Friday, March 20, 2009

3 Penjuru di Batang Ai?

LUBOK ANTU: Semakin menghampiri hari penamaan calon pada 29 Mac ini, spekulasi semakin banyak kedengaran terutamanya mengenai siapakah yang bakal menentang calon Barisan Nasional, Malcolm Mussen Lamoh.
Malah ramai pemerhati politik sehingga kini berpendapat pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara BN menentang calon parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) ataupun Bebas.
Kemungkinan wujudnya calon Bebas pada pertandingan kali ini semakin hangat apabila seorang anak jati dari kawasan Batang Lemanak, Lubok Antu turut diwar-warkan akan bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil itu kelak.
Johnny Chuat, 38, anak jati kelahiran Rumah Mujah, Nanga Menyebat, Ulu Lemanak dikatakan akan mencuba nasib sebagai anak jati pertama dari kawasan Batang Lemanak untuk bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil itu kelak.
Graduan dalam bidang komunikasi dan kewartawanan dari Universiti Carleton, Kanada ini dikatakan mempunyai potensi untuk meraih undi di kalangan pemilih pendaftar menjelang pilihan raya kecil ini berdasarkan kepada dua faktor.
Pertama, hampir 80 peratus daripada penduduk di kawasan Batang Lemanak termasuk dari kawasan Ulu Engkari mempunyai hubungan pertalian saudara kepada bakal calon bebas itu sendiri.
Kedua, Johnny Chuat juga dikatakan popular di kalangan penduduk setempat dengan melakukan kerja amal terhadap penduduk dari kawasan Batang Lemanak, Ulu Engkari dan di serata kawasan dalam seluruh negeri ini.
Beliau yang kini bekerja dengan sebuah syarikat dalam industri minyak dan gas yang beroperasi di perairan Malaysia-Vietnam, juga merupakan pengasas kepada sebuah laman web Dayak iaitu www.ruaikitai.com.
“Spekulasi ini menjadikan kerusi DUN Batang Ai semakin panas dan jika benar beliau (Johnny) akan menyertai pertandingan kali ini, maka hampir pasti BN bakal berdepan dengan sekurang-kurangnya dua (calon) lawan,” demikian menurut seorang pemerhati politik di sini yang enggan namanya didedahkan.
“Bagaimanapun ia akan terjawab pada 29 Mac ini nanti, sama ada akan berlaku pertandingan tiga ataupun empat penjuru. Namun yang pasti BN sudahpun meletakkan calon yang berpotensi dan menjadi pilihan rakyat, dengan PKR pula masih berahsia mengenai calon mereka,” tambah beliau lagi.
Hari penamaan calon DUN Batang Ai akan diadakan pada 29 Mac serentak dengan pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau, Parlimen Bukit Gantang.
Jika ada pertandingan maka, tarikh mengundi pilihan raya kecil di ketiga-tiga kawasan akan diadakan pada 7 April depan.

No comments:

Post a Comment