Friday, March 27, 2009

Polis : Tiada Kompromi

Amaran dikeluarkan kepada pihak menganjur ceramah haram di tempat awam.

KUCHING: Polis mengeluarkan amaran tidak akan berkompromi termasuk mengenakan hukuman penjara terhadap mana-mana pihak yang menganjurkan ceramah atau kempen di kawasan awam tanpa permit.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak SAC I Dato’ Hamza Taib berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 27 Akta Polis kerana kesalahan mengadakan ceramah umum secara haram di kawasan terbuka.
“Bagaimanapun tiada sebarang permohonan permit untuk mengadakan ceramah umum dikemukakan oleh mana-mana parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil Batang Ai, setakat ini.
“Ceramah yang diadakan di kawasan tertutup atau milik persendirian seperti di rumah panjang, bagaimanapun tidak memerlukan permohonan permit,” katanya sambil menambah, kelulusan permit yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah (KPD) dibuat selepas menilai tahap keselamatan umum.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-202 Tahun 2009 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Jalan Badruddin di sini, semalam.
Ditanya mengenai persediaan polis menghadapi pilihan raya kecil Batang Ai, Hamza memberitahu, pasukannya kini berada dalam keadaan bersedia.
“Selain menempatkan 850 pegawai dan anggota, persiapan logistik termasuk menyediakan tiga helikopter, pesawat ringan (dua) dan bot (10) diyakini mampu melancarkan tugas polis mengawal keselamatan sepanjang tempoh proses pilihan raya mulai hari penamaan calon, kempen dan pembuangan undi,” jelasnya.
Menurunya, kos yang diperlukan untuk mengendalikan tugas mengawal keselamatan orang ramai dan memastikan pilihan raya kecil Batang Ai berjalan lancar dianggarkan lebih RM1 juta.
Terdahulu, Hamza yang membaca perutusan ketua polis negara mengingatkan warga polis bahawa revolusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah membuka ruang kepada penjenayah untuk berkongsi maklumat dan bergerak dengan lebih pantas.
Penjenayah sofistikated yang dilengkapi dengan pengetahuan, senjata dan teknologi melakukan jenayah canggih telah membawa kepada perubahan jenis dan trend jenayah yang sukar dikesan, ujarnya.
“Ini merupakan cabaran polis masa kini, namun sejarah membuktikan setiap cabaran itu telah berjaya diatasi kerana PDRM tidak meminggirkan revolusi maklumat,” kata Hamza sambil menyeru warga polis bertekad membanteras dan menyelesaikan jenayah, memastikan keamanan, meyakinkan masyarakat dan memantapkan integriti pasukan.

No comments:

Post a Comment