Thursday, June 4, 2009

Dewan Muslimat PAS Komited Usaha Bentuk Kepimpinan, Amilin Yang Profesional - Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Ustazah Nuridah Mohd Salleh

Dewan Muslimat PAS akan terus memberikan komitmen kepada usaha pembentukan kepimpinan dan amilin yang profesional melalui penubuhan Akademi Naqibah, demikian menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyampaikan ucaptama Muktamar Tahunan DMPP Kali Ke-49 di Dewan Bankuet, Wisma MBSA, di sini sebentar tadi.

Melalui penubuhan Akademi Naqibah, beliau melahirkan harapan agar ianya akan dapat mendidik dan melahirkan saf kepimpinan yang mampu memimpin wanita di semua peringkat, serta mampu menjadi amilin yang mampu menyerahkan seluruh jiwa dan raga untuk perjuangan suci ini.

"Usaha-usaha ke arah melahirkan muslimat yang bertakwa, bertistiqamah serta berperanan sebagai da'i pada masyarakat mestilah dipertingkatkan," tegasnya terhadap usaha memastikan kesatuan yang kukuh di kalangan jentera muslimat pada ucap tema "Menyemarak Kemenangan, Menyatukan Rakyat" itu.

DMPP juga mendesak pemansuhan Akta Universiti Dan Kolej Universiti (Auku) yang disifatkan telah mematikan sifat kritis dan kreativiti mahasiswa yang akhirnya melahirkan ramai mahasiswa yang jumud, beku dan tidak prihatin terhadap segala permasalahan masyarakatnya.

"DMPP sentiasa memberi komitmen untuk membawa mahasiswa kepada hala tuju yang sebenar iaitu sebagai pemimpin masa depan yang akan menggunakan seluruh kekuatan intelek yang dikurniakan Allah s.w.t bagi merancang masa depan negara. Seterusnya memainkan peranan membawa negara ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat," ujarnya.

Tegas beliau, DMPP juga menyedari akan fungsi cendikiawan muda terutamanya dari kalangan mahasiswa yang seharusnya memainkan peranan penting di dalam membawa para remaja kepada Islam.

Katanya, keupayaan minda dan intelek yang dikurniakan Allah s.w.t harus digunakan untuk memikirkan pelbagai pendekatan dan teknik bagi menarik kembali mereka yang telah terpesong ke jalan lurus.

HarakahDaily

No comments:

Post a Comment