Tuesday, June 9, 2009

Subjek Bahasa Inggeris : Wajib Lulus atau Tidak

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sasterawan ulung Inggeris William Shakespeare pernah berkata: “to be or not to be, that is the question”.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, petikan pujangga itu bermain di fikiran apabila merujuk kepada sama ada bahasa Inggeris patut dijadikan mata pelajaran wajib untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa ramai pelajar di luar bandar akan gagal SPM jika bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib untuk lulus.

“Dengan itu, saya tidak fikir ia (tidak menjadikan mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib untuk lulus) memenuhi tujuan kerana bahasa Inggeris adalah bahasa yang amat penting yang kita gunakan dalam kehidupan seharian kita,” katanya ketika merasmikan penubuhan Persatuan Alumni Maktab Kirby yang baru di sini, semalam.

Beliau berkata, untuk meningkatkan kualiti kemahiran dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, pengajaran mata pelajaran bahasa Inggeris perlu dilakukan oleh guru berkelayakan.

“Mungkin idea yang baik ialah mencontohi konsep Maktab Kirby, (iaitu) menghantar guru belajar bahasa Inggeris di persekitaran yang bertutur dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, sumbangan guru lepasan Maktab Kirby adalah amat besar dan mereka telah berkhidmat dengan penuh dedikasi pada tahun 1950-an dan 1960-an.

“Walaupun negara kita masih mundur dan tahap keselamatan agak membimbangkan pada ketika itu, kehadiran guru-guru Maktab Kirby yang terlatih dalam bilik-bilik darjah telah membawa pembaharuan.

“Saya juga dimaklumkan bahawa Maktab Kirby yang (melahirkan guru) berbilang bangsa dan agama ini merupakan ‘miniature Malaysia’ di mana semangat ‘1Malaya’ dan ‘Malaya Boleh’ mula disemai,” katanya.

Beliau berkata, guru lepasan Maktab Kirby juga menjadi kayu ukur kepada kecemerlangan profesion perguruan di negara ini, dan ini terbukti dengan pemilihan empat bekas pelajar Maktab Kirby sebagai Tokoh Guru Kebangsaan dari tahun 1988 hingga 1998.

Muhyiddin turut melancarkan buku 'Kirby College-A Heritage' hasil tulisan Dr Shaari Isa serta merasmikan Pameran Maktab Kirby anjuran Muzium Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Maktab Kirby merupakan satu eksperimen pendidikan yang unik dengan sebuah negara asing iaitu Malaya (kini Malaysia) dibenarkan membuka sebuah Maktab Latihan Guru di England pada tahun 1951.

Maktab itu berjaya melahirkan lebih 1,500 guru pelatih dan 405 pelatih guru, dengan bantuan pakar daripada Institute of Education, University of Liverpool.

SinarHarian

1 comment:

  1. setuju utk menjadikan bahasa inggeris wajib lulus kerana belaja di universiti juga dalam bahasa inggeris..jadi perlu dipraktikkan penggunaan bahasa inggeris sebagai bahasa perantaraan..

    ReplyDelete