Monday, March 23, 2009

Penduduk pendalaman tidak dipinggir

LAWAS: Pelaksanaan beberapa projek mega daripada kerajaan pusat dan negeri di kawasan tanah tinggi Bario membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan penduduk di kawasan itu.
Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong berkata kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama berjaya membekalkan kemudahan asas kepada penduduk di tanah tinggi Bario apabila beberapa kampung utama di Bario mendapat bekalan tenaga elektrik.
Selain tenaga elektrik, jelasnya kerajaan turut mempertimbangkan pembinaan jalan raya menghubungkan Bario dengan bandar yang meliputi laluan sejauh 400 kilometer (km).
“Kalau kita lihat pembinaan Jalan Lawas-Ba’kelalan yang meliputi laluan sejauh 100 km, memerlukan sejumlah RM1 bilion, inikan pula untuk membina jalan ke tanah tinggi Bario yang sememangnya me-merlukan kos lebih tinggi serta masa lebih panjang.
“Namun demikian kerajaan akan terus memberi pertim-bangan dan jika keadaan ekonomi telah pulih maka tidak mustahil semua keperluan ini akan dilaksanakan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang menyentuh mengenai pembangunan di Tanah Tinggi Bario.
Jelasnya, pada masa ini perjalanan ke Bario boleh dihubungkan melalui jalan pembalakan bagi meningkatkan sistem perhubungan kepada penduduksetempat.
“Ini merupakan satu perkem-bangan sementara dan kita berharap agar isu lama dapat difahami bersama kerana banyak faktor lain yang mempengaruhi keadaan tersebut termasuk kewangan yang tinggi untuk melaksanakan pelbagai pem-bangunan,”katanya.
Mengenai kerosakan tanaman dan ternakan penduduk di tanah tinggi Bario akibat hujan yang luar biasa, beliau memberitahu kerajaan melalui pelbagai agensi telah turun padang untuk menangani masalah tersebut.
Henry turut memberitahu bahawa kerajaan persekutuan telah memastikan bahawa dua projek mega di daerah Lawas akan dilaksanakan pada tahun ini. Ia termasuk pembinaan Hotel Seri Malaysia Lawas dan Pusat Latihan Islam Jakim, Lawas dalam memacu lebih banyak pembangunan di sini, jelasnya.
“Pembinaan hospital baru daerah Lawas telah dibawa kepada menteri bertanggungjawab dan beliau sendiri telah memberi komitmen untuk datang sendiri ke daerah ini bagi melihat masalah yang menyebabkan projek tersebut masih belum dilaksanakan sehingga kini,” katanya.

No comments:

Post a Comment