Wednesday, June 3, 2009

SAYA DIDERA SUAMI - Manohara Odelia Pinot

Model Indonesia Manohara Odelia Pinot, isteri Tengku Temenggong Tengku Mohamad Fakhry Sultan Ismail Petra, mendakwa beliau didera oleh suami dari kerabat diraja Kelantan itu.

Semalam, model berusia 17 tahun memberitahu sidang akhbar beliau telah dilayan kejam oleh suaminya dan tidak mendapat bantuan daripada pihak berkenaan di Malaysia.

Menurut laporan Banjarmasin Post, Manohara, yang berkahwin dengan Tengku Mohamad Fakhry, 31, tahun lalu, melarikan diri dari sebuah hotel di Singapura kelmarin.

Beliau terpaksa bergelut dengan pegawai-pegawai istana Kelantan sebelum diselamatkan oleh pihak berkuasa Singapura.

Manohara dilapor dibebaskan dengan bantuan Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura sebelum dibawa untuk menemui ibunya Daisy Fajarina di hotel berkenaan.

Pasangan Tengku Mohamad Fakhry dan Manohara berada di Singapura untuk menziarahi Sultan Kelantan yang kini menjalani rawatan di Mount Elizabeth hospital.

Berita Kompass pula melaporkan, Kementerian Luar Indonesia bersedia bertindak atas dakwaan Manohara terhadap suaminya jika bekas model itu membuat aduan rasmi.

Daisy telah beberapa kali muncul dalam program TV untuk mendakwa anak perempuannya telah diculik dan dianiaya oleh putera tersebut.

Jelas Daisy, beliau akan mengambil tindakan ke atas Tengku Mohamad Fakhry, dan menyalahkan pihak berkuasa Ma denglaysia dan Indonesia yang cuba menutup kes penganiayaan ke atas anaknya itu.

"Perkara yang menjadi kebimbangan ternyata muncul benar. Manohara telah dianiaya secara fizikal. Dia juga telah dicederakan di bahagian dada dengan pisau cukur," kata Daisy kepada AFP kelmarin.

Kata beliau, Manohara sudah pun memfailkan tuntutan cerai.

Pada sidang media sebaik sahaja tiba di Indonesia, Manohara mengesahkan dakwaan ibunya bahawa beliau telah dianiaya oleh Tengku Mohamad Fakhry.

Manohara yang dipetik AFP berkata, beliau masih dalam keadaan "trauma" berikutan pengalamannya ketika hidup bersama Tengku Mohamad Fakhry,

Secara diam-diam, katanya, beliau telah memanggil polis Singapura dan merayu bantuan ketika berada di republik itu.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kerajaan Malaysia tidak akan terlibat dalam kes tersebut.

"Saya merasakan ini lebih bersifat soal peribadi. Kita tidak harus diheret ke dalam situasi itu," katanya di sini.

Belum ada komen daripada kerabat diraja Kelantan.

Peguam Manohara, Yuri Darmas berkata, model itu akan menjalani pemeriksaan untuk menyokong dakwaan telah dianiaya.

Di Malaysia, seorang rakan Tengku Mohamad Fakhry menafikan Manohara melarikan diri dari suaminya.

Laman web Detikcom, Indonesia, memetik kawan putera itu, Mohd Soberi Shafii berkata Manohara telah dibenar meninggalkan hotel itu secara sukarela.

Beliau menuduh ibu Manohara sebagai sengaja mempengaruhi anaknya untuk membuat tuduhan palsu.

TVAntara

No comments:

Post a Comment