Wednesday, June 3, 2009

SAYA DIDERA SUAMI - Manohara Odelia Pinot

Model Indonesia Manohara Odelia Pinot, isteri Tengku Temenggong Tengku Mohamad Fakhry Sultan Ismail Petra, mendakwa beliau didera oleh suami dari kerabat diraja Kelantan itu.

Semalam, model berusia 17 tahun memberitahu sidang akhbar beliau telah dilayan kejam oleh suaminya dan tidak mendapat bantuan daripada pihak berkenaan di Malaysia.

Menurut laporan Banjarmasin Post, Manohara, yang berkahwin dengan Tengku Mohamad Fakhry, 31, tahun lalu, melarikan diri dari sebuah hotel di Singapura kelmarin.

Beliau terpaksa bergelut dengan pegawai-pegawai istana Kelantan sebelum diselamatkan oleh pihak berkuasa Singapura.

Manohara dilapor dibebaskan dengan bantuan Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura sebelum dibawa untuk menemui ibunya Daisy Fajarina di hotel berkenaan.

Pasangan Tengku Mohamad Fakhry dan Manohara berada di Singapura untuk menziarahi Sultan Kelantan yang kini menjalani rawatan di Mount Elizabeth hospital.

Berita Kompass pula melaporkan, Kementerian Luar Indonesia bersedia bertindak atas dakwaan Manohara terhadap suaminya jika bekas model itu membuat aduan rasmi.

Daisy telah beberapa kali muncul dalam program TV untuk mendakwa anak perempuannya telah diculik dan dianiaya oleh putera tersebut.

Jelas Daisy, beliau akan mengambil tindakan ke atas Tengku Mohamad Fakhry, dan menyalahkan pihak berkuasa Ma denglaysia dan Indonesia yang cuba menutup kes penganiayaan ke atas anaknya itu.

"Perkara yang menjadi kebimbangan ternyata muncul benar. Manohara telah dianiaya secara fizikal. Dia juga telah dicederakan di bahagian dada dengan pisau cukur," kata Daisy kepada AFP kelmarin.

Kata beliau, Manohara sudah pun memfailkan tuntutan cerai.

Pada sidang media sebaik sahaja tiba di Indonesia, Manohara mengesahkan dakwaan ibunya bahawa beliau telah dianiaya oleh Tengku Mohamad Fakhry.

Manohara yang dipetik AFP berkata, beliau masih dalam keadaan "trauma" berikutan pengalamannya ketika hidup bersama Tengku Mohamad Fakhry,

Secara diam-diam, katanya, beliau telah memanggil polis Singapura dan merayu bantuan ketika berada di republik itu.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kerajaan Malaysia tidak akan terlibat dalam kes tersebut.

"Saya merasakan ini lebih bersifat soal peribadi. Kita tidak harus diheret ke dalam situasi itu," katanya di sini.

Belum ada komen daripada kerabat diraja Kelantan.

Peguam Manohara, Yuri Darmas berkata, model itu akan menjalani pemeriksaan untuk menyokong dakwaan telah dianiaya.

Di Malaysia, seorang rakan Tengku Mohamad Fakhry menafikan Manohara melarikan diri dari suaminya.

Laman web Detikcom, Indonesia, memetik kawan putera itu, Mohd Soberi Shafii berkata Manohara telah dibenar meninggalkan hotel itu secara sukarela.

Beliau menuduh ibu Manohara sebagai sengaja mempengaruhi anaknya untuk membuat tuduhan palsu.

TVAntara

Zambry Perlu Akur Dan Menerima Hakikat Bahawa Rakyat Perak Telah Menjulang PR Sebagai Kerajaan Pilihan Mereka

Zambry Patut Muhasabah Diri Bukan Salahkan Rakyat

Dr Zambry Abd Kadir kesal kerana ada pihak yang menanam benih kebencian dan permusuhan dalam hati penduduk kampung yang menghalau beliau keluar daripada tanahnya semasa beliau dan rombongan berkunjung ke Batu 8, Lekir, Manjung untuk melihat dan menziarah mangsa angin puting beliung dua hari lalu.

Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan penduduk kampung yang menghalau beliau tetapi meletakkan kesalahan ke atas bahu pihak yang menanam perasaan benci dan permusuhan itu.

"Inilah hasilnya bila benih kebencian dan permusuhan ditanam, maka buah dipetik adalah buah kebencian dan permusuhan. Saya tidak salahkan dia, tapi saya salahkan orang yang menanam benih itu.

"Penghasut itu mungkin sudah tidak ada di kampung lagi. Dia mungkin datang sekali sekala untuk memberi "baja" ceramah kebencian," tulis beliau dalam blognya hari ini.

Dr Zambry juga merungut kerana seringkali tangan yang dihulurkan untuk bersalam dengan rakyat Perak tidak disambut dan mengaku perkara tersebut telah berlaku berkali-kali sejak beliau memegang jawatan Menteri Besar.

"Jarang anda saksikan orang dan penyokong Barisan Nasional enggan bersalam apabila tangan dihulur. Tetapi saya mengalaminya sendiri sudah berkali-kali.

"Saya tetap pergi jua kepada mereka kerana saya tahu mereka tidak bersalah dan mereka hanya terpengaruh dengan ceramah-ceramah politik yang mengapi-apikan kebencian. Akhirnya yang lahir adalah generasi pembenci," kata Dr Zambry lagi.

Peristiwa kena halau daripada melawat mangsa tragedi alam benar-benar telah melukai hati Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor itu.

Beliau juga mengambil kesempatan dalam blognya untuk menyatakan kekesalannya terhadap penulisan dalam sesetengah blog dan akhbar yang dakwa beliau bersifat "manipulatif" sehingga menyebabkan "hilang rasa mahabbah (kasih sayang sesama umat).

"Saya tidak dapat bayangkan bagaimana akhbar yang menjadi lidah rasmi sebuah parti yang berteraskan perjuangan Islam tidak rasa berdosa dan bersalah menulis sesuatu yang penuh dengan kebencian sehingga melahirkan generasi pembenci yang sangat parah buat ummat Islam sendiri.

"Demikian juga dengan portal-portal berita yang dikeluarkan selain dari blog-blog yang menulis penuh manipulatif sehingga hilangnya rasa "mahabbah" (kasih-sayang sesama umat)," tulis bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu lagi.

Dr Zambry juga berkata antara perkara yang paling dibencinya ialah "bila agama menjadi sandaran untuk seseorang menabur fitnah dan menabur maki hamun yang tidak langsung ada batas-batas keagamaan".

Mungkin ramai yang berasa simpati terhadap nasib yang menimpa Dr Zambry yang baru empat bulan memegang jawatan Menteri Besar Perak.

Sebagai manusia akhlak dan pekerti yang mulia sememangnya menjadi asas kepada keperibadian seseorang.

Dalam insiden di mana beliau dihalau oleh penduduk kampung persoalan yang wajar ditanya beliau bukanlah siapa yang menyebabkan perasaan benci dan permusuhan itu wujud dalam masyarakat tetapi MENGAPA keadaan itu berlaku.

Rasanya sebagai Menteri Besar daripada Umno dan Barisan Nasional Dr Zambry tidak mempunyai masalah untuk menjawab persoalan ini.

Walau bagaimanapun elok diperturunkan beberapa rentetan peristiwa besar yang berlaku dalam senario politik Perak sejak beliau dilantik ke jawatan itu.

Pertama, beliau sudah tentu akur dan menerima hakikat bahawa rakyat Perak telah menjulang Pakatan Rakyat sebagai kerajaan pilihan mereka pada Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.

Mereka telah memberi 54 peratus daripada jumlah undi kepada wakil-wakil Pakatan Rakyat yang bertanding dan dengan itu gagasan itulah yang mereka pilih untuk memimpin rakyat dan pentadbiran negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Dr Zambry juga semestinya akur rakyat Perak terkejut, terperanjat dan tersentak apabila bangun daripada tidur pada 5 Februari 2009 mereka diberitahu bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang mereka pilih dan sokong tidak lagi wujud.

Sebaliknya kerajaan negeri Pakatan Rakyat diganti oleh kerajaan negeri Barisan Nasional da Dr Zambry sendiri telah dilantik ke jawatan tersebut pada 6 Februari 2009 bagi menggantikan Mohammad Nizar Jamaluddin.

Perasaan berkecamuk dalam sanubari rakyat Perak diparahkan lagi apabila mereka mengetahui bahawa tumbangnya kerajaan negeri pilihan mereka adalah hasil "tangan-tangan ghaib" Umno dan BN yang "menculik", "mengugut" dan "membeli" sokongan tiga ADUN Pakatan Rakyat.

Tidak mungkin rakyat Perak yang matang dalam perkiraaan politik dan berfikiran waras boleh menerima apa yang telah dilakukan oleh Umno dan BN.

Malah dalam amalan demokrasi di mana-mana negara didunia sekali pun budaya "mencuri" dan "membeli" wakil rakyat untuk menumbangkan kerajaan pihak lawan amat dipandang tidak demokratik malah dikeji.

Rakyat Perak marah dengan Umno dan BN kerana telah melakukan apa yang dilihat sebagai satu bentuk manipulasi politik yang keji dan hina serta berlandaskan politik kedurjanaan dan murahan.

Rentetan peristiwa yang berlaku selepas itu hanyalah cerminan daripada "kebencian" dan "permusuhan" hasil daripada kerjatangan Umno dan BN sendiri.

Kekecohan sidang DUN 7 Mei lalu yang menyaksikan Speaker V. Sivakumar diheret dan dikurung oleh individu-individu yang tidak dikenali yang telah menceroboh Dewan juga membuktikan kepada rakyat Perak kemampuan Umno dan BN untuk

melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa sehingga sanggup membelakangkan segala peraturan dan kedaulatan undang-undang.

Penyokong Pakatan Rakyat yang berpakaian serba hitam bagi mengabungi kematian demokrasi dan mengingati 1GelitaMalaysia ditangkap dan disumbat dalam lokap malah solat hajat pun diharamkan.

Terpahat dalam memori rakyat Perak peristiwa "sidang bawah pokok" 3 March lalu di mana Speaker dan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat dihalang oleh polis atas arahan Umno dan BN memasuki DUN untuk bersidang secara terhormat dan bertamadun tetapi terpaksa bermesyuarat di bawah pokok sena.

