Wednesday, June 24, 2009

Wakil PKR mohon ketepi waran tangkap

Anggota parlimen PKR S Manikavasagam memfailkan permohonan hari ini untuk mengetepikan waran tangkap kerana mengelak memberikan keterangan dalam inkues kematian aktres K Sujatha.

Manikavasagam memfailkan permohonan itu melalui Tetuan Edwin Lim Suren & Soh di pejabat pendaftar Mahkamah Majistret pada pukul 10.30 pagi tadi.

Beliau juga memfailkan satu sijil kesegeraan untuk tarikh pendengaran bagi permohonan tersebut, lapor Bernama.

Koroner Mohd Faizi Che Abu akan mendengar permohonan tersebut esok.

Semalam, Mohd Faizi mengeluarkan waran tangkap setelah mahkamah itu dimaklumkan oleh timbalan pendakwa raya Geethan Ram Vincent bahawa wakil rakyat Kapar itu mengelak daripada polis menyerahkan sepina itu.

Manikavasagam dalam afidavit sokongan berkata beliau hanya menyedari mengenai waran tangkap itu melalui media yang beliau menafikan mengelak daripada disepina.

Beliau berkata seorang pegawai polis menghubunginya dua hari lepas mengenai sepina itu dan beliau memberitahu pegawai tersebut untuk menyerahkannya di rumah atau pejabat beliau di Kapar oleh kerana bangunan Parlimen bukan tempat yang betul untuk menyerahkan perintah berkenaan.

Manikavasagam mendakwa bahawa tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mengelak sepina itu, dan menambah bahawa beliau berharap untuk memberikan keterangan di Mahakamah Koroner itu oleh kerana beliau telah membuat laporan polis berkaitan kes ini.

Beliau menggesa mahkamah itu untuk mengetepikan waran tangkap ini, sambil menyatakan ia tidak sah kerana beliau tidak diberikan peluang bagi menerangkan kepadanya mengenai isu berkenaan.

Peguamnya N Surenthiran memberitahu pemberita bahawa koroner itu salah dalam mengeluarkan waran tersebut kerana sepina itu tidak pernah diserahkan kepada kliennya.


Inkues itu diadakan berikutan kematian Sujatha, 28, di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 25 Jun 2007, enam hari selepas dimasukkan ke hospital itu kerana didakwa meminum racun serangga.

malaysiakini

No comments:

Post a Comment