Friday, March 20, 2009

Penyokong PKR dihalau ketika mahu berkempen di sebuah rumah panjang

LUBOK ANTU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima petanda tidak baik untuk menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai yang bakal berlangsung pada 7 April ini.
Ia terbukti apabila sekumpulan penyokong parti pembangkang itu telah dihalau keluar oleh penghuni Rumah Jubang Bin, Sebangki Panjai, Lubok Antu ketika mereka cuba berkempen di rumah panjang terbabit pagi semalam.
Kejadian berlaku apabila sejumlah tujuh penyokong PKR menaiki dua kereta dari Miri tiba pada jam 11.30 pagi semalam di rumah panjang terbabit dengan dengan niat untuk berkempen bagi menghadapi pilihan raya kecil kelak.
“Sebaik sahaja mereka tiba, seorang daripada mereka terus memperkenalkan diri sebagai doktor dan menyatakan bahawa mereka adalah penyokong PKR dari Miri.
“Kedatangan mereka ke rumah panjang itu adalah dengan niat untuk menyerahkan VCD kisah penduduk rumah panjang Nyawen, Bintulu yang telah dihalau oleh kerajaan berhubung tanah milik kerajaan yang mereka duduki sebelum ini.
“Kumpulan itu turut menawarkan pemberian ubat secara percuma kepada semua penghuni rumah panjang berkenaan,” kata sumber enggan namanya disiarkan.
Bagaimanapun ketika para penyokong PKR berkenaan mahu membuka kotak yang mengandungi kedua-dua bahan berkenaan, sekumpulan penghuni rumah panjang terbabit mula bertindak menghalau mereka keluar dari kawasan rumah panjang tersebut.
Sambil menyatakan bahawa mereka adalah penyokong kuat Barisan Nasional (BN), kumpulan penghuni rumah panjang terbabit menyuruh mereka menyimpan kembali kotak-kotak berkenaan dan seterusnya menghalau mereka keluar dengan nada suara yang keras.
“Penyokong PKR dari Miri itu hanya akur dan tidak membantah apabila dihalau oleh kumpulan penghuni rumah panjang berkenaan.
“Dengan kata lain, penghuni rumah panjang Sebangki Panjai, Lubok Antu tidak menerima kehadiran PKR di situ kerana mereka merupakan penyokong kuat kerajaan yang kini diteraju oleh komponen BN Negeri,” katanya.

No comments:

Post a Comment