Thursday, June 4, 2009

Mansuhkan ISA Bergema Dalam Ucapan Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh

Dewan Muslimat mengulangi ketegasan bahawa akta rimba ISA mesti dimansuhkan segera kerana ia merupakan tindakan zalim kerajaan yang memenjarakan tahanan tanpa bicara dan peluang membela diri.

Penegasan itu diucapkan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang bersimpati dengan penderitaan para isteri dan ahli keluarga tahanan ISA.

Beliau berkata, sesungguhnya tiada penjara tanpa bicara dalam Islam. Keadilan Islam memberikan hak kepada yang dituduh untuk membela diri.

Dalam ucapan itu beliau turut menyentuh tentang keresahan dan kebimbangan pimpinan BN yang terlalu `phobia' untuk menghadapi pilihan raya kecil terutama kawasan tersebut kuat dengan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

"Berbagai helah akan dicari dengan memperalatkan SPR dan menggunakan mahkamah untuk mengelak berlakunya pilihanraya kecil," katanya.

Sehingga kini tambah beliau di setiap pilihan raya kecil (PRK) BN terpaksa menghadapi kekalahan demi kekalahan dan mereka terpaksa mencari helah supaya tidak berlaku pilihanraya kecil di seluruh negeri Perak.

Beliau menegaskan, DMPP tetap mengulangi desakan rakyat agar mereka diberikan hak memilih kerajaan Perak kerana tiada pilihan lain bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak.

"Kini kita diuji pula dengan kekosongan di DUN Manek Urai, Kelantan. Walaupun dikatakan bahawa Manek Urai adalah kubu kuat PAS, tetapi kita mesti bersiap sedia bagi mempertahankan DUN tersebut," tegasnya.

Selain itu beliau bangga dengan agenda 'PAS FOR ALL' telah banyak menarik minat pelbagai golongan bukan Islam untuk mendekati PAS.

Walaupun katanya selama ini PAS sentiasa bersikap terbuka, namun dengan penekanan itu PAS telah mampu dilihat sebagai wadah pilihan untuk pelbagai golongan dan kaum bagi memperjuangkan hak masing-masing.

Menurut beliau, sifat keterbukaan, kerendahan hati dan keikhlasan pemimpin dan ahli-ahli PAS telah mampu meningkatkan kepercayaan pelbagai golongan untuk menjadikan PAS sebagai wadah perjuangan pilihan mereka.

HarakahDaily

No comments:

Post a Comment