Wednesday, April 29, 2009

Najib makin sukar mengelak campur tangan Mahathir

Bertanding di Penanti: Keputusan Najib atau Mahathir

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin sukar membuat keputusan sama ada bertanding atau tidak dalam pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti pada 31 Mei ini.

Pertama, Najib makin sukar mengelak campur tangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pemerintahan beliau.

Mahathir mula menyusun anaknya Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz dalam Kabinet Najib dan mencantas musuh politik beliau dan anaknya. Beliau makin berani mengkritik ahli Kabinet yang tidak disukainya.

Projek Jambatan bengkok bagi menggantikan tembok Johor mula berbangkit kembali menggambarkan semakin ketara peranan Mahathir dalam pemerintahan Najib.

Kedua, walaupun baru menyertai semula Umno, Mahathir sudah campur tangan dalam soal parti tersebut. Selaku Presiden, Najib mengambil keputusan untuk tidak menyertai pilihan raya kecil di Dun Penanti.

Najib memberi alasan yang cukup kukuh sehingga pemimpin parti sekutu Barisan Nasional (BN) bersetuju dengan pendapat beliau. Malah ada yang mencadangkan BN tidak menyertai pilihan raya itu tetapi meletakkan calon bebas supaya Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menang mudah.

MCA dan Gerakan menyatakan sokongan padu supaya tidak bertanding di Penanti. Ada setengahnya berpendapat jangan dilayan karenah Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menyokong cadangan Najib kerana mendakwa pilihan raya kecil itu berpunca daripada masalah dalaman pakatan rakyat.

Naib presidennya, Huan Cheng Guan turut menyokong cadangan Najib itu bagi mengelak pembaziran wang dan tenaga, tetapi menyarankan agar kepimpinan BN supaya menghalang ahlinya daripada bertanding sebagai calon bebas.

Setiausaha agung MIC, Datuk Dr S Subramaniam, berkongsi pandangan dengan Najib bahawa tidak perlu bertanding kerana ia membazirkan masa, tenaga dan wang rakyat.

Tambah Subramaniam, masa yang dibazirkan dalam pilihan raya tersebut boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain yang berfaedah.

Sebaliknya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata BN tidak sepatutnya mengaku kalah dan perlu meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Dun Penanti, Pulau Pinang.

"Saya fikir kalau kawasan itu kawasan Umno, kita tentu bertanding, ini pasal kita ingat ini kawasan parti lawan, kita tak nak bertanding. Jadi kalau kita nak tunggu kawasan Umno, nanti tidak ada kawasan Umno, kita tak bertandinglah," katanya.

Teguran Mahathir ini merunsingkan Najib. Jika BN bertanding bermakna, rakyat melihat beliau semakin dipengaruhi Mahathir . Beliau sudah tidak mempunyai pendirian tetap dan tersendiri. Beliau boleh dipengaruhi sewenangnya.

Sedangkan keputusan awal yang dibuat beliau supaya tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Penanti disokong majoriti pemimpin sekutunya dalam BN tetapi akhirnya beliau kendur dengan pendapatnya sendiri.

Kenapa? Hanya bermula daripada teguran Mahathir. Sebagai langkah selamat untuk mengelak keputusannya dikuasai Mahathir beliau dikatakan mengarah supaya dibuat tinjauan pendapat Umno bawahan sama ada setuju menyertai pilihan raya atau tidak.

artikel asal : HarakahDaily

Baik punya cadangan!!! Rais Yatim dan Jamil Khir???

