Monday, May 16, 2011

Pertahan bukan sebab politik

KOTA BHARU - “Saya mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan semata-mata atas sebab politik,” kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Menurutnya, apa beliau lakukan adalah menjaga maruah seorang Islam yang lain sebagaimana dituntut agama.

“Islam suruh kita jaga maruah orang jadi saya bertanggungjawab mempertahan Anwar yang di sana sini orang burukkan dia. Mahkamah belum lagi buat keputusan tapi akhbar sudah burukkan dia seolah-olah dia sudah diputuskan bersalah,” katanya.

Menurut Nik Aziz, maruah manusia bukan diberikan kerajaan tetapi oleh Allah untuk dijaga.

“Adalah wajib bagi setiap manusia untuk jaga maruah. Orang yang cabul maruah orang lain berdosa kecuali minta maaf,” katanya selepas melancarkan Rumah Kos Rendah Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PBMK) di sini, semalam.

Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyyidin Yassin yang mahu beliau ‘berkata benar walaupun pahit’ berhubung isu video seks didakwa membabitkan Anwar.

Muhyiddin berkata, kerajaan tidak pernah mengeksploitasi isu berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau tidak gusar dengan kritikan yang dilemparkan terhadapannya kerana mempertahankan Anwar dalam pelbagai isu kontroversi yang melibatkan ketua pembangkang itu.

“Ramai tu ramailah (kritik) tetapi majoriti manusia tidak tahu (ajaran Islam). Nak tahu macam mana kalau tak baca al-Quran. Pemimpin kita pun ada yang tak tahu baca Quran, dia orang Melayu beragama Islam tetapi tak tahu baca Quran,” katanya.

SH

No comments:

Post a Comment