Rakyat juga melihat dengan penuh keinsafan bagaimana kuasa polis disalahgunakan oleh Umno dan BN untuk mengugut dan menangkap wakil-wakil rakyat serta penyokong Pakatan Rakyat apabila mereka menyuarakan bantahan terhadap kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku.

Rakyat juga melihat sikap dwi standar yang diamalkan Umno dan BN dalam perlaksanaan undang-undang.

Majlis makan malam anjuran Pakatan Rakyat diceroboh dan penyokong ditangkap hanya kerana menayankan video perihal kekecohan sidang DUN Perak.

Namun apabila Umno dan BN mencetak 50,000 cakera padat yang menceritakan versi mereka berhubung sidang DUN 7 Mei dan menayangkan kepada umum tidak ada polis yang menceroboh majlis atau sesiapa pun ditangkap.

Ceramah dan perhimpunan Pakatan Rakyat diawasi dengan puluhan anggota polis dan unit simpanan persekutuan (FRU) yang lengkap bersenjata serta puluhan lagi anggota cawangan khas yang memantau setiap kata-kata yang diluahkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat.

Kempen puasa sunat dan mogok yang dilancarkan minggu lalu juga tidak lepas daripada tekanan dan kedajalan polis - khemah diarah dibuka, perhimpunan disuraikan, belasan ADUN serta penyokong ditangkap.

Sudah tentu Dr Zambry ingat semua peristiwa yang telah berlaku ini kerana beliau secara langsung dikaitkan dengan semua peristiwa itu.

Rakyat tidak lagi bodoh dan redha untuk diperbodohkan.

Lagi cepat Dr Zambry sedar akan hakikat ini lagi pantas beliau akan memahami mengapa salamnya tidak disambut dan mengapa insiden di Batu 8, Lekir, Manjung berlaku kepada seorang Menteri Besar.

TVAntara

STADIUM SULTAN MIZAN RUNTUH - PAS GESA SIASATAN MENYELURUH

Stadium Sultan Mizan sebahagian daripada Kompleks Sukan Gong Badak, berharga RM 450 juta yang dirasmikan pada 10 Mei tahun lalu, runtuh pada jam 9.30 pagi hari ini (Rakaman Video dan Slide Didalam)
Keseluruhan bumbung 'grand-stand' membabitkan bumbung sepanjang 80 meter meliputi pentas di Raja. stadium yang menjadi kebanggaan itu telah runtuh sama sekali.

Runtuhan itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kehilangan nyawa namun sebuah kenderaan dan empat buah motosikal yang diletakkan betul-betul dibawah bumbung yang runtuh itu ranap.

Menurut saksi Hanafiah Osman, 27, kira-kira jam 9.30, beliau mendengar bunyi 'krak' dibahagian belakang stadium tersebut dan terus bergegas meluru ke bahagian itu kerana kereta beliau diletakkan di bawah bumbung.

Malangnya, runtuhan yang berlaku terlalu cepat menyebabkan beliau hanya terpaku dan melihat kereta 'kancil'nya dihempap oleh kepingan atap dan keluli yang jatuh.

"Dalam pukul 9.30 begitu, mula-mula dengar bunyi 'krak' (prak) macam patah gitu, (kemudian saya) tengok tu, (atap) terus jatuh, tak sempat buat apa-apa, saya agak dah, kereta saya akan kena, kerana kereta saya duduk bawah ni,"kata Hanafiah sambil menunjukkan tempat keretanya ranap.

"tengok (pagi tadi) nampak macam lendut dah, kemudian baru saya bercakap sesama kawan-kawan, tiba-tiba atap itu runtuh," tambahnya.

Seorang lagi saksi, Razali Ibrahim, 37, berkata beliau hanya dapat melihat sahaja, motosikalnya ditimpa atap yang runtuh kerana menurutnya kejadian berlaku terlalu cepat, antara seminit hingga dua minit.

"Saya tengoklah kejadian (atap) jatuh tu, dia bermula dari depan tu,"katanya menunjukkan bahagian tengah belakang stadium dimana beliau mendakwa kejadian mula berlaku.

"Dia bunyi (kejadian) sekejap saja..... prak.....prak..... terus jatuh selalu (serta merta),

"saya sedang baiki lampu (stadium) disebelah sana, tak sempat (selamatkan motosikal), tengok ajalah,"ujar Razali.


PAS Gesa Siasatan Menyeluruh

Timbalan Pesuruhjaya PAS Trengganu, Dato' Wan Abdul Mutalib Embong ketika dihubungi terkejut mendengar kejadian malang yang menimpa binaan yang menjadi kebanggaan kerajaan dan rakyat negeri Terengganu itu.

Beliau berkata Stadium tersebut yang tersergam indah, menjadi pesona kepada sesiapa yang melihatnya, malah ia jelas dapat dilihat oleh mereka yang datang melalui udara kerana berhamitran dengan Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

"Malangnya baru hanya setahun ia telah runtuh,"katanya spontan.

Justeru beliau menggesa pihak-pihak yang bertanggungjawab khususnya kerajaan negeri Terengganu mengadakan satu 'inquiry' secara menyeluruh bagi mengenalpasti apakah punca sebenar yang menyebabkan kejadian itu berlaku.

"Kita minta kerajaan dan pihak berkenaan mengadakan satu 'inquiry, thoroughly, semua pihak yang terlibat mesti dipanggil dan disoal siasat, bagi mencari punca sebenar dan terperinci, apakah masalah yang menyebabkan kejadian tersebut berlaku,"

"laporan mesti di bentangkan dalam Dewan Undangan Negeri," katanya ketika dihubungi Buletinonline.

Stadium yang dianggap 'tercanggih' di Pantai Timur itu dirasmikan oleh Yang DiPertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu dengan upacara gilang gemilang menandakan 'impian menjadi' kenyataan sebagaimana yang dibangga-banggakan oleh bekas Menteri Besar Dato' Seri Idris Jusoh.

BuletinOnline

TAMBANG TEKSI - IDRIS SUSAHKAN NAZRI?

Tindakan Pengerusi Mara, Dato’ Seri Idris Jusoh melancarkan Pakej Perkhidmatan Teksi dan Kereta Sewa lebih murah pada 24 Mei lalu bertentangan dengan kehendak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz.


Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh menyokong dan menyambut baik langkah Persatuan Kebajikan dan Sukan Pemandu Teksi/Kereta Sewa Daerah Besut (PPKSB) yang menurunkan tambang teksi sehingga 25 peratus.

Sedangkan, pada hari yang sama, Nazri yang bertanggungjawab terhadap Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) berkata kadar tambang baru akan dibentangkan kepada kabinet untuk kelulusan.

Kerajaan dilaporkan bersetuju pada dasarnya memberi kenaikan tambang sebanyak 30 peratus, membabitkan bas henti-henti, bas ekspres, bas pengantara dan bas sekolah selain teksi serta kereta sewa.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Terengganu telah menyatakan bantahan terhadap kenyataan Nazri dan cadangan kerajaan untuk menaikkan tambang berkaitan.

Setiausahanya, Wan Mohd Faizul Abas berkata, apa pun alasan kerajaan, tambang pengangkutan awam tidak perlu dinaikkan dalam suasana ekonomi yang menguncup.

BuletinOnline

Iktibar teguran Muhyiddin, ahli PAS jangan terpedaya dengan Utusan

Ahli PAS diseru agar tidak terpengaruh dengan propaganda yang kini sedang dimainkan akhbar Utusan Malaysia yang kononnya mewakili sesuatu pihak dalam PAS.

Demikian peringatan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar semasa mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan menegur Utusan Malaysia hari ini.

"Jika Timbalan Presiden Umno pun dah tegur Utusan, maknanya ada sesuatu yang tidak kena kepada akhbar itu dalam laporannya, justeru saya mengingatkan ahli PAS juga jangan mudah terpedaya dengan apa yang dilaporkan akhbar itu," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Akhbar tersebut mesti mempunyai agenda dalam membuat sesuatu laporan yang kononnya memihak kepada sesuatu kumpulan atau individu dalam PAS, katanya.

Hal ini mesti disedari memandangkan akhbar itu sebelum ini cukup kuat menghentam PAS dan Pakatan Rakyat sewaktu kempen pilihan raya yang lalu, katanya.

Beliau melihat, 'trend' laporan yang dimuatkan Utusan hanya berlegar kepada satu kelompok dalam PAS sahaja, dan pastinya ia adalah petanda ia propaganda memecahbelahkan parti.

Kamarudin yang juga ahli Parlimen Tumpat meletakkan kebijaksanaan ahli dalam menilai laporan yang benar atau sebaliknya.

Ini kerana katanya, sejak dahulu lagi PAS sudah diletakkan 'negatif' oleh akhbar terbabit dalam laporan-laporan mereka.

Justeru ahli PAS pastinya melihat rekod tersebut sebagai asas dalam menilai maklumat yang dimuatkan dalam Utusan Malaysia, katanya.

Muhyiddin dalam satu laporan akhbar internet dikatakan telah menegur Utusan kerana membuat laporan yang bernada 'perkauman'.

Akhbar milik Umno itu ditegur berikutan laporan akhbar Mingguannya yang menyiarkan artikel berunsur perkauman.

HarakahDaily

APABILA MENTERI TAK PANDAI MENGIRA

Sebagaimana yang dijangka, semua media arus perdana di bawah telunjuk Umno-BN hari ini telah merujuk kepada jumlah pengundi rendah pada pilihan raya kecil Penanti sebagai bukti rakyat menolak pilihan raya itu.

Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pula berkata calon PKR Mansor Othman sepatutnya mendapat sekurang-kurangnya mendapat 10,000 undi susulan keputusan Umno untuk tidak bertanding.

Muhyiddin mendakwa undi untuk PKR berkurangan berbanding dengan pilihan raya umum lalu, malah keputusan itu menunjukkan UMNO tetap kuat di Penanti.

Jika itu benar, maka bertambah lagilah keputusan UMNO untuk tidak bertanding, tidak masuk akal.

Sebagai Menteri Pelajaran, Muhyiddin seharusnya mempunyai kemahiran mengira yang lebih tinggi daripada analisisnya mengenai keputusan Penanti.

Hakikat ialah calon PKR memperolehi majoriti yang LEBIH BESAR, iaitu 5,558 undi, berbanding 2,219 undi yang diperolehi oleh rakannya Mohamad Fairus Khairuddin pada pilihan raya umum lalu.

Dalam ertikata lain, Mansor memperolehi hampir 90 peratus daripada keseluruhan undi semalam, mengakibatkan kesemua tiga calon bebas (termasuk seorang wanita yang mendapat sokongan terang-terangan Umno) hilang wang deposit mereka.

Muhyiddin tentunya akur bahawa angka 5,558 (Mansor) adalah lebih BESAR daripada 2,219 (Fairus).

Persoalannya cuma sama ada Timbalan Perdana Menteri jujur untuk mengaku sedemikian tanpa mengaburi fakta dengan andaian sendiri yang sukar diterima.

Justeru yang seharusnya jadi persoalan ialah mengenai peratusan pengundi yang rendah pada pilihan raya kecil Penanti iaitu kira-kira 46.15 peratus.

Yang bingkas mengisytiharkan jumlah itu yang paling buruk dalam sejarah negara tidak lain dan tidak bukan Pengerusi SPR Abdul Aziz Mohd Yusof.

Namun beliau berdiam diri dan berpeluk tubuh apabila berhadapan dengan tindakan pemimpin seperti Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menggesa orang ramai tidak keluar mengundi.

Apakah kenyataan Khairy tidak bercanggah dengan Akta Pilihan Raya dan bukankah ia mencabuli Akta Hasutan negara ini?.

Adakah pemimpin Pakatan Rakyat boleh membuat gesaan yang serupa tanpa sebarang reaksi daripada SPR dan polis.?

Tidak dapat dinafikan peratusan mengundi merosot di Penanti, pada kadar lebih tinggi berbanding pilihan raya kecil yang lain.

Namun tidak juga dapat dinafikan bahawa dakwaan-dakwaan pengundi dipancing dengan percutian percuma dan duit belanja ke Thailand menjelang hari pembuangan undi ada asasnya.

Begitu juga dengan tangan-tangan tersembunyi yang menganjurkan jamuan makan terbuka pada hari mengundi bagi mengalihkan tumpuan penduduk Penanti.

Bagaimanapun taktik-taktik murahan itu tidak berjaya. Ramai pengundi yang menjadi penyokong kuat Pakatan Rakyat keluar untuk menunaikan tanggungjawab mereka, sesuai dengan amalan demokrasi yang termaktub dalam perlembagaan.

“Walaupun PKR berhadapan dengan fitnah jahat serta aparat kekuasaan yang berhasrat mengikis sokongan rakyat, namun segala usaha mereka (Umno) menemui jalan buntu,” kata Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.

“Alhamdulillah dalam jangka masa 14 bulan ini, tiga kali pengundi Penanti menghadapi pilihan raya, dan masih tetap tidak berganjak untuk menyokong agenda perubahan Pakatan Rakyat,” kata Anwar.

“Keputusan pilihan raya kecil ini membuktikan Keadilan masih mendapat sokongan majoriti penduduk Penanti,” tambah Anwar.

Najib, Muhyiddin dan semua sekutu mereka harus berhati terbuka dalam menerima keputusan bahawa 90 peratus pengundi yang keluar mengundi di Penanti TIDAK menolak PKR tetapi memberi sokongan penuh untuk parti itu bersama Pakatan Rakyat.

Apa yang perlu dilakukan oleh Najib dan Muhyiddin sekarang ialah melengkapkan Umno untuk berdepan dengan pengundi Melayu di Manek Urai dan cuba membuktikan Umno masih relevan kepada rakyat.

Politik Terengganu : Undi Tak Percaya Terhadap MB Jika Kemelut Tak Selesai

Politik Terengganu bakal bergolak lagi setelah bertiup khabar angin bahawa kumpulan 18 ADUN BN Terengganu akan mengemukakan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dalam sidang DUN Ogos ini jika kemelut politik di negeri masih gagal diselesaikan.

Bagaimanapun, menurut sumber yang rapat dengan mereka, undi tidak percaya itu merupakan jalan terakhir bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda negeri itu sejak lebih setahun lalu.

"Mungkin satu usul tidak percaya terhadap Datuk Ahmad akan dibuat dalam sidang dewan yang dijadualkan Ogos ini.

"Kumpulan 18 ADUN masih percaya krisis politik Terengganu akan selesai jika Ahmad meletakkan jawatan sebagai menteri besar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Namun, sumber itu berkata, ADUN BN berkenaan berharap pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein boleh menyelesaikan kemelut tersebut sebelum sidang DUN bermula.

Katanya, kemelut tersebut dianggap selesai oleh pihaknya jika menteri besar diganti.

Menurutnya, kumpulan 18 ADUN berkenaan mahu isu tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

"Sebab itu dalam pertemuan dengan Datuk Seri Hishammuddin di Putrajaya, kita bercakap semua yang menjadi punca kemelut politik Terengganu," katanya.

Pertemuan tersebut turut membabitkan lapan ketua Umno bahagian Terengganu yang diadakan untuk mencari jalan untuk menyelesasikan kemelut tersebut.

SMS ugutan

Selain Ahmad, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh turut hadir dalam pertemuan di pejabat Hishammuddin di kementerian dalam negeri di Putrajaya itu pada 20 Mei lalu.

Pada 14 April lalu, 10 ADUN BN memulaukan DUN Terengganu pada hari kedua persidangan hari ini selepas beberapa orang daripada mereka menerima SMS ugutan "YB tak sayang nyawa?".

Sebelum itu, sebahagian ADUN BN Terengganu mahu Ahmad digantikan atas alasan tidak berkeupayaan mentadbir negeri itu.

Manakala 10 daripada mereka tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu baru-baru ini apabila tiga daripada mereka menerima SMS ugutan.

Bagaimanapun mereka menghadiri hari terakhir sidang DUN tersebut atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, sebuah blog melaporkan ada kemungkinan beberapa ADUN kumpulan berkenaan dijangka mengumumkan menjadi ADUN bebas dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun, bekas setiausaha badan perhubungan Umno negeri Datuk Rosol Wahid - salah seorang ADUN yang paling lantang mahu menteri besar digantikan - menafikan laporan blog itu.

"Itu cerita mengarut, kalau saya nak masuk bebas, kita tidak buat senyap-senyap. Kita akan buat sidang akhbar (kalau menjadi ahli bebas)," katanya.

TVAntara

500 Ahli UMNO Penyokong Shahidan, Sedia Lompat

500 ikut jejak Hashim jika keluar Umno

Kira-kira 500 ahli Umno dalam bahagian Arau akan meninggalkan parti jika bekas ketua penerangan Umno negeri, Datuk Hashim Suboh berbuat demikian.

Hashim, yang kecewa dengan pucuk pimpinan Umno negeri, bagaimanapun belum membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

Bekas ketua penerangan Pemuda Umno bahagian Arau, Ismail Hashim berkata, mereka adalah ahli Pemuda dan bekas ahli pergerakan itu dalam DUN Tambun Tulang yang diwakili oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Jumlah 500 itu adalah dari 15 cawangan Umno Tambun Tulang yang merupakan pengikut saya. Jika saya berhijrah, mereka akan ikut saya.

"Saya tunggu keputusan Datuk Hashim, dia lompat saya ikut dia.

"Walaupun Datuk Hashim belum buat keputusan, tetapi 70 peratus sudah ke arah sebelah sana (pembangkang)," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Ismail berkata, 500 ahli Umno itu merupakan penyokong kuat Shahidan yang kecewa beliau tidak dilantik semula sebagai menteri besar dan ketua perhubungan Umno Perlis.

Datuk Ismail Kassim, adik Shahidan, merupakan ahli Parlimen Arau.

Menurutnya, dalam masa terdekat ini, ada kumpulan ahli dan penyokong Umno dalam DUN Pauh akan menubuhkan cawangan PKR.

"Saya tidak terbabit dengan penubuhan cawangan PKR itu kerana ia keputusan mereka sendiri," katanya sambil menambah DUN Pauh diwakili oleh Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail.

Ismail berkata, mereka kecewa kerana tindakan menggantikan jawatan Shahidan sebagai pengerusi perhubungan Umno negeri dengan Datuk Md Isa Sabu.

Katanya, ada ahli Umno di Arau yang menganggapnya sebagai satu penghinaan walaupun Shahidan telah dilantik menjadi ahli majlis tertinggi (MT).

"Dalam kemelut politik Perlis sekarang, apa yang boleh saya buat. Saya nak tubuh parti baru tidak mampu.

"Takkan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim hendak bunuh orang Melayu kerana dia orang Melayu juga," katanya.

TVAntara

Monday, June 1, 2009

MELAYU TELAH BERUBAH, UTUSAN BELUM - Zaid Ibrahim

Bagi kebanyakan orang, Ahad adalah hari untuk rehat kerana ia hari cuti. Malangnya Mingguan Malaysia semalam (31 Mei 2009) tidak membolehkan saya rehat dan merasa tenang.

Malahan tulisan-tulisan dalam akhbar itu menimbulkan rasa kecewa, mengingatkan saya betapa jauhnya akhbar Melayu ini dari realiti sebenar kehidupan di Malaysia serta besar jurang pendirian akhbar itu dengan pemikiran orang Melayu masa ini.

Mungkin inilah menyebabkan Utusan semakin hari semakin kurang orang membacanya.Tema dan asas cerita utamanya adalah perkauman, perkauman dan perkauman.

Saya sebenarnya sudah malas baca tapi bila melihat tajuk “Melayu dikhianati?” tulisan ideolog utamanya Awang Selamat, saya paksa diri untuk tahu lebih lanjut.

Kata Awang Selamat, semakin hari semakin teruk hatinya ditoreh oleh tuntutan kaum bukan Melayu yang dakwanya berbau rasis yanag berkemuncak sekarang ini dan bermula sejak keputusan pilihanraya yang lepas.

Wah! Dengan lain perkataan, rakyat Malaysia mestilah menjaga hati Awang Selamat sebelum membuat apa-apa tuntutan kerana bila hati Awang Selamat tertoreh, maka hati Umno pun tertoreh; dan bila hati Umno tertoreh maka hati Melayu pun tertoreh. Begitulah agaknya logik Awang Selamat.