Kementerian Penerangan perlu peka dengan rancangan hiburan


SAYA yakin dan percaya rakyat Malaysia masih terkejut dengan aksi berani Bintang Paling Popular 2008, Nabil apabila beliau memeluk kekasihnya Irma Hasmi di khalayak ramai yang mana siarannya ditonton jutaan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan umur daripada anak-anak kecil sehinggalah orang dewasa secara langsung di kaca televisyen melalui Anugerah BIntang Popular- Berita Harian 2008. Alasan yang diberikan oleh beliau adalah beliau terlampau terkejut dengan kemenangan yang diraihnya dan itu merupakan aksi spontan dan beliau menyatakan itu adalah kali pertama beliau berperangai sedemikian. Saya tidak berminat untuk tahu adakah itu kali pertama beliau memeluk kekasihnya atau tidak, tetapi saya yakin dan percaya, rakyat Malaysia yang masih menghormati adat dan tata susila dan berpegang teguh kepada ajaran agama Islam dan budaya masyarakat Timur sukar menerima perbuatan Nabil yang keterlaluan.

Bukan sahaja perbuatan itu bertentangan dengan hukum syarak, bahkan merupakan perbuatan yang menggambarkan betapa masyarakat Malaysia hari ini terutamanya dalam kelompok mereka yang bergelar artis begitu mengambil mudah dan memandang ringan apa yang dipandang serius oleh masyarakat umum.

Selang beberapa minggu, satu lagi aksi 'berani mati' telah ditunjukkan oleh bekas pelajar Akademi Fantasia 7, Aril yang tersingkir pada konsert minggu ketujuh dengan memeluk tenaga pengajar wanita Akademi Fantasia iaitu Siti Hajar, Fatimah Abu Bakar dan Shafi dan rancangan itu juga ditonton oleh penonton yang terdiri daripada latar belakang masyarakat yang pelbagai khususnya kanak-kanak.

Alasan yang diberikan, Aril menganggap cikgu-cikgunya di Akademi sebagai ibunya sendiri dan pelukan itu merupakan tanda hormat. Saya berasa sedih dengan alasan yang diberikan kerana tidak bolehkan Aril hanya mencium tangan bagi menunjukkan rasa hormat terhadap orang yang dianggap berjasa kepadanya? Kenapa perlu memeluk dengan erat dan bersungguh-sungguh?

Saya amat yakin dan percaya, anak-anak kecil yang menonton rancangan tersebut telah mula ditanam dengan aksi-aksi berani dan perkara-perkara tidak mustahil mendorong mereka untuk berkelakuan demikian dan seterusnya tidak mustahil boleh menyumbang kepada keruntuhan moral di kalangan orang muda di negara kita.

Satu persoalan yang bermain di kotak fikiran saya ialah, tidakkah Kementerian Penerangan peka dengan apa yang berlaku? Tidakkah Kementerian Penerangan mempunyai garis panduan berhubung had dan batasan penyiaran rancangan hiburan di Malaysia? Tidakkah ada tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang melampaui batas kesopanan an tata susila masyarat Malaysia?Bukankah tindakan juga boleh diambil kepada stesen-stesen TV yang berkenaan?

Saya menyeru agar Kementerian Penerangan duduk semeja dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam bagi menyediakan satu garis panduan khusus tentang perkara ini jika belum ada dan jika sudah ada, pihak Kementerian perlu menguatkuasakannya.

Jangan sampai timbul kes ketiga, keempat atau kelima yang menyaksikan sesiapa sahaja yang namanya lelaki memeluk wanita yang bukan muhrimnya di khalayak ramai kerana perkara ini bukan sahaja mencemarkan budaya dan adat Melayu, malah boleh merosakkan pemikiran anak-anak kecil yang menonton rancangan-rancangan seumpama itu.

HANIF MOHSEIN BIN MOHD. FAUZI NO. 2 , JALAN 10/2 TAMAN PUTRA

artikel asal : http://mstar.com.my/

LARANGAN PONDOK PANAS OLEH SPR, PAKATAN RAKYAT GESA TARIK BALIK LARANGAN

Pakatan mahu SPR batal larangan pondok panas

Pakatan Rakyat sebulat suara menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar menarik balik keputusannya semalam yang melarang parti-parti politik daripada mengadakan pondok panas dan memancing undi pada hari mengundi.

Malah Pakatan Rakyat juga sebulat suara menolak keputusan suruhanjaya itu semalam kerana beranggapan alasan-alasan yang diberikan adalah tidak munasabah.

