Thursday, June 11, 2009

Hubungan PKR, PAS, DAP Tetap Utuh Dan Diperkukuh

Pucuk pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk memperkukuhkan gagasan itu bagi mejayakan Agenda Perubahan demi membela segenap lapisan rakyat.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang sama-sama menzahirkan iltizam itu pada perbincangan semalam.

“Kami mengulangi komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama Pakatan Rakyat bagi menjayakan Agenda Perubahan,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Anwar berkata berlainan dengan UMNO-BN, Pakatan Rakyat berpegang kepada prinsip “memberi peluang dan ruang kepada rakan-rakan parti komponen untuk menjelaskan pendirian mereka berhubung sebarang isu yang berbangkit.”

“Kami percaya perselisihan kecil yang digembar- gembur oleh media UMNO- BN tidak akan meretakkan permuafakatan yang terbina dari iltizam untuk membawa Perubahan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya,” tambah Anwar.

Anwar menjelaskan bahawa isu rundingan PAS-UMNO yang diungkit oleh media arus perdana kawalan kerajaan harus dilihat dalam konteks yang betul.

Isu itu timbul dari kenyataan Hadi pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar di muktamar tahunan baru-baru dan harus dilihat dalam konteks pidato Presiden Pas, kata Anwar.

“Dalam pidato tersebut Ustaz Abdul Hadi mengulangi komitmen PAS untuk memastikan Perubahan terlaksana melalui wadah Pakatan Rakyat dan menggariskan kewajaran muafakat antara parti bagi menyelesaikan krisis Perak melalui pilihanraya, menggesa agar badan kehakiman bebas dari sebarang kongkongan dan pilihanraya yang telus, “ tambah Anwar.

“InsyaAllah permuafakatan Keadilan, PAS dan DAP akan bertambah utuh dari hari ke hari,” kata Anwar.

Anwar berkata pimpinan Pakatan Rakyat menginsafi bahawa rakyat mahukan sebuah kerajaan bertanggungjawab, telus dan cekap mentadbir bagi kembali memacu Malaysia.

“Pakatan Rakyat bersedia menggalas tanggungjawab demi memastikan negara ini berada di landasan yang tepat,” kata Anwar.

No comments:

Post a Comment