tersebut akan difailkan terhadap Musa di balai polis Brickfields, pegawai penyiasat dan pihak kerajaan.

Mereka juga akan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis.

Lima peguam yang ditahan itu ialah Fadiah Nadwa Fikri, Syuhaini Safwan, Puspawati Rosman, Ravinder Singh dan Murnie Hidayah Anuar (foto).

Mereka bagaimanapun dibebaskan pada 8 Mei bersama dengan Wong dan yang lainnya di balai polis Brickfields.

artikel asal : malaysiakini

ADA UDANG DISEBALIK BATU PINDAAN TARIKH SIDANG MAHKAMAH RAYUAN

MENGAPA MAHKAMAH PINDA TARIKH?

Rakyat mempersoalkan mengapa Mahkamah Rayuan yang sepatutnya bersidang pada 18hb ini dipinda pula ke 21hb. ?. Rakyat menjadi keliru dengan pindaan tarikh ini. Perbicaraannya sama pula dengan perbicaraan rayuan Zambry.

Dengan pindaan ini, rakyat semakin pra sangka berlaku ketidakadilan dan penganiyaan terhadap Hj Nizar. Selang dua tiga hari sementara menunggu perbicaraan, Zambry masih berkuasa dan dengan kuasa haramnya itu, beliau boleh melakukan apa sahaja termasuk mengadakan sidang haram bagi mengusulkan undi tidak percaya kepada Dato' Seri Hj Nizar sebagaimana yang disaran oleh Dr. Mahathir dan beberapa pemimpin UMNO yang lain.

Sebab itulah usaha dibuat bagi membolehkan sidang diadakan secepat mungkin. Bagi membolehkan sidang haram itu diadakan tarikh perbicaraan rayuan Hj Nizar dipinda ke 21hb.

Sementara itu, saman Sivakumar terhadap Ganesan masih belum ditentukan tarikh perbicaraannya. Semua proses ini dilambatkan bertujuan Zambry terus berkuasa dengan cara yang haram, dan mereka bebas melakukan apa sahaja mengikut kemahuan mereka.

Ini semua mengundang ketidakyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman di negara ini. Rakyat sebenarnya sudah lama mempertikaikan institusi kehakiman sejak lama dahulu, lebih-lebih lagi selepas isu peguam Linggam yang gempar suatu ketika dulu. Apabila unsur ini berlaku pula kepada kes Hj Nizar, rakyat semakin tidak percaya kepada mahkamah di Malaysia. Kita bimbang rakyat akan bertindak di luar batasan undang-undang setelah ketidak percayaan kepada mahkamah sampai kemuncaknya. Adakah ini yang pemimpin BN mahu ?

artikel asal : http://misabah.blogspot.com/

LAGI RAKYAT PERAK MAKIN BOSAN KEMELUT POLITIK NEGERI KERENAH DAN CATURAN UMNO/BN

Pemuda ’silent protest’ tuntut Dun Perak dibubarkan

Seorang pemuda berketurunan India semalam telah berdiri seorang diri di pintu belakang bangunan pentadbiran kerajaan negeri Perak bagi menunjukan protes secara aman (silent protest) terhadap kemelut politik di negeri itu.

Dengan menampal mulut beliau dengan pita pelekat sambil memegang bendera negeri Perak dan hanya berdiam diri ketika polis hadir.

Pemuda berkenaan juga tidak memengang apa-apa sepanduk bagi mewakili mana-mana parti politik.

Menurut Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kula Segaran, setiausaha politik beliau bergegas ke lokasi berkenaan untuk menemui pemuda berkenaan pada jam 1.10 petang.

Ketika itu juga, dua orang polis telah meminta agar pemuda itu tidak melakukan perkara berkenaan serta mahu mengambil kenyataan, namun pemuda itu tidak mengendahkan.

Pemuda berkenaan turut memberikan nota yang berbunyi: “Rakyat didahulukan, pencapaian kemudian’ dan ’saya tidak sokong mana-mana parti, cuma sebagai rakyat perak, saya mahukan negeri yang aman. Ini untuk sesiapa yang boleh melakukan, lakukan sekarang,”.

artikel asal : SuaraKeAdilan




klip video ehsan : greenboc

TUAN GURU DATUK SERI ABDUL HADI AWANG KEKAL JAWATAN PRESIDEN TANPA BERTANDING DALAM PEMILIHAN PAS BULAN DEPAN

Hadi kekal presiden, 5 calon timbalan, 16 calon naib


Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan presiden PAS tanpa bertanding, manakala lima orang dicalonkan untuk bertanding timbalan presiden dan 16 lagi untuk jawatan naib presiden.