"Kita mahu agar SPR tidak melaksanakan larangan yang mereka putuskan itu dan kita mahu sistem pilihan raya dilaksanakan seperti pilihan raya sebelum ini," kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa berkata, Pakatan Rakyat juga mahu menemui semula SPR Khamis ini - buat kali kedua - bagi membincangkan mengenai larangan tersebut.

"SPR sebelum ini menyatakan bahawa parti-parti politik ini ialah pelanggan mereka, jadi kami sebagai pelanggan, mungkin akan pergi kedai mereka semula.

"Kami cadangkan untuk berjumpa dengan SPR Khamis ini untuk jelaskan semula dan untuk lihat apa sebenarnya perkara-perkara yang dirasakan (SPR) boleh menimbulkan masalah... kami akan berikan hujah-hujah," kata beliau selepas mengadakan mesyuarat bagi menentukan pendirian Pakatan Rakyat berhubung larangan tersebut di sini hari ini.

Semalam SPR memutuskan supaya semua parti politik tidak lagi dibenarkan mendirikan pondok panas selain dilarang memancing undi pada hari mengundi.

Langkah ini akan dikuatkuasakan mulai pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bulan depan.

Dalam pada itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa berkata, larangan yang dibuat oleh SPR itu bercanggah dan tidak mengikut undang-undang pilihan raya.

"Kami dah teliti dari segi undang-undang dan di sini kami menyatakan untuk menolak pendirian yang diambil oleh SPR.

"Ini satu pendirian yang tidak munasabah dan bagi kita ia tidak mengikut undang-undang pilihan raya itu sendiri," katanya.

Malah jelas Sivarasa, keputusan yang dibuat oleh SPR itu juga bercanggah dengan pendirian suruhanjaya sebelum ini.

"Keputusan ini bercanggah dengan pendirian mereka sendiri yang dibuat dulu pada pilihan raya umum 2004.

"Undang-undang pilihan raya membenarkan parti politik mendirikan pondok panas mengikut Seksyen 24 B (2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

Sivarasa juga berkata menerusi surat yang dikeluarkan oleh SPR pada 19 Mac 2004, jelas menyatakan bahawa semua parti yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya dibenarkan menubuh atau menyelenggara pejabat atau pondok parti di luar kawasan sempadan 50 meter dari tempat mengundi.

"Jadi jelaslah bahawa tindakan mereka melarang untuk adakan pondok panas bercanggah dengan tafsiran mereka sendiri yang dibuat dahulu," katanya.

Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), Dr. Siti Maria Mahmud (PAS-Kota Raja) dan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang).

artikel asal : http://mstar.com.my/




klip video ehsan : tvpas09

1 MEI DEMONSTRASI BANTAH KEPUTUSAN KABINET BERKAITAN ISU AKIDAH UMAT ISLAM

Perhimpunan membantah keputusan kabinet

Lajnah Dakwah dan Pembelaan Dewan Pemuda PAS Pusat bersama Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyeru seluruh umat Islam hadir dalam perhimpunan membantah keputusan kabinet berkaitan isu akidah umat Islam.

Pengerusinya, Ustaz Ridwan Mohd Noor berkata, demonstrasi itu akan diadakan di perkarangan masjid kampung Baru selepas menunaikan solat Jumaat, 1 Mei.

Kabinet Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak telah memutuskan bahawa anak kepada pasangan yang menukar agama yang masih di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka semasa melangsungkan perkahwinan.

Keputusan kabinet Najib itu dibuat berdasarkan pandangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes Pathmanaban atau nama Islam, Mohd. Ridzuan Abdullah, 40.

Mengulas keputusan itu, Ridwan mendesak supaya Najib mengkaji semula keputusan itu berdasarkan beberapa kes yang telah berlaku dinegera ini.

"Sudah tentu keputusan itu Umno mahu menarik sokongan daripada pengundi bukan Melayu dalam pilihan raya akan datang," tegasnya.

Beliau berkata, keputusan itu akan memberi satu implikasi dan intikasi yang buruk pada masa depan umat Islam di negara ini.

