Monday, June 1, 2009

Pengundi Penanti Buat Keputusan Bijak - Datuk Seri Anwar Ibrahim

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim berkata pengundi Penanti telah membuat keputusan bijak dengan memilih calon PKR, Mansor Othman untuk mewakili mereka.

Ini kerana Mansor yang bakal dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang akan menunaikan dengan sebaik-baik amanah yang diberi serta berkhidmat bersungguh-sungguh demi rakyat Penanti khususnya.

Dalam ucapan tahniah yang disampaikan beliau, Anwar berkata kemenangan Mansor membuktikan majoriti rakyat Penanti masih bersama Pakatan Rakyat walaupun terpaksa berhadapan dengan fitnah jahat serta aparat kekuasaan yang berhasrat mengikis sokongan rakyat.

"Keputusan pilihan raya kecil ini membuktikan Keadilan masih mendapat sokongan majoriti penduduk Penanti. Walaupun berhadapan dengan fitnah jahat serta aparat kekuasaan yang berhasrat mengikis sokongan rakyat, namun segala usaha mereka menemui jalan buntu.

"Hari ini penduduk Penanti telah membuat keputusan bijak dengan memilih Sdr Mansor sebagai wakil mereka dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang," kata Anwar.

Beliau juga mengucapkan syabas kepada jentera pilihan raya Pakatan Rakyat yang berusaha keras bagi memastikan kemenangan Mansor dan juga pengundi Penanti.

"Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan buat pengundi Penanti. Alhamdulillah dalam jangka masa 14 bulan ini, tiga kali pengundi Penanti menghadapi pilihan raya, dan masih tetap tidak berganjak untuk meyokong agenda Perubahan Pakatan Rakyat," ujar Ahli Parlimen Permatang Pauh itu

No comments:

Post a Comment