Thursday, June 11, 2009

PAS mahu tarik balik perkataan haramkan SIS

PAS kawasan Shah Alam yang mengusulkan supaya Sisters In Islam (SIS) disiasat dan diharamkan menjelaskan bahawa terdapat kesilapan teknikal berhubung usul yang dikemukakan mereka.

Sehubungan itu, ia akan memaklum kepada PAS pusat untuk membuang perkataan 'mengharamkan' dalam usul tersebut, dan diganti dengan perkataan 'berbincang'.

Yang Dipertuanya, Khalid Samad berkata pihaknya akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu dan seterusnya menghantar surat maklumat pembetulan itu kepada PAS Pusat.

Bagaimanapun beliau yang juga ahli lajnah politik PAS penggal lalu, tidak pasti sama ada pertukaran itu boleh dilakukan memandangkan muktamar telahpun meluluskan usul itu.

Mengulas lanjut beliau yang juga ahli Parlimen Shah Alam berkata, usul yang dihantar kepada jawatankuasa usul parti itu bukanlah versi terakhir, tetapi yang belum dipinda.

"Usul itu datangnya daripada Dewan Muslimat kawasan. Tetapi oleh kerana kesuntukan masa dan tergesa-gesa, ia tidak dibahaskan dalam mesyuarat kawasan dan terus dihantar (kepada jawatankuasa usul pusat)," kata Khalid kepada Malaysiakini.

Menurut Khalid, PAS kawasannya mengadakan mesyuarat agung tahunannya agak lewat - dua hari sebelum tarikh akhir yang ditetapkan pada 25 April.

Aliran liberal

Muktamar tahunan PAS ke-55 yang bersidang pada hari terakhir Ahad lalu menerima tanpa bahas usul daripada kawasan Shah Alam itu.

Usul itu antaranya, mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang didakwa membawa aliran Islam liberal, seterusnya mengharamkan sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam.

Cadangan itu bagaimanapun dikritik hebat pelbagai pihak termasuk daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin penting dalam Pakatan Rakyat sendiri.

Khalid juga berkata beliau telah dihubungi Pengurus Kanan SIS, Maria Chin berhubung perkara itu.

"Kami setuju, pandangan mungkin berbeza, tapi perlunya perbincangan supaya wujudnya perasaan saling-memahami," katanya.

malaysiakini

No comments:

Post a Comment