Menurut beliau, himpunan 1 Mei itu mengajak seluruh rakyat Islam untuk menyatakan sikap mereka dan bukti kasih sayang kepada agama Islam.

"Jika tahun 1950 isu Natrah yang telah dimurtadkan melalui proses undang-undang pada hari ini kes itu berulang. Himpunan membantah isu Natrah itu juga telah berjaya menyatukan umat Islam tanpa mengira etnik," katanya.

Selain itu tambah beliau, ada usaha terancang untuk menjayakan misi permurtadan umat Islam di negara ini kerana kes itu telah berjalan lama.

Beliau berharap Pathmanaban atau nama Islam, Mohd. Ridzuan Abdullah, 40 bertanggungjawab menyelamatkan akidah anak-anak dan isterinya.

"Dalam Islam hak membela anak diberikan kepada bapa yang beragama Islam begitu juga jika ibu yang memelok Islam," tegasnya.

artikel asal : HarakahDaily


"jelas perlembagaan mengatakan bahawa hak untuk menentukan agama anak itu ialah hak salah seorang ibu ataupun ayah kepada anaknya maka ayahnya layak untuk menetukan agama anaknya" - Dato' Mahfuz Omar

klip video ehsan : malaysiakini

ENGGAN SAMAN ISU ALTANTUYA, NAJIB RAHSIAKAN SESUATU?

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali menyokong cadangan Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar agar Majlis Raja-raja menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi memulihkan nama baik negara.

Kata Mustafa Ali, cadangan itu wajar kerana nama negara kini kian tercemar akibat laporan media antarabangsa yang melibatkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Walaupun sebelum ini terdapat desakan oleh pelbagai pihak agar Najib atau kerajaan Malaysia menyaman akhbar-akhbar asing yang membuat laporan itu.

Namun kata Mustafa, Najib atau kerajaan masih terus berdiam diri, dan hanya membuat penafian sahaja.

"Penubuhan suruhanjaya ini wajar kerana sebelum naik jadi PM lagi, Najib memiliki 'bagage' yang sarat dengan isu-isu yang dikaitkan dengannya," kata Mustafa ketika temui di Pejabat Agung PAS baru-baru ini.

Beliau juga melihat, semacam ada kebimbangan atau rahsia yang disimpan apabila Najib enggan menyaman akhbar asing berhubung tuduhan ke atas Perdana Menteri itu.

Malah beliau juga melahirkan persoalan samada ada perkara yang disembunyikan agar tidak terdedah berikutan keenganan Najib atau kerajaan membersihkan namanya dengan landasan undang-undang.

"Najib atau kerajaan boleh memanggil kedutaan negara-negara yang mana akhbar mereka melaporkan isu tersebut untuk meminta kerjasama memberi penjelasan," katanya.

Namun hingga kini, tindakan tersebut juga gagal dilakukan Najib hingga pelbagai persepsi atau spekulasi yang timbul kerana kegagalan itu.

Terdahulu, Mahfuz bersama Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub telah menyerahkan memorandum kepada Majlis Raja-raja Melayu segera menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja bagi memulihkan nama baik negara.

Kata Mahfuz, penubuhan Suruhanjaya DiRaja itu perlu ditubuhkan setelah nama negara kini kian tercemar akibat laporan media antarabangsa yang melibatkan Perdana Menteri.

Beliau menegaskan isu pembunuhan Altantuya Shaariibu dan pembelian kapal selam yang dikaitkan oleh media antarabangsa dengan Najib menyebabkan nama baik negara kini tercemar.

artikel asal : HarakahDaily

klip video ehsan : malaysiakini

klip video ehsan : tvpas09

Tidak Perlu Tergesa-gesa Mengadakan Persidangan DUN - Dato' Seri Mohammad Nizar

Menteri Besar Pakatan Rakyat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata tidak perlu tergesa-gesa mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak kerana terdapat banyak fakta-fakta yang masih dipertikaikan di mahkamah.