Dia tidak sedikit pun mengulas apa yang dituntut oleh rakyat Malaysia yang bukan Melayu itu.

Apakah yang “kerterlaluan” itu? Kalau pun mereka bertanya soal biasiswa atau pembahagian tanah atau peluang kerja; tak bolehkah dijawab secara rasional dan berpandukan fakta.

Mengapa mudah benar tertoreh hati? Apakah segala tuntutan orang bukan Melayu itu (yang ada hak di bawah Perlembagaan) tidak wajar dan tidak berasas?

Mengikut Awang Selamat begitulah agaknya kerana 50 tahun dahulu Umno dan Melayu telah “bermurah hati” memberi kerakyatan kepada nenek moyang mereka semasa Merdeka.

Jadi kerana kerakyatan itu diberi atas ehsan dan besar hati Umno maka anak cucu mereka tidak sama sekali boleh MEMBUAT APA-APA TUNTUTAN kerana mereka mesti sentiasa dan selama-lamanya mengenang budi kemurahan hati Umno.

Pemikiran seperti inilah yang saya maksudkan sudah tidak laku dan ditolak oleh rakyat semua. Bila rakyat meminta sesuatu walau pun dari Melayu, Cina atau India, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan (dan akhbar yang bertanggung jawab menilainya) untuk cuba menunaikan permintaan tersebut.

Kalau keterlaluan, terangkan saja mengapa tapi jangan ungkit sejarah untuk menutup kekurangan kita. Janganlah sentiasa naik marah dan mengugut dan memberi serpihan sejarah yang tidak lengkap untuk membuat modal politik.

Kita mendapat kemerdekaan kerana British telah bersetuju dengan pihak Perikatan dalam hal syarat-syarat kemerdekaan tersebut. Bila kita bersetuju, kita hormatilah perjanjian tersebut.

Usahlah nak ungkit bahawa kita bermurah hati memberi kerakyatan yang mudah kepada Cina dan India. Hakikatnya itulah syarat yang kita setuju.

Tak ada siapa yang memaksa kita memberi kemudahan itu. Pada masa itu adalah mustahil untuk British melepaskan Malaya pada tahun 1957 jika soal kewarganegaraan kaum Cina dan India tidak selesai. Sejak Gerald Templer dihantar ke sini oleh Winston Churchill pada tahun 1952, semua pihak berusaha mencari jalan ke arah memerdekakan Malaya tetapi dengan syarat yang perlu diselesaikan ialah penerimaan kaum Cina dan India sebagai warganegara.

Kerajaan British tegas dalam hal ini. Dan Umno setuju dengan syarat ini. Itulah harga kemerdekaan yang Perikatan faham dam menerima dengan hati terbuka. Apakah Utusan ada fakta sejarah yang berbeza?

Tapi katakanlah kita terima pandangan kononnya Umno telah “bermurah hati “tentang kerakyatan kepada mereka yang menjadi warganegara lebih 50 tahun dahulu; adakah Awang Selamat mengharapkan cucu cicit mereka sekarang ini tidak langsung boleh bersuara tentang hak mereka? Adakah mereka perlu diam kerana tok nenek mereka dulu kononnya telah mendapat ehsan dari Umno?

Pemikiran feudal ini tidak ada tempat dalam sabuah Negara moden yang menghormati hak rakyat nya sendiri.

Satu lagi rencana ialah tulisan pengarang kanan Zulkiflee Bakar yang memberi nasihat kapada pembaca Utusan supaya jangan buta sejarah.

Agaknya Melayu macam saya ini dianggap buta sejarah. Sebenarnya soal sejarah tidak sukar dipelajari dan saya memang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarah.

Tetapi orang yang paling malang dan kita kasihan ialah orang yang buta hati. Bila hati kita buta, tidak ada fakta dan ilmu yang dapat mengisi kekosongan dalam diri kita. Akhbar Utusan dan Mingguan sepatutnya membantu Perdana Menteri meneroka paradigma baru seperti dalam mencari erti 1Malaysia yang sebenar (perkataanya pun ialah Malaysia; bukan mana-mana kaum tertentu).

Akhbar ini sepatutnya membantu Perdana Menteri mencari jalan membangunkan ekonomi dengan pendekatan dan dasar yang lebih pragmatik dan adil. Akhbar sepatutnya mencadangkan cara yang pragtik dan progresif untuk membantu PM bukan menjadi pelobi ideologi yang usang .

Tapi Utusan masih mahukan gurindam perkauman. Bagi Utusan, Melayu gagal kerana orang Cina, kerana orang India. Sedarlah Utusan, orang bukan Melayu dan Melayu sendiri pun sudah dapat membezakan antara Melayu dan Umno, tahu bahawa bila dasar Umno dikritik, ia bukan mencabar Melayu tetapi mencabar Umno.

Usaha nak lagakan Melayu dan Cina kian hebat di usahakan tetapi percaya lah api perkauman tidak mungkin dapat menyala saperti dahulu.

Usahlah mudah tertoreh hati bila sesuatu dasar Umno dikritik dan dipersoalkan. Orang Melayu telah banyak berubah minda dan kefahaman mereka tentang Malaysia dan masa depan mereka; mereka tahu perbezaan itu.

Mereka tahu apa yang menanti dalam dunia yang penuh mencabar ini. Dan apa perubahan yang perlu mereka lakukan. Cuma Utusan belum sedar perubahan ini.

TVAntara

After Penanti, PKR readies for Perak, Sarawak

Fresh from its guaranteed success in the Penanti by-election, PKR is now gearing up for state elections which it thinks will happen soon in Perak as well as Sarawak.

PKR vice-president Azmin Ali disclosed the party believes that Barisan Nasional will call for fresh polls in the troubled state of Perak immediately after the decision from an expected appeal to the Federal Court by Pakatan Rakyat on who is the lawful state mentri besar.

“We are preparing ourselves for state elections to be held very soon in Perak and also in Sarawak. From the information we gathered, they have no other options but to go back to the people to get a new mandate (in Perak),” Azmin told The Malaysian Insider at the sidelines of the Penanti victory celebrations.

“I believe they will call state elections immediately after the decision of the federal court because they do not want the anger in Perak to spill over to other states in the next general election.”

Given the mood on the ground, he said Pakatan would win the contest while Barisan can afford to lose another state, but not “many other states” in the next general elections.

“That is their strategy. Our strategy is for all parties in Pakatan to start working and strengthen our position to be one united formidable force and this is the better option for all Malaysians.”

The Perak crisis is now into its fifth month, with both coalitions claiming to be the rightful state government after Barisan toppled Pakatan by gaining the support of three rogue lawmakers who turned independent.

Pakatan said the trio resigned but the Election Commission and the courts have not over-ruled the claim.

The Perak ruler had also rejected Pakatan’s request for fresh polls, which it claims is the best option but Barisan had resisted the idea for months until recently when The Malaysian Insider learnt that a consensus is emerging among the ruling coalition lawmakers that fresh polls would be their best option.

As for Sarawak, state elections must be held by 2011 but there is growing speculation that polls could be held soon.

Asked about the speculation that Pakatan’s strategy is also to force by-elections in order to put BN under pressure, Azmin replied that it is not about putting pressure but about ensuring quality.

“It is about our promise to the rakyat. Our representatives must deliver, must work hard once they are elected. If they don’t perform, we don’t hesitate to remove them. We are willing to go back to the people, let the people decide. We want the best representative to represent the rakyat,” said Azmin who has been tasked by PKR with strengthening leadership at the state and division levels.

The Penanti seat fell vacant after Mohammad Fairus Khairuddin quit on April 16, just over a week after resigning as deputy chief minister of Penang following graft allegations, of which he was later cleared.

After the result yesterday from Penanti, which Barisan skipped, Pakatan has won five by-elections – all in peninsular Malaysia – to Barisan’s one in Sarawak BN since Election 2008.

The next by-election is in the Kelantan seat of Manek Urai on July 14.The seat fell vacant following the death of PAS state legislator Ismail Yaacob on May 22.

Zambry, Menteri Dihalau Penduduk Kampung

Walaupun Dr Zambry Abd Kadir berjaya memegang jawatan Menteri Besar melalui kaedah keputusan rayuan mahkamah, namun ia tidak bermakna rakyat Perak juga semestinya bersetuju dengan keputusan mahkamah tersebut.

Kejadian yang berlaku terhadap Dr Zambry, serta rombongannya (termasuk anggota polis) sudah cukup memberi gambaran dan pengertian bahawa jabatan menteri besar yang dijawatnya tidak diiktiraf oleh rakyat jelata Perak yang rata-rata mahukan supaya Dewan Undangan Negeri dibubar seberapa segera.

Kejadian berlaku di Batu 8, Lekir semalam kira-kira pukul 2,30 petang ketika Dr Zambry, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Lumut Kong Cho Ha dan rombongan beliau dihalau oleh tuan rumah kerana meletak kenderaan mereka tanpa meminta izin tuan punya terlebih dahulu.

"Menteri Besar Mahkamah" itu berada di kawasan tersebut kerana berhasrat menziarah mangsa angin ribut yang melanda malam sebelumnya.

Menurut penulis blog manjungmari, oleh kerana tidak ada laluan ke rumah mangsa Dr Zambry serta rombongan mengambil keputusan untuk meletakkan kereta mereka dihalaman rumah rumah salah seorang penduduk di situ.

Melihat sahaja kehadiran Dr zambry diperkarangan kediamannya, tuan rumah telah meluru keluar dan menghalau beliau serta rombongan keluar daripada tanahnya.

Walaupun diarah keluar Dr Zambry seolah-olah tidak mahu melayan herdikan tuan rumah tersebut malah pemandu kereta rasmi beliau dan kenderaan lain terus meletak kenderaan mereka di halaman rumah tersebut.

Penulis blog itu menceritakan lagi Dr Zambry cuba mengertak tuan rumah dengan menanyakan sama ada beliau membayar cukai ke atas tanah yang didudukinya.

Ini menyebabkan tuan rumah tersebut bertambah marah dan terus menghalau beliau dan akhirnya lawatan mengejut kepada mangsa angin ribut terpaksa dibatalkan.

Lebih memalukan rumah mertua Dr Zambry dikatakan terletak berdekatan rumah di mana beliau serta rombongan dihalau.

Menurut penulis blog lagi keadaan jauh berbeza apabila Ahli Parlimen Bukit Gantang, Mohammad Nizar Jamaluddin berkunjung ke tempat yang sama pada sebelah petangnya.

Beliau serta rombongan disambut mesra bukan sahaja oleh tuan rumah tersebut malah penduduk di situ.

Sambutan rakyat di peringkat akar umbi terhadap Dr Zambry dan Nizar sudah cukup memberi penilaian terhadap perasaan rakyat berhubung kemelut politik Perak yang sehingga kini belum mencapai penyelesaian muktamad.

Lebih-lebih lagi kejadian yang agak memalukan berlaku ke atas seorang ketua eksekutif kerajaan negeri memberi pengertian hakiki siapa "Menteri Besar Sah" dan siapa pula "Menteri Besar Mahkamah".

Hari Gelap Gelita Seluruh Perak, Penyokong Pakatan Rakyat Diseru Puasa Sunat/Mogok Lapar 1 Jun

Sempena Hari Gelap Gelita Seluruh Negeri Perak dan Himpunan Aman anjuran Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, semua penyokong di seluruh negara diseru melakukan puasa sunat hari Isnin dan mogok lapar selama satu hari.

Program ini adalah susulan daripada kempen puasa sunat dan mogok lapar yang dianjurkan selama tiga hari mulai Selasa hingga Khamis minggu lepas.

Hari Gelap Gelita Seluruh Negeri Perak dan Himpunan Aman ini adalah bagi meneruskan bantahan pencabulan demokrasi yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional dan mendesak supaya Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan.

Program sehari yang membabitkan setiap markaz DUN seluruh Perak akan bermula pukul 6 petang dan diisi dengan ucapan daripada pimpinan Pakatan Rakyat di peringkat DUN masing-masing.

Ini diikuti dengan berbuka, solat Maghrib dan bacaan Surah Yassin. Selepas Isya' solat hajat berjamaah akan diadakan dikuti dengan tazkirah. Program akan dilanjutkan dengan ceramah Pakatan Rakyat yang akan disampaikan oleh ADUN setempat dan pimpinan di peringkat DUN.

Bagi penyokong bukan Islam sebagai menghormati program tersebut mereka boleh berlapar selama satu hari dan akan makan beramai-ramai menjelang Maghrib bersama umat Islam yang lain di markaz.

Bagi program esok semua penyokong Pakatan Rakyat gigalakkan berpakaian hitam tanda sokongan padu.

TVAntara

Pengundi Penanti Buat Keputusan Bijak - Datuk Seri Anwar Ibrahim

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim berkata pengundi Penanti telah membuat keputusan bijak dengan memilih calon PKR, Mansor Othman untuk mewakili mereka.

Ini kerana Mansor yang bakal dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang akan menunaikan dengan sebaik-baik amanah yang diberi serta berkhidmat bersungguh-sungguh demi rakyat Penanti khususnya.

Dalam ucapan tahniah yang disampaikan beliau, Anwar berkata kemenangan Mansor membuktikan majoriti rakyat Penanti masih bersama Pakatan Rakyat walaupun terpaksa berhadapan dengan fitnah jahat serta aparat kekuasaan yang berhasrat mengikis sokongan rakyat.

"Keputusan pilihan raya kecil ini membuktikan Keadilan masih mendapat sokongan majoriti penduduk Penanti. Walaupun berhadapan dengan fitnah jahat serta aparat kekuasaan yang berhasrat mengikis sokongan rakyat, namun segala usaha mereka menemui jalan buntu.

"Hari ini penduduk Penanti telah membuat keputusan bijak dengan memilih Sdr Mansor sebagai wakil mereka dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang," kata Anwar.

Beliau juga mengucapkan syabas kepada jentera pilihan raya Pakatan Rakyat yang berusaha keras bagi memastikan kemenangan Mansor dan juga pengundi Penanti.

"Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan buat pengundi Penanti. Alhamdulillah dalam jangka masa 14 bulan ini, tiga kali pengundi Penanti menghadapi pilihan raya, dan masih tetap tidak berganjak untuk meyokong agenda Perubahan Pakatan Rakyat," ujar Ahli Parlimen Permatang Pauh itu

Mansor Menang angkat sumpah TKM 1 PP Rabu

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mansor Othman yang memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri hari ini akan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Rabu ini.

Ia diumumkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng malam ini.

Malah ia turut dinyatakan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam laman blognya.

Mansor Othman, 59, memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dengan majoriti 5,558 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan

penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.

Sunday, May 31, 2009

Kelab Penyokong PAS akan diserap sebagai Dewan

PAS sedia menerima Kelab Penyokong PAS sebagai sayap parti memandangkan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada pelbagai kaum terutama Cina dan India.

Mursyidul Am PAS, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sepatutya kelab Penyokong PAS itu sudah lama dijadikan sayap parti.

"Saya kata terlewat, patut lama jadi Dewan. Umno selalu ganggu akhir sekali atas kesedaran rakyat Umno telah digulingkan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kelab Penyokong PAS Nasional 2009, di Dewan Majlis Daerah Klang.

Program anjuran Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat itu dihadiri lebih 600 anggota Kelab Penyokong PAS.Turut hadir pengerusi Kelab Penyokong PAS Nasional bagi kaum Cina, Vincent Lee dan pengerusi Kelab Penyokong PAS Nasional bagi kaum India, N.Balasubramaniam.

Beliau bersyukur kerana diberi peluang merasmikan Konvensyen itu menambah, Kelab Penyokong PAS bukan kelab Penyokong Melayu.

Katanya, PAS telah wujud pada tahun 1951 dan rakyat Malaysia melihat bagaimana PAS mengendalikan negeri Kelantan tanpa mengira bangsa dan agama.

Misalnya tambah beliau, kerajaan Kelantan tanpa mengira bangsa dan agama telah memberi bantuan kepada pelajar cemerlang sebanyak RM500 tanpa mengira bangsa dan agama.

"Melayu, Cina, India, Siam, Umno semua diberi kerana Islam mengajar kita supaya baik kepada semua manusia," jelasnya.

Beliau berkata, oleh kerana manusia dijadikan Allah maka sebagai orang Islam perlu mengendalikan manusia tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama.

Hasil daripada pentadbiran kerajaan Kelantan yang adil terhadap semua bangsa maka mereka terbuka pintu hati untuk menyokong Islam, tegasnya.

Dalam sidang media yang sama, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa menjelaskan satu jawatankuasa teknikal telah ditubuhkan bagi melihat aspek yang memungkinkan kelab itu diserap sebagai sayap parti dalam tempoh setahun.

Beliau berkata, memandangkan ia melibatkan pindaan terhadap Perlembagaan parti satu muktamar khas akan diadakan manakala Majlis Syura secara asasnya tiada masalah.

Mujahid yang juga ahli Parlimen Parit Buntar telah diamanahkan menjadi Pengerusi Kelab Penyokong selama lima tahun dan telah berjaya mengumpulkan ahli Kelab seramai 20,000 orang.

HarakahDaily

Kelab Penyokong PAS Akan Jadi Sayap Baru

PAS sedang membuat persediaan menyerap Kelab Penyokong PAS sebagai satu sayap parti yang sah mengikut perlembagaan parti dalam tempoh setahun lagi.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Kali Pertama Kelab tersebut Peringkat Nasional yang diadakan di Pejabat Daerah Kelang, hari ini.

Beliau berkata, orang Melayu, Cina dan India adalah adik beradik kerana mereka berasal dari ibu dan bapa yang sama iaitu Adam dan Hawa.

Katanya, sepatutnya sudah lama kelab itu diserap sebagai satu lagi sayap dalam PAS

Katanya gerakan Islam di luar negara kagum dengan PAS kerana dapat menyatukan orang bukan Islam untuk menyokong Islam d Malaysia.

Sehubungan itu, Kajian untuk menaik taraf Kelab Penyokong PAS sebagai dewan atau sayap formal sedang giat berjalan.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusuf Rawa berkata, PAS sudah membentuk jawatankuasa teknikal bagi mengkaji perkara tersebut secara mendalam.


"Saya yakin harapan ini akan menjadi realiti selepas Muktamar PAS bulan depan," katanya dan menambah perkara tersebut adalah penting bagi mengiktiraf keanggotaan masyarakat bukan Islam
dalam parti itu.

Manakala Pngerusi Kelab Penyokong PAS, Hu Pang Chaw berkata hanya Islam PAS sahaja yang berjuang untuk keadilan semua kaum.

Beliau mengajak semua kaum untuk menyokong PAS.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Terengganu Haji Hanafiah Mat berkata sudah tiba masanya PAS membuat satu lonjakan paradigma.

Beliau berkata beliau sangat bersetuju dan menyokong Kelab Penyokong PAS dinaiktaraf dan diiktiraf sebagai sebuah sayap parti.

"Pengiktirafan Kelab Penyokong sebagai satu sayap parti akan memberikan lonjakan kepada politik PAS dalam membuat persediaan menghadapi pilihanraya umum ke 13 dan persediaan untuk mengambil alih pemerintahan negara,"ujarnya.

Seramai 600 orang perwakilan dari seluruh Negara hadir dalam konvensyen yang disifatkan sebagai bersejarah dan sangat meriah itu.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Dewan Pemuda PAS, Salehuddin Ayob, Ahli Parlimen Shah Alam, Khaid Samad dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani.

Najib Cuba Tutup Mulut Rakyat Bicara Pasal Altantuya

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat, Badrul Hisham Shahrin yang disoalsiasat polis selama tiga jam selama berhubung ceramah beliau di Penanti yang menyentuh mengenai pembunuhan Altantuya Shaariibuu berkata isu tersebut mempunyai kepentingan awam dan harus diterangkan sejelas-jelasnya kepada rakyat.

Ketika ditemubual oleh TV Antara beliau hairan mengapa perlu kerajaan Umno dan Barisan Nasional memandang serius perihal beliau membangkitkan isu pembunuhan kejam Altantuya semasa berkempen di pilihan raya Penanti.

Semalam Chegu Bard hadir di ibupejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah kira-kira jam 3.30 petang bagi membantu siasatan selepas polis menerima laporan dari ejen-ejen Cawangan Khas yang memantau aktiviti ceramah pemimpin Pakatan Rakyat.