Manakala 86 orang lagi dicalonkan untuk bertanding jawatan ahli jawatankuasa pusat PAS.

Dan jumlah ini, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Mustafa Ali adalah yang teramai dalam sejarah pemilihan parti itu.

Abdul Hadi mengekalkan jawatannya selepas menerima pencalonan 136 daripada 137 PAS kawasan.

Satu lagi kawasan - Bukit Bintang di Wilayah Persekutuan - mencalonkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk bertanding presiden.

Untuk layak bertanding bagi semua jawatan parti, setiap calon perlu mendapatkan sekurang-kurangnya dua pencalonan.

Bagi jawatan timbalan presiden, lima orang yang dicalonkan termasuklah penyandangnya, Nasaruddin Mat Isa.

Empat lagi yang dicalonkan untuk jawatan timbalan presiden ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din; Naib-naib presiden - Datuk Husam Musa dan Mohammad Sabu.

Nasaruddin, Abdul Razak, Dr Harun turut dicalonkan untuk bertanding jawatan naib presiden, bersama-sama tiga lagi penyandangnya, Husam, Mohd Sabu dan Ahmad Awang.

Pertandingan adalah untuk merebut jawatan naib presiden dalam pemilihan PAS bulan depan. Sepuluh lagi calon naib presiden ialah:

1. Datuk Hasan Ali
2. Idris Ahmad
3. Datuk Kamaruddin Jaffar
4. Datuk Mahfuz Omar (ahli Parlimen Pokok Sena)
5. Nik Mohd Amar Nik Abdullah (exco kerajaan negeri Kelantan)
6. Mujahid Yusof Rawa (MP Parit Buntar).
7. Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin (Menteri Besar Pakatan Perak)
8. Salahuddin Ayub (MP Kubang Krian)
9. Taib Azamuddin (MP Baling)
10. Datuk Ibrahim Tuan Man

Pertandingan bagi jawatan AJK pusat adalah untuk 18 kerusi, manakala enam lagi kerusi AJK dilantik oleh parti.

Menurut Mustafa, surat tawaran akan dihantar kepada semua calon untuk mendapatkan pengesahan mereka bertanding.

Pencalonan bagi jawatan utama parti ditutup pada 8 Mei lalu, manakala pencalonan bagi jawatan utama Dewan Pemuda dan Muslimat PAS adalah pada 17 Mei ini.

Menurut Mustafa, senarai calon muktamad yang akan bertanding bagi jawatan utama parti, termasuk Pemuda dan Muslimat akan diumumkan pada 26 Mei depan.

Katanya, PAS mempunyai 176 kawasan di seluruh negara dan 137 daripadanya menghantar pencalonan bagi jawatan utama utama.

Tambahnya, 1,000 hingga 1,100 perwakilan akan menghadiri muktamar parti itu awal bulan depan.

artikel asal : malaysiakini

PAS TETAP LAKSANAKAN DASAR KEPIMPINAN ULAMA

Majlis Syura Ulama PAS menyerahkan kebijaksanaan pewakilan dalam muktamar nanti untuk membuat pilihan memilih pucuk pimpinan yang bersesuaian dengan keputusan Muktamar pada Oktober 1982

Muktamar 1982 itu telah memutuskan dengan jelas dan nyata bahawa PAS melaksanakan dasar kepimpinan ulama dalam menerajui PAS.

Majlis Syura Ulama PAS yang bermesyuarat pada 10 Mei lalu yang dihadiri seluruh ahli syura memperincikan keluhan dan rasa tidak puas hati sama ada melalui akhbar atau 'blog'.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din berkata, keputusan muktamar itu telah digunapakai tanpa sebarang masalah dan dihayati dengan teguh dan patuh.

Maka ketika itu Presiden PAS ialah seorang ulama, iaitu Almarhum Yusuf Rawa dan timbalannya pula adalah Almarhum Dato' Fadhil Noor.

Jelasnya, apabila Fadhil Noor ditabalkan menjadi Presiden pula maka Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi menjadi timbalannya.

