Monday, July 13, 2009

Najib adalah khadam dan hamba, jangan tunda khidmat pada rakyat!

'Hadiah' Najib 100 hari, tanda pemerintahan tidak ikhlas?

H Fansuri

Sikap Perdana Menteri Najib Razak menawarkan hadiah yang disifatkannya sebagai mesra rakyat itu sememangnya mengundang pelbagai reaksi masyarakat. Terpulang kepada kita sama ada mahu melihat hal itu dari sudut pandangan gelap atau cerahnya.

Oleh kerana media tempatan aliran perdana telah banyak menghebahkan aspek cerah pada 11 hadiah yang mengejutkan itu, maka kali ini biarlah kita meneroka hal-hal yang gelap daripada 'hadiah' tersebut.


1. Diskaun 20% kepada pengguna kad prabayar Touch �n Go dan SmartTag yang menggunakan tol lebuh raya 80 kali atau lebih dalam sebulan bermula 1 September 2009.
2. Penyewa Program Perumahan Rakyat di Wilayah Persekutuan dibenarkan membeli rumah yang disewa.
3. Potongan diskaun 50% kepada peniaga kecil di Wilayah Persekutuan memohon dan membaharui lesen perniagaan.
4. Tambahan RM150 juta bagi dana TEKUN dan RM15 juta untuk program pembangunan usahawan muda kaum India.
5. Tambahan kira-kira 3,000 lagi permit teksi individu dalam masa tiga bulan akan datang.
6. Komited untuk mengurangkan kadar jenayah terutamanya ragut dan kecurian kenderaan.
7. Mempergiatkan usaha bagi memastikan bilangan pendaftaran lewat kelahiran dapat dilaksanakan dengan segera.
8. Menyegerakan usaha menyelesaikan masalah kewarganegaraan rakyat.
9. Usaha menambah baik akses kepada kemudahan asas seperti pembinaan jalan dan penyaluran bekalan air serta elektrik di kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak ditingkatkan.
10. Mengurangkan kadar bayaran permohonan lesen motosikal kepada RM211 berkuat kuasa pada 1 September depan.
11. Menubuhkan Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz sehingga 10 bilion unit dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
Kalau benar-benar ikhlas, Najib berilah terus peruntukan itu dan tidak perlu menunggu 100 hari pemerintahannya itu.

Apabila ditinjau secara teliti, kita dapati hal ini bukanlah tidak dapat dilaksanakan Najib lebih awal. Beliau boleh buat lebih awal, tapi sengaja beliau tangguhkan sehingga cukup 100 hari pemerintahannya itu.

Meneliti beberapa 'hadiah' itu, kita andaikan bahawa peruntukan wang itu sudah ada, tapi Najib suka tangguhkan, lalu membiarkan kesemua 11 hadiah 'Mesra Rakyat' dilimpahkan pada Julai ini.

Memberi hadiah pada genap hari pemerintahan itu tidak melambangkan sikap dan budaya pemerintahan yang baik. Ini kerana, hubungan Najib dengan rakyat itu bagaikan 'khadam' yang hina dina di depan rajanya yang terlalu mulia.

Rakyat itu tuan, PM adalah khadam dan hamba!

Hal ini bertepatan dengan maksud hadis, "Seseorang pemimpin itu adalah khadam bagi kaumnya." Najib adalah orang Melayu. Jadi, dia adalah hamba kepada orang Melayu dan beliau juga Perdana Menteri kepada bangsa Malaysia.

Hakikat dan kenyataan ini bermaksud, Najib ialah khadam kepada bangsa Malaysia yang berjumlah lebih 20 juta rakyat di negara ini.

Maka, rakyat itu hakikatnya adalah tuan, raja sedangkan pemimpin itu adalah hamba dan khadam rakyat yang dipertanggungjawabkan bagi menyelesaikan beberapa masalah yang sedang dihadapi oleh tuannya (rakyat).

Khadam wajib segera berkhidmat, jangan tunda khidmat 100 hari

Adalah salah selaku hamba dan khadam yang hina lagi dina itu menunggu 100 hari dalam perkhidmatannya untuk menghebahkan 'hadiah' tawaran kepada tuannya, iaitu rakyat.

Umar al-Khattab tidak menangguhkan urusan rakyat dengan menggendong gandum pada setiap malam dan sikap ini turut diamalkan oleh khalifah-khalifah lain yang tulen.

Seorang hamba dan khadam yang baik akan terus bekerja tanpa menunggu tempoh untuk berkhidmat. Ini kerana, mereka sedar diri bahawa mereka itu hina di depan tuannya.

Jika benar-benar ingin menjadi seorang hamba dan khadam yang baik, Najib akan selalu menyegerakan apa-apa perkara yang diinginkan oleh tuannya sendiri.

Hatta, pada jam 3:00 pagi pun, beliau perlu bersedia kalau ada keperluan tuannya yang perlu dipenuhi. Dia mesti cergas, jujur dan tidak curang dalam tempoh masa bekerja.

