Monday, March 23, 2009

Taib selar pembangkang

SERIAN: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semalam menyelar sikap pemimpin pembangkang yang hanya bijak bermain kata-kata untuk menghasut rakyat supaya membenci kerajaan.
Menurut Taib, isu penempatan semula sering dibangkitkan pihak pembangkang sebagai propaganda mereka menentang agenda pembangunan dirancang kerajaan untuk rakyat.
Taib menambah, kerajaan ti-dak pernah mengetepikan kebajikan rakyat yang dipindahkan malah memberi ganti rugi dan pampasan sewajarnya.
“Mereka (pembangkang) yang hanya pandai menghasut cuma mencari masalah. Sebenarnya, mereka tidak mempunyai pengalaman untuk memindahkan rakyat.
“Apa yang penting, banyak negara-negara membangun lain sukar menjalankan usaha penempatan seperti yang telah kita laksanakan dengan terperinci.
“Tetapi di Sarawak, kita dapat nampak ramai masyarakat telah dipindah dan mereka memberi maklum balas yang baik,” katanya ketika merasmikan Pesta Berimuh di Stadium Mini Serian, semalam.
Taib menarik perhatian, parti pembangkang yang memerintah di tiga negeri di Semenanjung Malaysia gagal memainkan peranan sebagai pemerintah.
Kata Taib, pelbagai janji-janji pembangunan telah mereka taburkan kepada rakyat tidak dipenuhi malah belum melaksanakan sebarang pembangunan untuk rakyat mereka.
“Ini terjadi kerana trend politik baru yang mereka amalkan… mereka fikir mereka adalah ahli politik yang bijak, mengalih pemikiran rakyat dan hanya memainkan isu sensitif sahaja.
“Jika perkara demikian berlaku, negara kita tidak akan membangun dengan mengamalkan trend politik sedemikian,” tambahnya.
Taib menambah, pemimpin politik di negeri ini menghormati parti pembangkang jika mereka berjaya menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan daripada menghasut sahaja.
“Oleh sebab itu, orang yang tahu menghasut selalunya orang yang tidak dapat menyatupadukan malah memecah dan membawa kemunduran kepada kita,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment