Thursday, May 19, 2011

Salahuddin : Saya belum layak duduk kerusi No 2 PAS

KUALA LUMPUR, 19 Mei — Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata beliau masih belum layak untuk bertanding jawatan nombor dua parti itu.

Pada sidang media di sini hari ini, Salahuddin berkata, keputusan itu dibuat setelah menilai dan melihat keupayaan diri beliau.

“Setelah saya melihat diri sendiri dan keupayaan, saya tidak berkelayakan untuk (bertanding) nombor dua, timbalan presiden saya tidak layak dan terpulang kepada orang lain untuk menilai,” katanya.

Bagaimanapun Salahuddin berkata, beliau akan mempertimbangkan sama ada mahu mempertahankan jawatan naib presiden disandang sekarang.

“Untuk naib presiden saya sudah menerima surat, saya akan lihat jumlah pencalonan yang saya terima kerana saya penyandang jawatan dan telah diberikan tanggungjawab sejak dua tahun lalu.

“Saya bukan calon baru, saya akan lihat dulu pencalonan saya, kalau jumlah itu menggambarkan keyakinan ahli kepada saya, maka saya akan mempertahankan jawatan naib presiden,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Kata Salahuddin, selama dua tahun memegang jawatan itu sudah cukup bagi ahli membuat keputusan sama ada beliau layak untuk terus memegangnya ataupun tidak.

“Saya penyandang, saya diberikan dua tahun dan ia sudah cukup untuk ahli-ahli membuat penilaian.

“Kalau jumlah pencalonan menggambarkan keyakinan saya akan terus mempertahankan,” katanya.

Awal pagi ini, The Malaysian Insider melaporkan hanya Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad sudah mengesahkan diri untuk bertanding jawatan itu.

Seramai 14 orang layak bertanding jawatan itu, namun Ketua Penerangan Ulama PAS Nik Zawawi Nik Salleh memutuskan untuk tidak turun gelanggang dengan alasan mahu memberi peluang kepada orang lain.

Selain Idris, muka baru yang turut layak adalah ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mazlan Aliman, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa, Exco kerajaan negeri Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah dan Bendahari PAS Dr Mohd Hata Rami.

Turut layak adalah dua lagi naib presiden Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Selain itu, bekas naib presiden PAS Mohamad Sabu serta Datuk Husam Musa dan Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa juga dicalonkan.

Namun Mohamad dan Nasharudin mengesahkan akan bertanding jawatan nombor dua parti.

Oleh Syed Mu’az Syed Putra dan Latifah Kasmuri TMI

No comments:

Post a Comment