"Manakala selepas Hadi naik menjadi peneraju utama maka Ustaz Hassan Shukri pula menjadi timbalannya dan kemudian bertukar kepada Ustaz Nasaruddin Mat Isa hingga sekarang.

"Itulah mantapnya kepimpinan ulama yang diterima pakai hingga sekarang," tegas Haron Din ketika dihubungi Harakahdaily baru-baru ini.

Beliau juga yakin seluruh ahli PAS memahami prinsip itu dan tidak ada kegusaran kerana mereka akur kepada muktamar.

Jelasnya, selagi muktamar tidak ubah keputusannya maka selama itulah PAS akan terus diterajui kepimpinan ulama.

Bagaimanapun, beliau kesal dengan propaganda oleh media arus perdana yang memainkan isu dalaman PAS dan melaga-lagakan antara ulama dengan profesional.

Katanya, laporan media kerajaan seolah-olah menggambarkan ada pergolakan dalaman PAS dengan merebut jawatan yang dilihat sebagai suatu kurang sihat.

"Mungkin mereka (media) terpengaruh dengan politik Umno yang telah begitu parah dalam persaingan merebut jawatan.

"Maka akhbar yang dipunyai Umno ini seolah-olah sengaja untuk menggambarkan kemelut politik yang ada dalam PAS, sehingga sebahagian pimpinan PAS yang terheret ke dalam kencah itu lalu membuat komen seperti ada pertarungan dalaman merebut jawatan," jelas beliau.

Tambah Haron, modal asas media arus perdana ini adalah pertembungan antara ulama dengan profesional.

Mengulas Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan memantau pemilihan PAS, Haron berkata badan itu perlu bukti yang kukuh jika benar ada unsur-unsur rasuah.

Apa yang membimbangkan kata beliau, 'penyakit' rasuah dalam Umno cuba hendak dipalitkan ke dalam PAS.

"Keadaan ini seolah-olah hendak menggambarkan bukan sahaja Umno berpolitik wang malah PAS pun sedemikian," katanya.

Justeru, tegas beliau selagi tidak ada bukti nyata yang dapat diketengahkan perkara ini PAS menganggap unsur itu tidak wujud.

artikel asal : HarakahDaily

BUBAR DUN PERAK, MAHATHIR SINDIR BN

Tun Mahathir Mohamad dilihat memberi sindiran sinis kepada Barisan Nasional (BN) apabila beliau menyatakan parti tersebut tidak perlu adakan pilihan raya semula di Perak kerana beliau percaya BN akan kalah.

Menurut Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, mantan Perdana Menteri berkata demikian kerana beliau yakin itu hakikatnya.

Mungkin juga katanya, yang dihubungi Harakahdaily baru-baru ini, Tun Mahathir berasakan Umno terlalu takut untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak.

"Ini kerana mereka yakin mereka tidak mungkin dapat mencapai kemenangan dan mereka sememangnya tahu 'mood' dan hati rakyat menolak BN minta Dun Perak dibubarkan," katanya.

Di Cyberjaya Khamis lalu, Tun Dr Mahathir di petik media menyarankan supaya BN mengemukakan undi tidak percaya terhadap Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin jika mempunyai suara majoriti di Dun Perak.

Beliau berpendapat, BN akan kalah jika DUN dibubarkan untuk memberi laluan bagi pilihan raya baru.

Menurut Salahuddin, Tun Mahathir mungkin tidak sanggup meminta untuk dibubarkan Dun Perak tetapi isyarat yang beliau beri itu jelas yakni menjurus kepada penyelesaian yang terbaik iaitu pembubaran Dun.

Ini katanya, mungkin Tun Mahathir melihat kekusutan yang ada pada hari ini memerlukan keputusan yang perlu dibuat oleh rakyat Perak sendiri.

artikel asal : HarakahDaily

'Perdana Menteri Rakyat', Najib Perlu Buktikan Di Perak!

Jika benar Dato' Seri Najib Tun Razak mahu menjadi 'Perdana Menteri Rakyat' sebagai bukti yang terbaik dan mukadimahnya beliau harus kembalikan hak rakyat Perak yang sudah 100 hari menjadi mangsa politiknya.

