Thursday, May 19, 2011

Ketua kampung lantikan politik jadi ‘tunggul kayu’

KUCHING, 19 Mei : Pemuda PAS Sarawak berharap ketua kampung yang dilantik atas dasar politik tidak dijadikan tunggul kayu yang hanya menjadi simbolik untuk menunjukkan pihak tertentu sudah menjalankan tugas.

Justeru, ketuanya, Arifiriazul meminta pihak terbabit supaya melakukan pemilihan ketua kampung di seluruh negeri harus dilakukan secara demokrasi.

Pemilihan itu, katanya seharusnya tidak dipengaruhi oleh parti pemerintah dalam menentukan siapa yang layak dilantik melalui lantikan pegawai daerah berkaitan.

“Kita amat kecewa di sesetengah kampung-kampung di Sarawak ini pemilihan ketua kampung dipengaruhi oleh parti politik pemerintah yang akhirnya menyebabkan matlamat dan objektif perlantikan itu gagal dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, ada beberapa kes yang telah dimaklumkan kepada PAS berkenaan masalah ketua kampung dan PAS secara serius telah membantu penduduk kampung bagi mengajukan permasalahan itu kepada pejabat daerah yang berkenaan.

“Namun sehingga ke saat ini masih lagi masalah ini tergantung tanpa ada jawapan kukuh daripada pihak yang berkaitan,” katanya.

Beliau menambah, apa yang mengecewakan setelah lantikan secara politik itu dilakukan, ketua kampung berkenaan akhirnya tidak mesra rakyat, gagal memenuhi tuntutan aduan orang-orang kampung dan lebih malang lagi ramai penduduk menderita kerana pengurusan mereka yang sangat lemah.

Katanya lagi, ketua kampung yang layak adalah mereka yang benar-benar membantu rakyat dalam menyelesaikan masalah dan mempunyai kemahiran dalam pentadbiran.

“Ini hanya boleh dicapai melalui pemilihan mereka yang benar-benar layak dan bukan juga memilih semula ketua kampung yang tidak bekerja untuk rakyat,” katanya.


Zharudin Narudin Harakahdaily

No comments:

Post a Comment