Mohammad Nizar berkata demikian kepada pemberita di luar Mahkamah Persekutuan hari ini setelah memutuskan pertikaian antara Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengenai siapa Menteri Besar yang sah akan didengar dan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau turut berkata, keputusan hari ini adalah petanda yang krisis politik Perak akan dapat mencapai penyelesaian muktamad.

Sebelum itu, panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff sebulat suara memutuskan wujud pertikaian fakta dalam dua afidavit yang diikrarkan oleh Mohammad Nizar dan Penasihat Undang-undangan Negeri Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Prosiding untuk meneliti afidavit Ahmad Kamal akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim pada Isnin.

Bernama melaporkan, ini merupakan kali kedua kes itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi.

Kali pertama ialah pada 23 Mac apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan isu membabitkan tafsiran Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak perlu didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi dan hanya boleh dirujuk semula ke Mahkamah Persekutuan melalui rayuan.

Alauddin, Hakim Besar Malaya Datuk Ariffin Zakaria dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusuf dan Datuk James Foong hari ini dijadual mendengar permohonan Zambry, yang difailkan pada 21 April, untuk memohon pengisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Besar yang sah.

Dengan panel lima hakim itu yang bersidang, permohonan Mohammad Nizar bagi panel sembilan hakim untuk mendengar kes itu telah ditolak.

Terdahulu dalam prosiding hari ini, peguam yang mewakili Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah membantah permohonan Zambry atas alasan wujud pertikaian fakta berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadual didengar di Mahkamah Tinggi minggu depan.

Katanya percanggahan itu adalah antara apa yang diikrarkan oleh Ahmad Kamal dalam afidavitnya dengan apa yang sebenarnya berlaku dalam pertemuan antara Mohammad Nizar dan Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada 4 Feb, 2009.

"Saya menegaskan bahawa semasa saya menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan, saya tidak pernah menyatakan dan tidak memaklumkan, dan tidak pernah mencadangkan kepada DYMM Sultan bahawa terdapatnya kehilangan kepercayaan terhadap saya sebagai Menteri Besar oleh majoriti ahli-ahli DUN. Saya juga tidak pernah mencadangkan kepada DYMM Sultan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri selaras dengan Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak.

"Merujuk kepada afidavit penasihat undang-undang, saya menyatakan bahawa versi Datuk Ahmad Kamal berkenaan apa yang telah berlaku adalah salah dan tidak tepat," kata Sulaiman ketika membacakan afidavit yang diikrarkan oleh Mohammad Nizar.

Beliau juga berhujah Ahmad Kamal telah mewakili Zambry apabila kes itu disebut di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof pada 18 Feb. "Datuk Kamal telah mewakili Zambry dan ini jelas menunjukkan yang beliau tidak bersikap berkecuali," kata Sulaiman.

Katanya atas prinsip "res judicata" (perkara yang sudah diputuskan), permohonan itu tidak sepatutnya didengar oleh Mahkamah Persekutuan kerana permohonan yang sama terhadap isu yang sama telah ditentukan oleh mahkamah yang sama pada 23 Mac.

Peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry dalam hujahan balasnya berkata terdapat keterangan dokumen berdasarkan dua pucuk surat yang ditulis oleh Mohammad Nizar kepada Sultan Perak pada 4 dan 5 Feb untuk menunjukkan tidak terdapat pertikaian fakta seperti dakwaan responden.

Beliau juga berkata prinsip res judicata tidak boleh diguna pakai kerana isu Perkara 63 tidak timbul pada perbicaraan di Mahkamah Persekutuan pada 23 Mac.

Turut hadir pada prosiding itu ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai pencelah, peguam Mohd Reza Hassan selaku peguam pemerhati bagi Barisan Nasional dan Penolong Penasihat Undang-undang Negeri Perak Zulqarnain Hassan.

artikel asal : BuletinOnline

Mahkamah Tolak Permohonan Zambry Isytihar MB yang Sah

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa pertikaian antara Datuk Dr Zambry dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengenai siapa Menteri Besar yang sah akan didengar dan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.



klip video ehsan : greenboc