AJK PAS Pusat Dr Mujahid Yusuf Rawa, menyeru sebagai mukadimah untuk menggelarkan Najib sebagai perdana menteri rakyat beliau haruslah membela hak rakyat Perak untuk memilih parti mana yang mereka mahu.

"Selagi Najib tidak buktikan yang terbaik misalnya di Perak, beliau bukan 'Perdana Menteri Rakyat', jika beliau beri hak kepada rakyat kita boleh terima beliau sebagai permulaan sebagai 'Perdana Menteri Rakyat'," katanya semasa dihubungi.

Mujahid juga membidas BN, yang tidak malu dengan pengundinya di Perak yang hanya tinggal 46 peratus berbanding Pakatan Rakyat sebayak 54 peratus apabila tiba-tiba merampas negeri itu serta mengheret Speaker V. Sivakumar keluar dewan undangan negeri.

"Macamana Najib biarkan Zambry membuat rayuan di mahkamah rayuan supaya menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Nizar jadi Menteri Besar. Najib telah menambah masalah kepada rakyat Perak," katanya.

Amat malanglah bagi rakyat, kata Mujahid, apabila Najib baru hendak bermesra dan memperjuangkan rakyat sedangkan Pakatan Rakyat lebih awal mementingkan hak rakyat.

"Ini bermakna selama ini BN tidak perjuangkan rakyat, sebelum ini tidak perjuangkan sebab baru hari ini nak jadi 'Perdana Menteri Rakyat' malanglah bagi rakyat.

"Pakatan Rakyat lebih awal, BN parti yang tidak punya aspirasi rakyat, sebab baru sekarang nak jadi pemimpin rakyat, dulu kata BN perjuangkan rakyat, bohonglah!" katanya.

Justeru katanya, Najib tidak ada 'political will' dan hasratnya mahu menjadi perdana menteri rakyat hanya retorik hendak menyedapkan halwa telinga rakyat.

Najib dilaporkan berkata akan sentiasa bersama-sama dengan rakyat dan akan terus bersama-sama rakyat ketika menyampaikan amanat pada majlis perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru- baru ini.

Tegasnya, tidak sepatutnya wujud anggapan bahawa beliau merupakan anak golongan bangsawan.

"Kita mesti lihat kepada hala tuju negara, kita mesti faham, mesti merasai denyutan nadi rakyat, nadi negara, kuasa rakyat, kita mesti merasainya," kata Najib.

artikel asal : HarakahDaily



klip video ehsan : greenboc

PAS Wilayah Persekutuan Sifatkan Zambry Hanya MB 'syok sendiri'

Zambry hanya MB 'syok sendiri'

PAS Wilayah Persekutuan menyifatkan tindakan Dato' Seri Dr Zambry Abd. Kadir kembali bertugas sebagai 'Menteri Besar' adalah kemuncak kepada penderhakaan terhadap seluruh rakyat Perak.

Menurut Penasihat Undang-undang PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Khuzaimi, sungguhpun Zambry telah mendapatkan perintah penggantungan daripada Mahkamah Rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tindakan Zambry kembali bertugas bersama barisan Exconya dilihat membelakangkan kehendak rakyat yang telah memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Abdul Aziz Abd Rahim Isnin lalu telah mengesahkan lagi bahawa Dato' Seri Nizar sememangnya Menteri Besar Perak yang sah dan kerajaan Pakatan Rakyat adalah kerajaan pilihan rakyat Perak yang masih sah berkuasa.

"Apa yang dilakukan Zambry kini tidak lebih sebagai Menteri Besar yang 'syok sendiri' dengan menafikan kehendak majoriti rakyat,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, kedudukan Zambry kini hanya sebagai 'care taker' sahaja sementara menunggu selesainya proses rayuan di Mahkamah Rayuan dan berkemungkinan juga akan berakhir di Mahkamah Persekutuan yg merupakan mahkamah tertinggi negara.

"Justeru itu, beliau dan barisan Exconya tidak boleh membuat apa-apa keputusan yang bersifat dasar ataupun yang melibatkan kewangan negeri.

"Walaupun dari segi perundangannya, Zambry berhak untuk merayu atas keputusan Mahkamah Tinggi tempoh hari, tetapi secara moralnya, Mahkamah Tinggi telahpun membuat keputusan yang jelas mencerminkan hasrat majoriti rakyat Perak yang mahukan kerajaan Pakatan Rakyat kembali menerajui negeri Perak,"katanya yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Titiwangsa.