Beliau yang lantang menyuarakan isu-isu rakyat berkata isu Altantuya adalah isu nasional kerana ia membabitkan nama baik dan maruah Perdana Menteri Malaysia.

Chegu Bard dalam ceramahnya mencabar Najib supaya menyaman akhbar dan media luar negara yang melaporkan pembabitannya dalam kes pembunuhan kejam ini dan jangan hanya berani bertindak terhadap media tempatan.

Beliau didakwa melanggar undang-undang di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan Seksyen 500 (1)(b) Kanun Keseksaan.

Sebelum itu sekitar jam 2.30 petang semalam, sekumpulan anggota polis telah pergi ke rumah Badrul di Bangi dan Seremban.

Polis juga telah menyampaikan amaran pada jam 7 malam kelmarin supaya beliau tampil ke IPD Seberang Perai Tengah.

Selain Badrul, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang turut disoal-siasat polis atas dakwaan yang sama.

Kit Siang disiasat berhubung ucapan beliau yang mengatakan Najib bertanggungjawab terhadap rampasan kuasa di Perak.

Polis tiba di kediaman beliau di Pulau Glade, Pulau Pinang jam 11.30 pagi tadi untuk mengambil keterangan.

Sementara itu Pengarah Strategik, Tian Chua berkata terdapat kecenderungan di pihak polis untuk menekan dan menahan pemimpin Pakatan Rakyat kebelakangan ini terutamanya semasa kempen pilihan raya kecil Penanti.

Sikap, tindakan Umno lebih buruk daripada Cheng Peng - Dato' Seri Anwar Ibrahim

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, kelakuan Umno merampas Perak lebih teruk daripada isu Cheng Peng yang sengaja dimainkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menghidupkan kembali kemarahan rakyat.

Tambahan lagi sekarang ini terlalu banyak isu dan skandal terpaksa dijawab oleh kepimpinan negara maka tiada jalan lain untuk beralih kepada isu kepulangan Cheng Peng untuk dijadikan sasaran.

"BN mainkan isu Cheng Peng untuk tingkatkan kemarahan rakyat tanpa mereka sedar tindakan merampas Perak dengan cara tidak beradab dan membelakangkan demokrasi lebih teruk daripada Cheng Peng," ujarnya ketika berceramah di Kubang Semang semalam.

BN hendak mainkan isu ini semata-mata untuk membangkitkan soal perkauman dan menimbulkan pandangan serong terhadap pembangkang yang menggangap isu ini sebagai isu kemanusiaan, katanya.

Menurut Anwar, jika BN sanggup meningkatkan kemarahan rakyat tentang isu Cheng Peng kenapa pada masa yang sama Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak pula mengadakan lawatan ke China yang merupakan 'bapa komunis'.

Sepatutnya isu Cheng Peng itu tidak dimainkan untuk tujuan itu kerana yang perlu ditangani segera ialah kembalikan hak kepada rakyat di Perak supaya kestabilan dibina semula demi pembangunan negeri dan rakyat, jelasnya.

"Bila keadaan di Perak tidak stabil macam mana pelabur nak datang. Siapa yang rugi bukan sahaja kerajaan malahan rakyat yang paling menderita," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Menyentuh mengenai pengundian di Penanti Anwar berkata, beliau yakin rakyat N12 Penanti tidak berubah haluan sokongan pada Pakatan Rakyat kerana calon bebas tidak mempunyai agenda membantu rakyat sebaliknya suka-suka atau mencari publisiti murahan.

Justeru, semua petugas sama ada daripada KeADILan, PAS dan DAP harus menjalinkan usahasama yang lebih padu untuk memastikan kemenangan dengan majoriti yang lebih besar.

Kezaliman BN Sama Dengan Parti Komunis Malaya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Parti Komunis Malaya (PKM) tidak jauh bezanya dengan Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan nasionalisma.

Menurut beliau lagi tindakan yang dilakukan oleh BN selama ini adalah mirip kepada apa yang dilakukan oleh PKM.

"Jika pada zaman PKM ramai mereka yang tidak bersalah dan berdosa dibunuh dan dizalimi.Apa bezanya pada zaman ini dimana mereka yang tidak bersalah mudah dizalimi oleh pemerintahan BN. Oleh kerana itu ada persamaan antara PKM yang dahulu dan BN yang wujud sekarang. Kedua-duanya sama saja.

"Oleh kerana itu siapa sahaja yang mengamalkan fahaman nasionalisma maka ia juga adalah serupa dengan PKM yang melakukan kezaliman, pembunuhan, kerosakan dan bermacam-macam lagi ancaman pada zaman darurat dahulu sehingga ramai yang sengsara.

"Kesan yang ditinggalkan oleh PKM pada ketika itu dapat dirasai sehingga sekarang.Begitu juga dengan kerajaan BN yang mengamalkan ISA sebagai satu akta yang menzalimi rakyat yang tidak bersalah. Bukankah ini juga semacam dengan mereka."

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah di Kampung Guar Jering, Penanti, Bukit Mertajam baru-baru ini.

Dalam ceramah itu beliau juga menyentuh mengenai kedudukan BN yang semakin terancam dengan perpecahan yang begitu ketara berlaku semasa pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita lihat apa yang berlaku dalam parti PPP.Mereka mulai berpecah kepada dua presiden.Begitu juga di Terengganu yang berpecah dalam kumpulan Umno yang memerintah negeri di sana.

"Di Perak juga berlaku kemelut yang sehingga ini rakyat tidak dapat menerima apa yang telah diputuskan walaupun hak rakyat untuk memilih harus diserahkan kepada rakyat membuat pilihan terbaik," katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, Naib Presiden PKR, Azmin Ali, Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

TVAntara

"Kita akan pergi ke rumah pengundi untuk membawa mereka ke pusat pengundian," Pengarah Strategi PKR, Tian Chua

PKR tingkat usaha bawa pemilih ke pusat pengundian

Memandangkan peratus pengundian yang rendah sehingga ini, Pengarah Strategi PKR, Tian Chua berkata parti itu akan menggerakkan sepenuhnya usaha membawa pemilih keluar mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti hari ini.

"Kita akan pergi ke rumah pengundi untuk membawa mereka ke pusat pengundian," katanya.

Beliau juga berkata, kadar pengundian yang rendah itu mungkin disebabkan pemilih memikirkan bahawa PKR pasti memenangi pilihanraya kecil ini.

Jumlah pemilih yang keluar mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti sehingga jam 12 tengahari ini adalah 29.86 peratus atau 4,593 orang.

Sehingga jam jam 11 pagi seramai 23.5 peratus atau 3,590 orang, berbanding dengan 2,252 orang atau 14.6 peratus pada jam 10 pagi tadi.

SPR sebelum ini mensasarkan sebanyak 70 peratus daripada 15,385 pemilih akan keluar mengundi dalam pilihanraya kecil hari ini.

Kerusi DUN Penanti kosong ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu, selepas melepaskan jawatan timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang seminggu sebelumnya.

Dalam pilihanraya umum lalu, Fairus dari PKR mendapat 7,346 undi, menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Majid yang mendapat 5,127 undi.

BN tidak bertanding dalam pilihanraya kecil hari ini. Empat calon yang bertanding ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman; 59; dan tiga calon bebas - bekas ketua wanita PKR, Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56; bekas ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

BN memutuskan tidak meletakkan calonnya bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut atas alasan kekosongan kerusi tersebut adalah usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya.

BN juga mendakwa pilihanraya kecil ini satu permainan politik pembangkang.

malaysiakini

'KOMPLOT' Untuk Mensabotaj Pengundian, Pengundi Penanti Dipindah Ke Kawasan Lain

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan calon PKR dalam pilihanraya kecil DUN Penanti, Mansor Othman mendakwa berlaku kes kehilangan nama pengundi dalam senarai pemilih.

Mansor mendakwa, sehingga jam 9.30 pagi tadi, terdapat tujuh hingga lapan nama pengundi, tidak ada dalam senarai pemilih.

Katanya, apa yang berlaku sama seperti ketika pilihanraya umum 2004 lallu di mana ramai pengundi dipindah ke kawasan lain tanpa pengetahuan mereka.

Sehubungan itu, Mansor menyuarakan kebimbangan bahawa perkara itu akan menjejaskan jumlah pengundian hari ini.

Lim juga menyifatkannya sebagai satu 'komplot' untuk mensabotaj pengundian hari ini.

Mansor pula berkata, PKR akan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) jika terdapat banyak lagi kes kehilangan nama pengundi.

Sementara itu, seorang pengundi, Tan Soon Guan yang sudah dua kali mengundi sebelum ini - sewaktu pilihanraya umum 2008 dan pilihanraya kecil Permatang Pauh yang lalu - mendapati namanya tiada dalam senarai pemilih di pusat pengundian Jit Sin.

Pemeriksaan kemudiannya mendapati nama beliau telah dipindahkan ke DUN Berapit yang terletak di dalam kawasan Parlimen Bukit Mertajam.

Sementara itu, dalam reaksinya, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata pengundi sepatutnya memeriksa lebih awal nama mereka dalam senarai pemilih.

Dengan itu, katanya, pihak SPR akan dapat mengenalpasti masalah tersebut.

Oleh itu, Abdul Aziz berkata, mereka tidak boleh menyalahkan SPR mengenai perkara itu.

Keadaan Tenang dan Aman di Penanti

Pilihanraya Kecil N12 Penanti bermula seawal jam 8 pagi tadi, namun situasi lengang dengan kehadiran pengundi yang sedikit.

Suasana di kesemua sembilan pusat pembuangan undi tenang tanpa sebarang hingar-bingar berbanding keadaan pada pilihan raya-pilihan raya kecil sebelum ini bahkan terlalu aman sehingga ia mengejutkan ramai pihak, terutamanya peniaga-peniaga kecil yang menantikan kehadiran pelanggan dari kalangan pengundi.

Di Berapit, tidak lebih dari 100 orang membuang undi setakat 10 pagi tadi, namun pembuangan undi lebih memberangsangkan di Guar Perahu dengan lebih daripada 400 orang keluar mengundi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Abdul Aziz Mohd Yusof berkata selepas dua jam tempoh mengundi berlansung, sekadar 2,252 pegundi telah keluar mengundi, bersamaan 14.6 peratus.

