Wednesday, June 17, 2009

Taib Respon Isu AP Sarawak Kurang Lantang Dalam Dewan Rakyat

Turun padang lebih makna

Ahli Parlimen bukan sekadar bercakap di Dewan Rakyat tetapi paling penting merancang dan membawa pembangunan kepada rakyat di kawasannya : Taib

KUCHING: Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata melawat kawasan dan meninjau keperluan penduduk merupakan perkara yang lebih bermakna untuk dilakukan oleh para wakil rakyat di negeri ini.

Tugas Ahli Parlimen menurut beliau bukan sekadar bercakap dalam persidangan Dewan Rakyat tetapi lebih mustahak ialah merancang dan membawa pembangunan ke kawasan masing- masing.

“Ini merupakan wakil rakyat yang sebenar dan tanggungjawab mereka ialah untuk berbincang dengan penduduk dan berusaha mendapatkan projek di kawasan masing-masing.

“Perkara seumpama ini adalah lebih positif untuk dilakukan dan bukan sekadar bercakap dalam Parlimen,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar selepas satu majlis di sini, semalam.

Taib berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi para wakil rakyat - sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kompenan Barisan Nasional (BN).

Malah, sesetengah wakil rakyat di Sarawak katanya, terpaksa berhadapan cabaran untuk bertemu dengan para penduduk.

“Ahli Parlimen yang berhadapan dengan situasi amat mencabar ialah dari Sarawak kerana mereka perlu menempuh perjalanan sukar dan jauh,” atanya.

Beliau memberi contoh Ahli Parlimen Hulu Rejang, Datuk Billy Abit Joo yang mewakili kawasan lebih luas dari negeri Pahang. Billy menurut beliau terpaksa menempuh jalan raya Bakun yang jauh atau menggunakan pengangkutan sungaimelalui Batang Rajang.

Sarawak mempunyai 31 kawasan parlimen dengan 30 daripadanya diwakili oleh wakil rakyat BN. Bandar Kuching merupakan kawasan parlimen tunggal di Sarawak yang dimenangi oleh Chong Chieng Jen dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada Pilihan Raya Umum 2008.

Ditanya lanjut mengenai tindakan Wan Junaidi, beliau memberitahu: “Saya tidak mahu memberi ulasan tentang orang lain. Lazimnya sebagai Speaker, seperti yang anda maklum, kita tidak membuat kenyataan terhadap Ahli Parlimen,” tambahnya.


Wan Junaidi pada Khamis lepas, muncul dengan kenyataan yang menyatakan Ahli Parlimen dari Sarawak kurang bercakap ketika menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Katanya, sebagai wakil rakyat mereka perlu aktif dalam Parlimen kerana ia merupakan sebahagian tugas yang diamanahkan oleh pengundi mereka.

Berikutan itu, pada Sabtu lepas beberapa Ahli Parlimen negeri ini melahirkan rasa kecewa dan tersinggung dengan kenyataan tersebut.

Antara yang kecewa dengan kenyataan itu ialah Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri yang menyifatkan tindakan Wan Junaidi itu mungkin mendatangkan persepsi negatif di kalangan orang ramai, terutama penduduk dari kawasan yang diwakili mereka.

“Kami (Ahli-ahli Parlimen dari Sarawak) akan membincangkan bentuk tindakan yang akan diambil.

Kami tidak akan berdiam diri. Anda akan tahu apa yang bakal berlaku selepas ini,” katanya.

TheBorneoPost

No comments:

Post a Comment