Ahmad turut mengulas bahawa,keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dicapai selepas Hakim meneliti dan mendengar keterangan saksi-saksi dan hujahan-hujahan peguam kedua belah pihak dalam perbicaraan yang mengambil masa empat hari untuk diselesaikan.

"Zambry sepatutnya akur dengan keputusan tersebut demi menamatkan kemelut perebutan kuasa yang sudah berlanjutan lebih tiga bulan ini.

"PAS Wilayah Persekutuan juga melahirkan rasa kagum yang amat sangat di atas keputusan Mahkamah Rayuan pada hari Selasa lalu yang disifatkan 'extra' efisyen dengan kelajuan yang sangat luar biasa.

Menurutnya, difahamkan bahawa permohonan untuk penggantungan penghakiman tersebut telah dibuat oleh peguam Zambry pada pagi tersebut dan ia didengar dan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Dato' Ramly Ali secara berseorangan dalam masa kurang tiga jam selepas permohonan tersebut difailkan.

"Ini merupakan satu rekod baru dalam sejarah kehakiman negara dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

"PAS Wilayah Persekutuan amat berharap agar kecekapan mahkamah dalam melupuskan kes sepantas ini dapat diteruskan ke mahkamah-mahkamah lain terutamanya yang melibatkan kes-kes jenayah,"jelasnya lagi.

Sementara itu menurut Ahmad,sehingga hari ini masih terdapat tahanan-tahanan reman yang sudah menunggu bertahun-tahun lamanya untuk dibicarakan dan masih belum diselesaikan.

"Setiap rakyat sepatutnya mendapat keadilan yang sama rata berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan doktrin hak asasi manusia dan tidak sepatutnya ada layanan istimewa diberikan kepada pihak-pihak tertentu.

"PAS Wilayah Persekutuan mengulangi dan menegaskan bahawa satu-satunya cara untuk menyelesaikan kemelut politik di Perak ini ialah dengan cara membubarkan DUN dan mengembalikan semula mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan siapakah yang layak untuk mewakili mereka dan menerajui kerajaan Negeri Perak.

"Selagi isu ini dibiarkan berlegar di mahkamah perundangan dengan mengheret insitusi istana, maka selagi itulah rakyat Perak akan terus berhadapan dengan konflik politik ini dengan tidak ada kesudahannya,"tegasnya.

NAZRI HINA RAKYAT PERAK

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menghina rakyat Perak apabila mendakwa pilihan raya semula di negeri itu bagi menyelesaikan krisis politik hanya akan mewujudkan polarisasi kaum, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Pilihan raya kecil baru sahaja berlangsung di Bukit Gantang. Jika Nazri gagal membuktikan wujudnya polarisasi kaum akibat pilihan raya kecil itu, beliau terdedah kepada tuduhan cuba melakukan provokasi ketegangan kaum secara halus.

"Jika beliau berniat melakukan perkara itu, eloklah segera memohon maaf kepada rakyat Perak malah seluruh rakyat Malaysia. Nazri sudah tua, eloklah memohon maaf sebelum terlambat," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau berkata, dalam pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan di Bukit Selambau, rakyat dari pelbagai kaum bersatu dalam satu suara yang begitu padu untuk menolak Barisan Nasional.

"Di Bukit Gantang misalnya, rakyat membuktikan perpaduan yang luar biasa erat apabila sama-sama bangkit menolak Barisan Nasional.

"Gelombang sokongan kepada calon PAS dalam pilihan raya itu berlaku serentak tidak kira dari pengundi beragama Islam atau bukan Islam. Adakah itu polarisasi kaum?" katanya.

Mahfuz menyifatkan kenyataan Nazri itu mendedahkan dirinya sendiri kepada tuduhan buta sejarah, buta fakta, buta istilah, buta politik malah pelbagai kebutaan yang lain.

"Kenyataan Nazri itu hakikatnya adalah penerusan kempen berbau perkauman yang dilakukan oleh Umno sejak selepas pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu.

"Kemuncaknya kita lihat dalam pilihan raya Bukit Gantang apabila Umno membangkitkan keresahan rakyat dengan mendakwa orang-orang Melayu kini tergugat dan berada dalam darurat.