Kehadiran pengundi meningkat selepas jam 11 pagi. Setiausaha SPR Ngah Senik berkata selepas tiga jam tempoh mengundi berlangsung, 3,590 telah membuang undi, bersamaan 23.5 peratus.

Penanti mempunyai 15,384 undi, dengan dan SPR menjangkakan 70 peratus keluar mengundi sehingga tempoh undi tamat jam 5 petang nanti.

Pilihan raya Kecil N12 Penanti menyaksikan pertarungan empat penjuru. Calon Parti Keadilan Rakyat Mansor Othman berhadapan tiga calon bebas, Aminah Abdullah, Nai Khan Ari dan Kamarul Ramizu Idris.

Penanti : Polis, Media Lebih Ramai Dari Pengundi, Proses Pengundian Lembab

Senario hari mengundi di sini berbeza dengan pilihanraya-pilihanraya kecil yang lain dengan jumlah anggota polis, wartawan, jurugambar serta pekerja pilihanraya lebih ramai daripada jumlah pemilih.

Keadaan tersebut jelas kelihatan di pusat-pusat mengundi Berapit, Kubang Ulu, Tanah Liat, Guar Perahu dan Mengkuang.


Sehubungan itu, National Institute Electoral Integeraity (NIEI) telah membantah kehadiran polis yang terlalu ramai di pusat pengundian.

Menurut Pengerusinya, Yunus Ali, ia boleh ditafsirkan sebagai menggangu proses pengundian dan mengganggu para pengundi membuang undid an mengundang ketakutan kepada pengundi.

”Saya melihat ini sebagai satu itimiditasi kepada pengundi. Berdasarkan peratusan mengundi yang masih rendah, kemungkinan kehadiran polis menakutkan pengundi,” katanya.


NIEI telah memantau pilihanraya kecil DUN Penanti sejak hari penamaan calon, sebelum ini menyatakan keadaan kempen sangat berbeza dengan keadaan kempen semasa PRK Permatang Pauh ketika Anwar Ibrahim (PR) bertanding melawan Arif Shah (UMNO) dulu.

Menurut Yunus, ketika PRK Permatang Pauh Ogos tahun lalu berlangsung, banyak kerumitan, kerenah dan gangguan terhadap ceramah dan kempen PR.

Beliau berkata antaranya adalah berkaitan pengurusan ceramah dimana permit ceramah kerapkali tidak tidak diluluskan ataupun dilewat-lewatkan kelulusan.

Katanya, ketika itu juga banyak sekatan jalanraya yang seolah-olahnya dibuat-buat, supaya perjalanan lalu-lintas jadi sesak dan lambat.

“Orang nak pergi mendengar ceramah tergendala, orang awam yang menggunakan jalanraya menyumpah seranah,”katanya dalam laman blog NIEI.

Mengulas lanjut perbezaan dua pilihanraya itu, katanya, ketika PRK Permatang Pauh dulu, meski pun permit dilulus dan ceramah diadakan, berlaku gangguan helikopter berlegar-legar terbang di atas ruang angkasa tempat perhimpunan ceramah.

“Suara orang berceramah ditenggelamkan oleh bunyi bising helicopter,
“Lampu spotlight dari helikopter itu pula disuluhkan kepada orang ramai yang berhimpun berceramah, sehingga menaikkan kemarahan – pastinya provokasi,”ujarnya.

Tetapi kali ini, katanya, tanpa UMNO bertanding, keadaan terurus dengan aman dan damai.

Mengulas situasi pengundian awal pagi ini, Pengarah pilihanraya KeADILan Saifuddin Nasution berkata, pihaknya berharap sekurang-kurangnya 65 hingga 70 peratus keluar mengundi hari ini.

Beliau berkata PKR mensasarkan calonnya Dr. Mansor Othman memperolehi 7,000 undi, untuk menang dengan majoriti lebih 5,000 undi.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang mengakui bahawa proses pengundian hari ini agak lembab.

Sementara itu, para petugas pilihanraya menjangka lebih ramai pemilih akan keluar mengundi mulai tengahari ini.

Menurut SPR, jumlah pemilih yang keluar mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti sehingga jam 11 pagi, kira-kira tiga jam selepas proses pengundian dimulakan, adalah 23.5 peratus atau 3,590 orang.

Saturday, May 30, 2009

UMNO/BN Tak Nak Bertanding Tapi Guna Taktik Kotor, larikan pengundi, sogok pengundi, inilah TRICK parti 'F'

Kurang majoriti ke….. majoriti bertambah ke….. pedulikan demer. No hal punyer. Yang pasti….. jadikan kemenangan rakyat satu realiti. Tampar lagi UBN @ Bebas dengan kekalahan 5-1. So….. orang-orang Penanti, jangan ragu-ragu lagi. Undilah PKR/Pakatan Rakyat untuk Satu Malaysia Baru. A new dawn is awaiting you!!!!!


Stail Baru UMNO BN : Bawa Lari Pengundi Nak Kurangkan Majoriti


Hari tu, teman tanya sahabat teman yang berada di Penanti….. PKR/Pakatan Rakyat, boleh menang ke di Penanti?

Dia kata ….. untuk menang tu, no problem….. tapi takut majoriti kurang jer…

Teman tanya balik. Ngapa kata macam tu….???

Dia kata…. takut orang tak keluor mengundi.

Isy… pelik, apa hal nyer orang tak keluor mengundi?? Teman tanya dia lagi….

Dia kata…… UMNO bawak pengundi lari…..

Apa ke hei UMNO ni, asyik nak bawak orang lari jer….. Di Perak, demer bawak katak lari, ini di Penanti, demer bawak pengundi lari pulak…..!! Ater, udah tak masuk bertanding, usah ler nyibuk-nyibuk…… buat jer ler hal sendiri. Ini idak… meghonyam, gatei, ngacor orang jer……

Umno bawak lari macam mana….. idak pulak teman bertanya tapi jenuh ler teman memikiorkan nyer… Oh….. rupa nyer, UMNO mula mengadakan pesta rombongan…… Sponsor lagi you!!!

Kalau dulu…… bila ada pilihan raya….. mee segera mari. Di Penanti ni…. pesen baru pulak……. Mee segera tak dak mari, tapi rombongan free mari.!!!! Mari…. mari…. mai kita pi makan angin di sana sini!! Semua tanggung.!!!! Jangan malu….. jangan segan……. bas free, makan tanggung, tempat tidoq no problem….. aha,, dapat duit lagi….!!! Apa ada di Penanti……??? Baik kita pi enjoy diri…..!!! Enjoy diri, sana sini……tengkorak hangpa!!!!

Kalau dulu, berbas-bas, UBN bawak mai hantu masuk ke kawasan pilihan raya ….. tapi la ni, berbas-bas pulak keluaq dari kawasan Penanti….. bawak lari pengundi.!!! Hoi….. apa sudah jadi??? UMNO buang tebiat ke??? Tak sah lagi…. memang buang tebiat sebab tanda-tanda UMNO udah nak mati memang very obvious….!! Dan, di Penanti….. UMNO memang pun sudah mati sebelum bertanding….. kini roh durjana UMNO telah meresap masuk ke dalam calon bebas tajaan nyer…… Bebas sudah jadi zombie!!!! Siapa…, ek……???? Eleh…. paham-paham jer ler….

Kini, tinggal dua hari lagi, menjelang hari membuang undi untuk para pengundi di Penanti, untuk memilih wakil rakyat mereka yang baru. Dalam masa ini ler…..banyak bas sudah bersedia untuk bawak orang Penanti, bercuti-cuti Malaysia…… keluor dari Penanti. Destinasi mereka….. Cameron Highlands, Genting Highlands….. Padang Besar….. dan entah ke mana-mana lagi.!!! Ini ler perkhabaran yang diterima dari Penanti….

Selain itu, di sana sini…… UMNO sibuk mengadakan ceramah itu ini!!! Tak ke giler babi…. Udah ler tak bertanding…… ater, tetiba pulak, timbul rasa gian untuk berceramah. Ater…. kalor rupa itu, sah ler giler babi nyer.!!!! Loklaq betoi UMNO ni….. Kesian kat depa…. kegianan untuk bertanding disekat oleh jeneral UMNO. Eeeeiyaaa….. asyik kerja nak memotong stim orang jer…..Teman nak cadangkan depa ni, pi tanggong ayaq daun ketum, biaq hilang atau kurang sikit gian depa tu……

So…. seandai nyer PKR/Pakatan Rakyat menang dengan majoriti yang berkurang…. UBN mesti kata……

Tengok……. sokongan kepada PKR/Pakatan Rakyat dah berkurangan. Ini bermakna orang dah mula memberi kepercayaan dan sokongan kepada Najib. Woit….!!!! Trick hangpa dalam poket kami orang, daaahhhhhh!!!! Hangpa ingat orang bodo ka…????

Kurang majoriti ke….. majoriti bertambah ke….. pedulikan demer. No hal punyer. Yang pasti….. jadikan kemenangan rakyat satu realiti. Tampar lagi UBN @ Bebas dengan kekalahan 5-1. So….. orang-orang Penanti, jangan ragu-ragu lagi. Undilah PKR/Pakatan Rakyat untuk Satu Malaysia Baru. A new dawn is awaiting you!!!!! -M3M

http://pinkturtle2.wordpress.com/

Kenyataan Ketua Polis Perak Penemuan Senjata Api Di Ipoh Berkaitan Politik Perak, KDN Diminta Beri Penjelasan



klip video ehsan : tvpas09

Temubual Eksklusif CheguBard - Waran Tangkap 29/05/2009



klip video ehsan : PerakExpress

BN BUKAN SETAKAT GERUN TAPI IRI HATI TERHADAP PAKATAN RAKYAT, CEMERLANG TADBIR KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

BN Gerun Program Atasi Kemiskinan Tegar Pulau Pinang Berjaya

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Prof Dr Ramasamy berkata dalam masa setahun Pakatan Rakyat memerintah negeri ini, kerajaan telah berjaya mengatasi masalah kemiskinan tegar di negeri ini berjumlah 720 keluarga.

