Friday, March 27, 2009

Jawah seorang yang tidak berpendirian teguh, kata Masing

KUCHING: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya kecil Batang Ai, Jawah Gerang dilabelkan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri Dr James Masing sebagai seorang yang tidak berpendirian teguh.
Masing memberi contoh, satu ketika dahulu Jawah mengagung-agungkan jasa dan usaha Barisan Nasional (BN) dalam membawa pembangunan untuk manfaat rakyat.
Katanya, bukti Jawah berkata demikian ada terpampang dalam akhbar The Borneo Post keluaran 20 September 2007 di muka surat lima.
Antara lain, Jawah dipetik sebagai berkata: “Saya orang setia dengan BN dan akan setia selamanya.”
Kata-kata yang dipetik dalam majlis Pemimpin Bersama Rakyat pada 18 September dengan tajuk ‘BN the only ways, says Jawah’ itu mungkin tidak diingati beliau, tetapi tidak bagi Masing.
“Dalam artikel ini juga dia menyanjungi Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud atas dasar pembangunan yang dibawa oleh BN.
“Dia juga iktiraf Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu sebagai pemimpin Dayak yang telah membawa pembangunan kepada rakyat,” kata Masing dalam sidang media di sini, semalam.
Jawah, bekas Ahli Parlimen Lubok Antu ketika masih berada dalam BN, telah berkhidmat selama lima penggal.
“Apa yang kita hendak kata lagi jika 25 tahun dia berkhidmat sebagai wakil rakyat tetapi kemudahan infrastruktur di Batang Ai masih kurang memuaskan,” katanya.
Pengundi di Batang Ai katanya, pasti tahu batasan keupayaan Jawah dan seterusnya membuat keputusan yang bijak untuk terus menyokong calon BN.
“Apa yang dapat dan tidak dapat lakukan (Jawah) merupakan rahsia yang sudah diketahui umum,” ujar beliau.
Pilihan raya kecil Batang Ai yang dijadualkan pada 7 April depan dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Jawah, calon BN Malcolm Mussen Lamoh dan calon Bebas, Johnny Chuat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Ahad ini. Kerusi Dewan Undangan Negeri itu kosong berikutan kematian Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Februari lepas.
Sementara itu, Masing menafikan dakwaan PKR yang mengatakan Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman meminta nama, salinan kad pengenalan dan nombor akaun daripada penduduk rumah panjang.
Jabatan Tanah dan Survei katanya, cuma meminta tuai rumah memberi salinan kad pengenalan setiap penghuni rumah panjang untuk mengemas kini maklumat bagi Skim Penempatan Semula Batang Ai, Lubok Antu.
“Kandungan surat daripada Jabatan Tanah dan Survei bertarikh 13 Mac 2009 kepada Tuai Rumah Nanga Ukom, Lubok Antu, misalnya, tidak ada menyebut tentang meminta nombor akaun,” katanya.
Justeru, beliau mahu PKR tidak membuat tuduhan melulu semata-mata hendak mencari kemenangan.
Isnin lepas, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangannya dengan amalan politik kotor yang mungkin bakal menjejaskan keputusan pilihan raya kecil Batang Ai.
“Saudara (Ketua PKR Lubok Antu) Nicholas Bawin Anggat baru-baru ini mendapat tahu Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sri Aman meminta salinan kad pengenalan dan nombor akaun penduduk rumah panjang di Lubok Antu,” katanya.

No comments:

Post a Comment