"Orang Melayu tidak tergugat dan tidak berada dalam darurat, Umnolah yang sebenarnya tergugat dan berada dalam darurat terutama selepas pesta rasuah menjelang dan pada pemilihan parti itu baru-baru ini," kata beliau.

Amat malang, katanya lagi, apabila Umno cuba mendapat talian hayat dengan mengapi-apikan sentimen perkauman.

"Umno enggan menerima hakikat bahawa arus perdana rakyat Malaysia hari ini ialah menolak Barisan Nasional.

"Perkara itu jelas apabila bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri yakin Barisan Nasional akan kalah jika pilihan raya diadakan semula di Perak.

"Sebab itulah pemimpin-pemimpin Umno menggeletar ketakutan apabila diminta mempersetujui pilihan raya itu," katanya.

Bernama melaporkan Nazri berkata, desakan supaya diadakan pilihan raya negeri Perak bagi menyelesaikan krisis politik di negeri itu hanya akan mewujudkan polarisasi kaum.

Beliau berkata dalam keadaan politik sekarang, sentimen perkauman begitu menonjol dan dikhuatiri para pengundi akan memilih calon daripada kalangan bangsa sendiri.

"Buat apa kita adakan pilihan raya sekiranya memecah-belahkan rakyat," katanya.

artikel asal : HarakahDaily

ZAMBRY TAK TAHU ERTI MALU, BERLAGAK SEBAGAI MENTERI BESAR

Zambry Muka Tak Malu, Pilihanraya Baru Perak Semakin Hampir


Menteri Besar (MB) ‘haram’ Barisan Nasional (BN) Perak, Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir sepatutnya merasa malu kerana masih berlagak sebagai MB sedangkan mahkamah telah memutuskan beliau bukanlah Menteri Besar yang sah.

“Orang yang tahu malu, dia akan berasa tersangat malu kerana dia telah menjawat jawatan Menteri Besar sejak bulan Februari sudah tiga bulan sedangkan dia tidak ada hak untuk menjawat jawatan itu, sepatutnya dia rasa malu,”kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ir. Haji Khalid Samad ketika menyampaikan ucapan dalam majlis penerangan di Kampung Kubang Jela disini semalam.

Beliau berkata, sebaliknya Zambry telah pergi ke Mahkamah Rayuan dan mendapatkan perintah menangguhkan perlaksanaan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

“Maknanya keputusan Mahkamah Tinggi diterima (oleh Zambry) tetapi beliau minta tangguh perlaksanaan, itu sahaja,

“keputusan yang menyatakan Dato’ Seri Nizar tidak ditolak dan tidak diterbalikkan, tidak ditukar,”tergasnya.

Katanya, Zambry kemudian pergi semula ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan ‘berlagak’ sebagai MB Perak sedangkan mahkamah telah memutuskan beliau bukan Menteri Besar.


Katanya Zambry menyuruh orang lain supaya menghormati keputusan mahkamah, namun beliau sendiri yang tidak menghormati keputusan mahkamah yang sah menyatakan beliau seorang Menteri Besar.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, beliau telah dihubungi oleh Pengarah Pilihanraya PAS Negeri Perak yang menyatakan pilihanraya baru bagi seluruh negeri Perak sudah hampir pasti.

Katanya beliau diminta untuk bersiap sedia untuk pilihanraya seluruh negeri Perak kerana menurutnya BN tidak ada pilihan lain akhirnya akan bersetuju akan membubarkan DUN Perak.

Dalam perkembangan yang sama, dua hari lalu, gabungan 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri Perak telah membuat rayuan terbuka kepada Sultan Azlan Shah, Sultan Perak, supaya membubarkan DUN Perak.

NGO tersebut merayu supaya baginda menggunakan kuasa perlembagaan baginda untuk membubarkan DUN bagi mendapatkan mandat baru dari rakyat untuk menentukan kerajaan negeri pilihan mereka.

Menurut Malaysiakini, gabungan NGO tersebut dalam rayuannya menegaskan mereka tidak menyokong samada BN ataupun Pakatan Rakyat, tetapi menyatakan perakara yang lebih penting ialah kebajikan rakyat Perak.

Gabungan NGO tersebut menyatakan tujuan meraka adalah berusaha untuk menyuburkan semula demokrasi sebenar di negeri Perak Darul Ridzuan.

artikel asal : BuletinOnline