Kalau pada jam 3:00 pagi, ketika tuannya mengarang dan tiba-tiba dahaga, lalu tuannya itu memberi arahan, "Ya khadam Najib, ana dahaga, lekas buatkan ana air susu...", maka khadam yang bernama Najib itu tidak boleh bertangguh lagi.

Tidak boleh khadam Najib berkata semula kepada tuannya, "Ya tuan yang dimuliakan... hamba buat air susu itu kemudian sajalah, berkuatkuasa jam 8 pagi esok, air susu itu akan tersedia di atas meja tuan."

Hubungan khadam dan tuan, bukan hubungan keluarga dan rakan

Hubungan Najib dengan rakyat adalah hubungan khadam, hamba sahaya dengan tuannya. Bukan hubungan anak dengan bapa, atau suami isteri dan rakan taulan.

Tentulah berbeza. Jika rakan taulan, adik-beradik, suami isteri, bolehlah kita buat kejutan seperti orang-orang Barat lagaknya, iaitu dengan meneriakkan kalimat, 'SURPRISE..!!' di telinga mereka menjelang ulangtahun kelahiran rakan taulan atau suami isteri.

Kalau bernasib baik; tiada darah tinggi dan lemah jantung, mungkin mereka tahan dengan kejutan seperti itu. Tapi jika bunyi kejutan itu kuat seperti bom C4 lagaknya hingga luruh jantung mereka, maka tiada bererti juga hadiah berbentuk kejutan 'SURPRISE..!!' itu.

Lawak-lawak juga. Moral dan mesej terpenting di sini ialah, lebih banyaklah kesan buruk daripada kebaikannya. Janganlah menangguh dan menunda sehingga 100 hari. Kalau dah nampak sesuatu bantuan itu terus boleh dilaksanakan, laksanakanlah terus.

Kenapa harus menunggu sehingga 100 hari untuk buat kejutan kepada rakyat?

Apa-apa pun, janganlah hamba membuat kesimpulan yang sama bahawa hubungan 'tuan dan hamba' itu sama saja hubungannya dengan hubungan kekeluargaan dan rakan taulan.

Tidak bolehlah khadam Najib bersikap begitu. Dia hamba rakyat. Mana boleh hamba dan khadam rakyat yang hina dina begitu membikin SURPRISE kepada tuannya?

Dan lagi, hamba itu pada hakikatnya adalah seorang yang miskin dan tiada berharta pula. Ini semua duit rakyat (tuan) kepada Najib (hamba). Mana boleh hamba bikin 'SURPRISE' dengan menggunakan wang tuannya (rakyat) sendiri?

Walhal mengikut amalan kebiasaan insan Barat, pihak yang ingin membuat kejutan itulah yang akan mengeluarkan belanja wangnya sendiri. Dia tidak menggunakan duit rakan dan wang ahli keluarganya yang bakal dikejutkan nanti.

Jangan dia menggunakan duit kerajaan, wang rakyat untuk bikin kejutan kepada tuannya sendiri. Dia mesti menggunakan wangnya sendiri untuk membuat kejutan tersebut.

Wangnya sendiri mungkin boleh diambil daripada komisen kapal selam, helikopter Nuri dan sebagainya lagi. Mungkin duit itu boleh Najib gunakan jika tiada perasaan malu.

Najib dibayar gaji, diberi upah dan kadangkala menerima upah komisen dari luar negara melalui pembelian kapal selam. Selebihnya adalah dari perbendaharaan negara milik tuan kepada Najib, iaitu rakyat. Tidaklah boleh digunakan wang tuannya untuk dibuat kejutan kepada tuannya. Ini contoh pemikiran songsang.

Najib jangan 'ujub, riyak dan sum'ah dengan 'hadiah'nya

Apa yang diinginkan Najib sempena 100 hari pemerintahannya itu ada banyak maksud dan implikasi buruk ke atas perkembangan jiwa, hati nurani dan rohnya.

1. Najib ingin memberi kejutan kepada rakyat supaya rakyat melihatnya hebat.

2. Najib sudah ujub, riyak dan sombong ke atas kuasa yang dimilikinya sekarang ini.

3. Najib ingin rakyat memujinya sempena 100 hari pemerintahannya. Akhbar-akhbar pula akan sentiasa membahaskan hadiah-hadiahnya yang terhebat itu.

Sebaik-baiknya seorang khadam seperti Najib janganlah ada sikap-sikap buruk seperti ini kerana sikap ini tidak selayaknya ada pada diri dan jiwa seorang hamba rakyat.

Rakyat sebagai tuan kini sedang menderita. Janganlah si hamba Najib bikin 'Surprise!' di atas segala derita dan kesengsaraan rakyat. Wallahu'alam..

12 Julai, 5:30 p.m
Sekolah Pemikiran Kg Baru


Pandangan dan maklumbalas boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.

HarakahDaily

No comments:

Post a Comment