Friday, March 27, 2009

Hujah suara baru Harakah

" LAWAN TETAP LAWAN "
Tidak mudah patah semangat dan menyerah kalah selepas permit Harakah digantung tiga bulan, kumpulan wartawan organ PAS itu kini berusaha menerbitkan akhbar Hujah bagi mengisi kekosongan itu. "Cetakan terbaru itu memuatkan 48 halaman dan beberapa isinya kita akan ubah sedikit (daripada Harakah) mengikut kesesuaian," kata ketua pengarangnya Ahmad Lutfi Othman ketika ditemui Malaysiakini hari ini. Bagaimanapun, tambah beliau, ada ruangan-ruangan tertentu dikekalkan dengan sedikit perubahan tajuk dan sebagainya. "Mesyuarat semalam memutuskan yang kita akan tetap meneruskan perjuangan dan kita akan beroperasi seperti biasa. "Jumaat depan, Hujah akan berada di pasaran," tambahnya. Ditanya sikap orang ramai terhadap penggantungan Harakah secara mengejut awal minggu ini, Ahmad Lutfi berkata, ada "desakan luar biasa" daripada orang ramai, khususnya peminat setia akhbar itu. "Memang ada desakan pembaca yang meminta agar (PAS) adakan demonstrasi," katanya. Bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, tambahnya lagi, kebebasan akhbar semakin merosot. "Di bawah pemerintahan Dr Mahathir (Mohamad), memang ada sekatan (terhadap Harakah). "Tapi, tak pernah digantung. Di bawah Najib, belum (berkuasa) apa-apa lagi, sudah ada masalah permit yang lebih dahsyat. "Pada zaman Mahathir, saya pernah menang perbicaraan di Mahkamah Tinggi berhubung penerbitan (tabloid) Haraki," kata Ahmad Lutfi. Sejak Harakah dibenarkan beroperasi pada 1987, inilah kali pertama akhbar itu dikenakan tindakan penggantungan oleh KDN. Selepas pilihanraya umum Mac tahun lepas, kementerian itu mengizinkan PAS menerbitkan kembali akhbar itu sebanyak dua kali seminggu selepas dilarang sejak 2000. Menyentuh isu gaji wartawan dan kakitangan Harakah, beliau berkata, ia dibayar seperti biasa. "Mungkin akan ada perubahan dari segi (jumlah) elaun," katanya.Pada 23 Mac, KDN menggantung permit dua akhbar pembangkang berpengaruh termasuk Suara Keadilan masing-masing selama tiga bulan berkuatkuasa serta-merta. Tindakan tersebut menghalang keberkesanan kempen PAS dan PKR bagi menghadapi tiga pilihanraya kecil kawasan parlimen Bukit Gantang di Perak, DUN Bukit Selambau di Kedah dan DUN Batang Ai di Sarawak antara 29 Mac hingga 7 April ini.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment