Thursday, June 4, 2009

Dewan Ulama PAS Pusat Terima Usul Jawatan Presiden Dan Timbalan Dijawat Oleh Kepimpinan Ulama

Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat kali ke-48 menerima sebulat suara usul untuk mengekalkan konsep kepimpinan ulama dalam menerajui jawatan parti dengan jawatan Presiden, Timbalan dan salah seorang Naib Presiden terdiri daripada kalangan ulama.

Usul tersebut dikemukakan oleh Dewan Ulama PAS Terengganu selain dua usul yang diterima tanpa perbahasan dari Dewan Ulama PAS Kelantan.

"Memandangkan para ulama banyak memegang peranan sebagai pemimpin dan mengembangkan PAS ke seluruh tanah air sehingga PAS bukan sahaja diterima oleh orang Islam dan bukan Islam tetapi juga di persada antarabangsa," katanya.

Ulama juga ujarnya sentiasa memimpin perubahan berlandaskan siyasah syar'iyyah.

"Ia adalah bertunjangkan kepada usul kepimpinan ulama yang diterima dalam muktamar PAS kali ke-23 yang berlangsung pada 29 April 1983 di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur," ujarnya.

Usul tersebut yang sebelum ini pernah dibincangkan itu, turut disokong oleh Dewan Ulama PAS Selangor.

Sementara itu, usul daripada Dewan Ulama PAS Kelantan yang diterima tanpa perbahasan ialah mengesyorkan supaya diperuntukkan cuti bergaji penuh kepada isteri-isteri yang bekerja dengan kerajaan Pakatan Rakyat dan kerajaan persekutuan walaupun selepas bersalin anak kelima.

"Selain itu Dewan Ulama PAS Kelantan juga mencadangkan agar Dewan Ulama PAS dan negeri supaya mengadakan buletin khas versi kefahaman Islam untuk diedarkan ke seluruh negara kepada ahli dan penyokong Pakatan Rakyat khususnya untuk non muslim supaya mereka tidak disesatkan oleh BN dalam memahami Islam," demikian ujarnya.

HarakahDaily

No comments:

Post a Comment