Tuesday, June 9, 2009

Lebih 1,000 Polis Akan Kawal Pilihan Raya DUN Manek Urai

Lebih 1,000 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan termasuk bantuan daripada jabatan luar dijangka berkhidmat untuk pilihan raya kecil DUN Manek Urai yang akan diadakan tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner II, Datuk Amir Hamzah Ibrahim berkata, pihaknya kini sedang mengatur untuk menentukan beberapa petugas yang akan ditetapkan bagi mengawal pilihan raya itu nanti.

“Polis kini sedang membuat pemantauan di kawasan berkenaan mulai sekarang sehingga seminggu selepas tamatnya pilihan raya bagi memastikan perjalanan pilihan raya tersebut berjalan lancar.

“Polis juga telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku sepanjang proses pilihan raya tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan bagi bulan Jun dan penyerahan motosikal berkuasa tinggi di IPK Kelantan di sini, semalam.

Menurutnya, polis tidak menghadapi sebarang masalah untuk memastikan keadaan kawasan berkenaan terkawal dan sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kesukaran yang akan berlaku.

“Setakat ini, saya rasa tiada sebarang kekecohan yang timbul dan semua parti politik memberi kerjasama yang baik dengan pihak polis.

“Pada pilihan raya umum yang lalu pun tiada sebarang kekecohan berlaku melainkan kekecohan kecil berhubung pergaduhan menurun dan menaikkan bendera sahaja,” katanya.

Terdahulu, majlis perhimpunan bulanan yang diadakan pada bulan ini mempunyai kelainan daripada bulan-bulan sebelumnya di mana diadakan majlis penyerahan motosikal berkuasa tinggi jenis CBX 750.

Amir berkata, sebanyak 70 buah motosikal diagihkan kepada 11 Cawangan Trafik IPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.

“Motosikal ini diserahkan bertujuan menambah kelengkapan motosikal kepada anggota trafik untuk membantu menjalankan tugas-tugas penguasaan di daerah masing-masing.

“Selain itu, ia juga bertujuan menambah kehadiran polis di atas jalan raya bagi mencegah aktiviti jenayah dan mengesan pesalah lalu lintas,” katanya.

SinarHarian

No comments:

Post a Comment