Menurutnya, sebahagian besar keluarga yang berada dalam kategori ini terdiri daripada orang-orang Melayu dan majoritinya berada dalam kawasan pengaruh UMNO.

“Persoalannya, apa yang para pemimpin Umno dan BN buat lebih 50 tahun berkuasa? Kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat tidak memilih warna kulit untuk menghulurkan bantuan asalkan orang itu layak, kita tidak kira sama ada Melayu, China atau India.”

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Prai dan Ahli Parlimen Batu Kawan seterusnya memberitahu kerajaan negeri kini sedang mengumpulkan data warga emas di seluruh negeri ini dan pihak kerajaan akan menimbangkan untuk memberikan bantuan kepada semua warga emas yang berdaftar.

“Usaha kerajaan negeri ini sebagai pengiktirafan dan penghormatan kepada warga emas yang telah memberikan pelbagai sumbangan dan pengorbanan kepada keluarga masyarakat, negeri malah negara dan mereka perlu dihargai.

“Program dan tindakan kerajaan negeri yang berada di bawah kekuasaan Pakatan Rakyat kini sedang berjalan dengan lancar dan rakyat kini sudah mula merasakan nikmatnya. Keadaan ini membuatkan kepimpinan BN betul-betul merasa gusar.” katanya dalam siri ceramah pilihan raya kecil DUN Penanti di Homestay Mengkuang Titi yang dihadiri lebih 1000 orang semalam.

Turut hadir dalam ceramah tersebut Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang Abdul Malek Abul Kasim, Pengarah Pilihan Raya PKR Saifuddin Nasution Ismail, Ustaz Idris Hj.Ahmad dan calon DUN Penanti Mansor Othman.

TVAntara

SELEPAS CHE'GU BARD, LIM KIT SIANG PULA MENYUSUL BERI KETERANGAN KEPADA POLIS

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang akan memberi keterangan kepada pihak polis pukul 11.30 pagi hari ini atas tuduhan hasutan dan fitnah terhadap Perdana Menteri Najib Razak dan Malaysia.

Menurut beliau seorang pegawai polis telah datang berjumpanya ketika sedang berceramah di Penanti dan memberitahu beliau dikehendaki oleh pihak polis atas dakwaan memfitnah berkaitan ucapan yang disampaikan beliau Ahad lalu.

"Nampaknya Najib kini menekan pihak pembangkang atau sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan beliau dengan menggunakan cara tuduhan menghasut dan memfitnah dan tidak lagi ISA," kata beliau menggunakan Twitter yang diposkan dalam blognya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dijadualkan akan mengadakan satu sidang akhbar di rumah Kit Siang hari ini.

PENANTI ADALAH KERJA KOTOR BN!

Pendirian pimpinan dan tokoh-tokoh PAS telah memberi keyakinan kepada bukan Islam bahawa PAS merupakan parti yang teguh dalam menegakkan keadilan untuk rakyat.

“Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dari PAS begitu teguh mempertahankan kerajaan walaupun memiliki majoriti satu kerusi,

“Ini memberikan keyakinan kepada bukan Islam bahawa PAS dan pimpinan PAS adalah merupakan mereka yang teguh dalam perjuangan ini,”kata Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Baru, Che Abdullah Mat Nawi.

Oleh kerana itu, sokongan yang padu diberikan oleh rakyat Malaysia kepada PAS dan pimpinan Pakatan Rakyat. Justeru katanya, Presiden PAS adalah Perdana Menteri Malaysia sekiranya pilihanraya memilih Perdana Menteri dibuat sebagaimana pilihanraya memilih Presiden Amerika Syarikat.

“Orang bukan Islam hari ini memberi sokongan yang sungguh-sungguh kepada Pakatan Rakyat dan imej PAS adalah cukup tinggi,

“Kalau pilihanaraya untuk memilih Perdana Menteri dibuat sepertimana piliharaya memilih Presiden Amerika Syarikat, sudah tentu Ayah Chik, Tok Guru Haji Hadi (Presdien PAS) menjadi

Perdana Menteri Malaysia,”katanya yang berucap dalam majlis penerangan yang di adakan di Taman Permint Makmur, disini semalam.

Beliau yang juga Exco kerajaan negeri Kelantan berkata pilihanraya kecil DUN Penanti yang sedang berlangsung adalah disebabkan kerja-kerja kotor UMNO dan BN.

Setelah kalah di lima negeri dalam pilihanraya umum lalu, katanya, UMNO dan BN mengadakan berbagai cara untuk menjatuhkan kerajaan yang telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat secara tidak demokratik.

Katanya BN telah mengugut dan memerangkap serta menakut-nakutkan dan cuba menyogok wakil-wakil rakyat dari Pakatan Rakyat.

“mereka berjaya melakukan di negeri Perak, memerangkap wakil rakyat di Perak dengan rasuah dan akhirnya menjadi wakil bebas yang mesra BN,

“Di Penanti, BN cuba memerangkap dan mengugut wakil rakyat yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 dengan rasuah,”ujarnya

Hasrat BN katanya, supaya Fairuz tidak meletakkan jawatan tetapi berpaling tadah menjadi wakil rakyat BN.

Katanya sekiranya Fairuz berbuat demikian, isu rasuah akan selesai sebagaimana yang berlaku keatas wakil rakyat negeri Perak.

“Tapi oleh kerana sekurang-kurang kekuatan yang ada kepada YB Fairuz, Timbalan Ketua Menteri 1, maka beliau tidak berpaling tadah,

“tetapi beliau menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan,”jelasnya.

BuletinOnline

Penanti : Proses Pembuangan Undi Pos Bermula

Undi pos untuk pilihanraya kecil Penanti berlangsung hari ini dengan 20 orang anggota Polis dari kawasan itu mengundi lebih awal kerana desakan tugas.

Bilik undi pos di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai tengah di Pulau Pinang dibuka jam 8.30 pagi.

Tepat jam 9.15 pagi seorang angota polis berpangkat Lans Koperal membuang undi pertama, di ikuti anggota polis wanita iaitu Lans Koperal Asiah binti Hashim yang bertugas di balai polis kubang Semang.

Sejurus selepas itu, Calon Parti Keadilan Rakyat Mansur Othman hadir bersama beberapa penyokong bagi memantau proses pembuangan undi pos.

Mansur berkata beliau berpuas hati dengan kempennya untuk mengekalkan kerusi Penanti dan menaruh kepercayaan penuh dengan kebijaksanaan pengundi untuk membuat keputusan tepat.

Seramai 23 orang berdaftar sebagai pengundi pos DUN Penanti. Lebih 15,000 pengundi lain di daftar untuk mengundi Ahad ini.

Mansor mengadapi saingan tiga calon bebas iaitu Aminah Abdullah, Nai Khan Ari dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris.

UMNO-Barisan Nasional tidak bertanding pada pilihanraya kecil Penanti, setelah parti itu kalah pada kesemua empat pilihanraya kecil di Semenanjung sejak pilihanraya umum mac tahun lalu.

TVAntara

TANGKAP KJ, MENGHASUT

Tangkap Khairy Kerana Menghasut


Tindakan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menasihatkan para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti tidak keluar mengundi Ahad ini dianggap keterlaluan dan bersifat menghasut.

Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli berkata seruan Khairy itu jelas menyalahi sistem demokrasi yang memberi kebebasan kepada rakyat untuk mengundi sekaligus memilih pemimpin mereka sendiri.

“Dia kata tidak mahu memperlekehkan institusi demokrasi negara ini tetapi seruannya jelas membuktikan, dia sendiri yang memperlekehkan sampai sanggup mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan itu.

Katanya sifat pengecut Umno itu sudah terbawa-bawa sehingga ke tahap ‘bahaya’ apabila cuba menasihatkan para pengundi yang sudah matang dan bijak berfikir setelah menyertai 12 pilihan raya umum dan kecil untuk tidak keluar mengundi.

“Saya minta pihak berkuasa. polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat kenyataan Khairy yang dilihat berbahaya, tidak demokratik dan tidak galakkan rakyat meneruskan amalan demokrasi yang sudah diguna pakai sejak sekian lama dan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya yang menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Khairy di sebuah akhbar hari ini yang menasihatkan pengundi tidak keluar mengundi kerana menyifatkan pilihan raya kecil yang diadakan di Penanti memperlekehkan institusi demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Dr Hatta berkata, belum ada mana-mana pihak yang pernah memberi saranan seumpama itu sekaligus membuktikan Ketua Pemuda Umno itu sudah ketandusan idea untuk meraih sokongan sebaliknya mengunakan kaedah yang bertentangan dengan semangat demokrasi yang di dukung oleh semua rakyat dan Pakatan Rakyat.

Katanya situasinya pasti berbeza jika pihak Pakatan Rakyat yang mengeluarkan kenyataan seumpama itu dan sudah pasti pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas.
“Saya bimbang jika tidak dihalang dan tidak diambil sebarang tindakan, ianya akan berlanjutan sehingga ada pihak akan membuat ancaman ugutan pula kepada para pengundi.

“Kita tidak terkejut dengan tingkah laku parti yang cukup tertekan dan ‘desperate’ untuk melakukan apa saja untuk memastikan kekalahan Pakatan Rakyat yang kini mendapat tempat di hati seluruh rakyat di Malaysia ,” katanya.

Sebelum itu, di Penanti 23 Mei lalu Dr Hatta menasihatkan sudah tiba masanya untuk rakyat dan penduduk Penanti ‘bercerai susu’ daripada Barisan Nasional (BN) dan tidak bergantung harap kepada parti yang sudah goyah dan tidak dapat menunaikan tanggungajawab kepada rakyat.

“Rupanya, tanpa BN di Penanti, kita menjadi lebih aman dan tenang. Sudah tiba masanya bercerai susu dengan BN yang tidak memberi manfaat pada rakyat.

“Kalau begitu tidak perlulah BN menyertai mana-mana pilihan raya supaya dapat mewujudkan suasana yang ada pada hari ini,” katanya sambil disambut sorak sorai ribuan hadirin pada ceramah malam itu di Kubang Semang.

Pilihan raya Ahad ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara tiga calon Bebas dengan seorang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Empat calon tersebut ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr Mansor Othman, 59, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari, 41, dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

DUN Penanti mempunyai 15,384 pengundi biasa dan 24 pengundi pos dengan 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina.

TVAntara